Tabung Sumbangan Wang Awam Sekolah (TSUWA) bukan cari untung

Thursday, November 21, 2013

Tabung Sumbangan Wang Awam Sekolah (TSUWA) ditubuhkan khusus untuk pembelajaran dan pengajaran pelajar, bukan bertujuan mencari keuntungan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, matlamat penubuhan tabung itu amat jelas seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan iaitu semata-mata bagi amanah pendidikan dan bukan untuk mencari keuntungan selaras peruntukan perenggan 44(7)(aa) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

"Selaras dengan fokus kerajaan untuk meringankan perbelanjaan, menambahbaik kemudahan sekolah yang tidak berorientasikan keuntungan, peruntukan ACP 1967 dipinda untuk melayakkan TSUWA mendapat kelulusan di bawah sub seksyen 44(6) ACP 1967.

"Sekolah yang layak memohon mestilah berdaftar dengan Kementerian Pendidikan atau Majlis Agama Islam Negeri atau Jabatan Agama Islam Negeri," katanya dalam jawapan bertulis kepada Datuk Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam), semalam.

Kelulusan ikut program

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kelulusan hanya diberi berdasarkan sesuatu program yang diluluskan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan.

"Dalam Bajet 2012, kerajaan mengumumkan institusi pendidikan rendah dan menengah berdaftar termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah misionari dan sekolah agama menerima sumbangan kewangan syarikat persendirian atau individu.

"Justeru, bagi menggalakkan orang ramai terus menyumbang kepada sekolah berkenaan sumbangan seumpama itu diberi potongan cukai," katanya.

Ka Siong ingin tahu mengenai jumlah pengecualian cukai terhadap sumbangan orang awam yang dikemukakan Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan pertubuhan agama serta rumah berhala yang diluluskan.

Katanya, sejak 2012 hingga Oktober lalu, sebanyak enam permohonan masing-masing lima daripada Lembaga Pengelola Sekolah SJKC dan satu daripada SMPC diterima.

"Bagi Tabung Pengurusan Rumah Ibadat (TPRI) pula, sebanyak 64 permohonan diterima dan daripada jumlah itu, 13 permohonan sudah diluluskan," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI