Remaja lesap di Villa Nabila

Tuesday, November 19, 2013

Villa Nabila, villa misteri

Seorang remaja berusia 16 tahun dipercayai hilang selepas didakwa masuk ke dalam banglo tinggal di Jalan Skudai, dekat sini bersama kira-kira 30 remaja lain, malam kelmarin.

Desas-desus bahawa banglo lebih dikenali sebagai Villa Nabila yang terbiar sejak 40 tahun lalu itu masih mempunyai `penghuni', diperkuatkan lagi dengan dakwaan sesetengah remaja berkenaan turut diserang histeria.
Villa Nabila

Ibu remaja yang hilang itu, Norhayati Mohamad, 38, Mohamad Izzat Izzudin Hussin tidak pulang ke rumah di Kampung Datuk Hajah Hasnah, Majidee, selepas keluar jam 3.30 petang Sabtu lalu.

"Apabila dia tidak pulang ke rumah jam 6 pagi esoknya (Ahad), saya menghubungi rakannya sebelum dimaklumkan kali terakhir mereka melihat Izzat di villa berkenaan. Dia seorang yang lurus, tidak pandai menipu dan mudah berkawan.

"Biasanya apabila keluar rumah, dia akan pulang, tetapi ini paling lama dia keluar dan tidak pulang," katanya sambil mendakwa Izzat dikatakan memasuki kawasan villa itu bersama sekumpulan rakan, tetapi semua rakannya pulang ke rumah.

Dianggap lokasi berhantu

Villa Nabila menjadi tumpuan orang ramai setiap malam minggu, sama ada sekadar meninjau atau merakam video suasana dalam banglo terbiar itu.

Premis berhampiran Teluk Danga itu disenaraikan antara lokasi berhantu oleh `Expedia', portal pelancongan berpangkalan di Amerika Syarikat.

Antara versi cerita yang dikaitkan ialah kes pembunuhan keluarga yang tinggal di banglo terbabit.

Ada juga versi mendakwa anak penghuni banglo berkenaan bernama Nabila, dibunuh dan mayatnya disimen di dinding premis berkenaan.

Sementara itu, seorang daripada 30 remaja yang masuk ke banglo itu, Megat Irfan Abdullah Shariman, 16, berkata selepas beberapa remaja histeria, mereka keluar dari kawasan banglo usang berkenaan ke masjid berhampiran untuk mendapatkan bantuan.

"Selepas ke masjid, tiga remaja memberitahu mahu ke villa itu semula, tapi yang lain tak berani.

"Saya terus beredar dari kawasan itu dan tak tahu sama ada tiga remaja berkenaan benar-benar ke villa itu semula," katanya.

Susulan hebahan berita kehilangan 23 remaja di kawasan itu menerusi laman sosial, sekitar kawasan banglo berkenaan dipenuhi orang ramai seawal jam 8 pagi semalam. ~ BH

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI