Pasangan Alvivi gagal batal pertuduhan

Thursday, November 21, 2013

Pasangan Alvivi gagal batal pertuduhan  

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee untuk membatalkan satu daripada tiga pertuduhan mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan.

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas berpendapat permohonan itu tidak mempunyai merit.

Dalam penghakimannya, beliau berkata pertuduhan terhadap pasangan itu mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan adalah sah, teratur dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Sepintas lalu membaca peruntukan di bawah Seksyen 298A(1)(a), mahkamah mendapati amat jelas, sejelas gelas kristal, bahawa peruntukan itu langsung tidak menyebut secara khusus bahawa ia ditujukan khas kepada penganut beragama Islam tetapi terpakai kepada penganut agama atau kepercayaan yang lain juga," katanya.

Pada 21 Ogos lepas, Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, memfailkan permohonan bagi membatalkan pertuduhan terhadap mereka berkaitan satu kandungan gambar dan komen bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!)' yang dimuat naik ke laman Facebook.

Mereka memohon deklarasi bahawa Seksyen 298A(1)(a) tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mereka dan jika pertuduhan itu sah di sisi undang-undang, ia hanya terpakai kepada orang Islam.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa memuat naik satu kandungan gambar serta komen beserta logo halal, yang mungkin menyebabkan perasaan permusuhan dalam kalangan penganut agama berlainan, di CAF-Syed Restaurant Jalan Dang Wangi di sini antara 11 dan 12 Julai lepas.

Mereka juga didakwa memuat naik satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian-Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang sama pada tarikh sama di Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini mengikut Akta Hasutan 1948.

Mereka turut berdepan pertuduhan mempamer gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama antara 6 dan 7 Julai lepas mengikut Akta Penapisan Filem 2002.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Alvin dan Vivian sekali lagi memohon maaf atas perbuatan mereka dan berjanji tidak akan mengulanginya manakala peguam Chong Joo Tian, yang mewakili pasangan itu, berkata pihaknya akan memfailkan rayuan dan mengemukakan representasi kepada Peguam Negara.

Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 5 dan 6 Dis sebagai tarikh perbicaran kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Haffiza Jemali.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI