Budak parah di tembak di Kampung Belanja Kiri

Wednesday, October 16, 2013

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera parah terkena satu das tembakan yang dilepaskan secara tidak sengaja oleh seorang anggota polis di Kampung Belanja Kiri, Parit dekat sini petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika anggota polis berpangkat Sarjan yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping itu sedang mengosongkan senjata di tangga rumah mertuanya.

Anggota berkenaan kemudian secara tidak senjata melepaskan satu das tembakan yang terkena mangsa, Mohd. Amar Mohd. Azizi yang merupakan murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Belanja.

Mangsa terkena tembakan kerana kebetulan berada di atas jalan iaitu kira-kira 30 hingga 40 meter dari lokasi tembakan dilepaskan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supritendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, insiden itu disedari oleh orang awam kira-kira 45 minit selepas itu setelah melihat mangsa cedera terkena tembakan di bahagian kepala.

Beliau berkata, mangsa telah dibawa ke sebuah klinik di Parit sebelum dikejarkan ke Hospital Batu Gajah dekat sini untuk rawatan lanjut.

"Setelah imbasan x-ray dilakukan, didapati ada anak peluru terlekat di bahagian kerongkong mangsa.

"Mangsa yang merupakan penduduk kampung di situ kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, untuk menjalani pembedahan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamad Fakri berkata, polis yang menjalankan siasatan telah merampas pistol jenis Walther P99 dan satu kelopak peluru bersama 14 butir peluru milik suspek.

Namun katanya, kelongsong peluru tidak dijumpai di tempat kejadian.

"Berdasarkan keterangan suspek, senjata itu dibekalkan oleh pihak pengurusan IPD Taiping secara mingguan," katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 37, Akta Senjata Api 1960 yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, usaha pemberita untuk menemui keluarga mangsa di Unit Rawatan Rapi (ICU), HRPB tidak berjaya kerana dihalang oleh pihak pengurusan hospital.

Ahli keluarga anggota polis terbabit pula tidak mahu ditemu bual, namun seorang biras suspek yang enggan dikenali memberitahu, lelaki berkenaan telah menyerah diri di IPD Taiping hari ini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI