Majlis Konsultasi Negara dilancar bagi pupuk perpaduan

Monday, November 25, 2013

Tujuh panduan digariskan dalam usaha menjayakan perpaduan nasional dikalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Panduan itu antara lain menterjemahkan komitmen kerajaan dalam memastikan perpaduan nasional kekal selain melaksanakan sebarang dasar berlandaskan perlembagaan negara.

Mengulas lanjut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata panduan itu antara lain merangkumi mengambil gagasan 1Malaysia sebagai model prinsip keadilan sosial.

Selain itu, tujuh panduan itu juga mengambil kira model ekonomi baharu dan menjaga sensitiviti pelbagai kaum dengan rukun negara sebagai panduan.

Najib menarik perhatian, usaha mengukuhkan perpaduan nasional merupakan proses yang panjang.

"Saya sedar dan kita semua sedar cabarannya besar sebab negara kita terlalu kompleks tetapi complexity negara kita bukanlah satu penghalang kepada kita untuk mencapai perpaduan nasional, “

“Pada kesudahannya perpaduan nasional akan berpunca daripada minda kita sendiri,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis konsultasi Perpaduan Nasional, di sini.

Penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) adalah bagi menyediakan pelan bertindak cadangan penyatuan nasional dilihat sesuatu yang boleh direalisasikan.

Panel tersebut memainkan peranan dalam mengesyorkan cadangan penyatuan nasional kepada kerajaan sebelum dibincangkan di peringkat kabinet.

Anggota MKPN dibarisi 30 tokoh masyarakat, ahli akademik, pemikir, wakil pertubuhan bukan kerajaan selain ahli politik daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Antaranya Datuk Dr Mujahidin Yusof Rawa, Datuk Saifudin Abdullah, Tan Sri Lee Lam Thye dan Anas Zubedy.

Sementara itu dalam sidang medianya, Najib berkata, kewujudan MKPN tidak hanya membincangkan isu semasa antara kaum tetapi lebih kepada perpaduan negara.

“Ideanya adalah untuk mewujudkan suasana yang terkawal kerana perkara yang melibatkan kaum, agama, perlembagaan dan pelbagai lagi isu dasar jika dipolitikkan akan membakar perasaan antara kaum,

“Dan itu tidak sihat untuk negara kita kerana itu kita buat perbincangan secara tertutup tetapi bersifat terbuka dalam konteks perbincangan” katanya.

Jelasnya panel tersebut akan menghantar laporan interim dalam masa enam bulan sebelum dibawa ke peringkat kabinet.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI