Padah cinta 'kekasih Facebook', rugi RM200 000

Friday, November 22, 2013

Kekasih Facebook kikis duit

Gara-gara terlalu percayakan seorang lelaki yang dikenali melalui Facebook, seorang ibu tunggal sanggup menyerahkan lebih RM200,000 kepada lelaki terbabit.

Bernama melaporkan bahawa wanita itu yang merupakan seorang penjawat awam, telah jatuh cinta dengan lelaki yang hanya dikenali untuk dua bulan sahaja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Supt Koh Ah Tiam memberitahu Bernama bahawa lelaki yang dipercayai rakyat asing itu memberitahu wanita itu dia merupakan seorang kontraktor dan mahu memindahkan wang sejumlah US$10 juta (RM31 juta) ke negara ini namun alasannya wang itu tidak dapat dipindahkan.

Wanita itu kemudian diberitahu bahawa dia perlu membuka akaun bank tempatan terlebih dahulu sebanyak RM9,000 dengan alasan sebagai menampung jumlah wang yang akan dipindahkan nanti.

“Suspek mengambil masa dan membuat mangsa jatuh cinta sebelum menyakinkan mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank dengan memberikan pelbagai alasan.

“Selepas mangsa membuka akaun tempatan dengan jumlah diarahkan, suspek kemudian meminta RM200,000 lagi untuk dikenakan cukai,” kata Koh kepada Bernama.

Untuk mendapatkan wang RM200,000, wanita terbabit sanggup membuat pinjaman bank untuk memberikannya dengan alasan sebagai Bon Sekuriti.

Wanita yang tidak mempunyai wang sebanyak itu, kemudiannya mencagarkan rumahnya kepada pihak bank sebelum menyedari dirinya telah ditipu.

Wanita berusia 50 tahun itu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada Rabu.

Kes-kes penipuan melalui internet atau jenayah siber makin berleluasa di negara ini.

Pada Oktober tahun lepas, seorang wanita dari Kuching ditipu sebanyak RM315,000 oleh seorang lelaki ‘Eropah’ yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook, tetapi mungkin rugi lebih banyak jika penipuan itu tidak dikesan oleh suaminya.

Pada bulan April tahun ini, seorang wanita dlaporkan mengalami kerugian RM1,850 akibat tertipu dengan kenalan Facebook.

Mangsa yang berumur 48 tahun dan tinggal di Raub dikatakan membayar wang tersebut untuk mendapatkan hadiah dari seorang warga ''Arab'' yang dikenalinya sejak Februari.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI