Panduan Dunia Pekerjaan: Jangkaan Pekerja Baru

Friday, November 29, 2013

Panduan Dunia Pekerjaan: Jangkaan Pekerja Baru

Jangkaan untuk dicabar

Jangan menganggap tugas yang belum difahami sebagai sesuatu yang merisaukan sebaliknya, lihatlah ia sebagai peluang untuk anda belajar. Hakikatnya, tidak ada manusia yang dilahirkan mengetahui semua perkara dalam kehidupan masingmasing sebaliknya, perlu belajar untuk memahaminya.

Walaupun sudah mempelajari banyak perkara mengenai diri sendiri, anda juga akan mengalami banyak kejutan apabila mempelajari tentang orang lain. Kehidupan di universiti hakikatnya berbeza daripada kehidupan sebenar di luar sana.

Apabila berada dalam dunia pekerjaan, anda akan lebih terdedah dan berjumpa dengan orang yang memiliki pelbagai watak dan ragam. Anda mungkin berhadapan dengan ketua yang sangat cerewet atau tegas, individu yang pentingkan diri atau sekumpulan manusia yang suka bergosip.

Namun, jangan bimbang kerana anda juga akan berjumpa dengan beberapa rakan sekerja yang baik dan boleh bekerjasama atau ketua yang suka membimbing dan menjadi mentor.

Jangkaan menerima penghargaan

Penghargaan dan ganjaran adalah pengiktirafan yang diberi organisasi kepada pekerja yang menghasilkan mutu kerja cemerlang.

Dalam konteks ini, anda tidak perlu menonjolkan diri dan mengatakan bahawa anda layak untuk mendapat anugerah cemerlang atau bonus tahunan kerana anda dinilai ketua pada akhir tahun.

Bagaimanapun, anda tidak perlu berasa malu jika mendapat penghargaan atau ganjaran daripada ketua atau majikan.

Kebiasaannya, majikan yang bijak akan mengetahui masa yang sesuai untuk memberikan pengiktirafan dan ganjaran kepada pekerja yang rajin dan berdedikasi.

Pengiktirafan itu sama ada dalam bentuk anugerah, kenaikan gaji atau kenaikan pangkat.

Namun, jika sebaliknya, jangan berasa kecewa kerana mungkin belum tiba masanya untuk anda menerima pengiktirafan itu.

Jangkaan berasa bosan

Berasa bosan adalah sesuatu yang biasa berlaku dalam kehidupan seseorang, termasuk pada awal alam kerjaya.

Antara tanda keadaan itu berlaku apabila anda kerap melihat jam dan tidak sabar menunggu waktu kerja tamat.

Persoalannya ialah apakah yang akan anda lakukan jika mengalaminya? Hakikatnya, kadangkala minda kita memerlukan rehat. Oleh itu, janganlah terlalu bimbang tentang perasaan itu.

Apa yang perlu dilakukan ialah anda berehat dengan secukupnya.

Pada hari berikut, datang ke tempat kerja seperti biasa dan bersedia untuk melalui waktu kerja yang lebih baik dengan fikiran yang positif.

Tidak dapat dinafikan bahawa kadangkala anda berasa bosan kerana melakukan tugasan yang sama.

Ini mungkin petanda bahawa anda sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab lain yang lebih mencabar.

Maka beritahu perkara itu kepada ketua dengan harapan anda mendapat tugasa n baharu yang lebih mencabar atau mencadangkan kepadanya mengenai tanggungjawab baharu yang ingin dilakukan.

Jangkaan untuk berubah

Seseorang itu dianggap bertuah jika mendapat kerja yang menjadi impian selepas bergraduat. Tentunya anda begitu berminat dan teruja dengan tugas yang diamanahkan.

Anda dianggap melakukan tindakan yang bijak jika memilih untuk terus bekerja dan mendapatkan pengalaman yang terbaik dalam kerjaya itu.

Walau bagaimanapun, jika berasa bahawa anda telah melakukan yang terbaik untuk tugas itu, mungkin anda boleh membuat jangkaan bahawa sudah sampai masanya untuk melakukan perubahan dengan berhijrah ke organisasi lain untuk mencari pengalaman baharu.

Penghijrahan itu mungkin boleh berlaku dalam jangka waktu yang singkat atau lebih lama selepas pekerjaan pertama anda.

Jangkaan memperoleh kebahagiaan

Bagi pekerja baharu, memasuki alam kerjaya adalah sebuah perjalanan yang menarik dan mempesonakan. Jika serius dengan tugas dilakukan itu, anda mampu menjadi seorang pekerja yang profesional, berkualiti dan berwibawa.

Pencapaian yang hebat itu mungkin membolehkan anda membuat jangkaan bahawa anda berasa bahagia dengan pekerjaan itu dan mungkin kekal untuk tempoh yang lama.

Kesimpulannya, anda boleh mencubanya sebagai panduan apa yang dibincangkan dalam dua siri mengenai jangkaan pekerja baharu tetapi harus mengikut kemampuan diri. Berusahalah meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agar dapat membuat jangkaan untuk menjadi pekerja yang terbaik lagi cemerlang pada masa hadapan.

Oleh Dr Mohd Yahya Mohd Ariffin

* (Profesor Madya dan Timbalan Dekan, Fakulti Kepemimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia)

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI