Wanita habis pantang diterajang suami warga Mesir

Wednesday, November 27, 2013

Wanita habis pantang diterajang suami warga Mesir

Kuala Lumpur: Seorang wanita yang baru habis pantang bukan saja disepak dan diterajang suaminya, malah lelaki warga Mesir itu turut mengugut membunuh dua anak mereka yang berusia setahun sembilan bulan dan 90 hari.

Difahamkan, mangsa berusia 40 tahun itu berkahwin dengan lelaki warga Mesir itu tiga tahun lalu selepas mangsa berkenalan sebagai rakan perniagaan mengimport makanan dari Arab.

Sumber polis berkata, mangsa juga dipaksa melabur RM400,000 dalam syarikat lelaki berkenaan sebelum mereka berkahwin.

Katanya, suami mangsa melayannya dengan baik hingga pasangan itu mendapat anak pertama dan selepas itu mangsa sering didera lelaki berkenaan dari segi fizikal dan mental.

"Mangsa sering dipaksa bekerja daripada jam 8 pagi hingga 7 malam kerana ingin mengurangkan kos pekerja dan jika mangsa gagal menyiapkan pekerjaan seperti yang diarahkan lelaki Mesir itu, dia digelar pelacur dan anak anjing.

"Tidak cukup dengan itu, lelaki itu juga akan membelasah mangsa tanpa belas kasihan meskipun mangsa masih berpantang," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam kelmarin ketika mangsa berada di pejabat, suspek memarahi mangsa berikutan mesin pencetak di pejabat mereka kehabisan dakwat.

Katanya, mangsa ditampar dan ditendang dan suspek mengugut akan membunuh anak sulung mereka apabila mangsa menyatakan hendak pulang ke rumah ibu bapanya.

"Mangsa yang baru lepas pantang itu juga mengalami masalah anemia dan tekanan darah tinggi akibat penderaan suaminya itu dan akibat keletihan, mangsa tertidur hingga suaminya pulang kira-kira jam 2.30 pagi," katanya.

Sumber berkata, suspek cuba menerkam kedua-dua anak mangsa yang sedang tidur dan apabila mangsa cuba menghalang tindakannya, dia dibelasah hingga pengsan.

Selepas mangsa tersedar keesokannya kira-kira jam 10 pagi, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Setapak untuk tindakan lanjut. ~ HM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI