Kelebihan manusia sebagai khalifah di muka bumi

Saturday, October 26, 2013

Kelebihan manusia sebagai khalifah di muka bumi

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (mengenai hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Ayat al-Quran ini dikemukakan dalam bentuk dialog bertujuan mendekatkan kisah itu dengan cara memberikan pemahaman mengenai manusia serta keistimewaan khusus dimiliki mereka. Allah SWT memberitahu malaikat-Nya iaitu Dia akan menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi.

Mendengar kenyataan inilah malaikat menjadi hairan kemudian bertanya bagaimana Engkau menciptakan sejenis makhluk yang melakukan kerosakan di muka bumi ini sedangkan tiada batasan yang menghalang mereka daripada melakukan sesuatu perkara.

Hikmah diciptakan makhluk

Allah SWT juga turut memberikan kurniaan kepada malaikat dengan menjelaskan hikmah diciptakan makhluk yang satu ini kepada mereka. Ahli tafsir berpendapat khalifah dalam ayat ini bermaksud tugas pengganti kurniaan Allah SWT untuk melaksanakan perintah-Nya dalam kalangan manusia.

Allah SWT mencipta manusia daripada Adam dan mengurniakan kepadanya akal fikiran yang dapat memahami semua perkara, tetapi kehebatan manusia tidak dikira kepada kekuatan zahiriah saja, juga dalam mengenali pencipta yang mengangkat mereka dan memberi kedudukan tinggi iaitu Allah SWT.

Manusia seperti inilah apabila mengenal Allah SWT, tunduk kepada-Nya dan membuka kehidupan ini dengan nama-Nya. Ini antara hikmah kewujudan manusia di dunia ini. Kisah kehidupan manusia boleh dilihat dan difahami dari pelbagai sudut seperti nikmat yang diperoleh sejak kejadian mereka lagi.

Hakikatnya, sebutir nasi yang dimakan manusia adalah hasil rangkuman kerja makhluk Allah SWT yang berada di langit dan bumi. Tanah, angin dan hujan yang turun serta cahaya matahari saling bekerjasama menyiapkan makanan, pakaian dan ubat-ubatan yang diperlukan manusia.

Itulah rahsia pembahagian dan pecahan yang banyak yang disebut oleh al- Quran yang membayangkan kehebatan alam ciptaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi angin yang menerbangkan dan menaburkan (debu, biji-bijian benih dan lain-lainnya), dengan penerbangan dan penaburan yang sesungguhnya; Dan awan yang membawa dan mengangkut muatannya (ke tempat yang dikehendaki); Dan kapal-kapal yang belayar laju dengan kemudahan yang diberikan kepadanya; Dan malaikat-malaikat yang membahagibahagikan segala perkara yang mereka ditugaskan membahagikannya; (Sumpah demi sumpah) bahawa sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada kamu (mengenai hari akhirat) tetap benar." (Surah az-Zaariyaat, ayat 1-5)

Manusia diberi kelebihan, kenikmatan

Manusia adalah makhluk mulia yang diberi kelebihan dan kenikmatan. Adalah menjadi hak Allah SWT untuk mencela manusia yang tidak menghargai nikmat kurniaan-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmat-Nya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran." (Surah Luqman, ayat 20)

Ini adalah antara sudut kurniaan Allah SWT untuk manusia, manakala satu sudut lagi ialah dalam bentuk rohani atau spiritual iaitu manusia adalah tiupan daripada roh Allah yang Maha Tinggi. Begitulah permulaan ciptaan Adam dan begitulah juga permulaan janin dalam perut ibu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan-Ku) maka hendaklah kamu sujud kepadanya." (Surah al-Hijr, ayat 29)

Al-Quran memaparkan penghinaan kepada Adam iaitu manusia pertama di sisi Allah SWT adalah satu bentuk penderhakaan terhadap-Nya. Tanpa mengira sama ada iblis berasal dari pada malaikat atau jin, hasilnya tetap sama.

Sesiapa yang enggan sujud iaitu sujud penghormatan kepada Adam, maka makhluk itu telah melakukan satu kesalahan yang besar kepada Allah SWT. Ini antara kelebihan lain manusia dan ia menggambarkan kedudukannya di sisi Tuhan iaitu penerimaan taubat seorang hamba kepada-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya." (Surah Taha, ayat 82)

Sifat buruk patut dijauhi

Al-Quran juga terdapat banyak ayat yang menyebut mengenai sifat buruk yang sepatutnya dijauhi manusia antaranya mementingkan diri yang akhirnya akan melahirkan penyakit rakus, tamak, melampaui batas dan mengambil hak orang lain.

Selain itu, mereka yang mempunyai sifat buruk juga akan menjadi sombong apabila dikurniakan kekayaan, zalim apabila ada kuasa, putus asa apabila gagal serta tewas dalam mengawal hawa nafsu.

Tetapi istimewanya manusia ini setelah al-Quran menyatakan penyakit yang mendatangi manusia, al-Quran juga menyediakan penawarnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Surah al-'Asr, ayat 3)

Begitulah sebahagian pandangan al-Quran terhadap manusia mengenai keistimewaan dan kekuatan ada pada mereka. Apa yang jelas, ketundukan manusia akan membawa kepada kedudukan tertinggi manakala kekufuran dan keingkaran menempatkan mereka di tempat yang serendah-rendahnya.

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI