Amalan kitar semula

Monday, October 21, 2013

Amalan kitar semula

Kurangkan, guna kembali, kitar semula. Sememangnya kita wajar memulakan gaya hidup kitar semula walaupun sedikit bagi membantu menyelamatkan banyak perkara di bumi tercinta ini.

Secara asasnya, kita membantu mengurangkan longgokan sampah yang semakin hari semakin menimbun dan sukar dimusnahkan serta pencemaran dunia. Namun, dalam pada itu, sebenarnya ada sesuatu yang kita lupa apabila mengamalkan kitar semula.

Kita sebenarnya berjimat dan dapat membantu ekonomi peribadi, keluarga dan sehingga ke peringkat yang lebih tertinggi iaitu ekonomi negara.

Namun lupakan dulu usaha menyelamatkan negara kerana bunyinya mungkin agak menakutkan dan terasa terlalu besar buat kita. Mulakan dengan skala kecil yang termampu.

Ada perkara paling mudah yang boleh kita lakukan dalam usaha berjimat dan secara tidak langsung membantu kitar semula yang boleh dimulakan hari ini.

EMPAT PERKARA MUDAH INI MUNGKIN BOLEH MEMBERI IDEA:

1 Bermula hari ini, jangan gunakan kertas tisu. Kertas tisu nampak mudah disimpan di dalam poket mahupun tas tangan. Selesai guna, buang saja. Sudah tiba masanya kita sekeluarga menggunakan sapu tangan bagi mengelap peluh dan air mata. Sapu tangan itu boleh digunakan berkali-kali setelah dibasuh bersih.

2 Bermula hari ini juga, bawa bekas makanan sendiri setiap kali membeli nasi campur di kedai. Ini mengurangkan penggunaan bekas makanan pakai buang yang sering digunakan di gerai. Galakkan ahli keluarga dan kawan- kawan melakukan cara yang sama. Percayalah, langkah sekecil ini sangat bermakna.

3 Pastikan juga kita tidak lagi mengambil beg plastik setiap kali membeli-belah di pasar raya atau pasar malam. Sebaliknya, kita sedia membawa beg kain atau bakul sendiri. Malu membawa bakul? Mengapa malu sedangkan kita melakukan sesuatu yang baik untuk generasi akan datang.

4 Apa kata, kita ke tempat kerja menaiki kenderaan awam. Cuba biasakan diri menaiki bas sekali seminggu, kemudian ditambah dua kali seminggu dan seterusnya tiga kali seminggu. Perkhidmatan awam menjimatkan wang dan penggunaan petrol. Kita mungkin kena berjalan agak jauh untuk mendapatkan perkhidmatan ini tetapi tanamkan sikap positif dalam diri serta lemparkan senyuman manis. Ia satu senaman yang sangat kita perlukan.

Empat perkara berkenaan mungkin langkah awal yang boleh dimulakan segera. Langkah seterusnya akan menjadi mudah setelah kita semakin membiasakan diri dan faham betapa pentingnya mengamalkan sikap yang prihatin pada pencemaran dunia dan kebaikan melakukan kitar semula.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI