Datuk Lee Chong Wei ikhlas - Wong Mew Choo

Saturday, November 03, 2012

Saya dapat rasai keikhlasannya,". Itu kata bakal pengantin baru, Wong Mew Choo ketika ditanya mengapa dia memilih Datuk Lee Chong Wei sebagai pasangan hidupnya.

Tambah Mew Choo: “Tiada siapa lagi melainkan dia (Chong Wei), lelaki yang saya penuh yakin dan percaya dapat memberikan perkahwinan impian dan kehidupan sempurna untuk saya."

Bekas pemain wanita No.1 negara ditemui pada sidang akhbar sempena perkahwinan mereka di rumah pengantin D&L Couture yang menaja hampir RM1.25 juta, merangkumi sut dan gaun pengantin, fotografi, gambar dan video perkahwinan, penghiasan majlis sehinggalah pakaian ahli keluarga, pengapit dan kenalan rapat.

Antara yang paling mencuri tumpuan ialah tajaan kasut Mew Choo yang bernilai RM7,000.

Ditanya pandangannya terhadap Chong Wei, yang biasanya lebih sinonim dengan pakaian sukan, apabila memakai sut tuxedo: “Ya. Dia handsome, tapi sama ada dia memakai sut atau berpakaian sukan, dia sentiasa kacak dan istimewa dalam hati saya."

Sementara itu, Chong Wei memberitahu, bakal isterinya meluahkan hasrat untuk berbulan madu di Kepulauan Maldives, New Zealand Amerika Syarikat, namun memandangkan dia masih aktif bermain badminton, rancangan itu ditangguhkan dan akan dilakukan secara berperingkat.

“Dia ada beritahu hasratnya untuk melawat New Zealand, Maldives dan Amerika, tetapi terpaksalah saya ‘hutang’ dengan dia dulu... dia faham akan rancangan dua tahun saya iaitu terus bermain sehingga Sukan Asia (Incheon 2014).

“Jika kecergasan saya mengizinkan, saya mungkin lanjut persaraan sehingga Olimpik (Rio 2016).

“Selepas kahwin, saya rasa dia tidak akan jadi suri rumah yang duduk di rumah, dia akan bantu saya menguruskan perniagaan-perniagaan saya," jelas Chong Wei.

Dalam pada itu, Chong Wei sendiri mengesahkan seteru utama tetapi juga sahabat rapatnya, Lin Dan, tidak dapat menghadiri majlis perkahwinannya kerana perlu beraksi pada Terbuka China di Shanghai, minggu depan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI