Isu K-Pop: Shabery menteri pertama hadir PAC

Wednesday, November 20, 2013

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan menjadi menteri yang pertama memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang akan diadakan esok.
       
Ahmad Shabery berkata, kehadiran beliau adalah bagi memberikan penjelasan mengenai isu bayaran untuk persembahan artis K.Pop dalam acara Hari Belia Negara 2012 yang ditimbulkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2012.
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

Beliau ketika itu ialah Menteri Belia dan Sukan.

"Saya sendiri telah menawarkan diri kepada PAC untuk hadir memberikan penjelasan.

"Saya telahpun bersedia untuk menjelaskan kepada mereka isu-isu yang dibangkitkan berkaitan isu K-POP dalam Laporan Ketua Audit Negara itu," katanya di sini, hari ini.

Bernama difahamkan Ahmad Shabery ialah menteri pertama yang menawarkan diri untuk memberikan penjelasan kepada PAC.

PAC yang bersidang esok akan memanggil Kementerian Belia dan Sukan bagi menjelaskan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Jawatankuasa itu akan mula bersidang pada 10.30 pagi.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012, Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM2.94 juta untuk Hari Belia Negara 2012, termasuk RM1.6 juta untuk bayaran artis K-Pop dari Korea sempena Himpunan Jutaan Belia 2012. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI