Penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob

Friday, October 11, 2013

Ketua Menteri, Datuk Wira Idris Haron mengetuai senarai 901 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, yang ke-75, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka adalah penerima tunggal Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

10 terima DCSM

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pula antara 10 penerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) membawa gelaran Datuk Wira.

Turut menerima darjah kebesaran itu adalah EXCO Kerajaan Melaka, Datuk Md Yunos Husin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mamee Double Decker (M) Bhd, Datuk Pang Tee Nam dan CEO Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Seramai 14 orang menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Amirudin Yusof; Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Kementerian Dalam Negeri, Datin Seri Hamidah Khamis serta Ketua Eksekutif MPD 99 Sdn Bhd, N Navaratnam.

Turut menerima DMSM adalah Ketua Eksekutif SP Management and Agencies, Phang Shee Pak; CEO Putra Speacialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd, Radhuana Salleh; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Panglima 3 Divisyen, Brig Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan.

Seramai 79 penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk termasuk Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Khidmat Pengurusan), Mohamad Salleh Ismail; Pegawai Daerah Melaka Tengah, Rusnani Latip; Timbalan CEO Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, Baharam Mohd; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah, Abu Bakar Abdul dan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (ICM), Ismail Lajen.

Turut menerima DPSM adalah penyanyi rock terkenal, Ramli Sarip dan aktor, Rosyam Nor serta jurulatih skuad Harimau Muda A, Ong Kim Swee.

Pengumuman penganugerahan dibuat Naim di pejabatnya di Seri Negeri, di sini, semalam.

Sementara itu, 35 lagi menerima Darjah Seri Melaka (DSM), seramai 79 menerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM) termasuk Ketua Biro BH Melaka merangkap Pengurus NSTP Melaka, Amirullah Andi Nur, 120 orang menerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT) termasuk Pegawai Media Yayasan DMDI merangkap pemberita sambilan BH, Amir Mamat, 321 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) termasuk Ketua Biro Utusan Malaysia Melaka, Amran Mulup, Pingat Bakti Masyarakat (218) dan 24 Pingat Khidmat Lama (PKL).

Tiga sesi istiadat

Sebanyak tiga sesi istiadat penganugerahan akan diadakan iaitu pada hari ini, diikuti Ahad, manakala sesi ketiga pula akan berlangsung pada 24 Oktober ini.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI