Noorkhiriah dan Shuib Sepahtu tersingkir minggu ke-6 Super Spontan 2013

Saturday, October 05, 2013

Super Spontan 2013 tampil dengan kejutan apabila melakukan dua penyingkiran sekali gus di mana Noorkhiriah dan Shuib Sepahtu telah disingkirkan.

Aktres Noorkhiriah menjadi mangsa pertama di awal program apabila disingkirkan teman sekumpulannya akibat tumpasnya pasukan Semut Sentap pada minggu lalu.

Namun undian dihujung rancangan menyaksikan Semut Sentap kembali menang sekali gus memperoleh cek bernilai RM5,000 untuk diserahkan kepada Persatuan Braile Malaysia.

Ketam Konfius yang tewas terpaksa memilih seorang dari ahli mereka untuk disingkirkan dan kejutan berlaku di mana tidak seperti sebelumnya, pemain pasukan yang tewas terus disingkirkan pada malam yang sama dan malam ini, Shuib Sepahtu menjadi mangsa.

Seperti biasa, 5 sketsa dipertandingkan pada minggu ini bermula dengan Pantun Dua Kerat, setiap kumpulan akan menghantar seorang wakil ke atas pentas lalu diberikan satu situasi dan mereka perlu berbalas pantun dua kerat dengan pihak lawan. Sekiranya mereka gagal membalas pantun, mereka perlu digantikan dengan anggota kumpulan yang lain.

Permainan kedua adalah Dubbing Game ataupun Alih Suara. Tiga pemain dari setiap pasukan akan diberikan satu sedutan filem dan mereka harus menggunakan kreativiti mereka untuk mengalih suara adegan berkenaan kepada versi mereka tersendiri.

Permainan yang memerlukan usaha keras, Maju Mundur menjadi permainan ketiga mala mini. Maju, Mundur memerlukan tiga orang peserta melakonkan satu sketsa yang diberikan hos. Gerak geri mereka akan ditentukan oleh satu suara khas yang akan menyebut Maju untuk mereka teruskan sketsa atau Mundur untuk mereka ulangi semula sketsa yang dilakonkan tadi.

Pemenang keempat merupakan permainan terbaru untuk Super Spontan yang mana belum pernah dimainkan sebelum ini. Dinamakan sebagai Sidang Media Spontan, permainan ini memerlukan setiap kumpulan meneka siapakah watak dan profesion yang dibawakan oleh artis jemputan Super Spontan pada permainan ini. Penulis skrip Rizal Ashreef dan pelakon Soffi Jikan hadir sebagai artis jemputan.

Permainan kelima dan terakhir dinamakan Laguku Spontan. Dengan iringan muzik oleh kumpulan AhmadAhmad yang turut tampil membuat persembahan khas sebelumnya, setiap kumpulan harus menyanyikan lagu secara spontan berdasarkan idea yang mereka dapat menerusi seorang penonton yang dipilih oleh hos.

Super Spontan minggu keenam telah bersiaran secara langsung dari Studio De Showroom, Bandar Sri Damansara dan disiarkan di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Mustika HD (saluran 134). Pengulas untuk program ini ialah kumpulan Boboi dan Amir Raja Lawak manakalah hosnya pula ialah pasangan dari JoHaRa iaitu Ray dan Haniff.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI