Cair dengan ayat cinta lelaki 'Eropah'

Friday, March 29, 2013 0 Komen

Melaka: Akibat `cair' dengan pujukan dan ayat manis awang hitam yang menyamar sebagai lelaki Eropah berwajah kacak di Internet, seorang nenek sanggup menyerahkan wang berjumlah RM155,343 sebelum menyedari dirinya diperdaya suspek, bulan lalu.

Difahamkan, suri rumah berusia 52 tahun yang masih bersuami itu menjalinkan hubungan cinta secara maya dengan lelaki berkenaan selepas berkenalan di dalam laman sosial sejak Jun tahun lalu.

Bagi meyakinkan mangsa, suspek dikatakan menggunakan beberapa gambar palsu dan berpura-pura mahu menghantar bungkusan berisi hadiah mahal antaranya minyak wangi, jam tangan, aksesori perhiasan diri termasuk wang tunai USD.

Bagaimanapun, suspek memaklumkan bungkusan itu kononnya menghadapi masalah berkaitan cukai dan meminta rakan subahat yang menyamar sebagai pegawai Kastam menghubungi mangsa meminta memasukkan wang ke dalam bank bagi proses pelepasan.

Selepas semua wang diminta suspek dimasukkan mangsa ke dalam akaun bank tempatan, suspek kemudian terus lesap dan gagal dikesan.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri Superintendan Soh Hock Sing (gambar) berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat mangsa di sekitar negeri ini, 22 Februari lalu.

"Mangsa yang menetap di sekitar negeri ini mendakwa sudah memasukkan wang sebanyak lima kali ke dalam lima akaun berasingan yang nilai keseluruhannya berjumlah RM155,343.

"Wang itu dikatakan bertujuan sebagai proses pelepasan cukai kastam bagi barangan yang mahu dihantar sindiket penipuan terbabit," katanya pada sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Menurut beliau, hasil siasatan pihaknya membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan berusia 55 tahun.


Kes Taksub Cantik Melampau

Thursday, March 28, 2013 0 Komen

Kes Taksub Cantik Melampau

Kes 1

HANG Mioku, 28, ketagihan melakukan pembedahan plastik di beberapa bahagian wajahnya. Tabiat itu berterusan ketika pindah dan bekerja ke Jepun. Pembedahan demi pembedahan, dilakukan sehingga bentuk wajahnya semakin membesar. Doktor bedah akhirnya tidak mahu lagi melakukan pembedahan plastik di wajahnya dan menyarankan menemui pakar jiwa.



Ketika kembali ke Korea, wajah Mioku berubah keseluruhannya, bahkan keluarganya tidak dapat mengenalinya. Menyedari wajah anaknya semakin membengkak. Mereka menghantarnya berjumpa doktor untuk memperbaiki wajah Mioku.

Doktor bersedia memberikannya suntikan silikon. Dia kemudian menyuntik sendiri dengan minyak masak apabila kehabisan silikon yang mengakibatkan wajahnya semakin membengkak.

Kejadian diketahui ramai hingga salah satu stesen TV Korea menampilkannya dalam salah satu siaran di televisyen. Doktor bedah mengeluarkan 60 gram cairan asing dari wajahnya dan 200 gram pada lehernya. Selepas beberapa kali pembedahan, wajahnya mulai mengecil, tetapi wajahnya masih belum dapat kembali ke bentuk normal.

Kes 2

BEKAS peragawati, Alicia Douvall, 30, tampil dengan wajah bengkak dan lebam selepas menjalani pembedahan plastik.

Beliau mengakui amat ketagih dengan pembedahan kosmetik dikatakan terbang ke Amerika Syarikat untuk menjalani pembedahan selepas doktor di United Kingdom enggan merawatnya.

Alicia mahu rahang, hidung, mata dan mulutnya dibentuk semula supaya kejelitaan wajahnya kelihatan sempurna, padahal ekoran pembedahan itu wajah jelita itu bertukar jadi bengkak, lebam dan kelihatan pelik.

Alicia sudah buat 15 pembedahan dan sedang berusaha keras mengawal ketagihan itu.

Implikasi pembedahan, rasa kebas pada bahagian pembedahan pernah dilakukan termasuk pada perut, payudara atau lengan tangan kanannya.

Tabiatnya memakan diri dan pernah doktor di Britain enggan merawatnya lagi. Tetapi mengubah haluan ke Amerika Syarikat untuk lakukan pembedahan, selain turut menipu mengenai laporan kesihatannya.

Ketagihan itu sebenarnya, sakit ditanggung Alicia kerana perlu ke pusat pemulihan di Malibu, California, menjalani rawatan pemulihan selama empat minggu di sana, bagi mengatasi ketagihan.

Hujung tahun lalu, Alicia membelanjakan RM20,000, semata-mata memotong sebahagian tulang jari telunjuk di kedua-dua belah kakinya.

Alicia merasakan keadaan kakinya itu menyebabkan dia kelihatan sangat hodoh, malah benci melihat jari telunjuk di kedua-dua belah kakinya lebih panjang daripada ibu jarinya.

Kes 3

SEORANG ibu taksub untuk kelihatan sama dengan anak gadisnya, padahal perbezaan usia mereka berdua 22 tahun. Untuk mencapai cita-citanya itu, wanita Inggeris itu, rela menghabiskan puluhan ribu ringgit menjalani pembedahan plastik. Usahanya itu tidak sia-sia. Sekarang Janet Cunliffe dan anak perempuannya, Jane Cunliffe, bagaikan adik-beradik.

Janet dengan rambut asalnya merah, kini bertukar perang untuk kelihatan sama dengan Jane. Janet yang dulu bertubuh gemuk, kini menjadi kurus selepas menjalani siri pembedahan plastik untuk kelihatan seperti tubuh diingini, padahal usianya sudah mencecah 50 tahun. Sedangkan anak gadisnya, Jane baru berusia 28 tahun.



Ibu tunggal itu, berasa gembira dengan penampilan baru dirinya dan mengakui sekarang dia bukan lagi seperti ibu dan anak, tetapi cenderung kelihatan seperti kembar seiras.

Begitupun, anaknya antara orang paling bangga terhadap perubahan ibunya itu. Katanya keadaan `sama muda' itu menjadikan mereka berdua semakin akrab.

Kes pembunuhan wanita 2012

Thursday, March 28, 2013 0 Komen

Kes pembunuhan wanita 2012

* 4 Disember 2012 Ipoh - Mayat seorang wanita dalam keadaan tangan dan kaki diikat ditemui dalam bungkusan kanvas yang ditinggalkan di tepi jalan di kawasan Meru Raya. Laporan bedah siasat turut mengesan kesan jerutan pada leher mangsa dipercayai menjadi punca kematian.

* 22 Oktober 2012 Sarawak - Seorang wanita warga emas dibunuh kejam dengan beberapa kesan tikaman pada badan serta parah di muka dan hidung di rumahnya di Taman Desa Indah. Wanita itu dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam oleh individu tidak dikenali.

* 21 September 2012 Penampang - Polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan seorang wanita ditemui mati dengan lehernya dijerut serta kaki dan tangannya diikat di rumahnya bermotifkan cemburu. Polis sudah menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai teman wanita mangsa bagi membantu siasatan.

* 18 Ogos 2012 Balakong - Ketagih seks dipercayai punca gadis 19 tahun dibunuh sebelum mayatnya dirogol di rumahnya di Taming Jaya, dekat Balakong. Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai ada hubungan kekeluargaan dengan mangsa.

* 31 Julai 2012 Shah Alam - Polis menahan suami eksekutif TV9, Nur Syaleza Jaafar, yang ditemui mati di rumahnya di Pangsapuri Saujana, Damansara Damai. Keputusan bedah siasat mendapati punca kematian bukan mati mengejut, sebaliknya dipercayai tidak boleh bernafas kerana jerutan di leher.

* 30 Jun 2012 Ampang Jaya - Seorang kerani bank, P Yoga Ambiga, 27, bukan saja dibelasah, malah turut dibakar hidup-hidup dalam kejadian di Kampung Ampang Campuran akibat dendam.

* 21 Jun 2112 Sungai Petani - Misteri kehilangan seorang pengusaha butik kecantikan terjawab apabila wanita itu ditemui mati, dipercayai dibunuh. Mayat mangsa ditemui dalam keadaan telentang di atas motosikalnya.

* 27 Jun 2012 Kuala Lumpur - Wanita yang melecur 90 peratus tubuhnya selepas dipercayai dibakar teman lelakinya dalam pertengkaran di rumah mangsa di Taman Segar, Cheras meninggal dunia. Mangsa dikatakan disimbah petrol sebelum dibakar teman lelakinya dipercayai berpunca masalah cinta.

* 18 Februari 2012 Alor Setar - Seorang tukang tilik wanita, maut manakala anak angkatnya parah akibat ditetak di kepala dan beberapa bahagian anggota badan oleh bekas suaminya dalam kejadian amuk di rumah mereka di Taman Saga.

* 12 Januari 2012 Johor Bharu - Cinta tiga segi dan cemburu dipercayai punca pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kempas yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mati dibunuh dalam rumahnya dekat Taman Kempas.


Wanita sasaran utama menjadi mangsa penipuan 'jenayah emosi' yang mengheret nasib mereka dijadikan keldai dadah dan keldai akaun. Lebih menyedihkan, ada kes membabitkan mangsa wanita warga tua dan ibu tunggal. Pada Mei lalu, seorang ibu tunggal berusia 63 tahun menjadi mangsa penipuan sindiket itu apabila sanggup menjual aset dan menyerahkan hasil jualan sebanyak RM5 juta demi cinta kepada lelaki yang mengaku seorang jeneral tentera Amerika Syarikat dan dikenali menerusi laman sosial di internet.

Wanita yang boleh berperanan membina tugu keamanan sejagat 2012 tidak kecuali menjadi mangsa pembunuhan kejam. Lebih malang, ada di antara kes membabitkan pelaku yang sepatutnya menjadi pelindung pada wanita berkenaan. Namun, disebabkan dendam, cinta tiga segi, cemburu dan krisis berlaku dalam rumah tangga, wanita dijadikan tempat melampiaskan nafsu amarah, kecewa serta hilang kawalan diri.

Bekas Mak Nyah ketagih suntikan

Thursday, March 28, 2013 0 Komen

Bekas Mak Nyah ketagih suntikan

"Mula-mula doktor toreh kulit, kemudian dia seperti mengoyak bahagian dagu hingga menampakkan tulang. Selepas itu doktor kikis kolagen yang sudah menjadi lemak.

"Sakitnya susah saya nak gambarkan. Pada masa itu, saya terfikir itulah hukuman ke atas saya kerana cuba mengubah ciptaan Allah," kata bekas mak nyah, Mohd Khariri Ramli, 35, menceritakan pengalamannya untuk kembali ke pangkal jalan.


Dia yang sebelum ini dikenali sebagai Erin bergelumang dalam dunia mak nyah selama 20 tahun dan pernah mengambil bermacam-macam suntikan untuk mengubah wajah serta penampilan supaya kelihatan seperti wanita.

Akibatnya, kata Mohd Khariri, dia mengalami pelbagai kesan sampingan antaranya dagu menjadi 'luruh' dan kerap dilanda kekejangan otot di beberapa bahagian badan hingga sekarang.

Menurutnya, kini dia dalam proses menjalani pemeriksaan saraf kerana dipercayai kekejangan dialaminya itu kesan daripada suntikan kecantikan dijalaninya sebelum ini.



"Dulu saya hanya fikir nak cantik. Sanggup tahan sakit dan buat apa saja. Bermacam-macam suntikan saya ambil seperti kolagen, implan, hormon, vitamin C dan vitamin B.

"Banyak tempat saya suntik, ada untuk 'buat' dagu, hidung, dahi, punggung, tangan dan lengan supaya nampak macam perempuan betul," katanya.

Mohd Khariri berkata, jarum suntikan seperti 'berhantu' kerana dia ketagih untuk disuntik dan berasa seperti tidak tenang jika tidak dapat suntikan.

Menurutnya, akibat terlalu kerap mengambil suntikan kolagen terutama di dagu, dagunya menjadi cacat seperti 'luruh'.

"Keadaan dagu saya ketika itu sangat buruk dan saya mendapatkan rawatan dan pembedahan di Hatyai (Thailand) kerana kos perubatan dalam negara sangat mahal.

"Sungguh perit pembedahan itu, tambahan pula saya buat dua dalam satu kerana masa yang sama saya buat pembedahan hidung," katanya mengimbas pembedahan dilaluinya lapan tahun lalu.

"Sepanjang 20 tahun menjadi mak nyah, saya membelanjakan puluhan ribu ringgit bagi mendapatkan wajah dan bentuk badan diinginkan. Bodoh sungguh saya ketika itu, sanggup sakit dan sanggup berdepan risiko mengalami kesan sampingan hanya untuk cantik.

"Akibatnya, kini saya menderita dan yakin semua mak nyah yang pernah mendapat suntikan untuk cantik akan menderita apabila usia meningkat.

"Lebih-lebih lagi, sesiapa yang pernah memasukkan implan untuk mendapatkan payudara kerana ia boleh menjejaskan sistem paru-paru.

"Saya nasihatkan kepada sesiapa yang berhasrat berbuat demikian supaya lupakan niat itu kerana lebih banyak buruk berbanding baiknya," katanya.

~ HM

Suami ugut mahu bunuh isteri

Tuesday, March 26, 2013 0 Komen

Suami ugut mahu bunuh isteri

Alor Gajah: Hanya kerana menziarah ibunya yang uzur selama tiga hari, seorang wanita hamil enam bulan mendakwa nyaris dipijak suaminya yang berang sebelum diugut bunuh dengan keris perhiasan dalam satu kejadian di sekitar daerah ini, kelmarin.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Sheila (bukan nama sebenar), 33, bukan saja dipukul lelaki berusia 30 tahun itu, malah tiga anaknya berusia enam hingga 12 tahun turut menjadi mangsa.

Selain itu, suami mangsa dikatakan tidak mengaku anak yang dikandung adalah cahaya matanya sendiri, malah menuduh mangsa menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa dimarahi suaminya kerana pulang ke kampung terlalu lama.

"Berikutan gagal menahan kemarahannya, suami mangsa mencapai sebatang rotan buluh dan melibas ke arah badan anaknya tanpa belas kasihan.

"Mangsa cuba menyelamatkan anaknya, namun tergelincir akibat ditolak lelaki terbabit.

"Melihatkan mangsa terlentang, lelaki terbabit cuba memijak mangsa, namun sempat dielak," katanya.

Sumber itu berkata, lelaki itu yang terus hilang pertimbangan mengambil sebilah keris perhiasan yang disangkut di dinding rumah itu lalu diacu ke leher mangsa sambil berkata 'Aku mahu bunuh kau'.

"Akibat ketakutan, mangsa menjerit sekuat hati, namun suaminya terus memukul kedua-dua peha dengan keris sebelum mangsa nekad berlari bersama anaknya bersembunyi di dalam bilik," katanya.

Menurutnya, lelaki itu kemudian mengambil pakaian mangsa bersama anaknya lalu mencampaknya ke luar sebelum menghalau mereka dari rumah berkenaan.

Bimbang keselamatan diri dan tiga anaknya, Sheila tampil membuat laporan polis di Balai Polis Rumbia di sini, kelmarin, untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, kes dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Keganasan Rumahtangga, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk siasatan lanjut.

Sinopsis Novel : Biar Mereka Tahu (Raden Puteri)

Tuesday, March 26, 2013 0 Komen

Sinopsis Novel : Biar Mereka Tahu

Novel Biar Mereka Tahu mengisahkan gadis bernama Qishtika yang dikurniakan anugerah istimewa oleh Tuhan apabila dapat mengetahui sesuatu kejadian akan berlaku di dalam keluarganya menerusi mimpi aneh.

Bagaimanapun, kebanyakan cerita daripada mimpinya itu tidak dipercayai oleh ibu bapanya. Hanya teman rapatnya, Syazee, menjadi tempat luahan rasa selama ini.



Semuanya bermula apabila dia mendapat mimpi aneh menggambarkan datuknya akan pergi buat selamanya dalam tempoh tiga hari. Khuatir dengan mimpinya itu, dia menceritakan segalanya kepada ibu dan bapanya.

Dianggap merepek, setiap butir ceritanya dianggap omong kosong dan langsung tidak masuk akal. Dia berkali-kali cuba meyakinkan mereka namun usahanya hanya sia-sia walaupun tiga hari selepas itu mimpinya menjadi nyata.

Walaupun terkejut, bapanya individu paling keras menolak kisah Qishtika apabila dia mendapat mimpi neneknya yang dipanggil Tok Perempuan pula bakal meninggal dunia.

Lebih mengejutkan, Tok Perempuannya menyembunyikan satu rahsia besar apabila pernah mengamalkan sihir sepanjang riwayatnya. Justeru, Qishtika harus memberitahu perkara sebenar kepada keluarganya agar mereka tidak ditimpa masalah lain selepas ketiadaan neneknya itu.

Berjayakah dia meyakinkan ahli keluarganya mengenai kisah mimpinya itu? Selami jiwa gadis ini, rasakan kehangatan derita dan amati ketekunannya dalam menerima anugerah luar biasa ini.

Judul: Biar Mereka Tahu
Penulis: Raden Puteri
Penerbit: Al Dente Books
Harga: RM34.90

Angkara cinta tiga segi

Tuesday, March 26, 2013 0 Komen

Angkara cinta tiga segi, seorang pemuda didakwa tergamak mengurung seorang suri rumah yang baru habis berpantang selepas melahirkan anak sulung di sebuah rumah di sekitar daerah ini sejak seminggu lalu.

Lebih malang apabila wanita yang juga isteri kepada abang angkat remaja itu dipercayai turut dikawal setiap masa dan dihalang menemui suami serta bayi lelakinya yang baru mencecah usia dua bulan.

Difahamkan, lelaki berusia 20 tahun itu melakukan hubungan intim dengan wanita berusia 28 tahun berkenaan tanpa dikesan suaminya yang mahu dikenali sebagai Firdaus, 30, sejak pertengahan tahun lalu.

Menurut Firdaus, dia yang terjaga dari tidur terkejut mendapati isterinya tiada, kira-kira jam 8.30 pagi, 16 Mac lalu.

"Saya melihat dia (isteri) tiada di sebelah, namun bayi kami masih ada dan membawanya keluar mencari selama tiga hari berturut-turut, namun gagal.

"Seorang anak angkat saya berusia 18 tahun memberitahu isteri dilihat keluar dengan lelaki berkenaan menaiki motosikal pada pagi kejadian," katanya.

Menurut Firdaus, dia menghubungi lelaki itu yang mendakwa akan memulangkan semula isteri dan mahu berjumpa di sekitar Plaza Tol Simpang Ampat, di sini.

"Kerana terlalu gembira, saya sanggup menunggang motosikal sambil membawa bayi lelaki sejauh 50 kilometer dalam hujan renyai.

"Selepas sejam menunggu di lokasi dijanjikan, lelaki yang membonceng isteri saya itu bagaimanapun memecut motosikalnya ke arah Pulau Sebang," katanya yang bimbang akan keselamatan isterinya itu.

Menurutnya, dia mengenali 'adik angkat' yang juga bekas kekasih adik iparnya itu sejak Ogos tahun lalu namun tidak mengesyaki hubungan cinta tiga segi dengan isterinya.

Kata Firdaus, isterinya ada mengadu sakit dan amat merindui bayi mereka, namun sukar melepaskan diri daripada kawalan lelaki itu ketika kali terakhir menghubunginya pada jam 9 pagi kelmarin.

"Saya meminta lelaki itu memulangkan isteri dengan selamat kerana bimbang keadaannya yang baru habis berpantang. Kasihanilah bayi kami yang kerap merengek setiap malam," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Rumbia, awal pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan dan kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan lanjut. ~ HM

Fakta Ikan Jebong

Sunday, March 24, 2013 0 Komen

Fakta Ikan Jebong

Ikan jebong (Abalistes stellaris) juga dikenali sebagai ikan ayam. Isninya mampat, pejal, berurat halus dan sedap dimasak berbagai resipi malah tersohor sebagai ikan eksotik di kebanyakan restoran makanan laut.

Ia tergolong dalam famili Balistidae. Panggilan tempatan dikenali sebagai ikan pokut dan juga pueh teik.

Terdapat banyak jenis ikan jebong yang dikesan di perairan negara antaranya Jebong Kelar Jingga (Balistapus undulatus), Jebong Titan (Balistoides viridescens), Jebong Tompok Putih (Canthidermis maculatus), Jebong Wau Bulan (Odonus niger), Jebong Birai Kuning (Pseudobalistes flavimarginatus) dan Jebong Misai (Sufflamen fraenatum).



Tidak semua jebong dijadikan sebagai sajian di meja makan, kerana ia juga boleh dijadikan ikan hiasan yang cantik berikutan warnanya yang terang dan menarik.

Antara spesies menarik yang boleh dijadikan sebagai ikan hiasan ialah Jebong Subang Merah (Rhinecanthus rectangulus), Jebong Coreng Hitam (Rhinecanthus aculeatus) dan Jebong Badut (Balistoides conspicillum).

1. Sifat: Badannya pipih cembong dengan seluruh badan berkulit tebal, keras dan bersisik. Bahagian atas belakang kulitnya berwarna kehitaman manakala beransur kekuningan cerah di bahagian tengah badan dengan sebarisan gigi kasar, keras seperti gigi arnab.

Di bahagian kepala terdapat lekok kecil dalam terletak pada bahagian depan mata. Manakala sirip lembut kekuningan terdapat pada hujung belakang dan bawah menghala ke tulang ekor.

Spesies jebong mempunyai bertulang keras tidak seperti ikan laut lain seperti selar atau kembong.

2. Pemakanan: Gemar memburu ketam dan siput sebagai makanan utamanya, selain menjadikan anak ikan buntal sebagai makanan pilihan.

Ia juga dikatakan memburu moluska kecil yang banyak terdapat di sekitar kelompok tumbuhan batu karang.

3. Habitat: Jebong boleh ditemui di kawasan laut bersuhu panas, terutama di kawasan perairan Asia, Laut Merah dan Afrika.

Lazimnya ia menjadikan kawasan berbatu karang yang dasarnya berpasir sebagai perumah yang terdapat banyak sumber makanan utama khususnya moluska dan spesies ketam atau udang.

Namun ia juga boleh ditemui di kawasan laut berselut yang berbatu karang. Biasanya ia berada di kawasan kedalaman air 100 meter.

4. Kaedah Penangkapan: Ia tergolong sebagai ikan demersal. Lazimnya, jebong ditangkap menggunakan peralatan pukat tunda, bubu dan juga pancing.

Tetapi, ia boleh ditangkap dengan kuantiti yang banyak menggunakan pukat tunda yang sering menceroboh kawasan berbatu karang. Ini berikutan ia menjadi kawasan berkenaan juga sebagai kawasan pembiakan.

5. Nilai Ekonomi: Ikan jebong mempunyai nilai pasaran tinggi kerana permintaan restoran dan juga penjual ikan akuarium.

Anak ikan Jebong Badut, Celoreng Hitan atau Subang Merah mempunyai nilai yang tinggi di pasaran.

Penjual ikan hiasan lazimnya menjual anak ikan dengan harga mencecah sehingga RM20 hingga RM50 seekor.

Harga borong mencecah sehingga RM6 hingga RM10 sekilogram. Namun, ia akan melambung tinggi jika berada di restoran makanan laut dan mampu mencecah sehingga RM15 untuk 100 gram.

6. Resipi Pilihan: Isi ikan jebong memang diakui lazat dan ia boleh dimasak dengan pelbagai resipi seperti gulai kari, gulai lemak kuning atau jebong bakar dicicah bersama air lada.

Ia mendapat permintaan tinggi dan disukai ramai berikutan dagingnya yang pejal serta strukturnya yang berlapis mirip ikan tenggiri.


Oleh Mat Semail

Punca dropped calls

Wednesday, March 20, 2013 0 Komen

Punca dropped calls

Sehingga kini, antara punca dropped calls berlaku termasuk:

* Pemanggil bergerak ke kawasan yang tiada isyarat atau liputan atau `titik buta'.

* Gangguan yang terhasil daripada penggunaan semual frekuensi.

* Kerosakan peralatan peranti di stesen pusat atau alat pemancar.

* Terputus kerana telefon tidak dapat bertahan dengan isyarat lemah dari satu stesen pusat ke stesen pusat lain (kegagalan penyerahan panggilan).

Jika anda mengalami apa-apa masalah berkaitan syarikat telekomunikasi, antara langkah yang perlu diambil mungkin dengan melayari laman web SKMM dan kemudian segera ke bahagian menu.

Bermula di menu terbabit, terdapat ikon `Dropped Calls' dan klik pada `Make a Complaint' yang menyenaraikan borang `online' yang boleh diisi terus di bawah senarai `Dropped Call Feedback'.

Namun, pengguna perlu memasukkan maklumat yang memberitahu dengan jelas masalah dropped calls seperti nama, alamat e-mel, nombor telefon dan operator telekomunikasi yang digunakan.

Pada masa sama, anda perlu mengingati maklumat lain yang penting seperti lokasi tempat panggilan anda sering terganggu secara tepat dengan melihatnya di Google Maps.

Anda boleh memasukkan lokasi daripada Google Maps terbabit untuk diteliti terutama berkaitan perincian lokasi.

Malah, maklumat lain juga perlu dipastikan seperti bandar, kampung atau alamat jalan.

Mungkin lebih baik jika anda berupaya untuk merakam foto lokasi tempat ia berlaku dan sekiranya lokasinya berubah, ambil beberapa foto berbeza.

Setakat ini, hak untuk menyelesaikan masalah ini boleh didapati melalui `hak anda sebagai pengguna' dan `hak untuk menyelesaikan aduan'.

Jika ia berkaitan hak anda sebagai pengguna, anda berhak untuk mendapat perkhidmatan yang memuaskan daripada pemberi perkhidmatan anda.

Ia memandangkan semua pemberi perkhidmatan komunikasi dan multimedia dikehendaki berurusan secara munasabah dengan pengguna dan menyelesaikan aduan pengguna menurut Kod Amalan Pengguna Am (KAPA).

KAPA adalah kod amalan kawal selia kendiri industri yang berdaftar dengan SKMM.

KAPA digubal oleh Forum Pengguna Malaysia (CFM) untuk menggalakkan piawaian etika perniagaan dan tatalaku paling tinggi menerusi urus tadbir kendiri.

Hak untuk menyelesaikan aduan termasuk jika anda tidak mendapat perkhidmatan komunikasi yang memuaskan, anda hendaklah menangani rasa tidak puas hati anda dengan segera.

Sebenarnya, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memberikan pengguna hak untuk mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dan membuat aduan jika perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat telekomunikasi tidak memuaskan.

Penjagaan kepentingan pengguna seterusnya diperhebatkan lagi dengan peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna yang memberikan peruntukan kepada pengguna untuk mendapatkan ganti rugi dalam bentuk pemulangan wang atau penggantian produk terhadap perkhidmatan yang tidak berkualiti.

Berdasarkan kepada aduan yang diterima Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), didapati aduan mengenai perkhidmatan telekomunikasi mengalami peningkatan yang berterusan.

Di sinilah wujudnya kewajipan bagi menyediakan perkhidmatan telekomunikasi untuk melaksanakan tanggungjawab syarikat telekomunikasi dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pengguna.

Ini bermakna pihak yang memberikan perkhidmatan telekomunikasi harus memberikan maklumat yang terperinci mengenai sesuatu perkhidmatan ditawarkan supaya pengguna lebih memahaminya.

Mereka juga wajib memastikan tiada sebarang maklumat yang mengelirukan disalurkan kepada pengguna dan perlu bertindak dengan adil dan segera jika menerima sebarang aduan bagi memelihara hak pengguna.

Oleh itu, pengguna perlu menyedari bahawa mereka mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat yang terperinci sebelum membeli sesuatu perkhidmatan telekomunikasi dan haknya untuk membuat aduan serta mendapatkan ganti rugi.

 

Budaya Pelik: Pengantin perempuan miliki 5 suami adik beradik

Wednesday, March 20, 2013 0 Komen

Memang terdapat adat dan budaya pelik di sesetengah daerah di India. Seorang pengantin perempuan berkongsi lima pengantin lelaki yang terdiri daripada adik beradik.

Tetapi bagi Rajo Verma, 21, ia bukan sesuatu yang pelik malah dia menerima perkara berkenaan dengan tangan terbuka, selaras dengan adat yang diamalkan di tempat tinggalnya.

Dia kini menetap di sebuah rumah yang hanya mempunyai sebuah bilik bersama semua suami itu.
Rajo akan tidur dengan mereka mengikut giliran.

Dia kini mempunyai seorang anak lelaki berusia18 bulan, namun Rajo sendiri tidak mengetahui siapa bapa kepada anak-anaknya itu.



“Pada mulanya saya merasa sedikit pelik namun ia menjadi kebiasaan. Tidak ada pilih kasih terhadap semua suami saya.

“Kami tidak mempunyai katil, hanya selimut yang diletakkan di atas tilam,’’ katanya.

Ibunya sendiri mengahwini tiga beradik, justeru dia tahu dia akan mengalami perkara sama apabila dewasa kelak.

“Saya tahu saya terpaksa menerima mereka semua sebagai suami saya,’’ katanya.

Rajo menyifatkan dirinya bertuah kerana mendapat perhatian yang lebih daripada suami-suami, berbanding kebanyakan isteri yang lain.

Dalam pada itu, Guddu, 21, merupakan suami pertama Rajo berkata, mereka semua menjalin hubungan seks dengan Rajo.

“Saya tidak cemburu. Kami semua adalah satu keluarga yang bahagia.’’ katanya.

Biografi Rosmah Mansor dilancar

Wednesday, March 20, 2013 0 Komen

Dr Mahathir lancar Biografi Rosmah Mansor
Buku Biografi Rosmah Mansor yang dilancarkan, semalam, mampu menepis pelbagai tohmahan, fitnah dan kritikan terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ini termasuk yang disebarkan menerusi blog dan media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Betulkan isu negatif

Beliau berkata, Rosmah berhak untuk membuat pembetulan terhadap semua isu negatif mengenai dirinya, termasuk menggunakan buku yang menelusuri sejarah hidupnya.

"Saya turut simpati kerana bermacam-macam tohmahan dilemparkan terhadap isteri Perdana Menteri. Buku ini akan menjawab kritikan berkenaan. Apa yang dilaluinya sama seperti saya yang sering menjadi sasaran penipuan dan serangan peribadi sebelum ini," katanya berucap melancarkan buku Biografi Rosmah Mansor di sini, semalam.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Rosmah dan isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Buku 180 muka berharga RM150 senaskhah tulisan Siti Rohayah Attan dan Noraini Abd Razak itu mengisahkan sejarah hidup dan pengalaman isteri Perdana Menteri dari dulu hingga kini.

Buku itu yang diterbitkan Yayasan Amanah Perdana Malaysia adalah untuk membendung penipuan dan perasaan cemburu terhadap Rosmah.

Syor diedar ke sekolah

Dr Mahathir turut mencadangkan buku itu diedarkan ke sekolah kerana ia sesuai sebagai pedoman generasi masa depan kerana karya sekarang sangat bernilai untuk rujukan 100 atau 200 tahun akan datang.

"Saya sering meminta pemimpin negara menulis mengenai pengalaman dan pemerhatian mereka untuk bahan rujukan dan kajian pelbagai lapisan masyarakat.

"Saya terbitkan memoir dan menulis perkara benar sejarah saya ketika menjadi pemimpin. Namun, orang masih berbohong mengenai peribadi saya," katanya.

Rosmah berkata, dua bahagian diminatinya dalam buku itu adalah mengenai komen kawan dan jawapan tohmahan terhadapnya.

48,000 pelajar lulus STPM

Monday, March 18, 2013 0 Komen

Seramai 47,884 atau 92.67 peratus calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 berbanding 46,705 calon (92.19 peratus) pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,709 calon atau 5.24 peratus lulus penuh dalam lima mata pelajaran manakala calon yang lulus dalam empat mata pelajaran berjumlah 21,779 calon (42.15 peratus).

"Seramai 10,029 calon (19.41 peratus) lagi lulus penuh tiga mata pelajaran, 7,299 calon (14.13 peratus) lulus penuh dua mata pelajaran dan 6,068 calon (11.47 peratus) lulus penuh satu mata pelajaran.

"Jumlah calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran telah meningkat sebanyak 1,253 calon, iaitu daripada 23,246 calon (45.89 peratus) pada tahun 2011 kepada 24,488 calon (47.39 peratus) bagi tahun lepas,” katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2012 di sini, hari ini.

Mengenai prestasi pelajar, Mohd Noh berkata 18 calon telah mencapai keputusan cemerlang Gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil berbanding 12 calon pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu katanya, tujuh calon adalah pelajar aliran sains dan 11 lagi dari aliran sastera.

Bilangan calon yang mengambil lima mata pelajaran dan mendapat empat Gred A pula adalah sebanyak 53 calon manakala bilangan calon yang mengambil empat mata pelajaran dan mendapat empat Gred A adalah sebanyak 379 calon.

Beliau berkata pada umumnya, prestasi calon tahun 2012 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya, di mana min Purata Nilai Gred Keseluruhan (PGNK) negara meningkat kepada 2.24 daripada 2.22 pada 2011.

Pada 2012, seramai 442 calon (0.86 peratus) mendapat PGNK 4.00 berbanding 300 calon (0.59 peratus) pada tahun sebelumnya, iaitu meningkat sebanyak 142 calon. Seramai 51,673 calon menduduki peperiksaan itu tahun lalu.

Mohd Noh berkata jurang antara prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara apabila prestasi calon bandar jauh lebih baik daripada calon luar bandar, di mana bilangan calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah seramai 1,105 (13.53 peratus) berbanding hanya 170 calon (9.20 peratus) luar bandar.

Katanya bilangan calon bandar aliran sains yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah seramai 392 (14.85 peratus) berbanding hanya lapan (6.4 peratus) calon luar bandar.

Sementara bilangan calon bandar aliran sastera yang mendapat 5A, 4A dan 3A pula adalah seramai 713 calon (12.90 peratus) berbanding hanya 162 calon (9.24 peratus) luar bandar.

Daripada segi prestasi sekolah, beliau berkata sekolah kerajaan menunjukkan peningkatan berbanding pada tahun sebelumnya, iaitu min PNGK sekolah kerajaan pada tahun 2012 ialah 2.33 berbanding 2.29 pada 2011.

Pada 2012, sebanyak 59 buah sekolah mencapai min PNGK 2.8 atau lebih tinggi berbanding 52 sekolah pada tahun sebelumnya dan 47 sekolah pada 2010, katanya.

Peningkatan sebanyak 1,253 juga berlaku dalam jumlah calon sekolah kerajaan yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran iaitu 23,683 calon (49.64 peratus) bagi tahun lepas berbanding 22,430 calon (47.84 peratus) pada tahun 2011.

Mohd Noh berkata berdasarkan prestasi calon mengikut mata pelajaran, didapati enam mata pelajaran meningkat prestasinya iaitu Further Mathematics T (71.43 peratus), Bahasa Cina (69.34 peratus), Ekonomi (59.19 peratus), Syariah (76.43 peratus), Sejarah (64.18 peratus) dan Geografi (70.21 peratus) berbanding tahun sebelumnya.

Sebanyak 15 mata pelajaran yang lain pula dianggap tidak berubah prestasinya kerana beza peratusan calon yang lulus penuh antara tahun 2011 dan tahun sebelumnya kurang daripada dua peratus.

"Pada 2012, dua mata pelajaran iaitu Bahasa Arab dan Literature in English pula menurun prestasinya berbanding dengan STPM 2011," katanya.

Daripada segi penggunaan Bahasa Inggeris dalam jawapan calon bagi tujuh mata pelajaran iaitu Mathematics S, Mathematics T, Further Mathematics T, Computing, Fizik, Kimia dan Biologi, Mohd Noh berkata 98.13 peratus (25,503) calon telah menjawab soalan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya pada tahun lalu berbanding 98.11 peratus (25,993) pada tahun sebelumnya.

Mengumumkan mengenai prestasi calon Malaysian University English Test (MUET) sesi November 2012, beliau berkata pada keseluruhannya berlaku peningkatan terhadap prestasi calon iatu sebanyak 36.22 peratus calon telah mendapat Band 3 atau lebih baik berbanding 23.94 peratus pada sesi Julai tahun lepas.

Pada majlis itu, Mohd Noh turut menyampaikan hadiah berupa wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan sebuah plak kepada 18 pelajar cemerlang STPM, dua anugerah kepada pelajar cemerlang istimewa.

Anugerah turut disampaikan kepada pelajar cemerlang luar bandar dan dua calon cemerlang MUET bagi tahun 2012, masing-masing bagi calon Terbaik MUET Mac 2012 dan calon Terbaik MUET November 2012.

Sementara itu, Mohd Noh turut mengumumkan bahawa keputusan peperiksaan Penggal Satu STPM 2013 akan dikeluarkan pada Khamis ini bermula pukul 12 tengah hari.

"Semua calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan melalui portal MPM di www.mpm.edu.my atau melalui khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) di talian 15888," katanya.

Terpedaya cinta internet, jurutera Jepun dikurung kekasih warga Filipina

Monday, March 18, 2013 0 Komen

Terpedaya dengan janji seorang wanita warga Filipina yang ingin berkahwin dengannya menyebabkan seorang lelaki warga Jepun datang ke Malaysia sebelum dia diculik dan dikurung dalam sebuah kondominium di Kajang.

Malah, mangsa berusia 51 tahun turut diminta menghubungi keluarganya meminta mereka membayar wang tebusan AS$50,000 (RM155,825) jika mahu dibebaskan.

Bagaimanapun, dia berjaya diselamatkan polis yang menyerbu kondominium terbabit dan menahan tiga lelaki warga Nigeria dan dua wanita warga Filipina, jam 9 malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa yang juga jurutera mengenali teman wanitanya melalui ruangan sembang di laman web beberapa bulan lalu.

Menurutnya, wanita terbabit berusia 30 tahun mengajak dia berkahwin dan meminta mangsa datang ke Malaysia untuk berjumpa menyebabkan dia bersetuju dan datang ke sini pada 12 Mac lalu.

“Bagaimanapun, mangsa yang tidak tahu dirinya diperangkap terkejut sebaik tiba ke sini apabila dia ditahan tiga lelaki tidak dikenali bersama teman wanitanya dan seorang lagi wanita.

“Mereka membawanya ke sebuah kondominium dan mengurungnya. Mangsa yang ketakutan merayu dilepaskan namun suspek mengarahkannya membayar wang tebusan jika ingin dilepaskan,” katanya.

Ku berkata, mereka juga memaksa mangsa menghubungi ahli keluarganya dan membayar wang tebusan itu melalui akaun bank di Filipina.

“Bagaimanapun, polis yang menerima maklumat kejadian itu membuat risikan sebelum menyerbu dua kondominium di tempat sama.

“Kami juga berjaya menyelamatkan mangsa, bagaimanapun seorang suspek lelaki cuba menyerang polis menyebabkan kami melepaskan tembakan dan mengenai kaki kanannya,” katanya.

Tazkirah: 7 Kalimah Elok Diamalkan

Friday, March 15, 2013 0 Komen

7 Kalimah Elok Diamalkan

Sabda Rasulullah s.a.w :
Barangsiapa yang hafal dan mengamalkan tujuh kalimah ini akan dimuliakan oleh Allah dan malaikat dan akan diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih dilautan...

1. Bismillahhirrahmannirahim:
pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

2. Alhamdulillah:
pada tiap-tiap habis melakukan sesuatu.

3. Astagfirullah:
jika tersilap mengatakan sesuatu yang buruk.

4. Insyaallah:
jika ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang.

5. Lahaulawalaquatai llahbillah:
bila tidak dapat melakukan sesuatu yang agak berat atau melihat sesuatu yang buruk.

6. Innalillah:
jika menghadapi musibah atau melihat kematian.

7. Lailahaillallah:
bacalah sepanjang siang dan malam sebanyak-banyaknya. Amalkanlah selalu moga-moga kita tergolong dikalangan orang-orang yang terpilih oleh Allah...

Biarkan atau Sebarkan?

Sabda Rasulullah SAW, "siapa yang menyampaikan satu ilmu dan orang yang mengamalkannya maka dia akan beroleh pahala walaupun sudah tiada.."
 

Lelaki tipu wanita tawar peluang jadi model

Friday, March 15, 2013 0 Komen

Seorang lelaki pendek dipercayai menipu 100 wanita untuk mencuri wang mereka selain memuaskan nafsunya sejak lebih dua tahun lalu dengan menawarkan pekerjaan dalam bidang peragaan dengan bayaran lumayan

Modus operandi lelaki berusia 20-an itu ialah mengajak mangsa berjumpa di hotel murah terlebih dulu kononnya bagi menjalani sesi temu duga sebelum mencuri barang dan meniduri mangsa.

Seorang model terkenal yang hampir ditipu lelaki terbabit mendakwa, suspek pernah menghubunginya dan menawarkan bayaran RM250,000 kepadanya untuk satu sesi peragaan tetapi dia tidak menerima tawaran itu.

“Apabila saya tidak terima tawaran itu, lelaki berkenaan mula mengganggu saya dengan menghubungi saya sehingga lewat malam.

“Malah apabila saya menyuruh lelaki itu supaya tidak menelefon lagi, dia mengugut untuk sebarkan nombor saya di Facebook,” kata wanita berusia 28 tahun itu yang tampil mendedahkan perkara itu di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.

Seorang pelajar dan model sambilan berusia 20 tahun nyaris menjadi mangsa lelaki hidung belang itu, bagaimanapun dia bertindak bijak apabila menyiasat terlebih dahulu latar belakang lelaki terbabit sebelum menerima tawarannya.

“Apabila saya meminta latar belakang syarikat, lelaki itu hanya mengatakan dia daripada syarikat terkenal.


“Dia menggunakan pelbagai nama supaya pihak berkuasa tidak dapat menjejakinya,” katanya yang mengakui ramai mangsa lain takut untuk tampil ke hadapan kerana diugut lelaki itu.

Selain itu, katanya, lelaki berkenaan menggunakan nama jurugambar bebas untuk mendapatkan nombor telefon model.

Salah seorang jurugambar berkenaan, Jawsus Cheng, 30, berkata, dia mengetahui penipuan lelaki berkenaan apabila rakannya memberitahu ada seorang lelaki menghubunginya dan menggunakan identitinya meminta nombor telefon model.

“Dia menggunakan nama saya dengan niat mengaburi model berkenaan untuk terima tawaran peragaan.

“Apabila saya dapat tahu identiti saya digunakan, saya terus beritahu rakan di Facebook supaya tidak melayan lelaki itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata, beliau mengumpulkan semua laporan polis yang dibuat mangsa dan membuat pengecaman apabila suspek berjaya diberkas.

“Kami sudah dapat sedikit maklumat mengenai suspek iaitu berumur 20-an, bertubuh pendek dan berkulit sawo matang.

“Wanita muda harus mengambil langkah berhati- hati dan selidik dulu latar belakang syarikat sebelum terima apa-apa peluang pekerjaan,” katanya.

Pakej melancong ke Pulau Krismas

Thursday, March 14, 2013 0 Komen

Kris International Travel Tour juga menawarkan pakej yang menarik pada harga yang berpatutan sempena MATTA Fair 2013 pada 15 hingga 17 Mac 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Hubungi 03-2284 1021, 03-2282 2580 atau layari www.krisinternational.com untuk maklumat lanjut mengenai pakej lawatan ke Pulau Krismas.

Pulau Krismas terletak di Lautan Hindi dan 2,360 kilometer dari Perth, Australia. Penduduknya dianggarkan 1,600 orang dan menghuni di beberapa penempatan seperti Flying Fish Cove, Silver City, Kampong, Poon Saan dan Drumsite.

Pulau ini mempunyai topografi asli yang unik sehingga menjadi perhatian ahli sains dan geografi, ekoran kewujudan sebilangan spesies tumbuhan dan haiwan endemik yang berevolusi secara terpencil tanpa diganggu manusia.

Paling menarik, dari bulan November hingga ke Januari setiap tahun, kita dapat melihat migrasi berjuta ketam merah dari kawasan hutan ke lautan untuk bertelur. Hanya di sini saja kita berpeluang menyaksikan fenomena migrasi ketam terbesar di dunia. Bagi penulis, ia juga adalah salah satu keajaiban dunia.

Selain itu, penduduk di sini juga bekerja sebagai pelombong galian fosfat iaitu bahan galian kegunaan industri. Jangan terkejut kerana kebanyakan pelombong di sini adalah berbangsa Melayu warga negara Australia dan mereka mempunyai pertalian saudara dengan orang di Alai, Melaka dan Pulau Pinang.

Ini menjadikan Pulau Krismas bukan saja menarik dengan air Lautan Hindi yang jernih serta kaya dengan hidupan laut, tetapi juga mempunyai tarikan budaya yang pelbagai iaitu budaya tempatan, Melayu dan Cina.

Lokasi yang sesuai untuk berbulan madu dan juga untuk aktiviti bina semangat ini hanya dua jam 30 minit penerbangan terus dari Kuala Lumpur oleh Penerbangan Malaysia (MAS).

Menurut Pengurus Besar, Kris International Travel Tour, Foo Kok Teng, berkata menerusi Penerbangan Malaysia, pengembara tidak perlu terbang ke Perth yang mengambil masa kira-kira lapan jam sehala untuk datang ke sini.

"Mereka boleh terbang terus pergi dan pulang dari Kuala Lumpur. Kami (Kris International Travel Tours) baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Sunwise Nominee Pty. Ltd untuk bekerjasama dalam menguruskan pelancong dari Malaysia dan Pulau Krismas," katanya.

Perjanjian ini disaksikan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohd Taiyab serta Gabenor Pulau Krismas, Jon Stanhope.

"Kerjasama ini akan menarik lebih ramai penduduk pulau ini yang berminat untuk berkunjung dan membeli belah di Malaysia selain boleh melawat sanak saudara di sini," kata Foo.

Sempena lawatan itu, Tourism Malaysia menganjurkan Malam Malaysia yang menampilkan persembahan kebudayaan selain pertunjukan fesyen pakaian tradisional.

Oleh K Azhan Hamdin

Kem Remaja Addin siri 5

Thursday, March 14, 2013 0 Komen

Kem Remaja Addin siri 5
Kem Remaja Addin Harian Metro siri 5 akan mengadakan program Belaian Kasih membabitkan ibu bapa dan pelajar pada 25 Mac ini.

Program yang bermula kira-kira jam 2 petang di Melaka Tropical Fruit Farm itu akan memberi peluang ibu bapa dan anak-anak bermuhasabah untuk melihat kelemahan diri masing-masing.

Moderator Kem Remaja Addin Datuk Mohd Zawawi Yusoh berkata, selama ini perbalahan yang berlaku di antara ibu bapa dan anak-anak menimbulkan pelbagai implikasi.

Beliau berkata, ibu bapa menyalahkan anak kerana bersikap kurang ajar, tidak berdisiplin dan melakukan sesuatu yang menyinggung perasaan mereka.

"Ramai ibu bapa kecewa kerana anak tidak mendengar cakap mereka malah sering melawan sehingga menimbulkan suasana tegang.

"Akibatnya, berlaku pertengkaran malah ada ibu bapa yang memulaukan anak-anak mereka kerana marah dengan perbuatan tidak bermoral itu," katanya.

Bagi anak pula, mereka berpendapat ibu bapa terlalu mengongkong, banyak berleter dan tidak memahami mereka.

Justeru, katanya mereka lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan di luar daripada duduk di rumah yang dianggap membosankan.

"Konflik ibu bapa dan anak juga sering membawa kepada masalah lain seperti lari dari rumah.

"Jika fenomena itu berterusan, ia akan memberi impak negatif kepada perkembangan anak," katanya.

Bagi mengurai kemelut itu, program Belaian Kasih akan memberi peluang ibu bapa dan pelajar bermaaf-maafan dan menilai kelemahan masing-masing.

"Tiada siapa yang bersalah, mungkin masalah komunikasi, cara menegur atau mendidik malah ada ibu bapa yang menyuruh anak bersolat tetapi mereka masih menonton televisyen.

"Ada ibu bapa yang terlalu ketat peraturannya di rumah sehingga anak menganggap rumah seperti penjara, bukan syurga," katanya.

Katanya, sebagai anak, mereka harus menghormati ibu bapa kerana itu tuntutan agama.

"Selagi ibu bapa tidak menyuruh melakukan sesuatu yang melanggar nilai moral, mereka patut akur dan mematuhi perintah.

"Tiada ibu bapa yang mahu menyakiti atau menyusahkan anak-anak sebaliknya apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan mereka dunia dan akhirat," katanya.

Katanya, gunakan program Belaian Kasih itu untuk memohon ampun, memeluk anak-anak dan membelai mereka kerana mungkin sudah lama tidak berbuat demikian.

"Ketika anak masih bayi, kita memeluk dan mencium mereka setiap hari tetapi mengapa apabila mereka menginjak dewasa, ibu bapa tidak melakukan perbuatan yang sama.

"Anak yang sering dipeluk ibu bapa akan lebih menghargai emak ayah mereka malah prestasi dan semangat nya lebih tinggi," katanya.

Sila hubungi talian 03-20569683 (Norsham) pada waktu pejabat, 013-3625292 (Roslan), 012-6905974 (Kadir) dan 013-9668986 (Fadly) untuk maklumat lanjut mengenai Kem Remaja Addin siri 5.

SM Faisal terima anugerah `Masterclass

Thursday, March 14, 2013 0 Komen

SM Faisal terima anugerah `Masterclass

CEO Of The Year' Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin diumumkan sebagai penerima `Masterclass CEO Of The Year' dalam Anugerah Kepimpinan Global 2013.

Anugerah itu diberi sebagai pengiktirafan kepada kepimpinannya yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan kepimpinan serta usahanya dalam pembangunan negara dan memupuk pertumbuhan ekonomi global.

Kukuh jenama Naza

Sehingga kini, kepimpinan SM Faisal berjaya mengukuhkan jenama NAZA dan membawa konglomerat itu ke tahap lebih tinggi meliputi perniagaan automotif Malaysia bagi pasaran umum hingga ke segmen mewah.

SM Faisal berkata, beliau berharap dengan pengiktirafan itu akan membantu untuk terus memacu NAZA kepada kedudukan lebih tinggi dengan dibantu pekerjanya untuk menjayakan hasrat menjadi konglomerat terkemuka antarabangsa.

"Saya berterima kasih kepada penganjur dengan menganugerahkan anugerah itu dalam mengiktiraf kesungguhan dan kepimpinan.

"Kedua-dua kualiti ini adalah warisan daripada Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin dan contoh kepimpinannya yang membantu membentuk kepimpinan dan keperibadian saya kini," katanya dalam satu kenyataannya di Kuala Lumpur, semalam.

Anugerah itu disampaikan oleh Pengarah Eksekutif American Leadership Developmental Association (ALDA) yang juga Ketua Panel Hakim GLA 2013, Arthur F Carmazzi.


Hoki Piala Sultan Azlan Shah: Malaysia seri 2-2 menentang Pakistan

Thursday, March 14, 2013 0 Komen

Hoki Piala Sultan Azlan Shah: Malaysia seri 2-2 menentang Pakistan
Malaysia mencapai keputusan seri 2-2 menentang Pakistan pada perlawanan keempat Kejohanan Hoki Sultan Azlan Shah.

Pasukan negara pada mulanya bermula cemerlang dengan ledakan gol seawal minit ke-6 yang di jaringkan Faizal Saari.

Bagaikan tersentak pasukan Pakistan terus mengasak benteng pertahanan Malaysia sehingga akhirnya berjaya dibolosi pada minit ke-15 yang disempurnakan oleh Muhammad Imran.

Selepas separuh masa pertama, pasukan negara dilihat bermain dengan lebih cemerlang menangkis pelbagai serangan lawan.

Pada minit ke-51, pasukan negara yang melihat peluang untuk membolosi gawang lawan terus menyerang sehingga membuahkan gol yang kemas menerusi jaringan Muhammad Razie Abdul Rahim.

Pasukan Pakistan yang dilihat mempunyai pelbagai peluang pada mulanya untuk membolosi gawang negara mula terus menyerang gawang negara bagi mendapatkan gol penyamaan.

Akhirnya, hanya sepuluh minit selepas jaringan pasukan Malaysia, Pakistan sekali lagi membolosi gawang negara hasil jaringan Ali Shan pada minit yang ke-62.

Keputusan 2-2 berterusan hingga ke wisel penamat.

Xi Jinping dilantik Presiden Republik China

Thursday, March 14, 2013 0 Komen

Xi Jinping dilantik Presiden Republik China

Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Xi Jinping disahkan sebagai Presiden Republik China yang baru dimana pemilihan itu dibuat walaupun Jinping bukan tokoh popular.

Menurut anggota Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC), Liu Yunshan, walaupun pemilihan ini menimbulkan pelbagai persoalan bagi sesetengah pihak ianya sah di sisi undang-undang.

“Kini saya mengumumkan bahawa Xi Jinping adalah Presiden Republik China secara sah”, kata Liu ketika berucap.

Tambahnya, dengan pemilihan berkenaan, Jinping menggalas tugas besar dalam meneruskan legasi kepimpinan mantan Perdana Menteri, Hu Jintao.

Beliau dilihat berdepan cabaran menyuntik perubahan di peringkat pentadbiran Beijing antaranya mengurangkan birokrasi serta menjadikan kerajaan lebih efisyen.

Selain itu, pelan pembaharuan sistem kesihatan dan perubatan turut menjadi keutamaan beliau. 

Sorok dadah dalam kasut tumit tinggi wanita

Thursday, March 14, 2013 0 Komen

Sorok dadah dalam kasut tumit tinggi wanita
Polis menahan tiga lelaki warganegara Nigeria dan merampas 4.67 kilogram dadah jenis heroin gred tinggi bernilai RM380,000, termasuk yang disembunyikan dalam tapak kasut tumit tinggi wanita.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ACP Nordin Kadir berkata walaupun nilai keseluruhan dadah itu dianggarkan RM380,000 namun tidak menolak nilaian tersebut boleh mencecah jutaan ringgit di peringkat antarabangsa kerana ia membabitkan heroin jenis gred tinggi.

Beliau berkata kesemua lelaki berumur antara 23 dan 32 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Batu Caves, Gombak kira-kira pukul 3 petang, Selasa lepas.

Semasa pemeriksaan di rumah tersebut, pihak polis menemui 18 pasang kasut tumit tinggi wanita dalam sebuah bilik, dan siasatan lanjut mendapati setiap tapak kasut berkenaan mengandungi bungkusan plastik dadah jenis heroin seberat 75 gram.

"Ini merupakan antara taktik terbaharu sindiket pengedar dadah di negara ini," katanya di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Nordin berkata pemeriksaan di rumah yang disewa itu turut menemui tujuh bungkusan plastik berisi bahan disyaki heroin seberat 520 gram dan tujuh sampul surat dibaluti kertas warna coklat berisi heroin seberat 1,452 gram.

"Kita percaya kesemua dadah dibawa masuk dari negara luar dan diproses serta dibungkus di rumah berkenaan, dan negara ini dijadikan transit sebelum sindiket terbabit memasarkan semula ke negara-negara lain menerusi perkhidmatan kurier," katanya.

Nordin berkata polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Camry milik seorang daripada suspek itu dan difahamkan dibeli secara tunai.

Beliau berkata berdasarkan dokumen, ketiga-tiga suspek yang dipercayai masuk ke negara ini pada 2010 merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta dan mula aktif melakukan kegiatan haram itu sejak enam bulan lepas.

Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kisah Puteri Lilian, puteri Sweden

Thursday, March 14, 2013 0 Komen

Kisah Puteri Lilian

Wanita ini antara rahsia terbesar dalam keluarga diraja Sweden - janda daripada golongan biasa yang menjalin hubungan dengan Putera Bertil hingga menjadi ancaman kepada dinasti Bernadotte.

Rentetan percintaannya bagaimanapun menyentuh perasaan. Wanita kelahiran Wales ini sedaya upaya menyimpan kisah cinta terlarangnya selama beberapa dekad hingga akhirnya mereka disatukan pada usia 60-an sejurus menerima restu daripada raja.

Ahad lalu, Puteri Lilian meninggal dunia di Stockholm, Sweden pada usia 97 tahun. Istana Diraja Sweden tidak memberikan punca kematian, namun beliau sebelum ini mengalami penyakit Alzheimer dan keadaan kesihatannya tidak stabil sejak beberapa tahun lalu.

Lilian bertemu Putera Sweden, Putera Bertil pada 1943, tapi kewajipannya kepada takhta dan status Lilian selaku rakyat biasa membuatkan Bertil tidak mampu mengisytiharkan percintaan mereka, apatah lagi mengahwini wanita itu.

Pengorbanan kedua-duanya, di samping dedikasi dan kesetiaan antara satu sama lain nyata meruntun hati rakyat Sweden.

"Jika diringkaskan hidup saya, segala-galanya mengenai kisah percintaan saya. Dia lelaki hebat dan saya mencintainya," jelas puteri genit itu kala meraikan majlis ulang tahun kelahirannya ke-80 pada 1995.

Dilahirkan sebagai Lilian Davies di Swansea, Wales pada 30 Ogos 1915, beliau berpindah ke London ketika berusia 16 tahun bagi mengembangkan kariernya dalam bidang lakonan dan peragaan, selepas beberapa kali tampil sebagai model topi dan sarung tangan serta memegang watak kecil dalam filem bajet.

Lilian kemudiannya bertemu pelakon, Ivan Craig dan mengahwini lelaki itu pada 1940.

Saat meletusnya Perang Dunia Kedua, Craig disenaraikan dalam pasukan tentera British manakala Lilian terus menetap di London dengan bekerja di kilang membuat radio dan melakukan kerja sambilan di hospital.

Ketika itu, Putera Bertil ditempatkan di Kedutaan Sweden yang terletak di tengah kota London sebagai atase tentera laut. Mata mereka saling memandang antara satu sama lain apabila kedua-dua keluar berlibur bersama teman masing-masing di kelab malam popular, Les Ambassadeurs.

Pertemuan singkat itu membawa kepada pertemuan lebih serius beberapa hari kemudian ketika Lilian menyambut hari kelahiran ke-28 pada 1943.

Bertil menerima jemputan Lilian ke pangsapurinya tapi hubungan mereka ketika itu sekadar kenalan biasa.

Hati Lilian bagaimanapun tersentuh apabila Bertil datang menjemputnya susulan serangan udara di kawasan perumahan itu lalu bermulalah kisah cinta rahsia mereka.

"Putera saya yang kacak. Terutama apabila memakai baju seragam tentera. Sangat baik dan penyayang. Juga lelaki lucu. Kami gembira ketawa bersama," ujar Lilian dalam buku memoirnya, `My Life with Prince Bertil' yang diterbitkan pada 2000.

Lilian masih berkahwin pada masa itu, tapi situasi itu diselesaikan dengan baik dan mereka akhirnya bercerai berikutan Craig juga bertemu dengan wanita lain sepanjang dia berada di luar negara.

Sekembalinya Bertil ke Sweden, hubungan cintanya dengan Lilian menjadi tentangan dan isu hangat di istana.

Bertil berkemungkinan menjadi pewaris takhta apabila abang sulungnya meninggal dunia dalam nahas kapal terbang, meninggalkan seorang bayi lelaki - Raja Carl XVI Gustaf yang memerintah Sweden ketika ini.

Dua lagi adik-beradik lelakinya tidak tersenarai kerana mengahwini wanita golongan kebanyakan.

Bapa Bertil, Raja Gustaf VI Adolf, mengarahkannya tidak mengahwini Lilian kerana ia boleh menjejaskan kelangsungan dinasti pemerintahan Bernadotte.

Namun, pasangan itu meneruskan hubungan mereka secara tidak rasmi dengan tinggal bersama selama beberapa dekad. Hubungan mereka sentiasa dianggap rahsia terbuka oleh rakyat Sweden.

Mereka mulanya menetap di Sainte-Maxime di Perancis, sebelum berulang-alik antara perkampungan Perancis itu dengan Stockholm, di mana Lilian tinggal secara rahsia selama beberapa tahun.

Di sebalik keengganan keluarga diraja untuk mengiktiraf pasangan ini secara rasmi, daya tarikan serta personaliti Lilian yang mesra berjaya memenangi hati rakyat Sweden.

Media di negara itu menggambarkan mereka pasangan bahagia yang gemar bermain golf dan bersiar-siar dengan menunggang motosikal Bertil.

Ketika Putera Bertil terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan selepas menjalani pembedahan, Lilian dengan gembiranya menggelar tongkat itu Bugatti Bertil.

Pada 1976, hampir 33 tahun selepas kali pertama pertemuan mereka, raja baru yang memerintah Sweden memberi restu yang selama ini difikirkan mustahil.

Pada Disember tahun sama, Lilian atau Lily - nama kegemaran Bertil - dimahkotakan sebagai Puteri Sweden dan Duchess Of Halland dalam satu majlis meriah di Drottningholm Palace Chapel, pinggir Stockholm.

Pengantin wanita ketika itu berusia 61 tahun manakala pengantin lelaki mencecah 64 tahun.

Pasangan ini bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata. Putera Bertil meninggal dunia di kediaman rasmi mereka di Villa Solbacken, Stockholm pada 1997 selepas mengalami masalah paru-paru.



Lilian terlalu sedih dengan kematian suaminya dan cuba ditenangkan Ratu Silvia yang sanggup menemaninya tidur di kediaman mereka.

Susulan ketiadaan Bertil, Lilian bertanggungjawab meneruskan tugas suaminya, khususnya menjadi penyampai anugerah untuk beberapa persatuan sukan.

Beliau juga mengambil alih kegiatan amal yang diusahakan mendiang suaminya dan setiap hasil keuntungan disalurkan kepada badan kebajikan kanak-kanak.

Masalah kesihatan yang membelenggunya sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuatkan Lilian terpaksa mengurangkan aktiviti luar. Pada 2006, beliau tidak lagi menghadiri majlis Anugerah Nobel dan tahun berikutnya berhenti daripada terbabit dalam majlis anugerah.

Apa yang pasti, ketiadaannya dirasai seluruh penduduk Sweden.

"Antara ahli keluarga diraja yang paling disayangi rakyat, kini sudah tiada," kata Perdana Menteri Sweden, Fredrik Reinfeldt.

Susunan Nor Faizah Mohamed

(Ulasan) ASUS VivoBook S200E

Wednesday, March 13, 2013 0 Komen

Mencari notebook yang mempunyai prestasi tinggi pada saiz kasing nipis, tetapi masih cantik mungkin agak komplikated.

Bagaimanapun, notebook ASUS model S200E seakan-akan memberikan penguji jawapan kepada permintaan di atas, sekali gus memberi kelegaan sekiranya anda mencari notebook saiz sederhana 11.6 inci.

Secara teknikalnya, notebook pada saiz terbabit mudah dibawa dan tidak membebankan selain keluasan 11.6 inci tidak menyakitkan mata meskipun jarak anda dan skrin agak jauh.

Pastinya ia bersesuaian sekiranya anda sedang duduk di kafe yang tidak mempunyai kerusi dan meja seperti dikehendaki berbanding jika duduk di rumah sendiri. ASUS boleh dikatakan berjaya memperkasakan produk pengkomputeran mobiliti mereka menerusi notebook ini dengan sokongan sistem operasi Windows 8 bagi memberi peluang pengguna berinteraksi secara lebih semula jadi.

Ini kerana, fungsi kawalan sentuhan pada skrinnya bakal memberi kemudahan pelaksanaan aktiviti tugasan dan hiburan harian di samping sokongan pemproses cemerlang generasi ketiga Intel Core i3.

Meskipun salah satu ciri baru pada Windows 8 termasuk tempoh `resume' yang pantas, namun penguji masih kurang berpuas hati dengan masalah kemas kini kerap berlaku selepas mahu `shut down' notebook terbabit.

Windows mengambil tempoh agak lama untuk kemas kini yang kadang-kadang menjengkelkan.

Ia bukan masalah ASUS, tetapi lebih kepada sistem operasi itu sendiri yang memerlukan pemerhatian Microsoft.

Bahagian luar notebook ini mungkin nampak biasa dengan warna perak pada reka bentuk aluminium tetapi selepas anda membuka monitornya dan melihat papan kekunci serta pad sentuh, pasti anda terpegun.

Barulah nampak rekaan premium ditambah pula masingmasing menawarkan ciri responsif berpatutan.

Terdapat dua pembesar suara disertakan dan hanya satu slot untuk pengudaraan yang bermakna S200E mungkin panas jika diletakkan atas riba anda tetapi ia bukan masalah serius.

Menggunakan pemprosesan Intel i3 mungkin agak biasa bermakna anda tidak perlu mengharapkan magik ketika fungsi pelbagai tugas tetapi ia masih tidak menunjukkan tanda `bermasalah' sekiranya digunakan secara aktif.



Notebook terbabit dilengkapkan RAM sebanyak 4GB, pemacu keras 500GB dan cip grafik HD 4000. Spesifikasi itu sudah cukup memberitahu beban kerja yang ditanggung sepadan dengan wang ringgit dikeluarkan daripada poket anda.

Ia menempatkan tiga slot, HDMI keluar, fon telinga dan slot kad SD di samping beberapa lampu di sebelah kanan papan kekunci yang menunjukkan kuasa, WiFi dan status cakera keras.



Oleh Afiq Hanif

Info

Ciri: Notebook dengan skrin sentuh, sokong Windows 8

Pro: Papan kekunci yang menarik

Kontra: Sedikit berat

Produk: ASUS VivoBook S200E

Pengeluar: ASUS

Pertanyaan: ASUS

Laman Web: asus.com.my

Komen

Keseluruhan: ****

Reka Bentuk: ****

Inovasi: ****

Pengguna: ****

Dokumentasi: ****

Nilai Wang: ****


Media sosial boleh pengaruhi keputusan undi

Wednesday, March 13, 2013 0 Komen

Media sosial boleh pengaruhi keputusan undi

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan menjadi 'pilihan raya media sosial' pertama di negara ini berikutan peningkatan penggunaannya sebagai mekanisme berkempen. Dengan 17 juta pengguna internet di Malaysia sekarang, aliran maklumat dan ruang perdebatan semakin terbuka apabila media sosial dimanfaatkan untuk berkempen, menyalurkan pandangan serta memberi gambaran bentuk kepemimpinan pada masa akan datang. Jika PRU-12 pada 8 Mac 2008 dimanfaatkan menerusi portal berita dan blog, kini media sosial terutama Facebook dan Twitter menjadi sebahagian daripada wahana kempen yang menakjubkan. Ucapan, kegiatan dan pertemuan politik disebarkan dengan mudah dan pantas. Orang ramai pula dapat menerimanya tanpa sebarang tapisan. Ia menggambarkan wadah baru yang semakin mempengaruhi pola pengundian bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya menteri dan calon parti menggunakan media sosial bertepatan dengan perkembangan masa kini. Ia bukan saja mudah, murah dan pantas, bahkan memberi peluang seseorang ahli politik menyuarakan pandangan mereka kepada orang ramai dan mendapat reaksi balas segera.

Sebagai sebuah negara yang turut menerajui perkembangan teknologi maklumat, Malaysia terbabit secara langsung dengan perkembangan digital kerana komunikasi era baru menjadi sebahagian daripada keperluan masa kini. Jika PRU 1999 mula dikaitkan dengan akses maklumat melalui internet, perkembangan terkini memberi ruang kepada bentuk kempen yang lebih terbuka. Seseorang calon bukan saja terus berdepan dengan bakal pengundi menerusi media sosial, bahkan berhak mendengar pandangan umum mengenai isu semasa tanpa prasangka. Dengan 60 peratus pengundi berdaftar yang usianya di bawah 50 tahun, seseorang calon perlu memahami budaya teknologi digital bakal menjadi resume untuk memilih tokoh terbaik dalam pilihan raya dan menentukan bentuk kepemimpinan pada masa depan. Ahli politik yang masih belum bersedia mendekati media sosial harus berdepan dengan realiti baru yang menakutkan. Mereka bukan saja dianggap ketinggalan zaman, bahkan tidak memahami kehendak sosial terutama kemahuan dan harapan pengundi muda terhadap seseorang bakal wakil rakyat. Kegagalan mendekati pandangan umum akan meletakkan seseorang sebagai calon tidak popular dan bakal menjejaskan harapan parti pada pilihan raya umum nanti.

Kalau Memang Harus Begitu - Acik Lana

Wednesday, March 13, 2013 0 Komen

Judul Novel: Kalau Memang Harus Begitu
Penulis: Acik Lana
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
Harga: RM36

Kalau Memang Harus Begitu - Acik Lana



Ulasan Novel Kalau Memang Harus Begitu 

Novel ketiga Acik Lana, penulis yang dilahirkan di Pekan, Pahang ini memaparkan kisah seorang anak yatim, Adara yang nekad keluar dari FELDA di Mersing dengan impian membantu datuk yang memelihara dia dan lima adiknya.

Kawan Adara, Husna mencadangkannya bekerja sebagai pembancuh minuman di sebuah syarikat.

Pada hari pertama bekerja, Adara tertumpah minuman di baju Zidan Adiputra. Adara terus dimarah dan ini membuatkan Adara membenci lelaki itu.

Pada Zidan, Adara ialah perempuan selekeh yang sering berbaju kurung lusuh. Jika Adara dilayan buruk oleh Zidah, kemunculan Riyad, sepupu Zidan menceriakan hati Adara.

Sikap Riyad jauh berbeza dibandingkan dengan Zidan Adiputra. Riyad tidak lokek dengan senyuman dan sentiasa menegur Adara. Dia nampak kejelitaan sebenar di sebalik baju kurung lusuh yang sentiasa tersarung di tubuh Adara.

Untuk membuktikan yang Adara seorang jelitawan, Riyad melakukan tata rias pada Adara. Penampilan baru Adara membuka mata Zidan Adiputra, sekali gus menyebabkan dia jatuh cinta, tetapi begitu banyak cabaran yang melanda mereka selepas itu.

Ulasan Kusyi Hirdan

Blog penulis:  aciklananovel.blogspot.com

Lelaki terkejut kekasihnya lelaki sejantina

Monday, March 11, 2013 0 Komen

Harapan seorang lelaki untuk hidup bahagia dengan pasangannya berkecai selepas dia secara tidak sengaja mengetahui jantina sebenar kekasihnya ketika berkunjung ke sebuah pusat hiburan di sini, tiga hari lalu.

Kakitangan syarikat swasta berusia 26 tahun itu turut mendakwa menanggung kerugian kira-kira RM30,000 sepanjang menanggung perbelanjaan kekasih dikenali sejak lebih setahun itu.

Menurut sumber, lelaki itu langsung tidak menyangka kekasihnya berusia 20-an sebenarnya seorang lelaki sehingga secara tidak sengaja tersentuh bahagian sulit pasangannya itu ketika berkunjung ke pusat hiburan itu.

Katanya, terkejut dengan perkara itu lelaki terbabit cuba mendapatkan penjelasan dan kepastian mengenai identiti pasangannya itu sebelum dia mengakui seorang pondan.

“Pengakuan itu amat mengejutkan lelaki itu kerana sebelum ini dia langsung tidak mengesyaki identiti sebenar pasangannya berikutan berperwatakan lemah lembut serta kecantikan dimilikinya membuatkan dia yakin kekasihnya itu wanita.

“Lelaki itu mendakwa membelanjakan banyak wang termasuk menggunakan simpanan sepanjang perkenalan mereka semata-mata untuk membuktikan kasih sayangnya terhadap kekasihnya itu,” katanya.

Susulan itu, lelaki itu yang merasai dirinya tertipu membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri, kelmarin, selepas gagal menghubungi bekas kekasihnya itu sebaik tembelangnya terbongkar.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya menerima laporan kes itu.

Inspirasi Wanita Gigih

Saturday, March 09, 2013 0 Komen

Saban tahun, ramai wanita menempa nama dalam lipatan sejarah dunia menerusi kisah hidup atau pencapaian mereka yang mencetuskan inspirasi dalam kalangan masyarakat.

Keberanian wanita sememangnya sering menjadi sumber inspirasi dalam kalangan penduduk dunia. Bagi Aung San Suu Kyi, 68, yang juga penerima anugerah Nobel Keamanan perjuangannya dalam mencapai kehidupan demokrasi berbanding pemerintahan tentera tidak pernah goyah.

Dia yang sudah dibebaskan daripada tahanan rumah selama 15 tahun kini kembali ke pangkuan masyarakat.

Ia satu perpisahan yang cukup panjang berlaku pada Do Su (panggilan untuk Suu Kyi) dan suaminya, Dr Michael Aris selepas ditahan pada 1989.

Lebih memeritkan apabila suaminya meninggal dunia akibat kanser ketika Suu Kyi masih dalam tahanan di rumah di negaranya.

Mengenang kembali cabaran hidup Do Su pada 1988 ketika berusia 40-an dan kembali ke Burma (Myanmar) untuk melawat ibunya yang sakit selepas tinggal di England dan berkahwin dengan Aris, profesor di Universiti Oxford.

Dari situ, Do Su menggalas tugas sebagai pemimpin dan penggerak usaha demokrasi dengan menubuhkan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) di negaranya sehingga menang majoriti dalam pilihan raya 1990.

Malangnya, keputusan itu dihalang pihak tentera yang secara terang mahu menguasai negara dengan cara mereka. Lantas Do Su diserang dengan cara psikologi dari pelbagai sudut.

Untuk memberi satu sudut pandang berbeza, kisah pejuang prodemokrasi Myanmar itu turut diserlahkan menerusi filem biografi, The Lady yang mana wataknya diterajui aktres terkenal Malaysia, Datuk Michelle Yeoh.

Sara Blakely misalnya, menggunakan rasa tidak selesanya dalam mencari pakaian dalam sesuai sebagai sumber pendapatan hingga mencecah jutaan dolar.

Idea inovasi Sara lahir selepas dia tercari-cari pakaian dalam paling selesa untuk diri sendiri hingga akhirnya menghasilkan jenamanya, Spanx, yang kini menjadi kegilaan ramai wanita seluruh dunia, berjaya meletakkannya antara usahawan paling berjaya dekad ini.

Semuanya bermula apabila dia mencari sarung kaki yang hanya menutup dari bahagian paha ke pinggang. Sara kemudian bertemu sendiri dengan pemilik syarikat pengeluar pakaian untuk menjahit pakaian dalam seperti yang dikehendakinya dalam jumlah 3,000 helai untuk dijual kepada orang ramai.

Pada mulanya, mereka enggan melayan permintaan Sara kerana kurang yakin dengan ideanya tetapi pemilik bersama syarikat itu, Sam Kaplan, bertanya pendapat dua anak perempuannya yang memberi jawapan positif membuatkannya terus menjalin kerjasama dengan Sara.

Hanya bermodalkan sedikit wang dan idea kreatif, syarikatnya kini berkembang pada kadar membanggakan hingga menguruskan jual beli bernilai puluhan juta dolar Amerika.

Dia yang dilahirkan di Florida, Amerika Syarikat pada 21 Februari 1971, turut diiktiraf sebagai jutawan wanita termuda yang berjaya atas hasil kerja keras sendiri serta disenaraikan oleh majalah Time sebagai antara 100 orang paling berpengaruh di dunia.

Graduan Universiti Florida itu memiliki ijazah dalam komunikasi dan pernah bekerja separuh masa di syarikat Walt Disney World. Sebelum kelahiran Spanx pada 2000, Sara pernah menjual mesin faks keluaran sebuah syarikat alat tulis, Danka, dari rumah ke rumah.

Selepas 10 tahun mengeluarkan produk untuk wanita, Spanx mula memperkenalkan produk untuk lelaki pula yang bertindak membentuk tubuh supaya ia kelihatan lebih kemas dan menarik.

Dia tidak mendapatkan bantuan peguam atau manamana individu untuk proses perundangan sebaliknya belajar sendiri melalui buku yang ada di pasaran. Malah semua kerja mempromosi dilakukannya sendiri sehingga berjaya.

Jenama itu yang kini bernilai puluhan juta dolar Amerika masih dimiliki 100 peratus oleh Sara dan syarikatnya milik persendirian, dengan hanya 100 pekerja.

Sementara itu, wanita bernama Indra Krishnamurthy Nooyi bukan lagi nama asing dalam bidang perniagaan global apabila beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif PepsiCo iaitu perniagaan makanan dan minuman kedua terbesar di dunia berdasarkan pulangan bersih.

Eksekutif perniagaan berbangsa India-Amerika itu dilahirkan di Chennai, Tamil Nadu, India. Indra, 56, menerima Ijazah Sarjana Muda Fizik, Kimia dan Matematik daripada Kolej Kristian Madras pada 1974 dan diploma pasca graduan dalam jurusan pengurusan daripada Institut Pengurusan India Kalkota pada 1976.

Pada awal kerjayanya di India, Indra memegang jawatan sebagai pengurus produk di Johnson & Johnson dan syarikat tekstil, Mettur Beardsell.

Ibu kepada dua anak perempuan itu juga pernah mengikuti jurusan pengurusan ketika melanjutkan pengajian di Yale pada 1978 dan menerima ijazah sarjana dalam pengurusan awam dan swasta.

Ketika di Yale juga, beliau bertugas sebagai pelatih di Booz Allen Hamilton. Sebaik tamat pengajian pada 1980, Indra menyertai Boston Consulting Group (BCG) sebelum memegang jawatan penting di Motorola dan Asea Brown Boveri.

Tidak cukup dengan itu, pada 1994, Indra mengorak langkah dengan lebih besar apabila menyertai pula syarikat PepsiCo dan dinamakan sebagai presiden dan ketua pegawai operasi syarikat itu pada 2001.

Sehingga waktu itu, Indra sudah membantu syarikat berkenaan merangka strategi global lebih daripada satu dekad dan membuat penstrukturan semula PepsiCo termasuk pelaburan restoran dalam jenama Tricon atau kini dikenali sebagai Yum! Brands.

Lebih membanggakan, Indra turut mendahului dalam pengambilalihan Tropicana pada 1998 dan penggabungan dengan Syarikat Quaker Oats, yang turut membawa masuk jenama Gatorade untuk PepsiCo.

Pada 2007, beliau mencatat sejarah peribadi apabila dilantik menjadi ketua pegawai eksekutif kelima dalam sejarah 44 tahun penubuhan PepsiCo.

Menurut majalah BusinessWeek, sejak beliau menjadi Ketua Pegawai Operasi PepsiCo, pulangan tahunan syarikat itu meningkat sehingga 72 peratus manakala keuntungan bersih syarikat meningkat dua kali ganda dengan catatan sehingga AS$5.6 bilion (RM17.52 bilion) pada 2006.

Indra disenaraikan oleh Wall Street Journal sebagai antara 50 wanita yang perlu diberi perhatian pada 2007 dan 2008 selain disenaraikan sebagai 100 Manusia Paling Berpengaruh di Dunia oleh majalah Time.

Majalah perniagaan Fortune turut tidak ketinggalan meletakkan Indra di tangga pertama dalam senarai wanita paling berkuasa dalam perniagaan bagi empat tahun berturut-turut dari 2006 hingga 2010.

Usia sering dikatakan penghalang kepada pencapaian seseorang khususnya wanita tapi di pentas Minggu Fesyen New York, September lalu, Carmen Dell'Orefice membuktikan bahawa usia sekadar angka dalam jangka hayat manusia.

Carmen, 81, menerima jeritan serta tepukan gemuruh kala tampil anggun menggayakan gaun rona karamel rekaan Norisol Ferrari untuk musim bunga dan panas 2013.

Turut menyertai pertunjukan yang diadakan di pentas Lincoln Center bagi pereka New York itu ialah Carol Alt, 51, dan Karen Bjornson, 60.

Model warga emas ini bukan setakat mempamerkan etika kerja serius, lebih profesional daripada model muda yang mana Carmen dan Carol sudah bersedia di belakang pentas sebelum jam 4 pagi meskipun Norisol menetapkan masa panggilan untuk semua kru pada jam 5 pagi.

Carmen dan Patty kini bernaung di bawah agensi Trump Models, yang melancarkan divisyen `legenda' sejak awal tahun ini khusus untuk model berusia 50 tahun ke atas.

"Rakyat Amerika makin berkembang dan saya rasa mereka sudah boleh menerima hakikat bahawa hidup masih boleh diraikan selepas berusia 50 tahun.

"Atas faktor demografi, penduduk kini juga melebihi usia 50 tahun," ujarnya.

Presiden Trump Model Management, Corinne Nicolas, berkata kemunculan Carmen membantu mengubah persepsi masyarakat mengenai maksud sebenar kecantikan seseorang wanita.

Kisah hidupnya kini diceritakan dalam bentuk filem dokumentari About Face: Supermodels Then and Now, oleh Timothy Greenfield-Sanders yang diterbitkan HBO.

Tidak ketinggalan untuk sama meraih kejayaan sebaris dengan wanita lain, Ketua Eksekutif Yahoo! yang kelima, Marissa Mayer yang terus menyinar sehinggakan Newsweek menyenaraikannya dalam senarai 10 tokoh teknologi untuk masa depan.

Sisi pesona wanita ini terus menyinar sejak dilantik Julai 2012 lalu untuk menjawat jawatan tertinggi dalam syarikat Internet secara mengejut.

Malah, kredibilitinya semakin meningkat apabila Marissa turut dinamakan dalam senarai 15 wanita untuk diperhatikan oleh majalah Red Herring manakala majalah Glamour meletakkan namanya sebagai wanita terbaik 2009.

Itu sudah cukup menunjukkan wanita ini berjaya menaikkan kembali imej dan meningkatkan pertumbuhan kewangan syarikat terkemuka itu.

Kemerosotan saham Yahoo! memaksa syarikat berkenaan mencari pemimpin yang berkarisma, berwawasan dan berkemahiran untuk kembali mengubah nasib mereka.

Wanita berusia 37 itu dipilih menjadi wanita kedua yang diberi peluang untuk menerajui Yahoo! Majalah Fortune sebelum ini menyenaraikan Marissa sebagai antara 50 wanita paling berkuasa di dunia selain mencipta sejarah tersendiri menjadi wanita termuda yang menyertai senarai berpengaruh itu.

Namun, cerita mengenai kehamilannya lebih banyak dilaporkan, malah ada forum diwujudkan khusus dengan tajuk `CEO Hamil' yang menjadi perdebatan sektor korporat dengan pejuang hak wanita.

Pelbagai organisasi wanita turut bangkit dan berusaha akan mempertahankan Marissa untuk terus berjaya walaupun melahirkan anak pada Oktober lalu.

Isu Lahad Datu: Anwar Ibrahim Saman TV3, Utusan RM100 Juta

Friday, March 08, 2013 0 Komen

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap TV3 dan Utusan Melayu (M) Bhd yang mengaitkan pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu di Lahad Datu dengan beliau.

Saman itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur di sini, Jumaat, menamakan Utusan dan TV3 sebagai defendan.

Peguamnya, N. Surendran berkata, mereka juga memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbit atau menyiarkan sebarang fitnah terhadapnya.

Pada Khamis, Anwar menafikan bertemu Sultan yang mendakwa dirinya Sultan Sulu atau mempunyai sebarang penglibatan dalam serangan di pantai timur Sabah, di mana pasukan keselamatan Malaysia telah menjalankan operasi penggeledahan dan operasi mencari selepas serangan habis-habisan terhadap kumpulan terbabit, Selasa.

Dalam temu bual eksklusif dengan Radyo Inquirer 990AM, beliau memberitahu bahawa beliau telah "menyatakan dengan jelas" tidak pernah bertemu dengan Sultan Sulu yang tidak dikenali.

Anwar berkata kehadiran pemberontak adalah "tidak boleh diterima" dan menyalahkan media arus perdana tempatan kerana memutar-beliat isu.

Jumaat lepas, 'Philippine Daily Inquirer' mengeluarkan berita berdasarkan sumber perisikan tentera Filipina yang menyatakan bahawa seorang ahli politik Sabah bersekutu dengan Anwar telah bertemu dengan tentera penceroboh.

~mStar Online

Tablet Samsung Galaxy Note 8.0

Thursday, March 07, 2013 0 Komen

Samsung kembali menggegarkan dunia gajet pintar dengan Galaxy Note 8.0 .

Biarpun bahang kehangatan Galaxy Note II masih dirasai, fenomena tersebut tidak mempengaruhi syarikat elektronik gergasi tersebut untuk terus memperkenalkan inovasi terbaru mereka.

Tablet Galaxy Note 8.0 diperkenalkan dengan pelbagai kelebihan dan juga ciri-ciri yang telah dinaik taraf.

Peranti terbaru tersebut juga merupakan penerusan delegasi teknologi pintar Note bagi tablet pada saiz medium yang diperkenalkan oleh Samsung pada tahun 2010.

Menurut Presiden IT dan Bahagian Komunikasi Mobil, Samsung Electronics, JK Shin, keputusan memperkenalkan Samsung Galaxy Tab dengan paparan bersaiz tujuh inci tiga tahun dahulu kini membuka lembaran baru buat dunia komunikasi mudah alih

''Berikutan permintaan yang tinggi untuk produk tersebut, Samsung terus melibatkan diri di dalam sektor tersebut.

"Kini, Galaxy Note 8.0 memberikan nafas baru kerana peranti ini menawarkan segala kelebihan yang diperlukan pada masa kini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Galaxy Note 8.0 atau Note 8.0 merupakan pelopor kepada peranti yang lebih mesra pengguna, bersaiz poket yang mana mampu memberikan keceriaan dalam kehidupan seharian sama ada untuk kegunaan kerja mahupun keperluan untuk berhibur.

Antara kelebihan Note 8.0 adalah tawaran solusinya yang inovatif seperti pilihan tetingkap pelbagai (multi-window) untuk memisahkan paparan skrin lapan inci kepada beberapa paparan lain dalam masa yang sama.

Manakala, teknologi pintar S Pen juga bakal memudahkan tugasan mencipta, menyunting, mengurus serta berkongsi dokumen seharian.

Lebih nipis dan kompak, Note 8.0 dilihat cukup sempurna untuk memenuhi syarat peneman on-the-go untuk aktiviti pekerjaan dan juga hiburan.

Direka untuk menyimpan dan menguruskan kecekapan data personal anda, peranti era baru tersebut menawarkan kepada pengguna peralatan organisasi atau pengurusan bersaiz poket yang hands-on.

Contohnya aplikasi Practical S Note dan S Planner membantu menguruskan tugasan harian termasuk nota minit mesyuarat, senarai tugasan malah diari peribadi anda.

Note 8.0 juga turut dilengkapi kandungan serta perkhidmatan yang terbaru seperti, chat-On yang telah dipertingkatkan menawarkan kemudahan berhubung menerusi khidmat pesanan ringkas dan perbualan berkumpulan dalam format yang pelbagai seperti imej, video, suara dan juga hubungan (contacts).

Malah, aplikasi terbaru bagi Note 8.0 adalah penggunaan aplikasi yang pelbagai tanpa perlu menutup aplikasi lain seperti Memo, Diary dan senarai mesti ingat (must-remember list).

Era baru penggunaan pen pintar S Pen adalah apabila pen tersebut tidak lagi perlu menyentuh skrin.

Penggunaan aplikasi Air View menjadikan S Pen hanya perlu terawang-awang sahaja di atas paparan skrin untuk melihat pra tonton video, e-mel, gambar dan juga temujanji pada aplikasi S Planner tanpa perlu membuka aplikasi tersebut.



Manakala kelebihan S Pen Gesture membolehkan anda menyunting imej dan kandungan dengan lebih mudah bersama Paper Artist dan Photo Note.

Malah, buat pertama kalinya dalam katogeri Galaxy Note, anda boleh menggunakan S Pen untuk mengawal butang fizikal menu atau back menerusi teknologi WACOM.

Seterusnya aplikasi Dual View yang membolehkan pengguna Note 8.0 membuka dua tetingkap pelbagai guna sekali gus.

Contohnya anda boleh membuka S Note di skrin paparan laman web dan dalam masa yang sama mengecilkan, menyeret, serta memadamkan kandungannya mengikut kehendak pengguna.

Pop- Up Note pula membolehkan pengguna membuka aplikasi S Note pada bila-bila masa untuk memerhatikan mana-mana indak balas kekunci walaupun sedang melayari laman web.

Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman web www.samsungmobilepress.com
 

Lelaki Obses Bertatu, Tatu Biji Mata

Thursday, March 07, 2013 0 Komen

Seorang lelaki mentatu kira-kira 80 peratus daripada badannya  dan dianggap orang paling banyak bertatu di Britain.

Bagaimanapun, keunikan itu tidak menguntungkan Mathew Whelan apabila dia terpaksa bergelut mencari pekerjaan.

Kata Whelan, 33, keadaan tubuhnya menyukarkan dia diterima mana-mana majikan. Untuk mendapat tatu sebanyak itu, Whelan menghabiskan masa 300 jam di kerusi tukang tatu selain membelanjakan lebih RM100,000 mendapatkan rekaan diingini.




Kata Whelan, ketika ini dia menjadi sukarelawan di pejabat Ahli Parlimen Parti Demokrat Liberal di Yardley, Birmingham.

Dia juga menukar namanya menjadi King Body Art The Extreme Ink-ite, atau lebih mudah disebut, King Of Inkland.

Whelan berkata, mengubah suai tubuh kini menjadi budaya dan diterima sebagai cara hidup yang istimewa.

“Ia diikuti hampir menyamai ketaatan beragama,” katanya. Whelan berkata, dia mahu mendidik orang ramai mengenai keyakinannya kepada tatu. Menurut Whelan, pengetahuannya yang mendalam mengenai sejarah tatu membolehkan dia dihormati ramai. “Tatu adalah seni dan budaya.

“Apabila ada kanak-kanak merenung saya, saya menegur serta menjelaskan sejarah tatu,” katanya. Mengenai sejarah tatu di badannya, Whelan berkata, dia berniat menghias tubuhnya sejak berusia sembilan tahun.

Ketika itu, katanya, dia ternampak tatu pada badan bapa dan bapa saudaranya. “Tatu pertama saya ialah seekor anjing Bulldog yang dibuat ketika berusia 16 tahun,” katanya. Selain anjing, imej lain yang menghias badan Whelan ialah ular, kala jengking, biji mata dan pontianak. Membuktikan kecintaannya kepada Seni itu, Whelan turut mentatu satu daripada biji matanya. - Daily Mail

Jamalul Kiram umum gencatan senjata sebelah pihak

Thursday, March 07, 2013 0 Komen

Jamalul Kiram umum gencatan senjata sebelah pihak
Ketua kumpulan yang menceroboh Sabah, Jamalul Kiram hari ini mengumumkan gencatan senjata sebelah pihak ekoran tindakan ketenteraan oleh pasukan keselamatan Malaysia.

Menurut jurucakap ketua penceroboh itu, Kiram mengisytiharkan gencatan senjata tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia).

Beliau turut menggesa Malaysia mengambil tindakan sama. - AFP

Guru kenit hanya 0.94 sentimeter

Thursday, March 07, 2013 0 Komen

Azad Singh, 22, mencapai impiannya untuk menjadi guru walaupun dia hanya setinggi 0.94 sentimeter.

Azad mengalami gangguan genetik yang jarang berlaku dan ini bermakna dia berhenti membesar pa da usia lima tahun dan ketika berusia 22 tahun dia terperangkap dalam saiz tubuh kanak-kanak.

Dia kini mengajar kemahiran komputer di sekolah perempuan di Haryana, yang pelajarnya jauh lebih tinggi daripadanya.

Ketika mengajar, dia terpaksa berdiri di atas meja agar cukup tinggi untuk mencapai papan putih.

AZAD duduk di atas meja bersebelahan komputer di sekolah perempuan dekat Haryana, India.

Kerana saiznya yang kecil itu, pelajar memanggilnya ‘Chotu’ yang bermakna ‘guru kenit.’

Azad yang memperoleh gaji sebanyak 10,000 rupee (RM570) sebulan dan terpaksa memakai pakaian kanak-kanak berusia tujuh tahun berkata, dia tidak kisah dengan gelaran itu.

“Saya tidak kisah kerana saya sudah mencapai impian saya. Orang kini lebih menghormati saya kerana saya sudah mempunyai pekerjaan,” katanya.

Ketika berusia 18 tahun, seorang pengawal stesen kereta api menyangka dia masih bayi.

Di sekolah, dia dibuli kerana saiznya. Dia juga sangat takut diculik kumpulan sarkas sehingga enggan keluar rumah.

Bagaimanapun, Azad berkata, semua pengalaman pahit itu membantunya menjadi dirinya hari ini.

“Sering dibuli menjadikan saya lebih bersemangat untuk mencapai cita-cita saya,” katanya.

Adik perempuannya, Laxmi, 19, turut mengalami gangguan hormon yang sama, tetapi ibu bapa mereka tidak mampu untuk mendapatkan suntikan hormon diperlukan bagi menggalakkan pembesaran.

Adik perempuan bongsunya, Suman, 15, belajar di sekolah tempat Singh mengajar di Gurgaon, Badshapur dan memandunya ke tempat kerja setiap hari menaiki skuter.

“Dia membuatkan saya berasa bangga,” kata Suman. - Agensi

Jual diri di Internet utk hidup mewah

Thursday, March 07, 2013 0 Komen

Hanya mahu hidup mewah dengan pendapatan lumayan setiap hari, golongan remaja hari ini rela menjual diri mereka menerusi laman web.

Pengerusi Persatuan Penguna Kulim, Mohd Zailan Hashim berkata, apa yang mengejutkan kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar perempuan di Institut Pengajian Tinggi (IPT).


Menurutnya, pelanggan yang melayari laman web itu boleh berinteraksi bersama pelajar berkenaan dan meminta mereka melakukan apa sahaja aksi diingini.

"Sekiranya pelanggan mahu melihat pelajar itu membuka pakaian dan beraksi panas, mereka diarahkan untuk masuk ke ruangan peribadi dan membayar diantara 0.79 hingga 0.99 dollar bagi tempoh seminit," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ada dalam kalangan mereka juga masih bersekolah.

Tambah Mohd Zailan, permasalahan ini mesti ditangani segera sebelum ia menjadi ikutan untuk memperoleh pendapatan sambilan yang tidak bermoral.

"Mereka yang terlibat boleh disiasat di bawah akta komunikasi. Pihak berkuasa seharusnya lebih peka terhadap permasalahan ini dan tidak mengambil sikap lepas tangan.

"Saya sangat berharap kementerian terlibat dapat menangani masalah keruntuhan akhlak golongan remaja ini dengan sewajarnya," katanya. ~ SH

Jamalul Kiram III bukan Sultan Sulu sebenar

Thursday, March 07, 2013 0 Komen

Jamalul Kiram III bukan Sultan Sulu sebenar

Jamalul Kiram III, yang mengaku sebagai Sultan Sulu dan pengikutnya menceroboh Sabah serta membunuh anggota polis Malaysia, tidak boleh menuntut gelaran yang sudah tidak wujud lagi itu, kata sumber yang tahu dengan mendalam sejarah dan salasilah keluarga berkenaan.

Oleh itu, katanya, Jamalul Kiram III tidak berhak mengaku sebagai waris kepada sultan Sulu terakhir, Jamalul Kiram II, yang mangkat pada 1936.

Sumber itu seterusnya menjelaskan bahawa Jamalul Kiram III bukan merupakan keturunanan kepada sembilan "waris sah" Jamalul Kiram II, seperti yang tercatat dalam "Penghakiman Macaskie" pada 1939 untuk melayakkannya menerima bayaran bagi penyerahan wilayah Sabah, yang ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara, kepada British North Borneo Company (BNBC).

Sumber berkenaan, yang amat mengenali anggota kerabat diraja kesultanan Sulu serta begitu memahami sejarahnya, berkata mengikut salasilah keluarga, walaupun Jamalul Kiram III merupakan kerabat diraja, beliau bukan berketurunan waris utama yang berhak menerima bayaran penyerahan wilayah berkenaan.

"Apabila Jamalul Kiram II mangkat pada 1936, baginda tidak meninggalkan waris takhta secara langsung dan dengan itu, BNBC berhenti daripada membuat bayaran bagi penyerahan wilayah. Berikutan itu, sembilan waris berkenaan secara berkumpulan membawa perkara tersebut ke mahkamah untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai pihak yang berhak menerima bayaran tahunan itu," kata sumber berkenaan.

Pada 1939, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara Hakim Macaskie, membuat keputuan yang menyebelahi waris berkenaan dan dengan itu, bayaran tahunan itu disambung semula. Kerajaan Malaysia meneruskan bayaran itu berikutan penubuhan persekutuan Malaysia.

Pada 2011, keturunan sembilan waris utama Jamalul Kiram II memperoleh perintah sebuah mahkamah Sulu yang mengiktiraf mereka sebagai
keturunan secara langsung kepada sembilan waris berkenaan.

Generasi kedua waris ini ialah Dayang-Dayang Piandao Taj-Mahal Kiram-Tarsum Nuqui, Putli Nurhima Kiram-Forman, Siti Ayesha K.H Sampang, Sulatan Fuad A. Kiram, Dayang-Dayang Sheramar T. Kiram, Puteri Permaisuri Kiram Guerson dan Sitti Jenny K.A Sampang.

"Oleh itu, beliau (Jamalul Kiram III) tidak boleh mendakwa sebagai waris atau keturunan kepada mana-mana sembilan waris utama itu," kata sumber berkenaan. - Bernama

Presiden Aquino: Tindakan Sultan Sulu salah

Thursday, March 07, 2013 0 Komen

Presiden Aquino: Tindakan Sultan Sulu salah
Presiden Filipina, Benigno Aquino III mempertahankan pendirian pentadbirannya sambil menegaskan tindakan Sultan Sulu dan pengikutnya yang menceroboh Lahad Datu, Sabah, sejak awal bulan lalu, adalah salah.

"Apa yang berlaku di Sabah adalah salah. Jadi, mengapa kita perlu menyokongnya?" kata beliau di sini semalam.

Dipetik Inquirer, Aquino berkata: "Insiden ini salah. Jika yang ini salah, maka adakah kita perlu sokong?"

Beliau melahirkan pandangan ini di sebalik kritikan bahawa pentadbirannya tidak menangani isu pencerobohan ke atas Sabah dengan baik.

Insiden ini kini bertukar menjadi pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengikut Sultan Sulu.

Pasukan keselamatan menyerang tempat mereka berlindung sejak awal pagi kelmarin.

Aquino menegaskan tuntutan ke atas Sabah sekiranya wajar perlu diselesaikan menerusi pendekatan aman.

Katanya, masalah berkenaan dengan status Sabah muncul apabila ia dipajakkan kepada British North Borneo Company pada 1878.

"Apa punca masalah ini? Bukankah nenek moyang mereka yang memulakan apabila mereka memajakkan Sabah kepada British?

"Jika mereka ada masalah dengan perjanjian, dan jika kita berminat, maka kita perlu berbincang dengan cara yang baik," katanya.

Kata beliau: "Jika perjanjian yang ditandatangani itu salah, maka kita perlu betulkan."

Aquino juga menyelar kerana kini seluruh Filipina diheret bersama dalam masalah terbaru ini sedangkan tuntutan Kesultanan Sulu melibatkan pihak tertentu.

"Dalam perjuangan mereka, seluruh negara diheret ke dalam isu ini," katanya lagi.

Sehubungan itu kata Aquino, selaku ketua negara beliau perlu melindungi kepentingan majoriti rakyat Filipina.

 

ZONFINITI