Perkeso bayar elaun RM500 kepada penjaga orang hilang upaya khas

Wednesday, October 16, 2013

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membayar elaun RM500 sebulan kepada mereka yang menjaga ’orang hilang upaya khas’ menerusi Skim Bayaran Layanan Sentiasa (ELS) mulai tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, sehingga Ogos lepas 5,383 penjaga menerima manfaat itu dalam usaha kerajaan meringankan beban mereka.

"Elaun yang diberikan itu bagi meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung penjaga semasa mengubati dan menjaga mereka yang hilang upaya itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis korban anjuran Umno Bahagian Maran di Simpang Tajau, di sini.

Ismail meminta mereka yang menjaga pesakit hilang upaya kekal dan belum menerima bayaran supaya menghubungi Perkeso dengan mengemukakan dokumen lengkap berkenaan pesakit yang mereka jaga.

Dalam perkembangan yang sama, Ismail berkata, pihaknya menyasarkan 1.9 juta anggota Perkeso berumur 40 tahun ke atas menjalani pemeriksaan saringan kesihatan percuma di klinik panel Perkeso di seluruh negara sebelum akhir tahun ini.

"Sehingga ini, 200,000 individu berumur 40 tahun ke atas menjalani saringan pemeriksaan kesihatan percuma itu bagi mengesan dan mencegah penyakit berjangkit pada peringkat awal, namun jumlah itu masih jauh daripada sasaran kita.

"Kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi program saringan kesihatan percuma itu," ujarnya. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI