Lelaki didakwa menyamar kerabat diraja Kedah

Friday, October 18, 2013

Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu dengan menyamar sebagai kerabat diraja Kedah dan menggunakan lambang yang tidak mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Roshidi Fadzil, 47, dari Bukit Beruang, Melaka mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan kepadanya oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret L. Umma Devi.

Mengikut pertuduhan pertama, Roshidi didakwa menggunakan lambang Pertubuhan Amal Kebajikan Islamiah Malaysia (Pakim Diraja atau Serampang Tiga) tanpa mendapat kebenaran daripada ROS.

Dia didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga bulan atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu seorang individu bernama Ooi Ten Seng, 33, dengan menyamar sebagai Yang Teramat Mulia Tunku Putera Roshidi Tunku Fadzil.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kedua-dua pertuduhan tersebut didakwa dilakukannya di dewan bankuet, Hotel Cititel di Jalan Penang di sini kira-kira pukul 4.15 petang, 23 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Muhd. Yahya Zakaria.

Umma Devi membenarkan Roshidi diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu sementara menunggu sebutan kes pada 18 November ini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI