Nasib tak berubah seandainya kita sendiri tidak berusaha

Monday, November 04, 2013

Banyak aspek yang perlu dibuat penambahbaikan dari masa ke semasa sama ada dalam aspek ekonomi, sosial mahupun sahsiah diri. Kita perlu sentiasa melakukan perubahan dengan visi mempertingkatkan kualiti hidup.

Justeru, usaha memantapkan kebolehupayaan diri mesti difokuskan untuk menjana kecemerlangan dalam kehidupan. Transformasi atau anjakan minda menjadi faktor pencetus kepada kelangsungan kehidupan yang lebih sempurna.

Sektor ekonomi untuk memperoleh pendapatan lebih baik, kita semestinya berikhtiar sedaya mungkin dengan menyahkan sikap selesa dengan apa yang ada. Zon selesa yang sama rutinnya setiap hari wajar dihijrahkan kepada zon yang lebih dinamik dan pragmatik.

Allah SWT tidak akan mengubah nasib seandainya kita sendiri tidak berusaha untuk berubah kepada yang lebih baik. Ungkapan rezeki secupak tak akan menjadi segantang perlu ditukar kepada `Allah pasti mengubah nasibku seandainya aku berikhtiar untuk mengubahnya'.

Kita boleh jadikan kegigihan orang Jepun dan Korea mengubah nasib malang mereka dulu kepada nasib yang lebih gemilang menerusi kerja keras membangunkan sumber ekonomi. Bangsa Korea dikatakan gigih berusaha mengubah nasib buruk dan membetulkan takdir menimpa mereka.

Kejayaan dicapai bangsa Korea itu sehingga muncul sebagai negara gergasi ekonomi dunia bukan berpunca daripada nasib semata-mata, tetapi didorong usaha berterusan rakyatnya. Kejayaan diperoleh itu secara bertahap-tahap, bukannya dalam sekelip mata.

Istiqamah dalam tekun bekerja

Ini membuktikan untuk mencapai kejayaan kita seharusnya istiqamah dalam menekuni sesuatu kerja yang dilakukan. Malah, sejarah Islam memaparkan bagaimana nasib orang Islam yang berhijrah ke Madinah sehelai sepinggang, kemudian berjaya dalam ekonomi dan mampu membantu orang lain.

Pada masa penghijrahan ke Madinah, Abdul Rahman bin Auf dipersaudarakan dengan kaum Ansar bernama Saad bin Rabi'. Ini adalah kaedah Nabi SAW memperkukuhkan ikatan ukhuwah dalam kalangan umat Islam.

Anas bin Malik berkata, ketika persaudaraan itu Saad berkata kepada saudaranya Abdul Rahman: "Wahai saudaraku, aku adalah penduduk Madinah yang kaya raya, silakan pilih separuh hartaku dan ambillah. Dan aku mempunyai dua orang isteri, cuba perhatikan yang lebih menarik perhatian kamu, akan kuceraikan hingga kamu dapat memperisterikannya." Tetapi segera dijawab Abdul Rahman dengan berkata: "Moga-moga Allah memberkati kamu, isteri dan harta kamu. Tunjukkanlah aku di mana letaknya pasar supaya aku dapat berniaga. Kemudian dikisahkan Abdul Rahman pun pergilah ke pasar dan menjalankan urus niaga di situ. Dia pulang selepas memperoleh keuntungan yang lumayan."

Ini satu contoh bagaimana sikap sahabat Rasulullah SAW berusaha mengubah nasib diri tanpa mengharapkan belas kasihan orang lain walaupun ada yang telah sudi membantu. Jadi, sikap Abdul Rahman bin Auf dijadikan inspirasi untuk berusaha gigih mengubah nasib hidup.

Al-Alamah Al-Manwy ada menukilkan dalam kitabnya, `Faudhul Qadir', mengenai hukum orang miskin yang tidak mempunyai apa-apa pekerjaan umpama burung hantu yang bertenggek di sangkar dan tidak seorangpun yang boleh mengambil manfaat darinya.

Kata Al-Imam Ar-Raghib, barang siapa pasif tidak mahu bekerja, bererti dia melepaskan tabiat kemanusiaannya dan melepaskan tabiat kehaiwanannya, lalu menjadi golongan orang yang mati.

Umat maju berani berubah, hijrah minda

Umat yang maju dan berjaya semestinya perlu berani berubah, berhijrah minda serta sikap kerana ia menentukan untung nasib kejayaan. Berubah sikap serta berani bertindak perlu bagi membaiki keadaan yang buruk, mengubah nasib dan menjamin masa depan.

Usaha menzahirkan kejayaan dalam kehidupan memerlukan ketabahan dan kegigihan berterusan. Nilai inilah yang dibawa oleh Islam dan kita yang hidup pada mutakhir ini perlu menterjemahkan dalam usaha pencarian sumber kehidupan supaya memperoleh rezeki lumayan.

Sepatutnya nilai ajaran Islam seperti mendidik diri dengan sifat berani, tabah, cekal, optimis dan sabar mampu membangkitkan nafas semangat untuk berjaya. Kejayaan dan kemajuan dalam apa lapangan sekalipun berlandaskan usaha dan iradat Allah.

Muawiyah bin Qyrrah ada mengatakan: Umar al-Khattab telah berjumpa dengan sekelompok orang dari penduduk Yaman. Dia bertanya: "Siapakah kalian semua?" Mereka menjawab: "Kami adalah orang yang bertawakal." Lantas Umar pun berkata: "Bukan, tetapi kalian ialah orang yang mencari makan. Orang yang bertawakal ialah orang yang menyemai biji benih di tanah dan juga bertawakal kepada Allah."

Kisah ini menggambarkan kurang senangnya Umar terhadap orang Mukmin yang tidak mahu mengubah nasib diri dengan sikap pesimis terhadap masa depan. Bersamalah kita mengubah sikap dan berani melakukan penghijrahan minda serta proaktif terhadap usaha mempertingkat kualiti kehidupan.

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI