Showing posts with label Internet. Show all posts
Showing posts with label Internet. Show all posts

WhatsApp Kini Tampil Dengan Versi Web

Thursday, January 22, 2015 0 Komen

WhatsApp Kini Tampil Dengan Versi Web

WhatsApp hari ini secara rasminya telah memperkenalkan perkhidmatan WhatsApp dalam versi web, sekaligus membolehkan para pengguna WhatsApp untuk log masuk ke perkhidmatan WhatsApp menggunakan komputer mereka.

WhatsApp Web ini memerlukan pengguna mengimbas kod QR yang dipaparkan menggunakan aplikasi WhatsApp di peranti mudah-alih. Buat masa ini, WhatsApp Web hanya menyokong BlackBerry, Android dan juga Windows Phone. Menurut pihak WhatsApp, pengguna iOS tidak boleh digunakan buat masa ini kerana had yang ditetapkan oleh pihak Apple pada platform mereka.


Semua pengguna perlulah menggunakan versi terkini aplikasi WhatsApp, dimana pihak WhatsApp telah menambah sebuah menu baru pada aplikasi mereka, dinamakan sebagai WhatsApp Web. Mengaksesnya, ia akan membuka aplikasi kamera untuk mengimbas kod QR yang dipaparkan pada pelayar web.

Selepas mengimbas, anda secara automatik akan log masuk ke WhatsApp Web, dan segala tetingkap sembang boleh turut diakses melalui web – termasuk gambar yang dikongsikan melalui WhatsApp.

Pengguna turut boleh membuat carian rakan-rakan pada panel carian di WhatsApp Web, dan ia menarik data daripada peranti pengguna. Pihak WhatsApp meminta pengguna menghubungkan peranti mudah-alih mereka ke WiFi untuk mengelakkan penggunaan data berlebihan.

Kami telah mencubanya secara ringkas, dan ia beroperasi dengan lancar tanpa masalah. WhatsApp turut mengintegrasikan sokongan notifikasi dari pelayar web, memudahkan pengguna untuk mengetahui akan notifikasi sekiranya terdapat mesej baru diterima mereka.

Pengenalan WhatsApp Web ini semestinya diminati ramai, memandangkan kini anda sudah boleh berinteraksi dengan rakan-rakan menggunakan pelayar web pada komputer – sekaligus tidak lagi memerlukan anda untuk menyemak skrin telefon anda setiap kali menerima mesej daripada WhatsApp.

~Sumber: http://amanz.my/2015/01/whatsapp-web/

Menonton televisyen di Twitter

Sunday, December 29, 2013 0 Komen

Menonton televisyen di Twitter

Pengguna Twitter kini bukan saja boleh menaik status tetapi boleh melakukan pelbagai jenis aktiviti dan terbaru pengguna Twitter kini boleh menonton televisyen.

Twitter mengumumkan kerjasama dengan stesen penyiaran Comcast dan unit NBCUniversal yang membolehkan pengguna untuk menonton rancangan televisyen secara langsung menerusi laman sosial itu.

Perjanjian itu yang juga diperluaskan kepada syarikat televisyen dan produser video lain, menggunakan kekunci `Lihat ia' di Twitter yang membolehkan penggunanya menonton secara terus ke program televisyen.

Ini memberikan pelanggannya perkhidmatan TV Xfinity dengan keupayaan untuk menukar saluran, set perakam video digital atau menonton program secara langsung menerusi tweet.

Jumlah pengguna internet China meningkat 591 juta

Thursday, July 18, 2013 0 Komen

Pengguna internet China dilaporkan meningkat kepada 591 juta, kira-kira 20 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu membabitkan bilangan mereka yang melayari halaman web menggunakan telefon pintar dan alat tanpa wayar lain, kata sebuah kumpulan industri semalam.

Angka akhir Jun yang dikeluarkan Pusat Maklumat Rangkaian Internet China mewakili 10 peratus kenaikan dalam jumlah keseluruhan pengguna sepanjang setahun. Bilangan pengguna tanpa wayar meningkat kepada 464 juta.

Kerajaan komunis terbabit menggalakkan penggunaan internet bagi perniagaan dan pendidikan tetapi cuba menghalang akses kepada bahan yang berbau hasutan atau lucah.

Peningkatan penggunaan web membawa pertumbuhan industri baru China dari perniagaan talian dan mikroblog hingga video di talian.

Perkembangan terbaru ini meningkatkan peratusan populasi China yang menggunakan internet kepada 44 peratus, kata CNNIC.

Syarikat internet berlumba-lumba memberi maklum balas terhadap meletusnya populariti telefon pintar, tablet dan peralatan tanpa wayar lain dengan melancarkan perkhidmatan untuk mereka.

Minggu ini, pengendali enjin carian popular China, Baidu Inc. mengumumkan akan membayar sejumlah $1.9 bilion bagi mendapatkan pengedaran aplikasi telefon pintar, 91 Wireless Websoft.

Pihak berkuasa mengetatkan kawalan talian tahun lalu selepas rangkaian sosial dan halaman web lain memainkan peranan utama dalam bantahan yang menjatuhkan kerajaan di Mesir dan Tunisia.

Tahun lalu juga mereka mengetatkan kawalan terhadap video dengan meminta penyedia mengimbas semua bahan sebelum dikirimkan di talian selepas ada aduan membabitkan kandungan berunsur kata-kata kesat, lucah atau terlalu ganas. - AP

Senarai Password Terburuk dan Mudah Diceroboh Hackers

Sunday, January 20, 2013 0 Komen

Masih ada orang yang masih malas untuk mencipta password yang sukar digodam. Mereka tetap selesa menggunakan password yang mudah diingati tetapi amat mudah juga diramal oleh para hackers atau penggodam untuk menceroboh akaun mereka di alam maya.



Berikut adalah senarai password terburuk 2012 versi SplashData:

1. password
2, 123456
3. 12345678
4. abc123
5. qwerty
6. monkey
7. letmein
8. dragon
9. 111111
10. baseball
11. iloveyou
12. trustno1
13. 1234567
14. sunshine
15. master
16. 123123
17. welcome
18. shadow
19. ashley
20. football
21. jesus
22. michael
23. ninja
24. mustang
25. password1

Adalah dinasihati para pengguna internet untuk membuat beberapa password yang berlainan untuk akaun yang berlainan dengan melakukan trik 'passphrases'.





Blogger Hamzah Lan, Terbang Tinggi Tinggi

Sunday, August 26, 2012 0 Komen

Temubual bersama blogger Hamzah Lan, Utusan Malaysia

Blogger Hamzah Lan, Terbang Tinggi Tinggi

.COM: Bagaimana boleh mendapat inspirasi menulis blog?

HAMZAH LAN: Saya masih ingat lagi sekitar tahun 2009, saya terbaca artikel mengenai penulis blog Red Mummy di akhbar tentang blog yang dihasilkannya. Uniknya mengenai blog itu, dia hanya menulis mengenai kehidupannya sahaja dan ia benar-benar membuatkan saya terfikir untuk melakukan perkara yang sama. Maka terhasil blog Terbang Tinggi Tinggi yang menceritakan mengenai kehidupan seharian saya pada peringkat awalnya. Bagaimanapun, lama-kelamaan penceritaan saya bukan lagi tertumpu kepada diri sendiri sahaja tetapi kepada orang lain juga. Saya mula menulis tentang cerita lucu, event dan reviu tempat makan yang menarik untuk dikongsikan bersama pengikut-pengikut di blog.

Apa treadmark blog Terbang Tinggi Tinggi?

Saya selalu melukis watak orang lidi dalam kebanyakan post yang bertujuan untuk memperjelaskan mengenai cerita yang ingin disampaikan. Bagi saya, ia juga menjadi satu tarikan untuk orang ramai mengikuti perkembangan blog saya dari semasa ke semasa. Walaupun kebanyakan jalan cerita orang lidi tersebut berunsur jenaka, sebenarnya ada mesej yang ingin saya sampaikan di sebaliknya. Jika dihayati, saya sering menyelitkan mesej-mesej mengenai kekeluargaan, persahabatan dan kasih sayang. Kalau nak tahu, sebenarnya saya hanya menggunakan software paint sahaja untuk melukis orang tersebut sebab saya tak berapa pandai nak menggunakan software lain.

5 perkara yang patut diketahui mengenai Hamzah Ian.

1. Personaliti Hamzah Ian di dunia realiti dan maya adalah berbeza sama sekali. Mungkin ramai beranggapan saya seorang yang ganas, gila-gila dan suka mencuba benda baru apabila membaca blog Terbang Tinggi Tinggi tetapi realitinya, saya seorang yang pemalu dan jarang menyertai mana-mana perjumpaan blogger-blogger kerana sifat saya yang satu ini.

2. Jika ada masalah untuk dikongsikan, saya lagi selesa share di blog dan jika terlalu personal saya akan mencari rakan-rakan blogger yang rapat. Realitinya, kebanyakan rakan-rakan saya adalah di kalangan blogger sendiri berbanding kawan-kawan sekuliah.

3. Saya tidak makan tiram. Tak kisah lah masak apa-apa pun, jika ada pilihan lain saya tidak akan memakan makanan tersebut disebabkan fobia. Disebabkan terlalu banyak makan tiram ketika baru nak berjinak-jinak dengan makanan laut tersebut saya mengalami sakit perut. Sejak itu, saya akan mengelakkan daripada memakannya.

4. Disebabkan saya mempunyai lidah kampung, saya tidak berapa gemar mencuba makanan yang ‘pelik-pelik’.

5. Perkara yang paling perlu diketahui pengikut-pengikut blog ialah nama sebenar saya bukan Hamzah Ian tapi Mohd. Faez Mat Rudin. Jadi siapa Hamzah Ian? Hamzah Ian itu memang tidak wujud. Entah bagaimana nama itu boleh terlintas di kepala semasa saya mencari nama untuk digunakan di blog.

Sempena bulan kemerdekaan ini, apa kenangan merdeka Hamzah Ian?

Saya masih ingat lagi semasa baru-baru mendapat lesen motosikal ketika berada di tingkatan empat, menjelang malam merdeka saya turut menyertai konvoi mengelilingi satu kampung sambil mengibarkan bendera Malaysia. Walaupun hanya membawa motosikal kapcai sahaja, saya tetap berasa bangga kerana dapat mengibarkan jalur gemilang.

Saya sayang Malaysia kerana...

Saya bebas melakukan macam-macam perkara tanpa sebarang halangan selagi ia tidak menyalahi ajaran Islam dan juga undang-undang negara.

Ucapan untuk pengikut-pengikut blog...

Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada pengikut-pengikut setia blog Terbang Tinggi Tinggi yang tidak pernah jemu-jemu mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa. Selagi ada yang menyokong, saya akan terus menulis. =)

Facebook tampil pusat aplikasi App Center

Sunday, June 10, 2012 0 Komen

Facebook kini memperkenalkan satu pusat aplikasi yang dikenali sebagai App Center untuk program-program mini dalam rangkaian media sosial itu.

Buat permulaan, App Center yang menampilkan 600 program untuk pelayar laman web, telefon pintar Apple dan Android serta komputer tablet hanya boleh digunakan di Amerika Syarikat (AS).

Ia bagaimanapun akan diperluaskan ke peringkat global dalam tempoh beberapa minggu lagi sebagai sebahagian strategi Facebook untuk menghubungkannya dengan lebih 900 juta ahlinya yang menggunakan gajet mudah alih.

"App Center direka untuk membangunkan aplikasi bergerak yang menggunakan Facebook sama ada melalui iOS, Android atau laman web bergerak.

"Melalui App Center, pengguna boleh melayari aplikasi yang bersesuaian dengan gajet mereka dan jika ia perlu dimuat naik, aplikasi muat naik daripada App Store atau Google Play akan dihantar," kata Jurutera Perisian Facebook, Aaron Brady.

Program-program mini yang ditawarkan dalam App Center termasuklah pengesan Nike+ GPS dan Ghost Recon Commander, permaianan video daripada Ubisoft. - AFP

Kajian: Peranti mudah alih mudah digodam

Wednesday, May 16, 2012 0 Komen

Kajian yang dijalankan makmal Kaspersky terhadap 9,000 pengguna peranti mudah alih iaitu tablet dan telefon bimbit pintar di Amerika Syarikat, Eropah dan Rusia mendapati 70 peratus pengguna peranti tablet dan 53 peratus pengguna telefon bimbit melayari internet menerusi penggunaan WiFi secara percuma.

Hasil kajian itu mendedahkan, 58 peratus daripadanya menggunakan internet percuma itu untuk tujuan berkomunikasi.

Bagaimanapun, pengguna-pengguna internet percuma itu ternyata tidak sedar bahaya yang menanti terutamanya ketika proses pemindahan data yang mudah digodam oleh penjenayah siber.

Menurut satu kenyataan akhbar Kaspersky Lab, dianggarkan 60 peratus pengguna menggunakan internet percuma untuk transaksi sistem perbankan mereka.

"Masalah penggodaman pada peranti mudah alih ini terjadi kerana secara umumnya akses peranti berkenaan tidak dilindungi berbanding komputer dan komputer riba," kata sumber yang dipetik daripada kenyataan akhbar itu.

Kajian tersebut juga mendedahkan penjenayah siber boleh menggodam 28 peratus peranti tablet dan telefon mudah alih kerana tiada perisian keselamatan diaplikasikan pada peranti mereka manakala 82 peratus pengguna komputer dan komputer riba mengaplikasi perisian antivirus untuk melindungi komputer mereka daripada digodam.

Terdapat perisian keselamatan pada peranti mudah alih di pasaran yang bertujuan untuk melindungi peranti mereka daripada digodam oleh penjenayah siber. Sebagai contoh, Kaspersky Mobile Security. Perisian tersebut dicipta bagi melindungi peranti mudah alih terutamanya segala maklumat yang terkandung di dalamnya.

Kira-kira 49 peratus pengguna internet di rumah dan 39 peratus di pejabat menggunakan tablet sebagai peranti mudah alih mereka. Penggunaan internet di pejabat mempunyai tahap keselamatan yang baik terutamanya ketika melakukan pemindahan data.

Bagaimanapun, pengguna peranti mudah alih tidak seharusnya mengabaikan langkah-langkah keselamatan dalam usaha untuk melindungi peranti mudah alih mereka daripada digodam.

YouTube baru paparan lebih cantik

Saturday, December 03, 2011 0 Komen

Laman perkongsian sosial YouTube memperkenalkan reka bentuk baharu kelmarin dengan paparan gaya program televisyen selain integrasi yang lebih baik dengan laman-laman web Google.


"Kami mencuba sedaya upaya mengabungkan ciri terbaik televisyen dengan ciri terbaik Internet," kata timbalan presiden pembangunan produk YouTube, Shishir Mehrotra di pejabat YouTube di sini.

"Terma video atas talian tidak lagi akan digunakan kerana video boleh ditonton dengan menggunakan pelbagai gajet," tambahnya.

Untuk mengukuhkan kenyataan tersebut, pengurus produk kumpulan YouTube, Shiva Rajaraman melakukan demonstrasi menonton klip video YouTube menerusi konsol permainan video Microsoft, Xbox360 yang disambungkan pada Internet.

Laman utama baharu YouTube menampilkan beberapa saluran yang dihasilkan oleh pelbagai sumber bermula daripada penggemar klip video hingga kepada stesen televisyen profesional atau studio perfileman. - AFP

Wireless Network Watcher : Cara Kesan Pencuri WIFI

Wednesday, November 30, 2011 1 Komen

Wifi anda dicuri? Mahu kesan pencuri wifi? Jangan tak tau, semakin banyak pencuri wifi berkeliaran bagi menumpang internet free. Mereka mempunyai kepakaran untuk memecah kod password yang anda selama ini anggap selamat.

Jadi, bagi mengesan si pencuri wifi yang suka bertenggek menumpang wifi rumah anda, di sini ada perisian berguna untuk anda install dan kesan pengguna wifi anda yang tidak sah.


Sila install software ini: Wireless Network Watcher

Berhati-hati kongsi maklumat peribadi di internet - Cybersecurity

Friday, November 25, 2011 0 Komen

CyberSecurity Malaysia hari ini menasihatkan para pembeli-belah dalam talian agar berhati-hati apabila berkongsi maklumat memandangkan serangan keselamatan siber kini kian meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Prof. Datuk Husin Jazri berkata, antara Januari dan Ogos, sejumlah 13,173 jenayah siber seperti penipuan, komplot dan cubaan pencerobohan terhadap pengguna internet telah dilaporkan kepada CyberSecurity Malaysia.

"Berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas, kami hanya menerima 6,206 insiden yang bermakna jenayah telah meningkat 112 peratus tahun ini,” kata beliau dalam taklimat media bersama mengenai Keselamatan Beli-Belah Dalam Talian dan Mudah Alih dengan PayPal.

Husin berkata, kes-kes penipuan ialah penyumbang utama kepada jenayah siber yang menguasai 35 peratus atau 4,574 kes, sementara penipuan pembelian dalam talian 12 peratus atau 565 insiden dari Januari hingga Oktober. - Bernama

Rocketbirds: Hardboiled Chicken permainan video seisi keluarga

Tuesday, November 22, 2011 0 Komen

Rocketbirds: Hardboiled Chicken adalah kombinasi 2D side-scrolling action dengan puzzle. Dilengkapi karakter yang lucu dan grafik yang sangat menarik, tidak syak lagi permainan video ini bakal menjadi popular.


Kisahnya, Hardboiled Chicken adalah seekor burung yang melalui eksperimen Putzski sehingga memiliki kekuatan dan ketangkasan menakjubkan. Ayam comel ini dapat menggunakan pelbagai jenis senjata, memukul, berguling, berinteraksi dengan persekitaran selain tangkas meloncat dan memanjat.

Hardboiled Ia adalah 'Rambo' namun dalam bentuk seekor ayam. Tapi sayangnya, pergerakannya yang kaku boleh menyebabkan pengendalian ayam ini menjadi agak kurang menyenangkan.

Ceritanya mengisahkan keadaan negara Albatropolis yang dijajah rejim tidak berhati perut dan menghalang semua jenis burung di alam ini bersiul dan bergembira.

Rejim yang diketuai oleh Putzki dan orang kanannya Brno, dari spesies Penguin. Merka anti spesies burung yang lain kecuali dari kalangan spesies mereka sendiri.

Namun, di sebalik kegawatan itu, muncullah Hardboiled Chicken yang menjadi wira. Jadi, anda harus bertarung melawan rejim penguin dan membebaskan Albratropolis dari tangan mereka.

Namun, ada beberapa elemen yang boleh menjejaskan keseronokan menikmati permainan video ini. Paling ketara ialah sistem tempurnya yang sangat sederhana sehingga membosankan. Antara rutinnya, anda hanya perlu menembak lawan dan melambungnya di udara.

Keadaan ini membuat lawan tidak bergerak dan tidak dapat membalas sama sekali. Tiada aksi sebenar dan mendebarkan dipaparkan di dalam permainan ini.

Namun, keadaan ini boleh dianggap selamat kerana permainan ini juga dilengkapi puzzle. Berbeza dengan genre aksi, ia memberikan anda teka teki dan membuatkan anda berfikir untuk menyelesaikan misi. Gabungan aksi dan puzzle boleh dianggap menarik.

Kekuatan Rocketbirds terletak pada visualnya, reka bentuk karakter yang kreatif dan menarik, persekitaran yang pelbagai dan indah serta animasi yang hebat.

Mainan warna dalam Rocketbirds antara faktor ia menarik perhatian selain soundtrack yang sangat menarik dan sedap untuk didengar.

Secara keseluruhan Rocketbirds: Hardboiled Chicken adalah kombinasi aksi dan puzzle yang sederhana. Namun, ia cukup menghiburkan dan sesuai dimainkan seisi keluarga.

Kata laluan Mozilla Firefox dan Chrome

Tuesday, November 08, 2011 0 Komen

Boleh tak saya meletakkan kata laluan dalam program Mozilla Firefox di komputer? Bagaimana caranya?

-----------------------

Secara umumnya kebanyakan pelayar web seperti Mozilla Firefox tidak mempunyai fungsi yang membolehkan kata laluan dikonfigurasikan untuk penggunaannya. Namun begitu terdapat cara yang boleh digunakan untuk membolehkan sesebuah pelayar web itu mempunyai kata laluan.

Kebanyakan pengguna memerlukan kata laluan tersebut untuk mengawal penggunaan pelayar web dalam melayari Internet. Ia juga digunakan untuk menjaga kerahsiaan privacy dalam penggunaan sesebuah program pelayar web tersebut. Dengan adanya kata laluan penggunaannya terkawal dan rahsia.

Bagi membolehkan sesebuah pelayar web mempunyai fungsi kata laluan, ia memerlukan pemasangan program komputer tertentu kepada pelayar web tersebut yang di kenali sebagai add on program. Di sini akan saya bincangkan beberapa pelayar web utama yang popular digunakan.

Bagi pelayar web Mozilla Firefox, boleh dipasang kepadanya program tambahan Master Password+. Ia boleh dimuat turun di alamat URL, https://addons.mozilla.org/en-US/firefox/addon/master-password/.

Bagi pelayar web Google Chrome pula, boleh dipasang kepadanya program tambahan Simple Startup Password.

Ia boleh dimuat turun di alamat URL, https://chrome.google.com/webstore/detail/ojoalkffommhmdmbohjphohoejjmgepc.

Mungkin ada program tambahan lain yang boleh digunakan untuk fungsi kata laluan seperti Internet Lock dan lain-lain. Cara yang sama juga bagi program-program pelayar web yang lain.

Bagi pelayar web Internet Explorer pula, ia boleh dikonfigurasikan dengan kata laluan dengan pergi ke Tools > Internet Option > Content > Content Advisor > General. Seterusnya pergi ke ruangan Supervisor Password dan klik butang create. Seterusnya masukan kata laluan yang dikehendaki dan klik OK.

Sekiranya sesebuah komputer digunakan dalam persekitaran rangkaian dan Windows, boleh digunakan program untuk polisi komputer seperti Group Policy untuk mengawal penggunaan sesebuah pelayar web dengan menggunakan kata laluan.

~ Utusan

Noobie, syarikat pengiklanan baru dilancar

Wednesday, September 14, 2011 0 Komen

Noobie, sebuah syarikat pengiklanan internet baru kini telah dilancarkan dimana orang ramai boleh mula mendaftar dengan mudah. Akaun facebook diperlukan untuk mula menggunakannya. Difahamkan, Noobie akan menyediakan iklan berdasarkan jumlah klik dan juga impressions. Kadar bagi satu klik walau bagaimanapun masih lagi tidak diketahui.

Noobie

Buat masa ini paparan memperlihatkan sistem point tetapi dikatakan akan bertukar kepada sistem wang tidak lama lagi. Mereka juga menetapkan jumlah pembayaran minimum sebanyak RM100 dan akan diproses dalam tempoh 30 hari. Buat masa ini terdapat dua iklan yang ditawarkan.

Noobie boleh diakses orang ramai tetapi dikatakan masih lagi diperingkat beta.

Terlupa kata laluan BIOS

Monday, July 11, 2011 0 Komen

Terlupa kata laluan untuk sistem Basic Input Output System (BIOS) sebuah komputer. Bagaimanakah caranya untuk setkan semula kata laluan tersebut?

--------------

Sekiranya kata laluan tersebut disediakan oleh pihak pengilang yang menghasilkan BIOS tersebut, maka sila semaknya dengan pihak pengilang.

Ini bagi memastikan sama ada pihak pengilang ada menyediakan satu kata laluan yang piawai secara lalai kepada BIOS tersebut.

Sebagai contoh, bagi BIOS yang dikeluarkan oleh pihak Award atau Award BIOS ada menyediakan kata laluan seperti AWARD SW, AWARD_SW, Award SW, AWARD PW, _award, awkward, J64, j256, j262, j332, j322, 01322222, 589589, 589721, 595595, 598598, HLT, SER, SKY_FOX, aLLy, aLLY, Condo, CONCAT, TTPTHA, aPAf, HLT, KDD, ZBAAACA, ZAAADA dan ZJAAADC.

Anda boleh lakukan ini dengan mengenal pasti terlebih dahulu pihak pengeluar BIOS yang digunakan.

Dengan ini, cuba lakukan pencarian di Internet dengan menggunakan enjin carian atau terus menghubungi pihak pengeluar BIOS tersebut.

Sekiranya kata laluan tersebut disetkan oleh seseorang dan terlupa apakah kata laluan tersebut, maka, ia boleh disetkan semula dengan setkan semula sistem BIOS atau reflashed dengan cara menggunakan perisian atau perkakasan.

Bagi kaedah setkan semula sistem BIOS menggunakan perisian, kita perlu mencapai komputer tersebut yang sedang dilarikan atau log in.

Sekiranya tidak berupaya mencapai komputer yang sedang dilarikan, kaedah setkan semula sistem BIOS menggunakan perkakasan boleh digunakan.

Kaedah setkan semula sistem BIOS dengan menggunakan perisian boleh dilakukan dengan melayari laman web pihak pengeluar.

Seterusnya, muat turun program untuk setkan semula sistem BIOS yang disediakan oleh pihak pengeluar.

Gunakan program tersebut untuk setkan semula sistem BIOS komputer anda.

Selain program komputer yang disediakan oleh pihak pengeluar, boleh juga menggunakan program-program yang dihasilkan oleh pihak ketiga.

Bagaimana pun, perlu dipastikan ia sesuai dengan jenis sistem BIOS yang digunakan. Sebagai contoh, boleh menggunakan program MS DEBUG. Namun begitu, perlu tahu cara menggunakannya.

Bagi kaedah setkan semula sistem BIOS menggunakan perkakasan, ia perlu dilihat suisnya yang dikenali sebagai jumper yang berada pada papan utama. Jumper ini perlu disetkan semula untuk setkan semula sistem BIOS.

Caranya adalah seperti berikut:

1. Sila lihat manual pengguna bagi senibina papan utama atau motherboard komputer tersebut. Kenal pasti lokasi jumper bagi BIOS yang berada pada papan utama. Biasanya jumper ini mempunyai 3 pin dan jumper tersebut akan temukan dua daripada tiga pin tersebut. Konfigurasi ini boleh dilihat dalam manual pengguna papan utama tersebut.

2. Pastikan komputer tersebut sudah dimatikan. Seterusnya, cabut jumper tersebut daripada pin-pin tersebut.

3. Masukkan kembali jumper tersebut pada pin yang berlawanan dengan konfigurasi asal. Sebagai contoh, sekiranya pada asal jumper tersebut diletakan pada pin 1 dan pin 2. Jadi, kita letakan kembali jumper tersebut pada pin 2 dan pin 3. sila rujuk buku manual papan utama anda.

4. Sila tunggu dalam beberapa saat.

5. Seterusnya kembalikan semula konfigurasi jumper tersebut ke lokasi pin yang asal.

6. Akhirnya, buka komputer seperti biasa.

Antara cara lain yang boleh digunakan untuk setkan semula sistem BIOS adalah dengan mencabut bateri CMOS yang ada pada papan utama. Sebelum itu, pastikan anda telah tutup komputer. Setelah mencabutnya, boleh hidupkan semula komputer anda. Dengan ini, kata laluan bagi sistem BIOS anda akan tiada.

~ ARKIB UTUSAN: 04/07/2011

Myspace dijual RM105 juta

Saturday, July 02, 2011 0 Komen

News Corp. menjual rangkaian sosialnya Myspace yang menghadapi masalah pada harga AS$35 juta (RM105 juta), sekali gus menamatkan zaman kegemilangan laman web tersebut yang tenggelam selepas kewujudan Facebook.

Myspace yang dibeli konglomerat media itu pada 2005 pada harga AS$580 juta (RM1.74 bilion), dijual kepada firma iklan Specific Media.

Blog teknologi All Things Digital milik News Corp. melaporkan, urus janji itu turut menyaksikan seramai 400 hingga 500 kakitangan Myspace diberhentikan.

“Myspace adalah perintis media rangkaian sosial. Syarikat itu telah mengubah cara pengguna melayari, menggunakan dan melibatkan diri dengan Internet.

“Kami akan menggabungkan platform iklan kami untuk mendorong golongan muda dalam inovasi digital,” kata Ketua Eksekutif Specific Media, Tim Vanderhook dalam satu kenyataan.


Jelasnya, mengikut perjanjian jual beli itu, News. Corp. akan memegang antara lima hingga 10 peratus saham Myspace dalam Specific Media.

Myspace yang dilancarkan pada 2003, merupakan laman web rangkaian sosial terkenal enam tahun lalu, tetapi popularitinya menurun apabila Facebook diperkenalkan.

Menurut firma penjejak comScore, Myspace pernah mencatat 21.8 juta pelawat unik bulanan di Amerika Syarikat (AS) pada Ogos 2005 berbanding Facebook yang hanya menerima 8.3 juta kunjungan unik ketika itu. – AFP

Carian tertinggi Internet 2010

Thursday, December 23, 2010 0 Komen

Senarai sepuluh teratas untuk carian di Internet sepanjang tempoh 2010 didominasi oleh enam selebriti yang tersenarai kerana populariti, menjadi ikon fesyen, pertukaran penampilan dan kelakuan mereka yang mengundang kontroversi.

Namun, topik yang paling banyak dicari pada 2010 ialah kes kebocoran telaga minyak British Petroleum (BP) di Amerika Syarikat (AS), insiden terburuk di AS.

Piala Dunia 2010 pula menduduki tangga kedua pencarian di Internet untuk tahun ini.

Sementara itu, bintang Hannah Montana, Miley Cyrus menjadi selebriti yang paling ramai dicari di tangga ketiga dalam senarai carian tertinggi 2010 itu ekoran berita buruk mengenainya, terutama melalui video lucah untuk lagunya Who Owns My Heart yang dikecam oleh organisasi keluarga sebagai tidak senonoh.

Bintang realiti televisyen Kim Kardashian yang sedang membuat penggambaran untuk rancangan barunya, selain penambahan cawangan kedainya di New York pula menjadi selebriti kedua tertinggi dicari dengan menduduki tangga ke empat carta.

Kardashian kekal berhubung dengan peminat-peminatnya melalui blog Celebuzz dan sudah tentu hubungannya dengan dunia 'sebenar' menjadi faktor utama dia tersenarai dalam senarai carian 2010, selain gambar bogelnya di muka depan majalah Wow.

Lady Gaga pula menduduki tangga kelima senarai carian 2010 itu sekali gus menjadi selebriti ketiga yang hangat dicari di Internet.

Penampilan peliknya sering kali menjadi tajuk utama, sama ada dia memakai pakaian diperbuat daripada daging atau berdebat dengan John MacCain tentang homoseksual dalam pasukan tentera, Lady Gaga sering mendapat liputan media di mana dia berada.

Tangga keenam carta pula diisi oleh iPhone ekoran pengeluaran model baru mereka iaitu iPhone 4.

Pelakon jelita, Megan Fox yang menduduki tangga ketujuh carta menjadi selebriti seterusnya yang paling banyak dicari ekoran tindakannya yang menghina filem Transformers 3: Dark of the Moon ketika Mochael Bay menolak untuk mengambilnya berlakon semula.

Namun punca utama yang membuatkannya tersenarai ialah perkahwinan musim panasnya dengan teman lelakinya Brian Austin Green.

Diikuti rapat ialah penyanyi remaja popular, Bieber yang menduduki tangga kelapan carta ekoran mengadakan konsert di serata dunia, mencatat jualan cakera padat (CD) tertinggi dan menerima empat Anugerah Muzik Amerika menduduki tangga teratas senarai carian 2010.

Menurut E! Online, daya tarikan Bieber serta penyertaannya dalam Twitter yang didorong dengan dakwaan bahawa Kim Kardashian adalah kekasihnya dan kemudiannya menerima ancaman bunuh mungkin menjadi faktor utama dia tersenarai di tangga teratas.

Kedudukan kesembilan pula diduduki oleh rancangan pencari bakat popular AS iaitu American Idol.

Selebriti terakhir yang tersenarai dalam senarai sepuluh teratas untuk carian di Internet yang juga menduduki tangga terakhir carta carian 2010 ini ialah Britney Spears. - Agensi

Ketagihan internet jejas pelajar

Monday, August 16, 2010 0 Komen

Ketagihan internet di kalangan pelajar, terutama murid sekolah rendah akan membantut proses pembangunan sosial dan interaksi seseorang itu dengan keluarga dan masyarakat apabila dewasa nanti.

Pakar Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari, berkata penggunaan komputer atau internet tanpa batasan bukan saja boleh memudaratkan aspek psikologi kanak-kanak, malah mengganggu kesihatan fizikal.

“Pendedahan mata terlalu lama pada skrin komputer serta penggunaan kerusi tidak betul ketika melayari internet juga boleh memudaratkan kesihatan fizikal kanak-kanak yang masih dalam proses tumbesaran,” katanya.

Beliau diminta mengulas kecenderungan pelajar termasuk kanak-kanak sekolah rendah menggunakan komputer sehingga menyebabkan mereka sering tertidur ketika waktu pembelajaran di sekolah.

Laporan kajian penggunaan komputer oleh keluarga di Malaysia 2010 yang dijalankan syarikat keselamatan internet antarabangsa, Norton mendapati kanak-kanak di negara ini menghabiskan masa 64 jam setiap bulan melayari internet.

Dr Muhammad Muhsin berkata, penggunaan internet tanpa pengawasan ibu bapa juga memudaratkan kepada kanak-kanak kerana mereka menerima maklumat banyak, termasuk yang tidak dapat diterima pemikiran mereka.

Katanya, pelajar adalah kelompok yang belum matang, jadi sukar untuk mereka membuat pertimbangan dan penilaian atas apa maklumat yang diperoleh.
“Lebih membimbangkan jika maklumat seks dan bahan lucah diperoleh daripada internet, justeru ibu bapa kena buat pemantauan dan pengawasan,” katanya.



Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

Layari : Zonfiniti

Go Daddy ikut jejak Google di China

Friday, March 26, 2010 0 Komen

Dua hari selepas Google menghentikan penapisan di China, sebuah lagi syarikat Internet Amerika Syarikat (AS), Go Daddy semalam berkata, pihaknya akan menarik operasi mereka di sana berikutan peraturan di negara itu.

Go Daddy, sebuah laman web pendaftaran nama terbesar di dunia kini tidak lagi berbuat demikian di China berikutan keperluan baru 'menyeramkan' yang dikenakan oleh pihak berkuasa China, menurut timbalan presiden eksekutif, Christine Jones.

Jones juga memaklumkan Suruhanjaya Eksekutif Kongres di China bahawa Go Daddy merupakan antara syarikat yang terkena tempias serangan siber yang berpangkalan di China pada Disember lalu sehingga menyebabkan Google menghentikan operasi mereka di sana.

Wakil, Chris Smith, seorang penyokong Republik dari New Jersey memuji tindakan Google dan Go Daddy kerana 'telah melakukan perkara yang betul di China' selain menggesa syarikat-syarikat AS yang lain, terutamanya Microsoft supaya mengikut jejak langkah mereka. - AFP

"Tindakan Google itu telah membuka mata semua pihak di seluruh dunia dan kini syarikat gergasi kedua Amerika turut melakukan perkara yang sama untuk mempertahankan hak rakyat China," katanya.

Isnin lalu Google mengumumkan pihaknya telah menghentikan enjin carian dalam bahasa Cina di China, Google.cn dan mula mengalihkan pengguna di tanah besar China kepada laman web yang tidak ditapis di Hong Kong.

Alan Davidson, pengarah polisi awam Google memaklumkan, laman web Hong Kong itu, bagaimanapun telah ditapis.

"Kami sedar bahawa kerajaan China pada bila-bila masa boleh menutup akses perkhidmatan kami, kami juga telah melihat penapisan sekali sekala yang dibuat ke atas enjin carian tertentu di Google.com.hk dan Google.com," katanya.

Davidson turut mengikut gesaan yang dibuat oleh pengasas bersama Google, Sergey Brin mengenai peraturan baru untuk mengawal perdagangan di dunia Internet.

Selain itu, Brin dalam satu sesi temu bual dengan akhbar Britain, The Guardian berkata, peraturan China yang menghalang mana-mana syarikat daripada bersaing di China boleh didakwa sebagai 'sekatan perdagangan'.

China pengguna Internet terbesar dunia

Friday, March 26, 2010 0 Komen

Pegawai tertinggi China berkata, rakyat negara ini telah menjadi pengguna dalam talian terbesar di dunia, dengan anggaran mencecah lebih 500 juta orang dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Tiga suku daripada pelayar laman web baru yang muncul sejak beberapa tahun ini datangnya di kalangan penduduk luar bandar, lapor akhbar Global Times yang memetik kenyataan Naib Menteri dalam pejabat Media Majlis Negeri, Qian Xiaoqian.

Menurut perangkaan rasmi terbaru, China kini mencatat 384 juta pengguna dalam talian.

Dengan peningkatan pengguna dalam talian jelas telah menjadikan Internet sebagai forum terbuka bagi masyarakat negara ini untuk meluahkan pendapat mereka, di mana ia jarang berlaku melalui media tradisional, yang dikawal ketat oleh kerajaan.

Peningkatan dan kuatnya pengaruh laman web di Beijing, bagaimanapun telah menimbulkan kebimbangan dan mendorong pihak berkuasa meningkatkan lagi kawalan sejak kebelakangan ini, bagi menangani potensi Internet menjadi alat yang boleh menimbulkan kekacauan sosial.

Sehubungan itu, kerajaan telah menyekat kandungan laman web yang dianggap menyentuh sensitiviti politik melalui sistem 'Great Firewall of China' yang diguna secara meluas.

Isnin lalu, rangkaian Internet terbesar Google berkata, mereka telah mengambil keputusan untuk mengalihkan pertanyaan carian di tanah besar China kepada laman web yang tidak ditapis di Hong Kong untuk melepasi tapisan China, sehingga mengundang kemarahan China. - AFP

Jerat Internet

Thursday, November 19, 2009 0 Komen

Penggunaan Internet kian meningkat di kalangan penduduk negara ini dengan kebanyakan masyarakat di Malaysia mula mengenali kebaikan yang mampu mengubah kehidupan.

Apatah lagi dengan kemudahan rangkaian jalur lebar yang memudahkan akses kepada Internet rancak dipromosikan, syarikat telekomunikasi menawarkan pakej dengan harga semurah RM49 sebulan.

Di sebalik celik Internet di kalangan warganegara Malaysia, timbul pula persoalan moral yang dibangkitkan seperti buli siber, pencurian data dan sebagainya.

Salah satu agensi kerajaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertanggungjawab mengawasi keselamatan 'online' di negara ini iaitu Cybersecurity Malaysia melaporkan hampir 2,937 insiden online berlaku pada tahun ini .

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lt Kol (b) Husin Jazri, mendedahkannya sebagai meningkat 68 peratus berbanding tempoh sama iaitu Januari hingga Oktober pada tahun lalu.

"Ia satu angka yang serius dan mungkin lebih banyak kerana insiden yang kami ada berdasarkan laporan dibuat.

"Cuba bayangkan insiden yang tidak dilaporkan, ia mungkin lebih banyak daripada kaca mata kita," katanya.

Husin berkata, perkataan insiden digunakan organisasinya kerana laporan yang diterima daripada orang awam mungkin boleh dijadikan kes atau tidak bergantung kepada masalah online dihadapi pengguna.

"Masalah keselamatan komputer pada masa kini lebih kompleks, ia bukan lagi berkaitan isu teknikal tapi sudah membabitkan isu moral dihadapi pengguna yang mengakses Internet," katanya.

Malaysia akan bersama dunia pada 30 November ini bagi menyambut Hari Keselamatan Komputer, menunjukkan isu keamanan suasana perkomputeran perlu dititikberatkan dalam usaha memberikan kehidupan bahagia tanpa ancaman siber.

"Kita masih di peringkat awal dalam dunia Internet, namun perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dengan jenayah siber yang boleh mengakibatkan kehidupan musnah hanya kerana satu klik," katanya.

Menurutnya, jumlah 16.5 juta pengguna komputer peribadi (PC) di negara ini menunjukkan pelbagai transaksi berlaku sama ada perbankan, sosial dan sebagainya yang berupaya mengundang ancaman.

"Malah, aktiviti sosial di laman web seperti Facebook, MySpace dan banyak lagi memungkinkan gejala tidak sihat berlaku sekiranya tidak dikawal dengan baik," kata Husin.

Beliau mendedahkan, laporan terkini menunjukkan pengguna Facebook di negara ini mencecah angka 2,619,040 pengguna dan diletakkan di tangga ke-18 di dunia sebagai negara yang aktif memperbaharui status masing-masing dalam laman web sosial itu.

"Ia angka yang bagus menunjukkan kadar celik teknologi maklumat (IT) di kalangan pengguna, namun pengguna juga perlu celik keselamatan kerana ia penting bagi memelihara identiti," katanya.

Tambahnya,ini berikutan 2,937 insiden yang berlaku sehingga Oktober lalu membabitkan masalah menumpang identiti orang lain, perkhidmatan dinafikan, penipuan dan pemalsuan, terdedah kepada niat jahat, gangguan kandungan tidak senonoh, kod jahat atau 'malicious' dan gangguan sistem.

Malah, tidak terkecuali masalah kegiatan menyamar sebagai individu tertentu dengan tujuan mengaibkan atau mengaut keuntungan yang mula menular mencari mangsa untuk ditipu.

Ketua Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT), Adli Abd Wahid, memaklumkan hampir 151 kes membabitkan gangguan di Internet dilaporkan kepada pasukannya.

"Insiden tertinggi dilaporkan pada Februari lalu dengan 23 laporan manakala Julai mencatatkan angka kedua tertinggi iaitu 22 laporan," katanya.

Beliau berkata, setiap insiden boleh disusuli dengan laporan polis memandangkan organisasinya tidak bertanggungjawab sebagai penguat kuasa.

"Gangguan di Internet boleh tergolong dalam kategori 'cyberstalking' atau 'penghendap siber'," kata Adli.

Penghendap siber didefinisikan sebagai penggunaan Internet atau saluran elektronik lain untuk menghendap orang lain dengan tujuan jahat sama ada sebagai individu atau organisasi.

Kelakuan ini termasuk tuduhan palsu, memfitnah, mengancam, mengeksploitasi seks, menyalahguna e-mel orang lain, mencuri identiti dan mengumpul maklumat orang lain yang bertujuan mengganggu individu terbabit.

Adli berkata, terdapat insiden dilaporkan menunjukkan e-mel mangsa diconteng pada dinding tandas yang mengatakan mangsa ingin menawarkan perkhidmatan seks.

"Pada kebiasaannya, pemangsa adalah individu mengenali mangsa seperti bekas teman lelaki atau suami yang mahu membalas dendam," katanya.

Beliau berkata, pasangan kekasih atau suami isteri mengetahui data lengkap pasangan masing-masing dan membalas dendam dengan membocorkan maklumat peribadi sebaik mereka berpisah.

Dalam pada itu, Husin menambah, terdapat mangsa yang berada dalam keadaan trauma apabila identitinya dicuri dan didaftarkan sebagai pengguna palsu di laman web sosial selepas dia memutuskan hubungan.

"Maklumat mangsa didaftarkan ke akaun MySpace dengan menyatakan mangsa berminat untuk menawarkan khidmat seks," katanya.

Tidak beberapa lama dulu, berlaku kes sama yang dihadapi pelakon terkenal tanah air, Haliza Misbun apabila identitinya dimuatkan dalam akaun Facebook.

Nama baik Haliza, 36, tercemar dengan perbuatan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar dirinya, sekali gus, 'melayan mesra' peminat pelakon itu yang mendaftar masuk dalam senarai kenalan.

Haliza membuat dua laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada 11 September lalu dan Balai Polis Bukit Indah, Ampang, Selangor (12 September).

Selain itu, pelakon terbabit turut menghantar kedua-dua salinan aduannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya untuk tindakan susulan.

Berdasarkan laporan Harian Metro, Haliza memaklumkan dia malu dan kesal apabila ada individu tidak bertanggungjawab sanggup menipu peminat dengan menyamar sebagai dirinya di Facebook dan dianggap mencemarkan imejnya.

Baru-baru ini, terdapat laporan di San Francisco, Amerika Syarikat yang melaporkan lima pengguna Facebook menyaman rangkaian sosial Internet itu kerana membenarkan anggotanya berkongsi aspek kehidupan dalam laman web.

Tindakan undang-undang yang difailkan di sebuah mahkamah di selatan California menuduh Facebook menjadi 'lombong' data dan tidak menunaikan janji untuk memberikan pengguna kawalan ketat terhadap data yang dimasukkan ke dalam profil.

Saman itu menuntut bayaran ganti rugi, namun Facebook menolak saman itu dengan mendakwa ia tidak berasas.

Antara plaintif ialah seorang wanita yang menyertai Facebook pada fasa awalnya ketika keanggotaannya dihadkan kepada pelajar kolej.

Facebook dituduh mengkhianati wanita itu dengan menjadikan laman berkenaan rangkaian sosial terbuka yang hingga kini dianggotai 250 juta orang di seluruh dunia.

Laman web itu satu bentuk medium sosial media kerana lebih menghubungkan seseorang secara santai yang mungkin bertebaran jauh, merentas benua menerusi platform Internet.

Pengguna boleh meluahkan perasaan atau pandangan menerusinya dan pada masa sama sebagai platform untuk memperkenalkan diri dan menggambarkan identitinya yang sebenar.

Walau bagaimanapun, kita perlu berhati-hati ketika mendedahkan maklumat di laman sembang kerana Facebook dan laman sembang lain juga pernah dikaitkan dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) milik Amerika Syarikat satu ketika dulu.

Kebimbangan mengenai keselamatan data mungkin timbul jika ada pengguna Facebook yang menyalahgunakan maklumat atau profil seseorang untuk tujuan tertentu dengan menjual maklumat itu kepada syarikat tertentu kerana dalam banyak keadaan, tidak ada sistem yang dijamin selamat.

Maklumat peribadi yang disimpan dalam laman sosial boleh digunakan sesiapa saja untuk menghantar virus atau spam menerusi e-mel kerana menerusi Internet, seseorang itu boleh menjadi sesiapa saja tanpa perlu menyalurkan maklumat sebenar.

Pengguna sendiri perlu menjadi penapis kepada semua maklumat yang mahu disiarkan.

Kalau dilihat senario semasa, tidak semua pengguna laman sembang mahu mendedahkan identiti sebenar dan lebih selesa menggunakan nama samaran yang bertujuan untuk berseronok semata-mata.

Menyentuh mengenai tindakan jika menjadi mangsa di laman web sosial, Husin berkata, pengguna boleh melaporkan kepada organisasinya kerana agensi terbabit lebih dikenali kerana di bawah pengawasan kerajaan.

"Sekiranya pengguna mengalami insiden akaun diceroboh tanpa kebenaran dan kecurian maklumat, bolehlah merujuk kepada kami menerusi perkhidmatan Cyber999," katanya.

Tambahnya, jika mangsa melaporkan mengenai insiden mereka terus kepada pengurusan laman web sosial, ia mungkin sukar dipercayai namun jika menggunakan khidmat Cyber999 mungkin dapat mengukuhkan laporan terbabit.

Justeru, pengguna perlu bijak memelihara data peribadi agar nasi tidak menjadi bubur pada kemudian hari yang memberi kesan negatif kepada kehidupan.

 

ZONFINITI