Perigi sunyi port maksiat

Friday, October 11, 2013

Jasin: Menjijikkan apabila ada pasangan remaja dikesan menjadikan kawasan sunyi di perigi Portugis di Pengkalan Samak, Merlimau, di sini, sebagai lokasi melakukan perbuatan tidak bermoral.

Selain menjadi tempat budak sekolah melepak, beberapa kawasan terlindung di kawasan itu dipercayai menjadi lokasi individu meneguk arak dan selain gejala tidak bermoral dilakukan remaja.

Penduduk mahu dikenali sebagai Lina, 28, berkata, perbuatan itu sudah berlarutan sejak setahun lalu dan ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

"Saya sudah tidak tahan melihat kejadian ini berlaku di kawasan kampung kami yang kebanyakannya membabitkan remaja.

"Boleh dikatakan hampir setiap kawasan itu menjadi tumpuan untuk melepak, minum arak dan maksiat," katanya ketika ditemui di kawasan itu, baru-baru ini.

Lina berkata, biasanya kawasan itu akan dikunjungi sekumpulan pelajar yang akan menghabiskan masa melepak sehingga waktu tengah hari.

Menurutnya, kawasan perigi yang terletak kira-kira 500 meter dari jalan besar dan agak terlindung dari pandangan ini menjadi lokasi golongan itu melakukan pelbagai perbuatan tidak bermoral.

"Selain pelajar, kawasan ini sering didatangi mereka yang menaiki kereta dan motosikal pada lewat tengah malam dipercayai untuk melakukan kegiatan maksiat," katanya yang berharap pihak berkaitan mengambil langkah sewajarnya bagi menangani masalah itu.

Penduduk dikenali sebagai Fatimah, 38, berkata, selain menjadi lokasi kegiatan tidak bermoral, remaja yang datang ke kawasan itu gemar membuang botol minuman keras di merata tempat.

"Perigi Portugis ini menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara pada hujung minggu. Kunjungan mereka bagaimanapun disajikan dengan persekitaran yang kotor kerana tidak dijaga dengan baik.

"Selain menjadi lokasi golongan muda melakukan kegiatan tidak bermoral, kawasan perigi yang tidak berpagar itu turut diceroboh binatang ternakan termasuk lembu, sekali gus mengotorkan persekitaran," katanya.

Menurutnya, pihak berkaitan perlu bertindak supaya kawasan itu tidak terus menjadi lokasi kegiatan tidak bermoral pada masa depan.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Rahimin Bani berkata, pihaknya akan menjadikan kawasan itu sebagai lokasi wajib untuk rondaan sama ada pada siang atau malam bagi mengekang kegiatan tidak bermoral.

"Kita khuatir jika dibiarkan berterusan akan mengundang kejadian lebih buruk seperti jenayah rogol, samun minum arak dan sebagainya," katanya.

~ HM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI