Cheras Sentral Mall dibuka semula

Wednesday, November 27, 2013

Cheras Sentral Mall yang dulunya dikenali sebagai Plaza Phoenix akan mula dibuka kepada orang ramai bermula Disember ini selepas menjalani kerja pengubahsuaian membabitkan kos sebanyak RM130 juta.

Pengarah Eksekutif Mayland Properties Sdn Bhd, Pel Loh berkata pusat beli belah berkenaan menampilkan wajah baru dengan konsep yang lebih moden dan canggih setanding dengan pusat membeli belah kosmopolitan yang lain.

"Kerja pengubahsuaian yang dijalankan membabitkan pembaikan dalam aspek akses trafik di dalam dan luar pusat beli belah berkenaan.

Ikon peruncitan

"Dengan pembukaannya, kami yakin Cheras Sentral Mall yang terletak di Lebuh raya Cheras-Kajang akan menjadi ikon peruncitan baru bagi 1.5 juta penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Cheras dan selatan Lembah Klang," kata nya pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci kepada penyewa di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Mayland Group, G.T Low serta Pengurus Cheras Sentral Mall, Amos Chew.

Loh berkata, pusat beli belah berkenaan menawarkan kawasan yang boleh disewa seluas 380,000 kaki persegi dengan hampir 100 penyewa terdiri daripada jenama tempatan dan antarabangsa yang terkemuka akan membuka cawangan di situ.

Jenama fesyen


"Antara jenama fesyen antarabangsa yang bakal membuka cawangan di pusat membeli belah itu termasuk Uniqlo, Cotton On, G2000, Headline Seoul serta East India Company.

"Selain jenama fesyen, Cheras Sentral Mall turut menempatkan pelbagai penyewa lain seperti Jaya Grocer, Celebrity Fitness, Moon Palace Restaurant dan TGV Cinema," katanya.

Cheras Sentral Mall juga menawarkan pelbagai pilihan cawangan kedai makan dan minuman seperti The Loaf, Starbucks, Sushi Tei, Boost Juice dan Chatime.

"Dengan aliran trafik yang selesa, Cheras Sentral Mall akan menjadi pilihan pengunjung yang mahu membeli belah dan meluangkan masa dengan keluarga dalam keadaan yang santai," kata Loh.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI