Ubah persepsi terhadap subjek Sains Pertanian

Thursday, November 21, 2013

Mata pelajaran Sains Pertanian yang ditawarkan kepada murid tingkatan empat sewajarnya tidak dipandang sebagai subjek pilihan kepada pelajar yang kurang pandai sebaliknya perlu dipertingkatkan sebagai subjek yang mempunyai masa depan.

Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Zakaria Kasa, berkata misi utama subjek itu diperkenalkan ialah untuk menyemai minat pelajar dalam bidang pertanian sejak di bangku sekolah, namun usaha itu sukar kerana wujud persepsi negatif terhadap bidang itu.

"Satu daripada faktornya ialah anggapan salah pihak pengurusan sekolah yang berpendapat subjek itu hanya untuk pelajar kurang pandai kerana hanya memerlukan tenaga untuk bercucuk tanam selain petani dianggap sebagai golongan berpendapatan rendah dan menghadapi kesukaran hidup.

Mirip sains tulen

"Persepsi ini perlu dikikis kerana kandungan mata pelajaran ini mirip kepada subjek Biologi dan sedikit Kimia, Fizik dan Matematik. Hal ini menunjukkan Sains Pertanian ialah subjek Sains dan memerlukan golongan pelajar yang pandai untuk mengikutinya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kertas kerja bertajuk Pendidikan Asas Dalam Masyarakat Tani Di Malaysia pada Forum Ikatan Profesor Indonesia-Malaysia (IPIMA) 2013 di Bogor, Indonesia barubaru ini.

Zakaria yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, pelaksanaan mata pelajaran ini juga lebih menumpukan soal teori apabila pelajar lebih banyak menghafal fakta daripada menjalani amali di ladang atau aktiviti berkaitan pertanian.

Perlu latihan amali

"Hanya sekolah di luar bandar yang mempunyai sedikit kawasan melakukan amali dengan mengusahakan tanaman dan ternakan sedangkan pembelajaran melalui pengalaman membolehkan mereka memahami hubung kait antara tanaman, serangga dan penyakit," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan ketiadaan kejayaan aktiviti pertanian yang diusahakan pihak sekolah untuk dijadikan contoh kepada pelajar menjadi antara faktor subjek Sains Pertanian tidak mendapat sambutan di sekolah.

Namun katanya, penawaran kursus pertanian di Kolej Vokasional Pertanian dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sedikit sebanyak membantu usaha melahirkan graduan pertanian yang diperlukan negara.

~ bh

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI