Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia- Jepun (MJIIT) bawa ilmu dari teknologi Jepun

Friday, November 29, 2013

Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia- Jepun (MJIIT) bawa ilmu dari teknologi Jepun

Ditubuhkan sejak 2010 dengan matlamat untuk menyediakan pendidikan kejuruteraan Jepun di Malaysia yang berpatutan dan mudah Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia- Jepun (MJIIT) terus mengorak langkah untuk menjadi hab penyelidikan dan pembangunan terunggul. Ikuti perkembangan terkini mengenai MJIIT bersama Dekan, Prof Ir Megat Johari Megat Mohd Noor yang dikongsikan kepada wartawan, Khairunnisa Kamarudin.

S: Berapakah jumlah pelajar yang terdapat di MJIIT?

J: Sehingga kini, kira-kira 550 pelajar sedang mengikuti pengajian di MJIIT iaitu 200 program Doktor Falsafah (PhD) manakala baki 300 pelajar lagi mengikuti program ijazah sarjana muda dalam pelbagai pengkhususan. Daripada keseluruhan jumlah pelajar, kira-kira 25 peratus ialah pelajar luar negara manakala selebihnya pelajar tempatan. Namun begitu jumlah pelajar antarabangsa akan ditingkatkan lagi bagi mencapai sasaran 40 peratus kemasukan pelajar luar negara pada tahun akan datang. Kewujudan MJIIT cukup signifikan kerana menjadi lambang pengukuhan kerjasama pendidikan tinggi kerajaan Jepun dan Malaysia dalam usaha melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran dalam bidang teknologi, selain menonjolkan Malaysia sebagai pusat pembelajaran teknikal dan pembangunan kejuruteraan terkemuka di rantau ini.

S: Keunikan MJIIT terletak kepada teknologi Jepun serta tenaga pengajar dari negara, adakah konsep pembelajarannya mempunyai perbezaan ketara dengan kursus kejuruteraan sedia ada di Universiti Teknologi Malaysia (UTM)?

J: Pembelajaran (P&P) di MJIIT tidak banyak perbezaannya tetapi pengisiannya memberi nilai tambah kepada pelajar tempatan kerana mereka mendapat pendedahan dan tunjuk ajar daripada tenaga pengajar atau pensyarah berpengalaman dari Jepun selain penerapan budaya kerja masyarakat negara matahari terbit itu.

Mereka juga berpeluang menjalani latihan praktikal sama ada penyelidikan makmal ataupun bekerja dengan industri di Jepun bagi memberi lebih banyak pendedahan mengenai pembangunan teknologi yang maju dari Jepun selain mempelajari budaya dan bahasa Jepun.

Proses P&P menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara tetapi menggunakan sistem pembelajaran Jepun yang diguna pakai di universiti di sana. Setakat ini, MJIIT bekerjasama dengan 25 universiti terkemuka Jepun dan lima agensi kerajaan dan industri Jepun bagi menyediakan peluang kerjaya kepada pelajar.

S: Memandangkan MJIIT menyasarkan kemasukan 40 peratus pelajar luar negara bagi tahun akan datang, apakah usaha yang akan dilakukan untuk menca pai sasaran itu?

J: MJIIT akan menyediakan kemudahan pembiayaan kewangan menerusi pemberian biasiswa kepada 20 pelajar luar negara yang berminat mengikuti program di MJIIT bermula tahun depan. Kemudahan diberikan kepada pelajar yang layak bagi mengikuti program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.

Rangkaian kerjasama akademik pada peringkat antarabangsa turut diatur menerusi cadangan penawaran program ijazah berkembar dengan universiti Jepun seperti Shibaura Institute of Technology, Yamaguchi University, Osaka University dan Nagoya Institute of Technology.

S: Jelaskan sedikit mengenai peruntukan yang diberikan kerajaan sebanyak RM58 juta bagi pembinaan makmal baharu serta tujuan mengadakan majlis makan malam gala MJIIT baru-baru ini.

J: Peruntukan berkenaan akan dimanfaatkan bagi membina makmal kejuruteraan kimia dan alam sekitar bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan di MJIIT. Penyediaan pembangunan infrastruktur dan kemudahan itu penting bagi menyokong proses P&P dan memantapkan aktiviti penyelidikan yang turut menjadi keutamaan di MJIIT.

Penganjuran majlis makan malam gala yang diadakan baru-baru ini pula adalah sebagai tanda penghargaan kepada organisasi yang banyak memberikan kerjasama dan menyumbang kepada MJIIT selain mewujudkan rangkaian atau landasan perniagaan antara industri tempatan dan Jepun.

Majlis juga bermatlamat mengumpul dana bagi mengisi Tabung Biasiswa MJIIT dan saya dimaklumkan sebanyak RM300,000 berjaya dikumpulkan menerusi aktiviti penjualan meja makan malam.

Memandangkan masyarakat Jepun tidak begitu biasa dengan amalan penjualan meja, aktiviti seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi memberi mereka pendedahan mengenainya.

S: Apakah kualiti yang diperlukan untuk calon yang berminat meneruskan pengajian di MJIIT?

J: Selain mendapat keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memenuhi kriteria ditetapkan institusi, calon juga perlu menanam sikap terbuka untuk mencari peluang kerjaya di luar negara dan berani bersaing pada peringkat global.

Ketika ini, pelajar tempatan yang mengikuti program di MJIIT cukup bernasib baik kerana kebanyakan daripada mereka berjaya memperoleh mendapat biasiswa dan kelebihan itu seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin sejajar matlamat untuk melahirkan pemimpin daripada kalangan jurutera.

~ BH

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI