TASKA di tempat kerja

Tuesday, October 08, 2013

TASKA di tempat kerja

Ramai ibu bapa berkerjaya dibelenggu masalah untuk memilih pusat penjagaan kanak-kanak atau taman asuhan (TASKA) yang terbaik dan memuaskan hati.

Bukan semua wanita berkerjaya sanggup berhenti atas alasan kekangan ekonomi keluarga. Justeru, apabila sebilangan syarikat swasta dan awam menyediakan TASKA di tempat kerja, ia dianggap satu rahmat kepada ibu bapa untuk meletakkan anak di situ.

Bagi anak menyusu, tidak ada masalah kerana ibu boleh menyusu dan menjenguk seketika pada waktu rehat, kemudian mengambilnya selepas habis waktu pejabat. Yang penting, ibu bapa berasa lebih selesa dan selamat anak ditinggalkan di situ kerana dekat dengan mereka.

Sebelum ini, Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang menjadi penaung Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak (PERMATA) juga pernah mengadakan seminar bertemakan `1 TASKA 1 Tempat Kerja' pada 2011 bagi menggalakkan syarikat swasta dan agensi kerajaan menubuhkan TASKA di tempat kerja.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula menggesa lebih banyak TASKA di tempat kerja ditubuhkan bagi memberi peluang kepada lebih ramai wanita meneruskan kerjaya mereka.

Malah, kerajaan memperuntukkan RM15 juta sebagai insentif geran untuk membantu pengusaha TASKA menubuhkan pusat jagaan berkualiti tinggi.

Oleh itu, sepatutnya lebih banyak syarikat swasta menyediakan TASKA untuk kakitangan yang boleh dianggap sebagai memenuhi tanggungjawab sosial majikan.

Selesa, selamat

Telekom Malaysia (TM), umpamanya antara syarikat swasta yang menubuhkan TASKA untuk pekerjanya yang dianggap dapat membantu kakitangannya mencapai keseimbangan hidup dan kerjaya.

TASKA TM Dynamic Kids menyediakan TASKA untuk memenuhi keperluan kakitangan dan keluarga, selain menggalakkan mereka bekerja dengan lebih fokus dan produktif.

Ketua Modal Insan TM, Datuk Mohd Khalis Abdul Rahim, berkata ibu bapa berasa lebih yakin terhadap tahap keselamatan anak di TASKA disediakan oleh majikan berbanding di tempat lain.

Katanya, kajian rawak TM kepada kakitangan yang menghantar anak ke TASKA TM Dynamic Kids menunjukkan, mereka amat berpuas hati termasuk dari segi pengurusan dan kemudahan disediakan.

Kakitangan lebih tenteram dan tenang kerana dapat mengetahui anak dijaga dengan baik, dalam persekitaran selesa dan sesuai untuk pembelajaran.

"Anak juga selamat bermain dalam bilik berhawa dingin. Di sini, anak diberi pendidikan prasekolah yang direka bentuk berkonsepkan pembentukan sahsiah individu meliputi aspek perkembangan minda, kognitif, kreativiti, sosial dan fizikal.

"Pendekatan kendiri yang diterapkan dalam konsep penjagaan dan pendidikan seawal usia dua bulan melalui pelbagai aktiviti bagi memantapkan sistem perkembangan minda dan fizikal kanak-kanak.

"Kanak-kanak berusia empat tahun, kami menerapkan pendidikan asas yang dikhususkan untuk menjana keupayaan minda, kognitif dan kreativiti sementara kanak-kanak berusia lima dan enam tahun pula memberi tumpuan dalam pendidikan prasekolah yang diselaraskan dengan sistem Membaca, Mengira dan Menulis (3M)," katanya.

Siapa cepat, dia dapat

Yuran bulanan yang dikenakan kepada kakitangan TM amat berpatutan iaitu antara RM230 hingga RM290 sebulan mengikut tahap umur kanak-kanak. Walaupun, begitu, kakitangannya masih menerima 40 peratus subsidi untuk yuran bulanan.

Mohd Khalis berkata, TM memperuntukkan kira-kira RM43,000 sebulan untuk subsidi yuran bulanan kepada kakitangan yang menghantar anak mereka ke TASKA TM.

Kini, ada 124 anak kakitangan di tempatkan di TASKA itu. Pemilihan kakitangan yang layak berdasarkan `Siapa Cepat, Dia Dapat' dan kakitangan yang memohon akan diletakkan di dalam senarai menunggu sementara menanti kekosongan apabila kanak-kanak sedia ada memulakan alam persekolahan," katanya.

Kemudahan demi kebajikan pekerja

Bagi memudahkan kakitangan bekerja dalam suasana selesa, membantu mempertingkatkan produktiviti kerja serta memupuk semangat kerjasama yang erat antara syarikat dengan kakitangan, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) juga tidak alpa menjaga kebajikan semua pekerjanya dengan menyediakan Pusat Asuhan Kanak-kanak atau TASKA RapidKL.

Pengarah Kumpulan Divisyen Modal Insan Prasarana, Mohd Aiyob Abd Bahar berkata, penubuhan TASKA RapidKL itu adalah bagi mencapai matlamat memudahkan setiap kakitangan berikutan kehidupan moden hari ini memerlukan suami isteri bekerja untuk menampung kos sara hidup.

Katanya, masalah penjagaan anak ketika ketiadaan penjaga di rumah menjadi isu utama dalam institusi kekeluargaan.

Selain itu, ditambah pula dengan jadual kerja mengikut syif yang memerlukan mereka bekerja hingga lewat malam, menyukarkan masa untuk menghantar anak ke TASKA di luar.

Teori pembelajaran

"Tanpa mengira dan membezakan jawatan atau kategori, semua anak diberi layanan sama mengikut konsep pembelajaran yang sama. TASKA RapidKL mempunyai keunikan tersendiri iaitu teori pembelajaran Montessori lebih kepada constructivism atau Discovery yang mana murid belajar sesuatu konsep menggunakan bahan dan menerokai pengalaman.

"Antara kemudahan yang disediakan ialah ruang pembelajaran dan persekitaran yang luas. Kami menyediakan tempat bermain, perkhidmatan penjagaan dan sistem pengajaran serta penjagaan yang menepati kriteria serta syarat ditetapkan JKM," katanya.

TASKA RapidKL memiliki dua lokasi iaitu di Depoh LRT Subang dan Ampang yang ditubuhkan sejak 2003 menerusi dana permulaan syarikat sebanyak RM 75,000. Bagaimanapun, kini dalam proses berpindah ke bangunan baru kerana lokasi sedia ada dibangunkan untuk penyelenggaraan tren baru dan dijangka siap sepenuhnya pada awal 2014.

Ketika ini, seramai 84 kanak-kanak di TASKA Subang, sementara 95 lagi di Ampang. Mereka berusia seawal dua bulan hingga 12 tahun dan ditempatkan di divisyen tertentu iaitu Baby's Room untuk usia dua bulan hingga setahun; Tiny Tot's (setahun hingga dua tahun); Toddlers Room (dua hingga tiga tahun); Play Group (empat tahun); Kindergarten (lima tahun); Pra-Sekolah (enam tahun); dan juga Transit (tujuh hingga 12 tahun).

Yuran rendah

Mohd Aiyob berkata, kaki tangan yang menghantar anak mereka ke Taska RapidKL hanya dikenakan yuran rendah berbanding pusat jagaan kanak-kanak biasa di luar. Selain itu, masa penjagaan yang fleksibel terutama bagi mereka yang bekerja syif, malah ia berdekatan dengan premis syarikat yang secara tidak langsung membawa kepada peningkatan produktiviti kakitangan Kumpulan Prasarana.

Mengikut garis panduan JKM, pusat asuhan untuk anak berusia dua bulan dikenakan harga RM350 tetapi TASKA Subang dan TASKA Ampang hanya dikenakan bayaran antara RM160 hingga RM180.

TASKA 1TNB@Bangsar lengkap keperluan asas

Atas kesedaran kanak-kanak hari ini bakal menjadi pemimpin masa depan, asuhan yang sempurna mesti bermula dari TASKA.

Keprihatinan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap hal itu juga dengan menubuhkan taska 1TNB@Bangsar sekali gus menyokong saranan kerajaan menggalakkan syarikat swasta menubuhkan kemudahan TASKA di tempat kerja.

TNB menyediakan TASKA 1TNB@Bangsar yang terletak kira-kira 500 meter dari pekarangan pejabat di Jalan Lembah Pantai itu amat selesa dan bersistematik.

Naib Presiden Bahagian Sumber Manusia TNB, Datuk Muhammad Razif Abdul Rahman, berkata penubuhan TASKA ini mencerminkan keprihatinan syarikat menjaga kebajikan kakitangan terutama pekerja wanita.

TNB juga amat menitikberatkan pelbagai keperluan dan peralatan asas seperti tilam, bantal dan katil bayi. Barangan itu digunakan anak kakitangan berusia antara dua bulan hingga empat tahun, demi keselamatan mereka.

"Perkhidmatan setaraf dengan TASKA swasta lain dengan setiap pengasuh diberi kursus khas iaitu Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak (KAAK).

"Kami mengikut garis panduan dengan 14 pengasuh mengikut nisbah ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM). Seorang pengasuh untuk tiga kanak-kanak berusia dua bulan hingga setahun; lima kanak-kanak (berusia antara setahun hingga tiga 3 tahun; dan 10 kanakkanak (empat tahun).

"Kami juga amat menitikberatkan soal pendidikan anak kecil mengikut garis panduan dengan pendekatan pembelajaran bertema. Sebagai contoh, minggu pertama bertemakan buah-buahan manakala minggu kedua pula bertemakan kenderaan," katanya.

Bayaran tidak membebankan

Penyeliaan, pengurusan dan perjalanan operasi TASKA ini diketuai oleh Pengurusan Jabatan Ganjaran Faedah dan Pentadbiran serta Pengurus Besar (Pengurusan Ganjaran Faedah & Pentadbiran), V Sugumaran.

Muhammad Razif berkata, bayaran tidak membebankan dan mereka diberi subsidi mengikut gred gaji pekerja.

"Pengurusan TASKA ini mengalu-alukan setiap warga kerja TNB menghantar anak mereka ke TASKA ini tanpa ragu-ragu dan rasa takut unuk meninggalkan anak yang masih kecil terutama bayi kepada pengasuh yang tidak dikenali kerana TASKA ini menyediakan prasarana yang lengkap dengan pengasuh terlatih," katanya.

Kawalan keselamatan di TASKA ini juga amat dititikberatkan seperti adanya pengawal keselamatan TNB sepanjang waktu beroperasi dari 7.30 pagi hingga 6 petang.

Oleh Hidayah Mohammad

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI