Amalan Membaca: Minat membaca fikiran berisi

Friday, October 25, 2013

Membaca Adalah Seni

Dalam kehidupan membaca adalah seni. Seni membaca memerlukan kefahaman, ketelitian dan menyumbang kepada keseronokan. Jika ketiga-tiga gabungan ini dapat dimanfaatkan seseorang itu akan membaca dengan tekun dan berterusan. Mereka yang minat membaca akan berminat untuk menjadi penulis dan pemikir.

Tahap dan minat membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini masih rendah berbanding dengan negara maju seperti Jepun dan Korea. Justeru, beberapa langkah perlu dilakukan bagi menyuburkan kembali minat membaca dalam masyarakat.

Menurut pandangan Francis Bacon, membaca menjadikan seseorang berisi, berunding menjadikan dia siap, menulis menjadikan dia saksama. Oleh itu, jika seseorang itu sentiasa membaca tentulah akal fikirannya berisi, percakapannya berisi dan apa yang dilakukannya sentiasa dipertimbangkan.

Lantaran itu, kadar membaca buku rakyat Malaysia meningkat kepada lapan buku dalam setahun pada 2010 lalu berbanding dua buku pada tahun 1996. Timbalan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Siti Rodziah Othman menyatakan jumlah itu dijangka terus meningkat jika amalan membaca dibudayakan dalam masyarakat dengan sungguh-sungguh.

Menurutnya, jumlah buku dibaca setiap tahun itu diharap bertambah pada tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat dengan menyediakan peluang membaca dan berkarya yang lebih luas dalam kalangan generasi muda.

Aktiviti galakan membaca

Antara faktor yang membantu meningkatkan minat membaca, termasuk pertumbuhan rangkaian perpustakaan yang menyediakan program dan aktiviti galakan membaca yang terancang. Tidak hairanlah ada kalangan pembaca, khususnya wanita memperuntukkan wang setiap bulan untuk membeli novel terbaru di pasaran.

Pertambahan penerbitan buku yang pelbagai dan berkualiti serta sesuai dengan kehendak semasa turut mendorong minat membaca. Dengan meningkatnya minat membaca akan membentuk masyarakat berilmu yang mempunyai nilai murni serta bertamadun.

Menyedari hakikat ini, kempen membaca wajar digerakkan semula di peringkat sekolah, pusat pengajian tinggi dan juga dalam kalangan masyarakat. Membaca akhbar, majalah dan buku mestilah dijadikan rutin dalam kehidupan seharian. Kini buku baru yang diterbitkan juga dipromosikan di media baru bagi menarik kalangan pembaca membeli dan membacanya.

Kempen membaca ini mestilah membabitkan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penerbit buku, penerbitan akhbar dan pihak swasta.

Diharapkan menjelang 2014 rakyat Malaysia akan membaca sepuluh buku atau lebih dalam setahun. Begitu juga golongan muda mestilah dipupuk bagi membaca akhbar untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran serta ilmu pengetahuan lain bagi menuju negara maju berpendapatan tinggi.

Buku agama, novel remaja

Pemerhatian penulis terhadap industri buku, khususnya buku bercorak agama dan novel remaja menjadi pilihan pembaca. Kalangan pembaca, khususnya pembaca setia wanita remaja melariskan penjualan novel dan juga buku seumpama ini.

Selain itu, perkembangan ini merancakkan dunia sastera dan industri pembukuan dan penerbitan. Kalangan penerbit berlumba-lumba menerbitkan novel remaja yang menjadi kegemaran pembaca yang menyentuh soal cinta, kasih sayang, keluarga, masyarakat dan kehidupan sebenar masa kini. Pemupukan dan minat membaca ini berjalan secara senyap dan bermanfaat.

Pemupukan ini sebenarnya berlaku sejak sepuluh tahun dulu melalui pengenalan Komponen Sastera (Komsas) dalam Bahasa Melayu. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) jelas berjaya melahirkan individu yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi.

Penerusan minat membaca ini dibawa dalam kehidupan seharian mereka sebagai hobi, pengisi masa lapang dan melahirkan remaja berfikiran kritis dan kreatif, bahkan juga dapat membina budaya mengkaji, menyelidik dan mencipta yang kemudiannya akan melahirkan penulis generasi baru yang prolifik dan produktif yang dapat menyumbang dalam perkembangan sastera tanah air.

Memetik kata dan pandangan William Shakespeare, "ku puji yang dapat membaca dan selalu mengingat apa yang dibacanya, tetapi lebih ku puji lagi orang yang mengerti maksud apa yang dibacanya".

Oleh Dr Aminudin Mansor
Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu, UKM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI