Showing posts with label Panduan. Show all posts
Showing posts with label Panduan. Show all posts

Cecair zakar keluar, sukarkan solat

Friday, August 01, 2014 0 Komen

Cecair keluar, sukarkan solat

Sejak dua minggu lalu, zakar saya mengeluarkan cecair putih jernih seperti mazi tetapi tidak berlendir dan tidak juga berbau. Untuk pengetahuan doktor, saya berusia 31 tahun dan bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Cecair ini keluar hampir setiap masa dalam kuantiti yang sedikit. Ia menyukarkan saya untuk melakukan solat dan sedikit sebanyak merunsingkan.

Untuk makluman, zakar saya berfungsi seperti biasa tetapi apabila bahagian kepala atau pangkal zakar ditekan, akan terasa gatal atau perit tapi dalam keadaan minimum.

Dalam keadaan biasa sehari-hari, tidak terasa sakit atau apa-apa rasa. Harap doktor dapat memberi penjelasan.

----------------

Lapisan mukosa dalam salur kencing lelaki mengandungi pepundi kecil yang menghasilkan cecair jernih dan membuatkan salur kencing lembap.

Cecair ini boleh keluar secara berlebihan apabila pepundi yang menghasilkannya radang, boleh berlaku akibat jangkitan dan jarang kali akibat amalan onani.

Apabila keradangan itu lega, penghasilan cecair itu akan reda. Jika keadaan masih berkekalan atau kelihatan ketara, ini mungkin menggambarkan jangkitan yang memerlukan rawatan.

Soalnya, bagaimana boleh terkena jangkitan? Biasanya melalui hubungan seks rambang tanpa penggunaan kondom atau melalui seks oral.

Jarang ia terjadi akibat penyakit kencing kotor di mana jangkitan itu datang dari pundi kencing. Cecair akibat jangkitan berwarna lebih pekat dan mudah melekat pada pakaian dalam.

Keadaan ini jarang menyebabkan penghujung zakar terasa gatal atau pedih. Cecair mazi yang jarang keluar ketika meneran, tidak sama dengan cecair hasil dari keradangan salur kencing.

Ia keluar ketika meneran dan warna lebih jernih atau keputihan. Cecair mazi yang keluar akibat teruja seks pula lebih jernih dan hanya keluar apabila lelaki itu terangsang.

Pengeluaran cecair akibat keradangan keluar pada bilabila masa dan lebih banyak jika keradangan itu ketara.

Saya banyak mengendalikan kes keradangan salur kencing akibat seks oral, sama ada secara rambang (seks rambang yang hanya lakukan seks oral saja dengan pasangan rambang, atau tunang atau bakal isteri) atau secara halal (dengan pasangan bergelar isteri (bukan tunang atau bakal isteri).

Jika ia jangkitan, tanpa rawatan sewajarnya, ia boleh menular ke kawasan dalaman dan mengancam kesuburan lelaki itu apabila jangkitan merebak ke pundi prostat atau buah zakar.

Anda boleh bayangkan pelbagai kemungkinan yang memberi simptom pengeluaran cecair dari salur kencing dan perasaan pedih penghujung salur kencing.

Jumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan anda perlu berterus terang jika mahu masalah anda dikendalikan dengan baik.

Tip Petua Untuk Mudah Bangun Subuh

Wednesday, March 12, 2014 0 Komen

Petua Untuk Mudah Bangun Subuh

1. Tidur awal sekitar 10 atau 11 malam supaya tidur anda mencukupi.

2. Ambil wuduk sebelum tidur.

3. Tanam azam di dalam diri untuk bangun awal.

4. Baca surah Al-Mulk, tiga Qul dan doa sebelum tidur.

5. Pasangkan niat; “Aku nak bangun pukul …. kerana Allah s.w.t.”

6. Maafkan semua orang sebelum tidur.

7. Elakkan makan makanan berat sebelum tidur.

8. Elak diri dari melakukan maksiat sebelum tidur.

9. Gunakan jam loceng atau alarm di telefon bimbit untuk membantu anda. Pastikan ia berkualiti.

10. Minta tolong orang lain seperti ibu, isteri atau suami, atau rakan untuk mengejutkan anda. Mungkin minta mereka simbahkan air atau urut ibu jari anda sekiranya masih sukar untuk bangun.

~ Gempak

Pengambilan dadah buatan berbahaya

Monday, February 17, 2014 0 Komen

"Dalam perubatan, heroin digunakan sebagai ubat penahan sakit dan penenang kepada pesakit yang mendapat serangan jantung, sakit akibat kemalangan parah atau luka terbakar.

"Pengambilan tidak terkawal dadah jenis ini boleh merosakkan organ penting, termasuk hati, buah pinggang, jantung dan otak," kata Pegawai Perubatan, Jabatan Kecemasan dan Rawatan Am, Hospital Columbia Asia, Dr Hanafiah Bashirun.

Jelasnya, dadah tulen melalui kajian terperinci mengenai bahan kimia dan kesan penggunaan kepada badan manusia di makmal hanya digunakan untuk tujuan perubatan tertentu. Ia diberi kepada pesakit yang benar-benar memerlukan oleh pakar perubatan.

Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad bertajuk `Ramuan Maut' bertarikh 23 April 2000 memaparkan tindakan penagih dadah kelas bawahan melepaskan gian dengan menyuntik dadah mengandungi bahan berbahaya iaitu heroin bersama racun tikus, serbuk lingkaran ubat nyamuk dan kaca mentol lampu.

"Kombinasi bahan asing yang juga beracun tanpa melalui proses ujian makmal semestinya memberi kesan buruk kepada pengguna.

"Setiap bahan dimasukkan ke dalam badan akan diproses. Ia bermula di hati dan dibawa ke buah pinggang untuk tapisan. Bahan ini berupaya merosakkan dan memecahkan sel organ berkenaan, sekali gus mengakibatkan kegagalan organ berfungsi.

"Lebih teruk lagi, sel otak turut mengalami kerosakan disebabkan bahan asing berkenaan," katanya.

Katanya, pengambilan dadah ini melalui suntikan membuka ruang risiko tinggi jangkitan seperti Hepatitis B, Hepatitis C dan HIV, selain bernanah di kawasan suntikan.

Menurutnya, kematian penagih berlaku disebabkan kegagalan organ berfungsi atau jangkitan hepatitis dan HIV.

Menafikan dadah buatan memberi kesan khayal lebih lama, Dr Hanafiah berkata, dadah buatan juga boleh mengakibatkan ketagihan.

"Individu yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah dinasihatkan berhenti dan mendapatkan bantuan pusat pemuliharaan disediakan kerajaan untuk menghentikan ketagihan.

"Manakala `pencipta' dadah buatan pula perlu bertanggungjawab dan berhenti merosakkan anak bangsa dan kematian yang sia-sia di usia muda," katanya.

Fakta Dadah

* Polis mengesahkan sebahagian besar penagih dadah terdedah kepada maut akibat 95 peratus kandungan heroin di pasaran tempatan dicampur pelbagai racun berbahaya.

* Dadah buatan itu boleh menyebabkan keadaan penagih dadah lebih kronik seperti mayat hidup. * Kandungan bahan asing terlalu banyak seperti tepung dalam heroin membuatkan kesan khayal tidak seperti diharapkan penagih.

* Heroin palsu yang mempunyai 95 peratus bahan asing berharga antara RM15 hingga RM20 satu tiub, namun tempoh khayal sekadar 15 minit.

* Faktor pengedar memalsukan heroin adalah kesukaran mendapat bekalan heroin tulen dan harga jauh lebih mahal, selain sikap tamak pengedar ingin mendapatkan keuntungan berlipat ganda.

* Serbuk kaca dicampur heroin akan diproses terlebih dulu hingga menjadi halus dan boleh sebati dengan heroin, ia selalunya digunakan untuk membuat racun.

Tip panduan pengubahsuaian rumah

Sunday, December 15, 2013 0 Komen

Panduan pengubahsuaian rumah

Memang menjadi kebiasaan rakyat Malaysia membuat pengubahsuaian dan penambahan terhadap rumah mereka. Sering kali berlaku pengguna menghadapi masalah apabila kontraktor yang sepatutnya menjalankan kerja-kerja tersebut, tidak melakukannya dengan baik atau ada kalanya meninggalkan kerja-kerja tersebut terbengkalai begitu sahaja.

Sebelum membuat kerja-kerja pengubahsuaian, anda hendaklah memutuskan kerja-kerja yang anda ingin lakukan. Secara tepatnya, sebelum anda melantik kontraktor untuk membuat kerja-kerja pengubahsuaian, anda perlu memutuskan jenis pengubahsuaian yang dilakukan, seperti mengubah suai dapur, bilik mandi atau hiasan dalaman.

Justeru, berikut adalah beberapa panduan, apabila ingin membuat kerja pengubahsuaian, bagi melindungi kepentingan anda sebagai pengguna.

- Dapatkan kurangnya tiga sebut harga kontraktor.

- Pastikan kontraktor itu mempunyai lesen yang sah. Anda boleh menyemak dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

- Elakkan daripada berurusan dengan kontraktor yang datang ke rumah anda, menawarkan sebut harga yang rendah.

- Sediakan dokumen kontrak secara bertulis. Dokumen kontrak hendaklah menyatakan jenis kerja-kerja perlu dilakukan, bahan-bahan yang akan digunakan, jumlah kos projek dan mula dan tarikh siap.

- Pastikan anda mendapat resit apabila membuat pembayaran. Anda boleh membayar secara tunai, tetapi bayaran dengan cek adalah yang terbaik dan melindungi anda jika ada masalah atau jika jaminan atau jaminan yang terlibat.

- Jika anda perlu membayar deposit, ia hendaklah tidak melebihi 10% daripada harga projek.

Kekasih muda tak ikhlas

Monday, October 07, 2013 0 Komen

Kekasih muda tak ikhlas

Kawan perempuan saya berusia 37 tahun dan belum berkahwin berbanding rakan sebaya lain ramai yang sudah berkeluarga.

Tiga bulan lalu dia mengenali lelaki berusia awal 20-an dan dia begitu ceria. Namun saya kurang senang mengenai hubungannya dengan teman lelaki itu.

Dia seperti dipergunakan kerana teman lelaki itu pinjam duit daripadanya. Saya mengetahuinya apabila terbaca SMS pada telefonnya.

Meskipun pinjaman sekadar RM200 saja, saya melihat lelaki berkenaan tidak ikhlas dan cuba mengambil kesempatan daripada kebaikan rakan saya.

Sedangkan komitmen rakan saya cukup besar iaitu menanggung ansuran rumah didiami keluarga, menanggung ibunya yang sudah uzur serta adik bongsu yang masih belajar.

Biarpun dia mempunyai dua adik lelaki sudah bekerja dan berkeluarga, mereka tidak mampu menampung keperluan perubatan ibu yang tua. Saya geram tetapi tidak sampai hati untuk menegur sikap 'murah hati' kerana dia sayangkan lelaki itu.

Perlukah saya menegur sikapnya yang murah hati itu kerana takut dia ditipu teman lelaki muda darinya?

---------------

 Seorang teman baik tidak akan berkompromi terhadap benda buruk terjadi kepada rakannya. Oleh itu bercakap benar terhadap teman saudari meskipun menyedari ada hati akan terluka. Ia lebih baik daripada saudari terus memerhati rakan menjadi mangsa kepada sikap ambil kesempatan teman lelakinya.

Jika saudari bertindak awal, setidak-tidaknya saudari boleh memberi ingatan kepada rakan berkenaan. Maklumlah kadangkala disebabkan panahan cinta, seseorang itu sukar membuat pertimbangan rasional serta memerlukan panduan.

Di sini melihat peranan saudari memberi nasihat kepada rakan agar tidak terjerumus menjadi mangsa kaki kikis kepada teman barunya. Meskipun rakan saudari itu terluka, ia tidak akan parah kerana saudari sudah mencegah terlebih dulu. Ia hanya sebagai langkah berjaga-jaga dan bukannya atas niat untuk mengkhianati rakan.

Namun perlu diingatkan, pendekatan serta cara saudari menegur perlulah berhemah dan lembut. Gunakan nada serta perkataan sesuai agar nasihat itu boleh terima. Selitkan elemen emosi yang mana saudari berasa bimbang dan kecewa apabila melihatnya berada dalam kesusahan.

Sekurang-kurangnya saudari boleh 'jentik' perasaan curiga. Ia boleh menjadi perisai kepada perasaan kasih serta sayang keterlaluan terhadap teman lelakinya itu. ~ Metro Ahad

Tip Memandu: Pastikan lampu, brek berfungsi

Wednesday, November 28, 2012 0 Komen

Pastikan lampu, brek berfungsi

Keadaan cuaca tidak menentu terutama jika ditambah jerebu sekali sekala pastinya menyukarkan pemanduan kerana jarak penglihatan terhad terutama jika memandu pada kelajuan tinggi.

Jarak penglihatan terhad bukan saja menyukarkan pemandu, tetapi boleh mengundang masalah besar hingga berlakunya kemalangan.

Anda sebagai pengguna lalu lintas perlulah memastikan beberapa komponen penting kenderaan terutama lampu dan brek berada dalam keadaan sempurna.

Komponen lampu sama ada depan atau belakang amat penting bagi membolehkan anda melihat dengan jelas terutama pada waktu malam selain memudahkan pemandu kenderaan lain melihat anda.

Ramai pemandu tidak sedar pentingnya lampu pada kenderaan mereka dan proses menguji komponen itu hanya mengambil masa lebih kurang 15 minit saja.

Setiap lampu hadapan kenderaan adalah berpasangan dan mempunyai penutup yang sama. Jika satu daripada lampu tidak berfungsi, 'pasangannya' pasti turut mengalami masalah.

Periksa setiap penutup lampu pada kenderaan untuk memastikan tidak ada keretakan yang boleh menjejaskan pancaran lampu.

Perlu juga memeriksa pemantul cahaya yang kebiasaannya bersalut aluminium bagi memastikan ia tidak terguris atau karat.

Jika didapati ia tercalar atau terkeluar, seluruh pemantul perlu diganti segera kerana ia menjejaskan kuantiti pancaran.

Bagaimanapun, ia boleh dibersihkan dengan kain bersih, sabun dan air. Jangan menggunakan penanggal karat, penggilap atau bahan kimia lain kerana bakal merosakkan salutan aluminium.

Bagi membaiki atau mengesan kerosakan komponen itu di bahagian belakang, pemilik kenderaan perlu ke belakang kenderaan dan minta seorang pembantu menghidupkan enjin serta menyuruhnya memasang suis lampu itu atau menekan brek (bagi mengesan kerosakan lampu brek).

Jika lampu masih menyala selepas brek dilepaskan, bermakna suis di bahagian pedal brek mengalami kerosakan.

Jika lampu brek tidak menyala, periksa lampu, pemegangnya, sambungan wayar dan fius.

Kaedah yang sama boleh dilakukan bagi memeriksa lampu lain termasuk lampu depan, lampu isyarat membelok dan lampu kabus.

Selain itu, kerosakan itu boleh dirujuk kepada mekanik atau pusat servis untuk membuat pemeriksaan terhadap lampu dan brek atau melakukannya di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Bagaimanapun, anda masih perlu membawa kenderaan anda ke bengkel atau pusat servis untuk dibaiki selepas Puspakom mengesan kerosakan pada kereta.




Petua Cemerlang - Teknik mengekalkan motivasi diri

Thursday, February 23, 2012 0 Komen

Teknik mengekalkan motivasi diri
Tahap motivasi diri anda menentukan kejayaan atau kegagalan anda. Kebanyakan pelajar berada dalam kategori tidak bermotivasi atau berada pada pusingan roda, ke atas dan ke bawah!

Dalam artikel ini, saya membincangkan teknik mengekalkan motivasi diri, cara melenyapkan kemalasan dan mengurangi pengaruh sekitaran yang memusnahkan motivasi pelajar.

Kemalasan sering menjadi penyebab ketidakcekapan pelajar.

Pernahkah anda mendengar seseorang berkata, ``saya letih. Saya penat. Nanti saya buatlah''.  Dan sebagainya.

Terasa letih atau malas dan anda kerap berhenti di tengah jalan.

Untuk mengekalkan rentak motivasi anda, jangan biarkan kemalasan dan keletihan menghalang kemaraan anda mencapai matlamat.

Keletihan mampu menjadi kebiasaan dan penyebab minda tidak beraksi.

Pada mulanya, apabila anda terasa letih, anda terus sahaja berhenti membaca.

Minda anda pun turut menipu anda.

Apabila anda sepatutnya menyelesaikan kerja sekolah, atau tugasan yang memerlukan pemikiran kreatif, minda anda memicu program keletihan anda, menyebabkan cepat menjadi malas.

Keputusan

Anda lantas mengambil keputusan bahawa sekarang bukan masa yang sesuai untuk belajar.

Keterjagaan dan keletihan berlaku dalam edaran masa 90 minit, sama seperti kelaparan.

Dalam masa hanya 20 minit dari sejam setengah, anda sudah terasa letih.

Tetapi, jika anda terus berada dalam keadaan jaga dan aktif, maka keletihan itu akan berlalu dan anda mengalami kesegaran yang tidak terhingga.

Apabila mengalami keletihan, teruslah belajar dengan mengalihkan penumpuan daripada projek yang kreatif kepada sesuatu yang kurang memerlukan tenaga otak.

Misalnya, jika anda mengarang, berhenti sejenak, kepada mengemas buku untuk jadual hari esok.

Atau, kalau anda letih membaca, berhenti sejenak, alihkan pandangan ke arah luar tingkap, bangun menuju ke tingkap, menyedut udara segar, menarik nafas panjang-panjang dan menghembuskan nafas dalam kiraan 1,2,3,4.

Lakukan tiga empat kali begini.

Jangan lebih daripada lima minit berhenti membaca.

Setelah melakukan gerakan menarik nafas panjang di tepi tingkap, kembalilah ke meja belajar.

Duduk dan buka buku seolah-olah anda baru mendapat buku baru!

Kemudian kembali membaca.

Keletihan

Keletihan ketika membaca dapat juga dihindari dengan menentukan cara duduk yang betul.

Duduk dalam keadaan tegak sewaktu membaca.

Jangan duduk menyandar, membongkok atau menundukkan kepala ke arah muka buku.

Ada beberapa cara lain yang dapat membantu anda mengatasi keletihan ataukemalasan belajar.

Pertama: Minum setengah gelas air bersih (disuling atau dimasak), setiap 15minit sekali. Jangan minum air berais atau bergas.

Dengan mengisikan badan dengan air membolehkan sistem limpa teraktif dan mengeluarkan toksin termasuk asid laktik, yang menjadi penyebab utama anda terasa letih dan mengantuk.

Kedua: Tarik nafas dalam-dalam sebanyak 10 kali. Bernafas dalam kiraan 1,2; tahan hingga dua saat dan hembuskan nafas sehingga kiraan 1,2,3,4.

Lakukan latihan bernafas sewaktu duduk tegak atau berdiri.

Latihan seperti ini akan memaksa tekanan udara anda mengarah ke dinding peparu.

Darah mendapat udara dan memindahkan oksigen ke otak anda, menyebabkan anda terasa jaga.

Ketiga: Lakukan 10 kali gerakan mendepang dan mengecilkan dada atau berlari setempat selama 30 saat.

Tambahkan denyutan hati anda dengan menyempitkan dan melebarkan otot- otot anda.

Keempat: Dongakkan kepala ke arah siling sambil menarik nafas, setiap sepuluh minit.

Lakukan begini semasa duduk membaca atau semasa duduk mendengar guru sedang mengajar. Atau, gerakkan kepala ke kiri dan ke kanan selepas setiap 20 minit duduk mendengar atau membaca.

Kelima: Picu kelenjar adrenal anda.

Ada satu tempat pada tapak tangan anda, yang apabila digosok selama 30 saat, akan mengepam adrenalin ke dalam sistem pergerakan anda.

Gosok tempat ini apabila anda keletihan atau apabila anda terasa pening.

Okay, selamat bermotivasi!

Kaunseling bantu pelajar bina keyakinan diri

Friday, February 10, 2012 0 Komen

Bukan mudah untuk seorang guru bimbingan dan kaunseling untuk memberikan keyakinan kepada pelajar, bahawa mereka sedia membantu pelajar-pelajar untuk membina keyakinan diri dan juga menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Sebagai seorang guru kaunseling, tidak cukup bagi mereka sekiranya hanya mempunyai kelulusan yang tinggi dalam bidang bimbingan dan kaunseling, tetapi ciri sebagai seorang penyampai maksud yang berkesan tidak dikuasai sepenuhnya.

Mereka juga perlu mempunyai ciri-ciri positif yang dapat mendorong dan merangsang pelajar melakukan perubahan untuk kebaikan diri.

Di antara ciri-ciri yang perlu ada pada seorang guru bimbingan dan kaunselor ialah:

* simpati (empati)* memahami* mudah berkenalan* keselarian pemikiran* periang* jujur/ikhlas* adil* berpendirian terbuka* tidak menghukum* pemurah/baik hati* mesra* mudah menerima* menyimpan rahsia* ketulenan* spontan* penyayang/mengambil berat/mengambil perhatian* berkongsi* bertanggungjawab

Di samping ciri-ciri positif itu, seorang guru bimbingan dan kaunseling juga
perlu menguasai dan membentuk kemahiran inter-intrapersonal yang meliputi:

* kemahiran mendengar* kemahiran mencerap* kemahiran melayan* kemahiran bertanya* kemahiran bertenang* kemahiran menstruktur* kemahiran merangsang* kemahiran mencabar* kemahiran meneguhkan* kemahiran memisah* kemahiran mengawal

Petua ringkas kecantikan untuk wanita

Thursday, February 09, 2012 0 Komen

Panduan ringkas kecantikan untuk wanita

RAMBUT

Rambut harus disesuaikan dengan bentuk wajah seseorang. Bagaimanapun sebagai wanita bekerja yang telah berkahwin, panjang rambut yang digalakkan hanya di pangkal bahu sahaja.

Rambut pendek mudah diurus dan cuma mengambil masa yang singkat untuk diuruskan.

Rambut yang diwarnakan juga tidak sesuai untuk digayakan oleh golongan profesional seperti akauntan atau peguam ketika bekerja.

Rambut tersebut sesuai untuk menghadiri majlis sosial atau untuk menjayakan sesuatu rancangan hiburan.

PAKAIAN

Jika di rumah elakkan daripada memakai T-shirt dengan kain batik. Ia menampilkan imej anda yang tidak kemas, secara tidak langsung mempengaruhi psikologi anda.

Pakailah seluar panjang atau skirt labuh agar kelihatan lebih kemas dan memudahkan anda menguruskan rumah tangga.

Jangan berpenampilan comot kerana imej isteri juga menggambarkan imej suami.

AKSESORI

Jangan memakai aksesori terlalu sarat atau keterlaluan kerana di dalam Islam juga tidak digalakkan perlakuan sedemikian.

Aksesori bertujuan untuk menyerikan diri jadi pemakaian aksesori yang keterlaluan akan menghodohkan lagi diri si pemakai.

Sewajarnya aksesori dan pakaian dipakai secara sederhana kerana itulah yang digalakkan di dalam ajaran agama.

SARUNG KAKI

Diwajibkan setiap wanita memakai sarung kaki kerana ia memberi perlindungan pada kaki selain menyembunyikan `ketuat' atau bulu roma yang mengaibkan. Sarung kaki juga berperanan untuk `memerangkap' bau busuk kasut.

BULU MATA PALSU

Pemakaian bulu mata palsu harus kena dengan tempatnya. Bagi golongan profesional seperti akauntan, peguam dan sebagainya pemakaian bulu mata palsu amatlah tidak sesuai dan kelihatan janggal ketika bertugas.

Bulu mata palsu boleh dipakai ketika menghadiri majlis sosial atau untuksesetengah golongan seperti artis atau pengantin (juga bergantung pada keadaan dan tempat).


Teknik Mudah Pertahankan Diri

Wednesday, February 08, 2012 0 Komen

Sesiapa saja pasti gugup dan terkejut apabila dicekup oleh penjenayah. Apa yang penting, anda perlu bertindak pantas untuk membebaskan diri. Lebih baik jika anda memiliki ilmu mempertahankan diri tetapi jika tidak, ini bukan bermakna anda harus menyerah kalah. Asalkan anda tahu tekniknya.

Teknik Mudah Pertahankan Diri

1 - APABILA dipeluk dari belakang, angkat sebelah tangan anda ke atas sambil mengembangkan jejari anda sebesar mungkin agar ukuran lengan anda lebih besar untuk dicengkam.

2 - CUBA keluarkan badan anda dari pelukan penjenayah ke arah bawah dengan menunduk melalui lengan penjenayah yang memeluk leher anda.

3 - APABILA berjaya keluar, pulas semula lengan anda ke arah pergelangan penjenayah sambil jejari anda menangkap pergelangannya. Kini anda sudah menguasai lengannya.

4 - SETELAH berjaya menguasai tangannya, pulas pergelangan tangannya ke arah bertentangan menyebabkan lengannya terseliuh. Ketika ini anda sudah boleh melarikan diri.

Petua Memancing : Cara cangkuk cacing & perumpun

Friday, February 03, 2012 0 Komen

Ada beberapa cara mencangkuk umpan perumpun dan cacing. Beberapa faktor perlu dipertimbangkan iaitu:

i: Mata kail: Ia memainkan peranan penting ketika menggunakan umpan perumpun dan cacing. Ada sejenis mata kail di pasaran yang dipanggil `worm hook' atau mata kail cacing. Anda perlu menyesuaikan mata kail dengan cacing atau yang hendak digunakan.

Bagi saya, mata kail bersaiz 22 hingga 1/0 adalah paling sesuai terutama yang diperbuat daripada aloi atau `carbon steel' kerana ia sangat ringan. Pilihlah mata kail yang mempunyai tangkai panjang serta bergigi (barb) untuk menahan cacing atau perumpun daripada terkeluar.


ii. Jenis perambut: Ia akan menentukan sama ada umpan dapat bergerak secara semula jadi serta jenis mata kail yang perlu digunakan. Kita tidak memerlukan `wire leader'. Saya menggunakan `mono leader' antara 8 hingga 15 paun dengan mata kail jenis Kirby, O'shaughnessy atau Siwash yang mempunyai mata mendongak ke tepi atau yang mempunyai tangkai panjang.

Selepas kita mengkaji faktor di atas, ada beberapa cara untuk mencangkuk umpan. Masukkan mata kail dari kepala atau hujung cacing yang keras dan keluarkan mata kail di tengah badan cacing atau perumpun. Kita boleh menggunakan dua mata kail sekiranya cacing atau perumpun terlalu panjang.

10 panduan warna untuk lelaki

Thursday, February 02, 2012 0 Komen

Pemilihan warna kadangkala memeningkan lelaki. Apatah lagi bagi mereka yang berjawatan tinggi dan sentiasa sibuk memenuhi undangan atau temu janji.

Ikuti panduan di bawah:

1. Bagi yang berjawatan di peringkat pengurusan seperti pengurus, eksekutif atau pentadbir usah bimbang. Seelok-eloknya bagi mengatasi masalah ini ialah dengan memilih hanya kemeja satu warna sahaja. Usah bercampur-campur warna bagi mengelakkan anda kelihatan kelam kabut.

2. Pilihan hanya satu warna bagi jaket, kot serta seluar anda. Contohnya seperti biru, warna bata atau kelabu sederhana yang boleh dipadankan dengan kemeja warna cerah seperti kuning air lembut, merah jambu, biru lembut, krim dan nila.

3. Pemilihan kemeja berwarna putih adalah yang terbaik kerana ia boleh disuai padan dengan apa sahaja warna seluar dan tali leher atau dasi.

4. Pilih warna tali leher yang berbeza daripada warna kemeja agar menampakkan perbezaan dan tidak sedondon. Selain itu ia menambah unsur kelelakian anda.

5. Warna asas atau semula jadi seperti coklat, krim, kelabu adalah yang terbaik kerana ia menampilkan sifat kepimpinan pada pandangan pertama orang di sekeliling anda.

6. Yang penting, perhatikan warna kulit anda dan sesuaikan warna pakaian yang dipilih agar ia tidak nampak jelek.

7. Elakkan memakai kemeja atau pakaian yang tiada mempunyai keselarasan warna. Elakan pemilihan warna seperti baju hijau pekat dan jaket biru.Sekurang-kurangnya warna jaket harus mempunyai keselasaran warna dengan kasut dan tali leher anda.

8. Warna yang berwarna-warni agak kelam-kabut dan tidak sesuai digayakan ke pejabat. Ini akan menganggu personaliti anda di kaca mata rakan sekelilingserta sekitar kerjaya anda.

9. Bagi mereka yang berada di bidang korporat, jaket biru pilihan terbaik.Selain ia mudah disuai padan di sebarang majlis dan suasana, ia membuatkan anda sentiasa berasa yakin dan selamat dalam berpakaian. Coklat dan kuning airboleh menjadi pilihan warna paling bernas bagi yang ingin mengubah gaya dalam berjaket.

10. Bagi remaja, sesuaikan diri anda dengan apa jua warna. Cuba apa jua gaya yang anda inginkan. Walau bagaimanapun pastikan pemilihan warna sesuai dengan warna kulit anda agar tidak keterlaluan. Warna terkini seperti oren, jingga, kuning dan hijau sesuai bagi remaja yang ranggi dan ingin kelihatan beraliran.

Okay, selamat bermain dengan warna!

Petua elak buah berubah warna

Thursday, February 02, 2012 0 Komen

Panduan elak buah berubah warna
Buah-buahan segar seperti epal, pic, jambu dan pisang biasanya akan berubah warna apabila dipotong. Apatah lagi jika terdedah kepada udara.


Bagi mengelakkannya berubah warna atau menjadi kehitaman, sapukan sedikit air limau nipis sebelum disimpan di dalam peti sejuk.

Penjimatan bahan api, tip jimat petrol

Wednesday, February 01, 2012 0 Komen

Harga petrol asyik naik. Ini menyebabkan pemilik kenderaan terpaksa merancang perjalanan bagi memastikan duit tidak terlalu banyak dihabiskan untuk petrol. Namun pengguna tidak hanya mengeluh kerana petrol naik, tapi ada perkara lain yang perlu difikirkan apabila kereta semakin banyak menggunakan petrol berbanding sebelum ini.


Ia mungkin disebabkan beberapa faktor seperti cara menggunakan gear, menekan pedal minyak dan menghidupkan kereta terlalu lama ketika berhenti. Punca lain mungkin disebabkan oleh kebocoran, permukaan bahan api dalam ruang pelampung karburetor terlalu tinggi, penapis udara tersumbat atau pelarasan skru pada karburetor kurang tepat.

Selain itu, ia mungkin berpunca daripada saat penyalaan kurang tepat, plag haus, suis pemutus arus terbakar, mampatan tidak cukup, injap yang tidak berfungsi, ekzos tersumbat, masalah pada cekam atau brek bergesel. Bagi mengetahui puncanya, pertama, pemilik perlu memeriksa dengan melihat pada tempat meletak kenderaan.

Jika ada bekas titisan minyak atau terhidu bau petrol di kawasan itu, bermakna kenderaan mungkin mengalami kebocoran dan ia perlu dihantar ke kedai untuk dibaiki. Bagaimanapun, jika kebocoran berlaku pada sambungan paip petrol, ketatkan sambungan yang longgar menggunakan spanar dan jika  masih bocor, buka skru berkenaan dan lilitkan benang vinil dan ketatkan sambungan itu kembali.

Sehubungan itu, adalah penting bagi anda memerhatikan kadar penggunaan petrol bukan sekadar harganya tinggi tetapi penggunaan bahan itu secara berlebihan menandakan enjin kereta anda mengalami kerosakan.

Jika anda mendapati penggunaan petrol pada kenderaan secara berlebihan,  periksa puncanya sebelum membeli sebarang alat bantuan mengurangkan penggunaan petrol yang banyak terdapat di pasaran.  Ini kerana pembelian alat berkenaan mungkin tidak memberi kesan sepatutnya jika keadaan enjin kereta anda mengalami masalah hingga menyebabkan penggunaan petrol bertambah.

Umumnya cara terbaik mengekalkan tahap penggunaan petrol ialah dengan melakukan pelarasan enjin.

Selain itu, perkara penting yang perlu diketahui pengguna ialah sikap dan cara pemanduan kerana ia banyak mempengaruhi penggunaan petrol kereta. Antaranya, menggunakan gear dua atau tiga terlalu lama sebelum menukar ke gear seterusnya, tabiat menekan pedal minyak terlalu kuat ketika pemanduan mendatar atau menuruni bukit boleh menyebabkan penggunaan petrol yang berlebihan.

Apabila anda melakukan pelarasan enjin, ia membantu mengurangkan penggunaan petrol hingga 15 peratus di samping teknik memandu yang salah juga menjadi punca penggunaan petrol melebihi 20 peratus atau lebih.

Di samping itu, anda juga perlu mengetahui apabila membawa bebanan yang lebih daripada kadar yang sesuai juga menyebabkan kadar penggunaan petrol melebihi daripada tahap biasa.


Oleh itu, anda perlu perhatikan dalam but kereta anda, mungkin ada banyak barang yang tidak sepatutnya berada dalam but tetapi dibawa ke sana ke mari. Ia pasti menambah beban enjin. Anda harus membawa barang yang perlu saja seperti alat membaiki kereta dan alat yang dapat membantu ketika kecemasan.

Alat membawa barang atas bumbung kereta atau MPV boleh menambah lima peratus penggunaan petrol. Karier menghalang udara berlepas ke belakang dengan sempurna ketika memecut.


Tip Berjimat Cermat Mengurangkan Belanja Beli Makanan

Monday, January 02, 2012 0 Komen

Dalam ekonomi yang tidak menentu, adalah lebih baik kita mengamalkan sikap berjimat cermat. Antara belanja yang tak dapat dielakkan ialah belanja untuk membeli makanan. Kita perlu makanan untuk melangsungkan kehidupan. Jadi, peruntukan wajib diketepikan hanya untuk membeli makanan. Sekiranya kita membeli belah makanan di pusat membeli belah, di sini ada beberapa tip yang boleh diguna pakai.

Tip Mengurangkan Belanja Membeli Makanan

1. Beli barang makanan secara pukal
Barangan yang boleh dibeli secara pukal ialah seperti gula, susu tin, sardin, malah barang bukan makanan juga dapat dibeli secara pukal supaya lebih jimat seperti tisu, axion dan sebagainya. Tetapi haruslah kita bijak memilih. Belilah barangan yang kita tahu dapat disimpan dengan jangkamasa yang lama dan mempunyai tawaran harga yang menarik jika dibeli secara pukal.

2. Gunakan kupon
Sesetengah pusat membeli-belah seperti Tesco menawarkan kupon bagi sesuatu produk atau promosi. Jangan malu-malu untuk menggunakannya. Lebih baik guna dari dibuang saja, bukan?

3. Jangan terlalu pentingkan jenama
Jika anda mahu membeli sesuatu produk, contohnya susu tin, jgn terlalu berkira tentang jenama tetapi belilah jenama yang menawarkan harga yang berpatutan dan selesa dengan bajet anda. Anda mempunyai pilihan.

4. Tanam sayur sendiri
Jika rumah anda mempunyai laman atau ruang untuk bercucuk tanam, lebih baik anda berjimat cermat dengan menanam sayuran sendiri seperti serai, cili, bawang (daun bawang), pokok kari (daun kari), pandan dan sebagainya. Bukan saja segar, anda juga dapat berjimat.

5. Refill air
Membeli air mineral sekali sekala boleh, tetapi jika setiap kali anda mahu minum di luar dan membeli air mineral di kedai, adalah tidak menjimatkan. Lebih jimat anda membawa botol air anda sendiri dari rumah.

6. Buat bekal sendiri
Jika anda mahu lebih berjimat, buatlah bekal anda sendiri dari rumah. Setiap kali waktu makan, anda tidak perlu keluar makan di kedai yang sudah tentunya adakalanya cekik darah!

Okay, selamat berjimat cermat!

Azam Tahun Baru Paling Popular

Thursday, December 29, 2011 0 Komen

Apa Azam Tahun Baru 2012 anda?

Setiap kali menjelang tahun baru, ramai yang mula memasang azam baru. Ada juga azam di tahun lalu terpaksa dibawa ke tahun baru kerana masih belum dicapai. Ada juga yang bertekad mahu memulakan kehidupan baru di tahun baru yang lebih segar dan melupakan kisah lalu.

Apa-apa pun, tahun baru disambut dengan penuh harapan.

Azam Tahun Baru 2012

Di sini ada beberapa azam yang sangat popular setiap kali tiba tahun baru.

1. Azam mahu kaya dan berjaya
Ini azam yang paling popular. Ramai yang memasang niat untuk menjadi lebih kaya dan berjaya tidak kiralah dalam bisnis atau karier. Sekiranya bekerja di pejabat, kita memasang angan untuk naik pangkat. Jika menceburi bidang bisnes, kita mahu bisnes kita bertambah maju, berkembang dan mendatangkan lebih keuntungan.

2. Azam mahu kurus dan cantik
Ini azam yang popular di kalangan wanita yang sentiasa mahu menjaga penampilan. Bagi yang gemuk, pasti memasang azam untuk jadi kurus dan langsing. Mungkin minum jus langsing, menjaga pemakanan yang lebih baik dan melakukan senaman. Bagi yang merasakan diri tidak menarik, sudah pasti tahun baru ini mereka mahu mengubah penampilan dan gaya agar lebih nampak cantik seiring trend terkini. Belajar bersolek, teknik memakai tudung dan pelbagai ragam lagi.

Bagi orang lelaki, yang badan kurus pula mungkin berazam untuk tegapkan badan di gym supaya kelihatan sasa dan bergaya.

3. Azam mahu jaga kesihatan
Bagi yang mula sakit-sakit, tentulah berazam untuk memulakan gaya hidup yang lebih sihat dengan pemakanan sihat dan seimbang, mengurangkan gula dan merajinkan diri melakukan senaman seperti jogging.

4. Azam berhenti merokok
Azam ni paling kronik di kalangan perokok tegar kerana bukan mudah untuk berhenti merokok. Perlu keazaman diri yang tinggi bagi mengotakan azam yang satu ini. Ramai yang kecundang jika hanya berazam tetapi tiada ketahanan mental untuk berusaha berhenti merokok.

5. Azam mahu mencari cinta
Samada mahu mencari cinta baru bagi menggantikan cinta lama atau benar-benar mahu jatuh cinta buat kali pertama! Ramai di kalangan orang muda memasang impian ini dan mengharapkan tahun baru membawa tuah buat diri mereka dalam menemui cinta sejati!

6. Azam mahu berkahwin
Jika yang dah ada buah hati, tahun baru mungkin difikirkan sesuai untuk mendirikan rumahtangga. Azam mereka tentulah nak mencari duit sebanyak mungkin untuk persiapan perkahwinan dan persediaan berumahtangga.

7. Azam mahu melancong ke destinasi impian
Ramai yang berimpikan untuk melancong ke luar negara. Jadi, mereka berazam untuk menyimpan duit bagi merealisasikan impian ini. Melancong perlu dirancang dengan teliti supaya tidak timbul masalah.

8. Azam mahu mencari kerja
Bagi penganggur, tahun baru diharapkan dapat membawa tuah bagi diri mereka dalam pencarian kerja. Kerja kosong sebenarnya banyak tetapi kerja yang sesuai dengan minat dan kelulusan kita yang payah dicari. Bagi yang sudah ada kerja, mungkin berazam untuk bertukar bidang kerja yang lebih baik untuk masa depan.

9. Azam mahu menabung
Setiap tahun asyik timbul masalah kewangan. Kali ini, ramai yang berazam untuk menabung dan menyimpan wang untuk masa depan. Ada yang mula mencari instrumen pelaburan yang sesuai bagi menabung. Awas! Jangan terjebak skim cepat kaya. Berjimat cermat dan tidak boros adalah amalan yang murni bagi merealisikan azam menabung anda.

10. Azam mahu membayar hutang
Dalam hidup sekarang dengan pelbagai keperluan dan kehendak, amat sukar untuk tidak terjebak dalam hutang. Antaranya hutang rumah, kereta dan kad kredit. Jadi, ramailah yang berazam untuk membayar hutang dengan lebih baik dan sekaligus mengurangkan hutang yang membebankan.

11. Azam meluang lebih masa dengan keluarga
Individu yang sibuk dengan kerja, pasti ada rasa bersalah kerana sering tiada waktu untuk keluarga atau anak-anak. Jadi, luangkan lebih banyak masa berkualiti dengan keluarga adalah satu azam yang baik.

12. Azam mahu skor dalam peperiksaan
Bagi pelajar, sudah tentu azam ini paling kerap didengar. Tak kisah lah UPSR,PMR, SPM atau peperiksaan universiti dan sebagainya. Skor cemerlang dalam exam adalah satu azam yang paling popular!

13. Azam mahu berubah perangai jadi lebih baik
Mereka yang pernah berbuat dosa atau kesilapan silam atau mempunyai tabiat yang tidak elok, pasti mahu membetulkan diri mahu menjadi individu yang lebih baik. Mendekatkan diri dengan Tuhan atau membuang ego dengan mengubah perangai yang tidak molek!

Okaylah, ini hanya beberapa azam yang popular. Saya pasti ada banyak lagi azam samada yang biasa atau yang pelik-pelik dipasang anda!!

Selamat tahun baru 2012!! Semoga anda mencapai azam tahun baru anda dengan jaya!!

~ Damia Dyayuni

Kebaikan memelihara kucing di rumah

Thursday, December 29, 2011 0 Komen

Anda suka kucing? Terfikir nak bela kucing di rumah? Kanak-kanak terutamanya amat menyayangi haiwan comel ini. Gebu, cute, lucu, manja, nakal. Itulah telatah si kucing yang amat mencuit hati. Kucing juga adalah haiwan kesayangan Nabi.

Namun, sebelum anda membuat keputusan membela kucing di rumah, pastikan anda tahu kebaikan memelihara kucing ni.

Jom semak senarai di bawah!

Kebaikan Memelihara Kucing


1. Kucing peneman setia
Kucing adalah haiwan yang setia kepada tuannya. Ia menjadi peneman yang baik kepada tuannya, bukan sahaja ketika senang tetapi tetap berada di sisi kita di kala kesunyian atau di kala kesedihan. Kita boleh 'bercakap' dengan kucing kita utk meluahkan sebarang masalah dan kucing mendengar dengan setia!

Jika kita anak tunggal atau keseorangan di rumah, kucing adalah kawan yang paling akrab bagi meneman kita!

Kucing comel

2. Kucing penuh kasih sayang
Lupakan kucing garang. Jika anda mahu membela kucing, carilah kucing yang manja dengan sentuhan manusia. Kucing yang manja akan mencurahkan kasih sayang kepada tuannya tanpa prejudis. Gelagat kucing yang suka diusap dan menggesel-geselkan tubuhnya ke arah tuannya akan mendekatkan hubungan mesra antara kucing dan tuannya. Anda akan sentiasa dilimpahi kasih sayang!

3. Kucing menghiburkan hati
Telatah kucing yang lucu dan nakal amat mencuit hati. Kucing suka membuat perkara-perkara yang comel dan lucu seperti masuk dalam kotak,mencelah dalam almari, bermain dengan tisu, melompat sana-sini, tidur atas laptop, menggigit jari kita dan sebagainya. Pasti anda akan terhibur dengan gelagat kucing yang lucu dan dapat hilangkan stress!

4. Kucing pandai menjaga diri
Anda tidak perlu mandikan kucing setiap hari kerana kucing pandai membersihkan diri sendiri. Lihat saja selepas makan, kucing akan menjilat tangannya. Begitu juga jika bulunya kotor, kucing akan menjilat bulunya hingga bersih.

5. Kucing dapat mengurangkan makhluk perosak
Jika rumah anda ada banyak cicak, lipas dan tikus, kucing adalah instrumen paling sesuai untuk mengurangkannya. Kebanyakan kucing masih berpegang kepada naluri asalnya yang suka memburu dan menangkap cicak dan tikus. Malah lipas pun suka ditangkap dan dijadikan alat permainannya.

6. Kucing tidak mahal penjagaannya
Berbanding haiwan peliharaan yang lain, kucing sebenarnya tidak mahal kos penjagaanya kecuali anda yang mahu menyediakan penjagaan kucing yang mahal buat kucing anda. Secara asasnya, kucing hanya perlu diberi makan beberapa kali sehari dan makanan itu boleh dibeli secara pukal di kedai dalam bentuk produk makanan kucing atau anda boleh saja menyediakan sendiri nasi dan lauk ikan di rumah. Kucing juga tidak perlu tempat tidur yang khusus kerana secara amnya, kucing boleh tidur di mana-mana.

7. Kucing boleh tinggal di dalam atau luar rumah
Jika anda memilih membela kucing secara bebas, anda tidak perlu risau meninggalkan kucing di rumah ketika anda tiada di rumah. Anda boleh membenarkan kucing anda bebas di luar rumah untuk memburu, bersosial atau melakukan aktiviti kucing yang lain.

8. Kucing mempunyai '9 nyawa'
Kebanyakan kucing mempunyai nyawa yang panjang. Jika mereka tersesat, selalunya mereka dapat mencari jalan pulang. Terdapat juga kisah kucing yang terperangkap berminggu-minggu di dalam kotak kayu masih ditemui hidup! Ada yang terjatuh dari tempat tinggi, masih dapat 'landing' dengan baik dan terselamat!

Okay, itulah hanyalah beberapa kebaikan kucing. Saya pasti ada banyak lagi kebaikan kucing, cuma kita tidak sedar saja betapa kucing membawa kegembiraan dalam hidup kita.

# Sila semak juga tanda kucing mengandung.

~ Damia Dyayuni

Tanda kucing bunting atau mengandung

Tuesday, December 27, 2011 0 Komen

Tanda-tanda kucing bunting atau mengandung

Kucing betina yang sihat sekiranya tidak dikasi atau dikawal pasti akan bunting apabila tiba musim mengawan. Sekiranya anda memiliki kucing betina yang telah matang di rumah, tentu anda ingin tahu samada kucing anda telah bunting atau mengandung.

Tanda kucing bunting dapat dilihat melalui perlakuannya yang sedikit pelik.

Tanda Kucing Mengandung

Di sini ada beberapa tanda kucing mengandung.

1. Kucing anda terlebih mesra
Sikap kucing memang manja. Namun, kucing bunting mahukan perhatian yang lebih dari biasa. Kucing bunting akan minta diurut, didukung, digosok badan dan tengkuknya, dimain hidungnya dan sebagainya. Kucing juga akan lebih kerap menggesel-gesel badannya ke arah anda.

2. Kucing lebih banyak berada di rumah
Kucing bunting tidak suka berlegar-legar di luar rumah. Kebanyakan masa dihabiskan dengan tidur atau berehat di dalam rumah. Kucing juga tidak berminat lagi untuk 'mencari' kucing jantan.

3. Putingnya bertukar warna dan bengkak
Puting kucing bunting akan berubah warna dari merah jambu ke warna kemerahan. Putingnya juga akan sedikit membengkak dan lebih besar dari biasa.

4. Berat badan kucing bertambah
Kucing anda nampak gemuk dari biasa. Ini adalah kerana kucing bunting bertambah berat badan dari hari ke hari. Perutnya mungkin makin membonyot dalam satu malam!

5. Kucing sentiasa lapar
Kucing bunting akan sentiasa berselera untuk makan. Kucing akan meminta makanan dengan lebih kerap. Anda perlu menambah makanan kucing lebih dari biasa bagi menampung peningkatan selera makan kucing bunting anda dan memastikannya cukup vitamin. Selera makannya akan berkurangan seiring pertambahan tempoh mengandung.

Tapi perlu diingatkan bukan semua tanda-tanda ini mengesahkan kucing anda bunting kerana adakalanya kucing anda tidak mengandung walaupun mempunyai beberapa tanda kucing bunting. Kucing mengambil masa sehingga 3 minggu untuk menampakkan tanda yang jelas bahawa ia sedang mengandung.

Kucing bunting berapa lama? Berapa bulan? Berapa minggu?
Purata tempoh bunting kucing adalah adalah selama 9 minggu atau sekitar 63-65 hari.

Okay, sekiranya kucing anda bunting, tahniah diucapkan!!

~ Damia Dyayuni


Panduan Menjaga Kucing! Klik Sini!

Panduan Mengatasi Kepenatan Menulis Blog

Tuesday, December 27, 2011 0 Komen

Anda penat berblogging?
Sekarang ini, makin ramai menulis blog utk tujuan suka-suka,menyebar maklumat,mencari ramai kenalan,meluah perasaan, mencari cinta,meluas jaringan bisnes,mengiklan produk dan perkhidmatan serta menjana pendapatan sambilan melalui iklan.

Namun demikian,menulis blog bukan lagi tugas ringan sekiranya kita mahu serius menjadi blogger. Terdapat kelelahan pada satu tahap hingga kita mencapai titik bosan, apatah lagi jika kita menulis atau 'maintain' beberapa buah blog dalam satu masa.

Blogging

Di sini ada beberapa tips bagi mengelak kepenatan menjadi blogger.

1. Utamakan aspek penulisan yang berkualiti
Jika anda kerap menulis atau blogging, utamakan kualiti entri yang anda paparkan dan bukannya kuantiti entri yang banyak pada satu hati. Kualiti penulisan yang baik pasti menjamin kepuasan pembaca blog anda dan juga memuaskan hati anda juga bila ramai yang membaca entri yg anda tulis. Trafik datang bukan kerana kuantiti tetapi kualiti.

2. Buang blog yang tidak perlu
Anda mungkin sayang pada blog-blog yang pernah anda buat suatu tika dulu samada untuk tujuan eksperimen, cuba-cuba berniaga, menjana pendapatan atau suka-suka. Tetapi jika blog-blog tersebut tidak mampu menjana trafik yg baik atau hanya syok sendiri, lebih baik anda padamkan saja daripada membuang masa menulis blog yang tidak mendatangkan apa-apa keuntungan. Kecualilah jika anda memang mahu menulis blog peribadi yang tidak bertujuan utk dibaca oleh sesiapa. Lebih baik letak password atau mengunci blog sedemikian.

3. Jaga blog utama
Fokuskan pada blog utama anda dari segi pengisian, penampilan dan sebagainya. Jangan biar blog utama tidak diupdate dalam tempoh yang lama bagi menjaga trafik dari merudum.Anda perlu tahu mana blog yg perlu diberi perhatian supaya anda tidak penat berblogging.

4. Berehat dari menghadap komputer
Jika anda mendapati diri anda asyik menghadap laptop atau PC berjam-jam sampai lupa kepada keluarga, persekitaran, kawan-kawan atau tak ingat makan dan mandi, itu sudah kes kronik. Anda tidak boleh memisahkan diri anda dengan dunia luar. Lupakan seketika aktiviti berblogging anda dan lakukan aktiviti sihat di luar seperti berjogging, bercuti bersama keluarga, berjumpa kawan-kawan dan membaca buku. Terlalu terikat pada aktiviti blogging akan lebih memenatkan anda dan membuat anda hilang fokus.

5. Jangan risau jika anda ketinggalan
Anda mungkin penat mengejar berita-berita sensasi atau isu semasa yang hot bagi mendapat skop yang baik bagi blog anda. Tetapi jika setiap isu yang menarik hendak anda blogging, sudah tentu anda kepenatan hingga aktiviti blogging ini menjadi beban kepada anda pula. Jangan bimbang jika ketinggalan sesuatu isu. Anda hanya menulis perkara yang menjadi minat anda saja pun sudah cukup, bukan semua perkara hendak anda tangkap muat.

6. Jaga kesihatan anda
Tidak dinafikan, aktiviti berblogging boleh menjejaskan kesihatan anda sekiranya anda terlalu lama di depan komputer atau penat memerah otak mencari idea berblogging. Otak dan badan yang penat bukanlah sesuatu yang baik bagi kesihatan malah ia menjejaskan mood untuk anda berblogging. Anda menjadi semakin penat dan mungkin bosan utk menulis lagi. Jadi, sekiranya anda perlu berehat, berilah ruang kepada diri anda untuk berehat secukupnya dan jangan tidur lewat hanya untuk mengadap komputer. Utamakan kesihatan anda. Badan yg sihat pasti akan menjana idea-idea segar bagi anda meneruskan aktiviti blogging.

Okay, itulah tip-tip yang diberikan. Semoga anda dapat berblogging dengan selamat!

~ Damia Dyayuni


Panduan menghindar sakit tulang belakang

Wednesday, November 09, 2011 0 Komen

Petua Elak Sakit Tulang Belakang

Mengangkat barang

* Bengkokkan kaki, bukan tulang belakang anda. Bawa beban rapat pada tubuh. Keraskan otot perut sewaktu mengangkat.

* Dapatkan bantuan orang lain sekiranya anda sukar untuk mengangkat berseorangan.

Duduk

* Rapatkan punggung dan sandarkan belakang pada penyandar tempat duduk sepenuhnya untuk mengurangkan tekanan pada cakera tulang belakang.

* Pastikan ketinggian tempat duduk sesuai dan kedudukan paha selari dengan lantai.

* Campurkan aktiviti dengan senaman/regangan/berjalan.

Memandu

* Duduk tegak dan gerakkan tempat duduk ke hadapan supaya lutut selaras dengan pinggang.

* Sokong bahagian bawah belakang menggunakan tuala yang digulung atau penyokong jika perlu.

Tidur

* Tidur di atas katil yang tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras.

* Apabila tidur mengiring, bengkokkan sedikit lutut supaya bersentuhan atau apabila tidur menelentang, letakkan bantal di bawah lutut.

Berdiri dan Berjalan

* Tukarlah posisi berdiri dengan kerap jika perlu berdiri lama.

* Berdiri tegak dengan kepala lurus memandang ke hadapan dan luruskan belakang badan.

* Berjalan dengan cara yang betul, dagu ke dalam, kepala tegak memandang ke hadapan dan jari-jari kaki mengarah ke hadapan. Pakailah kasut yang mempunyai tumit rendah dan selesa.

 

ZONFINITI