Sajian ‘makan besar’ sempena Tahun Baru Cina

Friday, February 13, 2015

Sajian ‘makan besar’ sempena Tahun Baharu Cina

Makan malam atau ‘makan besar’ bersama ahli keluarga merupakan acara wajib pada sambutan Tahun Baharu Cina. Waktu ini peluangnya untuk berkumpul bagi bertanya khabar dan mengukuhkan silaturahim sesama ahli keluarga selepas setahun sibuk dengan urusan kehidupan dan kerja masing-masing.

Kalau dahulu, makan besar diadakan di rumah ahli keluarga yang paling tua dengan semua ahli keluarga bersama-sama menyediakan hidangan.

Namun, kini banyak keluarga memilih untuk mengadakannya di restoran atau hotel kerana lebih mudah.


Banyak restoran atau hotel menawarkan promosi-promosi menarik, termasuk di Hotel Palm Garden, Putrajaya, yang tampil setahun sekali dengan sajian istimewa di dua restoran utamanya, Aroi Dee Thai dan Palm Cafe, sempena Tahun Kambing kali ini.

Chef Baquet dan Kateringnya, Sin Jee Yip berkata, terdapat dua sajian istimewa yang hanya dibuat dan disajikan setahun sekali di hotel tersebut, iaitu Yee Sang dan kuih bakul goreng.

Katanya, kedua-dua makanan tersebut boleh dikatakan sajian wajib yang mesti ada di atas meja ketika makan besar.

“Apa yang diutamakan dalam menyajikan sajian untuk Tahun Baharu Cina adalah kepelbagaian warna dalam sajian kerana menjadi tradisi masyarakat Cina yang sukakan warna-warna ceria seperti merah dan oren ketika menyambut perayaan.

“Warna-warna tersebut saya adun dalam sajian Yee Sang dengan penggunaan sehingga 13 ramuan. Lebih banyak ramuan lebih bagus kerana Yee Sang dikatakan simbol kepada kemakmuran dan kekayaan,” kata chef yang mempunyai 13 tahun pengalaman itu.

Dalam pada itu sempena Tahun Baharu Cina ini, tiga set menu boleh dipilih pengunjung bagi sajian Prosperity New Year di Aroi Dee Thai pada harga bermula RM688 hingga RM988 untuk 10 orang bagi makan tengah hari atau malam.

Antara sajian yang boleh dinikmati sup makanan laut bersama ikan roe, ayam panggang bijan ala Kantonis, ikan siakap kukus dengan sos soya, nasi kukus daun teratai dan banyak lagi. Tidak ketinggalan bubur labu bersama sagu dan bebola tepung beras serta kuih bakul goreng sebagai pencuci mulut.

Jika ingin lebih santai boleh juga ke Palms Cafe yang menyediakan bufet Tahun Baharu Cina, dengan tawaran pelbagai sajian lazim seperti sup sirip ikan yu bersama isi ketam, udang mentega bersama sos keju, itik panggang ala Cina, daging rusa goreng bersama halia dan daun bawang, dan banyak lagi. Bufet untuk makan malam (RM78++) dan makan tengah hari (RM68++).

0 Komen:

Post a comment

 

ZONFINITI