Tip Memandu: Pastikan lampu, brek berfungsi

Wednesday, November 28, 2012

Pastikan lampu, brek berfungsi

Keadaan cuaca tidak menentu terutama jika ditambah jerebu sekali sekala pastinya menyukarkan pemanduan kerana jarak penglihatan terhad terutama jika memandu pada kelajuan tinggi.

Jarak penglihatan terhad bukan saja menyukarkan pemandu, tetapi boleh mengundang masalah besar hingga berlakunya kemalangan.

Anda sebagai pengguna lalu lintas perlulah memastikan beberapa komponen penting kenderaan terutama lampu dan brek berada dalam keadaan sempurna.

Komponen lampu sama ada depan atau belakang amat penting bagi membolehkan anda melihat dengan jelas terutama pada waktu malam selain memudahkan pemandu kenderaan lain melihat anda.

Ramai pemandu tidak sedar pentingnya lampu pada kenderaan mereka dan proses menguji komponen itu hanya mengambil masa lebih kurang 15 minit saja.

Setiap lampu hadapan kenderaan adalah berpasangan dan mempunyai penutup yang sama. Jika satu daripada lampu tidak berfungsi, 'pasangannya' pasti turut mengalami masalah.

Periksa setiap penutup lampu pada kenderaan untuk memastikan tidak ada keretakan yang boleh menjejaskan pancaran lampu.

Perlu juga memeriksa pemantul cahaya yang kebiasaannya bersalut aluminium bagi memastikan ia tidak terguris atau karat.

Jika didapati ia tercalar atau terkeluar, seluruh pemantul perlu diganti segera kerana ia menjejaskan kuantiti pancaran.

Bagaimanapun, ia boleh dibersihkan dengan kain bersih, sabun dan air. Jangan menggunakan penanggal karat, penggilap atau bahan kimia lain kerana bakal merosakkan salutan aluminium.

Bagi membaiki atau mengesan kerosakan komponen itu di bahagian belakang, pemilik kenderaan perlu ke belakang kenderaan dan minta seorang pembantu menghidupkan enjin serta menyuruhnya memasang suis lampu itu atau menekan brek (bagi mengesan kerosakan lampu brek).

Jika lampu masih menyala selepas brek dilepaskan, bermakna suis di bahagian pedal brek mengalami kerosakan.

Jika lampu brek tidak menyala, periksa lampu, pemegangnya, sambungan wayar dan fius.

Kaedah yang sama boleh dilakukan bagi memeriksa lampu lain termasuk lampu depan, lampu isyarat membelok dan lampu kabus.

Selain itu, kerosakan itu boleh dirujuk kepada mekanik atau pusat servis untuk membuat pemeriksaan terhadap lampu dan brek atau melakukannya di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Bagaimanapun, anda masih perlu membawa kenderaan anda ke bengkel atau pusat servis untuk dibaiki selepas Puspakom mengesan kerosakan pada kereta.




0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI