Kekasih muda tak ikhlas

Monday, October 07, 2013

Kekasih muda tak ikhlas

Kawan perempuan saya berusia 37 tahun dan belum berkahwin berbanding rakan sebaya lain ramai yang sudah berkeluarga.

Tiga bulan lalu dia mengenali lelaki berusia awal 20-an dan dia begitu ceria. Namun saya kurang senang mengenai hubungannya dengan teman lelaki itu.

Dia seperti dipergunakan kerana teman lelaki itu pinjam duit daripadanya. Saya mengetahuinya apabila terbaca SMS pada telefonnya.

Meskipun pinjaman sekadar RM200 saja, saya melihat lelaki berkenaan tidak ikhlas dan cuba mengambil kesempatan daripada kebaikan rakan saya.

Sedangkan komitmen rakan saya cukup besar iaitu menanggung ansuran rumah didiami keluarga, menanggung ibunya yang sudah uzur serta adik bongsu yang masih belajar.

Biarpun dia mempunyai dua adik lelaki sudah bekerja dan berkeluarga, mereka tidak mampu menampung keperluan perubatan ibu yang tua. Saya geram tetapi tidak sampai hati untuk menegur sikap 'murah hati' kerana dia sayangkan lelaki itu.

Perlukah saya menegur sikapnya yang murah hati itu kerana takut dia ditipu teman lelaki muda darinya?

---------------

 Seorang teman baik tidak akan berkompromi terhadap benda buruk terjadi kepada rakannya. Oleh itu bercakap benar terhadap teman saudari meskipun menyedari ada hati akan terluka. Ia lebih baik daripada saudari terus memerhati rakan menjadi mangsa kepada sikap ambil kesempatan teman lelakinya.

Jika saudari bertindak awal, setidak-tidaknya saudari boleh memberi ingatan kepada rakan berkenaan. Maklumlah kadangkala disebabkan panahan cinta, seseorang itu sukar membuat pertimbangan rasional serta memerlukan panduan.

Di sini melihat peranan saudari memberi nasihat kepada rakan agar tidak terjerumus menjadi mangsa kaki kikis kepada teman barunya. Meskipun rakan saudari itu terluka, ia tidak akan parah kerana saudari sudah mencegah terlebih dulu. Ia hanya sebagai langkah berjaga-jaga dan bukannya atas niat untuk mengkhianati rakan.

Namun perlu diingatkan, pendekatan serta cara saudari menegur perlulah berhemah dan lembut. Gunakan nada serta perkataan sesuai agar nasihat itu boleh terima. Selitkan elemen emosi yang mana saudari berasa bimbang dan kecewa apabila melihatnya berada dalam kesusahan.

Sekurang-kurangnya saudari boleh 'jentik' perasaan curiga. Ia boleh menjadi perisai kepada perasaan kasih serta sayang keterlaluan terhadap teman lelakinya itu. ~ Metro Ahad

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI