Perjuangan martabat bahasa Melayu: Audit bahasa beri kesedaran masyarakat

Wednesday, November 27, 2013

Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa setanding dengan bahasa utama dunia bukan sesuatu yang mudah. Cabaran ketidakyakinan, pandangan sinis terhadap keupayaan bahasa Melayu pastinya ada. Walaupun negara ini mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun iaitu setengah abad lamanya, isu bahasa Melayu ini masih lagi lunak kedengaran.

Kita mempunyai masalah pada diri. Kita masih lagi terbelenggu dengan sikap dan masalah untuk sayang pada bahasa sendiri. Bahasa Melayu umpama mengemis di bumi sendiri. Minta disayang dan ditatang, tetapi beberapa ramaikah yang sudi? Mengharapkan ahli politik membantu, saya tidak yakin seratus peratus.

Perjuangan martabat bahasa Melayu

Saya ingin menekankan di sini bahawa perjuangan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja melibatkan orang Melayu semata-mata, tetapi melibatkan semua kaum di Malaysia ini. Saya berbangga ramai masyarakat bukan Melayu terus tegar memperjuangkan bahasa Melayu. Bukan bermakna mereka yang bukan Melayu ini lebih hebat memperjuangkan bahasa Melayu telah dimelayukan oleh kaum Melayu. Mereka tetap berbangsa Cina, mereka juga tetap berbangsa India atau seumpamanya, hati mereka telah tersemat dan berazam untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan negara tanpa meminggirkan bahasa ibunda masing-masing.

Angka 50 tahun pada perkiraan matematik sudah cukup lama, usaha untuk membangun serta mengembangkan bahasa Melayu. Setengah abad lamanya bahasa Melayu cuba diangkat kembali selepas jatuh tersungkur dek kerana penangan bahasa penjajah. Adakah kita gagal dalam usaha mengangkat kembali bahasa Melayu dan meletakkannya pada kedudukan sebenarnya? Bagi pandangan saya, kita tidak gagal dalam usaha ini, tetapi kejayaan kita hanya separuh masak, belum lagi boleh dikatakan jitu.

Malah, bahasa Melayu yang sering dihimpit dan dipandang sinis sesetengah pihak sebagai bahasa yang tidak berdaya maju, tidak mampu dikomersialkan dan bahasa yang bersifat kekampungan bukanlah sesuatu yang baharu. Stereotaip ini sering kita dengar sejak dahulu lagi dan khabar-khabar sinis ini akan terus berkumandang dari semasa ke semasa.

Cabaran martabat bahasa

Bagi seorang pejuang bahasa, 'alah biasa tegal biasa.' Halang, cabaran untuk memaju dan memartabatkan bahasa Melayu sememangnya ada dan perlu ditempuh dengan hati yang sabar serta penuh kebijaksanaan intelektual dan bukannya emosi semata-mata. Nadi perjuangan bahasa Melayu letaknya pada kekuatan ilmu pengetahuan. Perjuangan yang hanya berbekalkan semangat semata-mata tanpa disertai ilmu pengetahuan yang tinggi bagai 'tin kosong' yang tiada manfaatnya.

Di samping itu, laporan audit bahasa yang diumumkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini, yang memperlihatkan kepada kita mutu penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi jabatan kerajaan masih belum mencapai tahap memuaskan. Belum lagi audit bahasa ini dijalankan dalam sektor swasta. Bagaimana pula agaknya mutu penggunaan bahasa Melayu dalam sektor terbabit?

Audit bahasa yang dilaksanakan DBP ini pada pandangan saya adalah baik kerana ia memberi kesedaran kepada kita terutama penjawat awam akan kepentingan penggunaan bahasa Melayu dengan betul. Selama ini kita tidak mengambil berat soal penggunaan bahasa Melayu dengan betul terutama hal-hal berkaitan surat-menyurat dan dokumen rasmi. Dengan adanya audit bahasa ini diharapkan penjawat awam lebih peka dalam soal penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi kerajaan. Langkah DBP melaksanakan audit bahasa ini bukan berniat menghukum mana-mana agensi yang kurang peka dalam soal penggunaan bahasa Melayu, tetapi lebih kepada kaedah menegur dan membetulkan mana-mana dikira perlu.

Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong
Penolong Pegawai Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak


0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI