`Tuhan' Harun ditangkap (Kronologi kes Tuhan Harun)

Thursday, November 21, 2013

Setelah diburu polis, akhirnya ketua kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun, Harun Mat Saat, berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Tangkak, Johor, petang semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani, berkata Harun, 47, ditahan kira-kira jam 3.30 petang di rumah beralamat No 76 Jalan Puteri 2/15, Taman Bandar Baru Tangkak, Ledang.

Tahan seorang pengikut

"Sebelum ketua kumpulan ajaran sesat ditahan, sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan Ledang menyerbu sebuah rumah di Jalan Hospital, Tangkak dan menahan seorang pengikut ajaran berkenaan bernama Nor Hairi Harun, 41, kira-kira jam 3.20 petang.

"Susulan tangkapan itu, satu serbuan dilakukan ke sebuah lagi rumah dan berjaya menahan Harun dan seorang wanita dipercayai isterinya, Azida Mohd Zol, 30," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sharifuddin berkata, ketika penahanan dibuat tiada sebarang pergelutan berlaku dan mereka memberi kerjasama yang baik kepada polis.

Beliau berkata, ketiga-tiga individu terbabit kemudian dibawa ke IPD Ledang dan ditahan untuk siasatan awal.

"Semua mereka akan dibawa ke IPD Kuantan dan dijangka tiba lewat malam ini (malam tadi) bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

"Ini termasuk membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Rafli Abdul Malek di Indera Mahkota 2, 10 November lalu.

"Mereka ditahan kerana mempunyai waran tangkap dan dikehendaki JAIP berhubung kes ajaran sesat serta membantu siasatan kes tembak Ahmad Rafli," katanya.

Bantu kes pembunuhan

Sebelum ini, seramai 10 pengikut 'Tuhan Harun' sudah tampil ke beberapa IPD bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ahmad Rafli seperti diarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Dalam kejadian pada jam 1.50 petang 10 November lalu, Ahmad Rafli, 49, meninggal dunia di depan rumahnya selepas terkena dua daripada tiga das tembakan dilepaskan suspek yang datang ke rumahnya.

Kronologi kes Tuhan Harun

* 20 November 2013: Ketua kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun, Harun Mat Saat, 47, ditahan dalam serbuan di Taman Bandar Baru Tangkak, Ledang, jam 3.30 petang.

* 13 November 2013: Mahkamah Rendah Syariah Kuantan mengeluarkan waran tangkap terhadap Harun selepas gagal hadir bagi sebutan kes 10 pertuduhan.

* 29 Mei 2013: Harun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan.

* 15 Mei 2013: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengeluarkan waran tangkap terhadap 12 individu termasuk isteri ketiga Harun dan empat anaknya.

* 24 April 2013: Harun yang juga seorang komposer dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan bagi menghadapi pertuduhan menyebabarkan ajaran sesat.

* 17 April 2013: Harun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan mengambil deposit haram antara 2006 dan 2008.

* 9 April 2013: Harun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan bagi pertuduhan menipu seorang kontraktor membabitkan kerugian RM200,000, lima tahun lalu.

* 5 April 2013: 30 pengikutnya dibebaskan dengan jaminan JAIP dan diberi tarikh baru untuk hadir bagi pertuduhan di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan.


~ BH

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI