Pian Cecupak berubah kerana anak

Saturday, October 05, 2013

Pian Cecupak buang susuk, buang suntik menyuntik

Kesilapannya mengubah rupa paras demi menarik perhatian ramai pernah menjadi mimpi ngeri apabila terlantar koma selama hampir dua bulan, beberapa tahun lalu.

Menyedari tindakannya bukan saja memudaratkan kesihatan, tetapi turut mendapat cemuhan dan cacian masyarakat, Pian mengaku sudah insaf dan mahu memperbetulkan kesilapannya selepas mendapat petunjuk.

Bahkan, permintaan anaknya yang mahu melihat dirinya yang dulu, turut menyentuh hati lelaki ini sehingga dia nekad untuk berubah serta kembali ke pangkal jalan.

Berasakan dirinya antara insan terpilih yang masih diberi kesempatan untuk hidup serta menyesali perbuatan lalu, Pian kini lebih banyak mendekatkan diri dengan agama dengan mengikuti pengajian di sekolah pondok di Kedah, selama dua tahun.

Sukar untuk menceritakan apa yang pernah dialami ketika hidupnya hampir di ambang maut, riak wajahnya berubah ketika berkongsi pengalaman lalu, seperti menahan kesedihan dan penuh kekesalan dalam diri.

"Susah saya nak cakap. Disebabkan kesilapan lalu, orang cemuh dan mengata anak-anak saya dengan pelbagai nista. Tuhan sudah beri pengajaran pada saya dan kini memberi peluang untuk saya berubah.

"Saya tak mahu ingat lagi apa yang saya sudah buat dulu. Jadi, saya minta orang di luar sana janganlah terus menghukum saya kerana saya sudah menyesal dan insaf. Berilah peluang untuk saya berubah dan jangan kerana perbuatan saya yang lalu, orang terus menghukum anak-anak saya," katanya dalam nada pilu.

Tumpu perhatian pada dua cahaya mata

Menganggap anaknya, Nuraina Fazrin, 16, dan Nurleena Fazrin, 14, sebagai kekuatan untuk dia terus berubah serta menjalani kehidupan biasa seperti insan lain, pelakon dan pelawak berusia 44 tahun ini juga mahu menumpukan lebih perhatian kepada cahaya matanya itu.

Hampir 14 tahun tidak melihat mereka membesar di depan mata selepas bercerai dengan bekas isteri, pemilik nama sebenar, Mohd Rafiq Abdul Rahman, ini berazam menguruskan segala keperluan anak dan berada di sisi mereka.

Pada masa sama, Pian berkata, dia tidak pernah sesekali mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anaknya sebelum ini. Malah, setiap keperluan puteri kesayangannya cuba ditunaikan, meskipun dia terpaksa membanting tulang siang dan malam.

"Selain menerima undangan berlawak dan mengacara, saya juga ada jalankan perniagaan urutan tradisional di Sentul, dan terbaru, bekerjasama dengan teman baik saya, Rodiah Tok Kechil, 44, menguruskan produk kesihatan.

"Selagi kudrat masih ada, selagi itu saya akan berusaha untuk membesarkan mereka. Saya tidak mahu mereka menjadi seperti saya, walaupun anak sulung pernah bertanya mengenai proses memutihkan kulit, saya tidak sekali-kali akan membenarkannya mengikut jejak saya.

"Dulu saya bukan saja mengubah wajah, saya juga pemakai susuk dan segala jenis suntikan wajah. Selepas anak saya cakap mereka mahukan saya yang dulu, hati saya tersentuh dan terus mengambil keputusan membuang semua kotoran yang ada di muka," katanya yang kini turut sibuk menguruskan anaknya, Nuraina atau Aina Rafiq, yang mula menjejakkan kaki dalam bidang seni suara.

Aina ikut jejak langkah

Mahu anaknya dikenali kerana bakat dimiliki, Pian sanggup berhabis untuk menerbitkan single Aina berjudul Maafkanlah, yang dihasilkan sendiri dengan kerjasama komposer, Jepp Kidal.

Walaupun risau dengan pembabitan anaknya dalam industri, Pian cuba memantau perjalanan kerjaya seni puterinya itu, agar seimbang dengan pelajaran.

"Pada mulanya ibunya membantah, tetapi kami berikan syarat agar dia bahagikan masa antara pelajaran dan nyanyian dengan baik. Dia boleh menyanyi pada Jumaat sampai Ahad saja. Begitu juga setiap kali saya ada persembahan, saya akan membawanya bersama untuk tujuan promosi.

"Kalau orang tak suka dengan saya, biarlah. Tetapi, berilah peluang kepada anak saya," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI