Ibu dan anak terima ijazah

Tuesday, November 12, 2013

"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya tidak tahu melanjutkan pelajaran dalam bidang apa sebelum ibu bapa menyarankan saya memilih bidang undang-undang.

"Walaupun ketika itu hanya menuruti nasihat dan saranan mereka, saya akhirnya jatuh cinta dengan bidang ini dan cita-cita bergelar peguam semakin hampir selepas empat tahun bergelar pelajar Fakulti Undang-Undang," kata Syafiqah Nadia Kamal Baharin Shahar, 23, graduan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada Istiadat Konvokesyen ke-79 Universiti Teknologi MARA (UiTM), semalam.

Kegembiraan Syafiqah berganda apabila bukan dia saja berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah, malah turut dikongsi bersama ibunya, Maimunah Mohd Shah, 51, yang terlebih dulu menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Perniagaan, Sabtu lalu.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, tanggapan ramai mengatakan undang-undang adalah bidang pengajian yang sukar tidak benar kerana dengan usaha gigih, kejayaan boleh dicapai.

"Minat mendalam terhadap bidang ini datang selepas bergelar pelajar dan ternyata ia berjaya menarik minat saya untuk serius bergelar peguam.

"Ketika bergelar pelajar, saya banyak menghabiskan masa mengulang kaji pelajaran berkumpulan bersama rakan dan kami membantu antara satu dengan lain untuk memahami subjek dipelajari.

"Selain itu, pensyarah juga banyak memberi pendedahan dan selok-belok bidang ini hingga saya mampu menamatkan pengajian," katanya ketika ditemui di pekarangan Dewan Agong Tunku Canselor (DATC), semalam.

Syafiqah yang sedang menjalani latihan dalam kamar di sebuah firma guaman di Damansara berkata, dia akan melanjutkan pelajaran peringkat diploma dalam bidang syariah awal tahun depan.

Sementara itu, Maimunah, pensyarah di Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM berkata, minatnya yang mendalam kepada dunia akademik diterapkan dalam jiwa anak-anaknya.

"Tanggungjawab sebagai seorang pensyarah tidak menghalang saya bergelar pelajar. Saya akan memastikan waktu kerja tidak mengganggu waktu belajar.

"Kadang kala kesibukan bekerja memaksa saya menggunakan media sosial seperti Facebook untuk berhubung dengan rakan sekelas dan melakukan perbincangan," kata ibu kepada tiga anak berusia antara 15 hingga 23 tahun," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI