PAS Pulau Pinang berkeras lepas jawatan

Thursday, November 21, 2013

PAS Pulau Pinang berkeras lepas jawatan

Georgetown: Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Mohd Salleh Man menegaskan pihaknya tetap dengan pendirian mereka dalam tuntutan yang dikemukakan kepada kerajaan negeri pimpinan DAP, kelmarin, termasuk melepaskan semua jawatan dalam pentadbiran negeri.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) berkata, apa yang dikemukakan adalah hasil mesyuarat PAS negeri di semua peringkat dalam menentukan hala tuju parti di negeri ini.

"Namun, ingin saya tegaskan bahawa saya menyangkal dakwaan bahawa DAP yang campur tangan dalam hal ehwal berkaitan Islam seperti yang dilaporkan media tertentu.

"Kami (PAS negeri) tidak menentang DAP negeri mahupun Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana mereka tidak pernah mencampuri urusan agama Islam tetapi yang campur tangan adalah pihak tertentu dalam pentadbiran negeri," katanya yang ditemui sebelum sidang media Ketua Menteri di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, semalam.

Kelmarin, PAS negeri mengancam mahu melepaskan semua jawatannya dalam kerajaan negeri sekiranya empat tuntutan parti terbabit tidak dilayan secara serius dan dipinggirkan dalam pentadbiran.

Timbalan Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusoff, berkata pihaknya menentang campur tangan EXCO dalam semua urusan MAIPP, mahu lebih ramai ahlinya dilantik sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan.

Malah, PAS negeri mahu diberi kuasa penuh melantik ahli jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) dan kuota kepada ahli parti terbabit untuk mengisi jawatan lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri itu.

Bincang semua aspek

Mohd Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, berkata pihaknya mahu pertemuan antara kepemimpinan parti negeri diadakan lebih kerap bagi membincangkan semua aspek.

"Kita akui, memang ada pertemuan tetapi ia hanya sekali setahun dan ini menyukarkan kerjasama dalam memperkukuhkan kerjasama dan persefahaman," katanya.

Sementara itu, Guan Eng menyifatkan media massa cuba manipulasi dan membuat fitnah jahat dengan mengatakan DAP campur tangan hal ehwal Islam.

Katanya, DAP selama ini tidak pernah campur tangan hal urusan agama Islam dan masalah yang timbul akan diselesaikan pihak terbabit dengan cara perbincangan.

"Saya sudah minta PAS dan PKR bincang mengenai isu ini. Mohd Salleh serta Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan EXCO negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim masing-masing dari PKR bersetuju untuk melakukan mesyuarat tertutup bagi menyelesaikannya," katanya.

Sepanjang sidang media terbabit, Guan Eng dilihat cuba menutup perselisihan yang berlaku di antara PAS dan PKR dengan mengarahkan kedua-dua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan beredar secara tergesa-gesa apabila diajukan soalan oleh wartawan.

~ BH

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI