Kes bangkrap: 60 orang bankrap di Malaysia setiap hari

Friday, November 01, 2013

60 orang bankrap di Malaysia setiap hari

Sebanyak 60 orang diisytiharkan bankrap setiap hari di negara ini dengan golongan berumur 35 hingga 44 tahun mencatatkan angka tertinggi iaitu 34.31%, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Katanya kumpulan kedua tertinggi adalah di antara umur 45 hingga 54 tahun sebanyak 26.49%, 25 hingga 34 tahun 20.09% serta 55 tahun dan ke atas 11.77%.

"Sehingga September (tahun ini sahaja) sebanyak 16,306 orang diisytiharkan bankrap dan jumlah kes tersebut terus meningkat setiap tahun. Dari 2007 hingga September tahun ini pula, seramai 116,488 orang diisytiharkan bankrap," katanya.

Nancy berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan sijil pelepasan kebankrapan kepada 30 orang, pada hari Khamis yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) Rohana Abd Malek.

Katanya sejak MdI ditubuhkan pada tahun 1924 hingga September tahun ini, sebanyak 251,209 orang disahkan bankrap, dan daripada jumlah tersebut hanya 28% sahaja telah mendapat khidmat nasihat MdI bagi meneruskan pentadbiran kes, manakala selebihnya tidak dapat dikesan.

Mengikut statistik MdI, seramai 13,238 orang dikategorikan bankrap pada 2007, diikuti 13,855 orang pada 2008; 16,228 orang 2009; 18,119 orang 2010; 19,167 orang 2011; dan 19,575 orang pada 2012, dengan mereka yang menceburi sektor swasta dan berniaga menunjukkan peratusan tertinggi.

Dalam tempoh masa tersebut (2007-2013), kaum Melayu dan Cina merupakan  kumpulan terbesar menjadi bankrap iaitu masing-masing mencatatkan 45.10% (52,535 orang) dan 32.97% (38,407 orang), berbanding India 12.63% (14,710 orang) dan lain-lain sebanyak 9.30% (10,836 orang).

Sementara bagi kategori pula (2007-2013), sewa beli kenderaan mencatatkan jumlah tertinggi kebankrapan iaitu 30,451 kes (26.14 peratus); diikuti pinjaman perumahan 20,529 kes (17.62%); pinjaman peribadi 18,053 kes (15.50%); dan pinjaman perniagaan 14,431 kes(12.39%).

Statistik MdI juga menunjukkan bahawa hutang kad kredit hanya 4,875 kes (4.18%) bagi tempoh masa tersebut.

Mengulas lanjut, Nancy berkata kebankrapan bukan penghujung hidup sebaliknya ia boleh menjadi pelindung apabila seseorang gagal untuk membayar hutangnya kepada pemiutang atas pelbagai faktor.

Katanya di negara maju seperti Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat, masyarakat menjadikan kebankrapan sebagai pelindung dengan memfailkan permohonan kebankrapan dan membuat penstrukturan semula hutang.

"Budaya inilah yang mahu diterapkan dalam kalangan rakyat kita. Kita tidak mahu rakyat yang hanya tahu berhutang tetapi akhirnya lari daripada tanggungjwab pinjaman yang telah dibuat.

"Bagi Januari hingga September sahaja, sebanyak 27,432 petisyen kebankrapan telah difailkan di mahmakah.

"Daripada jumlah tersebut 99.2% (27,210 kes) petisyen kebankrapan dibuat oleh pemiutang, manakala 221 kes (0.8%) sahaja petisyen kebankrapan dipohon penghutang sendiri," katanya.

Bagi mereka yang mengalami bebanan hutang dan kesukaran membayar balik jumlah hutang yang tinggi, katanya kerajaan di bawah Bank Negara telah menubuhkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (APKP)yang berperanan dalam pendidikan kewangan, kaunseling kewangan dan pengurusan kredit.

Selain itu katanya, undang-undang kebankrapan sedia ada juga sedang dalam proses pembaharuan agar tidak ramai lagi yang menjadi mangsa kebankrapan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI