Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bawa keuntungan

Thursday, October 03, 2013

Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang diwujudkan kerajaan tidak akan membunuh peruncit kecil sebaliknya membawa keuntungan kepada semua pihak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, setiap barangan yang dijual di kedai itu adalah 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Sehubungan itu, kata beliau, peruncit boleh mendapatkan bekalan di KR1M untuk dijual semula di kedai masing-masing dan masih mendapat keuntungan.

"Kita buat KR1M bukan hendak membunuh kedai-kedai di kampung, mereka boleh membeli barang di sini dengan harga 20 sehingga 30 peratus lebih murah dan menjualnya di kampung masing-masing dengan mendapat keuntungan.

"Kedai ini akan memberi keuntungan kepada semua pihak, rakyat, pemilik KR1M dan peniaga kecil pun untung," katanya kepada pemberita selepas merasmikan KR1M Ayer Lanas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Mohd. Adhan Kechik dan ADUN Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid.

KR1M di sini adalah yang ketiga di negeri ini dengan dua buah lagi iaitu di Pasir Mas dan Bachok dalam proses pembukaan.

Hasan berkata, sebanyak 100 buah KR1M diwujudkan di seluruh negara sehingga kini dan kerajaan menyasar mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah kedai tersebut di setiap Parlimen.

"Di Semenanjung semuanya berjalan baik cuma di Sabah dan Sarawak agak perlahan kerana masalah kawasan yang tidak strategik disebabkan bentuk muka buminya.

"Dalam masa sama, kita juga akan membantu peruncit di kampung-kampung dengan Projek Transformasi Kedai Runcit (Tukar) bagi memastikan mereka boleh menjalankan perniagaan dengan lebih baik dan kemas," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penyeludupan barangan subsidi ke negara jiran, beliau berkata, satu makmal yang disertai pihaknya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, polis, tentera dan kastam ditubuhkan bagi mengkaji masalah tersebut.

"Makmal ini disertai beberapa agensi dan kementerian bagi mencari kaedah terbaik untuk memastikan supaya barangan bersubsidi ini tidak diseludup ke negara jiran.

"Antara cadangan yang diperhalusi makmal ini ialah mewujudkan kuota bagi setiap stesen minyak di kawasan berhampiran sempadan supaya bahan api bersubsidi tidak diseludup keluar yang akan merugikan negara dan rakyat," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI