Hubungan sulit: Dibelasah suami kekasih

Friday, October 04, 2013

Seorang peniaga kedai makan bukan saja ditumbuk, malah kepalanya dihantuk ke dinding ketika bergaduh dengan seorang lelaki dalam kejadian di sebuah gerai di Pedas, dekat sini, kelmarin.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang di kedai makan milik mangsa berusia 39 tahun yang terletak berhampiran bulatan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas, dekat sini.

"Mangsa dikatakan menjalin hubungan sulit dengan isteri suspek berusia 35 tahun menyebabkan suspek berusia 40-an itu naik berang lalu menyerangnya.

"Difahamkan pergaduhan itu turut disaksikan beberapa pelanggan di dalam kedai, tetapi mereka tergamam dan tidak berani membantu.

"Namun, sebaik melihat pergaduhan bertambah serius, seorang daripada pelanggan terbabit menghubungi polis dan ambulans," katanya.

Sumber berkata, suspek yang menetap di Kuala Lumpur berjumpa mangsa di gerai itu untuk berbincang mengenai perkara terbabit sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.

"Suspek dikatakan menumbuk kepala mangsa sebelum menghantukkan ke dinding hingga berdarah dan bengkak.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban bagi mendapatkan rawatan.

"Maklumat awal daripada pegawai perubatan mengatakan kemungkinan lelaki itu mengalami gegaran otak akibat hentakan yang kuat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan dan suspek sudah dikenal pasti untuk membantu siasatan.

"Kita syak pergaduhan berpunca daripada perasaan dendam lama dan suspek memang mencari mangsa sebelum berjumpa di gerai itu," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI