Naik cukai pintu: Tiada niat sakitkan hati

Thursday, November 21, 2013

Naik cukai pintu: Tiada niat sakitkan hati

Putrajaya: Cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan kadar cukai pintu di ibu kota bukan bertujuan menyakitkan hati rakyat, sebaliknya bagi memastikan mereka menikmati kemudahan lebih baik pada masa depan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, rakyat juga perlu faham kerajaan tidak mampu menyediakan semua perkhidmatan dalam bentuk subsidi atau percuma.

"Antara cabaran yang perlu dihadapi kerajaan menguruskan bandar besar adalah jumlah kewangan yang tinggi, pada masa sama rakyat mahukan penambahbaikan perkhidmatan setiap tahun.

"Sehubungan itu, kerajaan tidak boleh dipertanggungjawabkan 100 peratus untuk tujuan itu, jadi usaha membentuk Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya mapan sehingga membanggakan penduduknya memerlukan komitmen bukan saja daripada kerajaan bahkan juga rakyat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa-Cabaran Mengenai Wilayah Bandar Mega Yang Diperluas: Perubahan Wajah Asia Tenggara dan Dunia di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan DBKL melaksanakan penilaian dan penyelarasan semula cukai taksiran ke atas 500,000 pegangan unit hartanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai 1 Januari tahun depan.

Tindakan itu dilaksanakan berikutan DBKL tidak membuat penilaian semula sejak 1992 dan diperlukan berdasarkan beberapa faktor.

Difahamkan, kadar kenaikan antara 70 hingga 300 peratus itu dianggap sebagai tidak munasabah dan menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk kerana ia dilakukan tanpa sebarang perbincangan dengan warga kota.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata, beliau memberi jaminan kadar baru cukai pintu tidak akan dinaikkan secara mendadak.


~ HM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI