Pelakon veteran Ahmad Busu meninggal dunia akibat strok

Monday, November 11, 2013

Pelakon dan pelawak veteran Ahmad Busu (gambar), 60, yang lebih dikenali dengan watak Mat Deris dalam sitkom 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' meninggal dunia akibat strok di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, awal malam tadi.

Beliau yang menghidap diabetes sejak 20 tahun lalu, sebelum ini dilaporkan terkena serangan strok dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum dirawat di HTAR hingga menghembuskan nafas terakhir jam 8 malam tadi.

Rakan karib Allahyarham, Abdul Rahim Muda, atau Imuda, 53, berkata, dia terkilan kerana tidak sempat bertemu Allahyarham.

"Saya sangat terkejut apabila dimaklumkan mengenai berita sedih ini daripada seorang rakan kami. Malangnya, saya di Pulau Pinang.

"Kali terakhir saya berjumpa arwah kira-kira dua bulan lalu ketika majlis perkahwinan anak bongsu Allahyarham Zami Ismail iaitu Ayu.

"Memang lebih 10 tahun lamanya arwah Ahmad Busu menghidap kencing manis dan sentiasa mendapat rawatan di hospital," katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Seri Mohamad serta empat anak, Nur Hamizah, 24; Mohd Afiq, 23; Muhammad Luqman, 16, dan Nur Hanis, 5.

Jenazah arwah akan dibawa pulang ke kediamannya di Taman Sri Andalas di Klang dan dikebumikan selepas Zuhur hari ini.

Ahmad sering digandingkan dengan Imuda yang memegang watak Budin dalam siri komedi popular pada 1980-an hingga 1990-an itu yang mengisahkan kehidupan masyarakat berbilang kaum di Kampung Seri Wangi.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI