Malaysia pelabur asing terbesar Kanada

Monday, October 07, 2013

Malaysia muncul sebagai pelabur asing terbesar di Kanada berikutan keputusan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) melabur sebanyak RM111 bilion (CAD$36 bilion) dalam projek gas cecair asli (LNG) di negara tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaburan tersebut membabitkan pembinaan loji dengan pelbagai kemudahan berkaitan projek LNG termasuk saluran paip ke loji terbabit.

"Saya dimaklumkan inilah jumlah pelaburan langsung asing (FDI) terbesar di Kanada dan sudah pasti, keputusan Petronas itu menjadi mercu tanda yang penting buat negara.

"Malah, keputusan itu turut berasaskan keyakinan dan maklum balas positif daripada kerajaan Kanada yang begitu mengalu-alukan kemasukan pelaburan asing ke negara terbabit," katanya.

Najib berkata demikian dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatannya dari Kanada, Stephen Harper selepas mengadakan mesyuarat dua hala di sini hari ini.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Pengisytiharan Niat Perjanjian Baru Bagi Pengelakan Pencukaian Dua Kali dan Pencegahan Pelarian Fiskal antara Malaysia-Kanada.

Bagi majlis itu, Malaysia diwakili Menteri Luar, Datuk Datuk Seri Anifah Aman dan rakan sejawatannya dari Kanada, John Baird.

Harper tiba di Malaysia Jumaat lalu untuk lawatan kerja tiga hari sebelum berlepas ke Bali, Indonesia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2013.

Najib berkata, beliau percaya projek Petronas dalam bidang LNG itu akan memberi keuntungan kepada kedua-dua negara.

Beliau menambah, projek itu bukan hanya membuka pasaran baharu untuk Kanada khususnya di Asia Tenggara tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negara tersebut kerana kontrak pembinaan saluran paip gas LNG berkenaan diberikan kepada syarikat Kanada.

"Sebab itulah kami percaya FDI memberi faedah bersama dan dalam kes Malaysia, kami amat menggalakkan kemasukan FDI ke negara ini," katanya.

Sementara itu, Harper berkata, Kanada akan memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam bidang keselamatan, perdagangan dan pelaburan.

"Saya melihat potensi kerjasama keselamatan itu semasa lawatan kerja ke Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam dan serentak itu, satu kontrak komersial antara OSI Maritim Sistem Ltd. dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditandatangani hari ini.

"Dalam kerjasama perdagangan dan pelaburan pula, hubungan dua hala antara kedua-dua negara telah berkembang dengan baik sejak Malaysia dan Kanada menjalin hubungan diplomatik pada 1957," katanya.

~ Utusan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI