Inspirasi Wanita Gigih

Saturday, March 09, 2013

Saban tahun, ramai wanita menempa nama dalam lipatan sejarah dunia menerusi kisah hidup atau pencapaian mereka yang mencetuskan inspirasi dalam kalangan masyarakat.

Keberanian wanita sememangnya sering menjadi sumber inspirasi dalam kalangan penduduk dunia. Bagi Aung San Suu Kyi, 68, yang juga penerima anugerah Nobel Keamanan perjuangannya dalam mencapai kehidupan demokrasi berbanding pemerintahan tentera tidak pernah goyah.

Dia yang sudah dibebaskan daripada tahanan rumah selama 15 tahun kini kembali ke pangkuan masyarakat.

Ia satu perpisahan yang cukup panjang berlaku pada Do Su (panggilan untuk Suu Kyi) dan suaminya, Dr Michael Aris selepas ditahan pada 1989.

Lebih memeritkan apabila suaminya meninggal dunia akibat kanser ketika Suu Kyi masih dalam tahanan di rumah di negaranya.

Mengenang kembali cabaran hidup Do Su pada 1988 ketika berusia 40-an dan kembali ke Burma (Myanmar) untuk melawat ibunya yang sakit selepas tinggal di England dan berkahwin dengan Aris, profesor di Universiti Oxford.

Dari situ, Do Su menggalas tugas sebagai pemimpin dan penggerak usaha demokrasi dengan menubuhkan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) di negaranya sehingga menang majoriti dalam pilihan raya 1990.

Malangnya, keputusan itu dihalang pihak tentera yang secara terang mahu menguasai negara dengan cara mereka. Lantas Do Su diserang dengan cara psikologi dari pelbagai sudut.

Untuk memberi satu sudut pandang berbeza, kisah pejuang prodemokrasi Myanmar itu turut diserlahkan menerusi filem biografi, The Lady yang mana wataknya diterajui aktres terkenal Malaysia, Datuk Michelle Yeoh.

Sara Blakely misalnya, menggunakan rasa tidak selesanya dalam mencari pakaian dalam sesuai sebagai sumber pendapatan hingga mencecah jutaan dolar.

Idea inovasi Sara lahir selepas dia tercari-cari pakaian dalam paling selesa untuk diri sendiri hingga akhirnya menghasilkan jenamanya, Spanx, yang kini menjadi kegilaan ramai wanita seluruh dunia, berjaya meletakkannya antara usahawan paling berjaya dekad ini.

Semuanya bermula apabila dia mencari sarung kaki yang hanya menutup dari bahagian paha ke pinggang. Sara kemudian bertemu sendiri dengan pemilik syarikat pengeluar pakaian untuk menjahit pakaian dalam seperti yang dikehendakinya dalam jumlah 3,000 helai untuk dijual kepada orang ramai.

Pada mulanya, mereka enggan melayan permintaan Sara kerana kurang yakin dengan ideanya tetapi pemilik bersama syarikat itu, Sam Kaplan, bertanya pendapat dua anak perempuannya yang memberi jawapan positif membuatkannya terus menjalin kerjasama dengan Sara.

Hanya bermodalkan sedikit wang dan idea kreatif, syarikatnya kini berkembang pada kadar membanggakan hingga menguruskan jual beli bernilai puluhan juta dolar Amerika.

Dia yang dilahirkan di Florida, Amerika Syarikat pada 21 Februari 1971, turut diiktiraf sebagai jutawan wanita termuda yang berjaya atas hasil kerja keras sendiri serta disenaraikan oleh majalah Time sebagai antara 100 orang paling berpengaruh di dunia.

Graduan Universiti Florida itu memiliki ijazah dalam komunikasi dan pernah bekerja separuh masa di syarikat Walt Disney World. Sebelum kelahiran Spanx pada 2000, Sara pernah menjual mesin faks keluaran sebuah syarikat alat tulis, Danka, dari rumah ke rumah.

Selepas 10 tahun mengeluarkan produk untuk wanita, Spanx mula memperkenalkan produk untuk lelaki pula yang bertindak membentuk tubuh supaya ia kelihatan lebih kemas dan menarik.

Dia tidak mendapatkan bantuan peguam atau manamana individu untuk proses perundangan sebaliknya belajar sendiri melalui buku yang ada di pasaran. Malah semua kerja mempromosi dilakukannya sendiri sehingga berjaya.

Jenama itu yang kini bernilai puluhan juta dolar Amerika masih dimiliki 100 peratus oleh Sara dan syarikatnya milik persendirian, dengan hanya 100 pekerja.

Sementara itu, wanita bernama Indra Krishnamurthy Nooyi bukan lagi nama asing dalam bidang perniagaan global apabila beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif PepsiCo iaitu perniagaan makanan dan minuman kedua terbesar di dunia berdasarkan pulangan bersih.

Eksekutif perniagaan berbangsa India-Amerika itu dilahirkan di Chennai, Tamil Nadu, India. Indra, 56, menerima Ijazah Sarjana Muda Fizik, Kimia dan Matematik daripada Kolej Kristian Madras pada 1974 dan diploma pasca graduan dalam jurusan pengurusan daripada Institut Pengurusan India Kalkota pada 1976.

Pada awal kerjayanya di India, Indra memegang jawatan sebagai pengurus produk di Johnson & Johnson dan syarikat tekstil, Mettur Beardsell.

Ibu kepada dua anak perempuan itu juga pernah mengikuti jurusan pengurusan ketika melanjutkan pengajian di Yale pada 1978 dan menerima ijazah sarjana dalam pengurusan awam dan swasta.

Ketika di Yale juga, beliau bertugas sebagai pelatih di Booz Allen Hamilton. Sebaik tamat pengajian pada 1980, Indra menyertai Boston Consulting Group (BCG) sebelum memegang jawatan penting di Motorola dan Asea Brown Boveri.

Tidak cukup dengan itu, pada 1994, Indra mengorak langkah dengan lebih besar apabila menyertai pula syarikat PepsiCo dan dinamakan sebagai presiden dan ketua pegawai operasi syarikat itu pada 2001.

Sehingga waktu itu, Indra sudah membantu syarikat berkenaan merangka strategi global lebih daripada satu dekad dan membuat penstrukturan semula PepsiCo termasuk pelaburan restoran dalam jenama Tricon atau kini dikenali sebagai Yum! Brands.

Lebih membanggakan, Indra turut mendahului dalam pengambilalihan Tropicana pada 1998 dan penggabungan dengan Syarikat Quaker Oats, yang turut membawa masuk jenama Gatorade untuk PepsiCo.

Pada 2007, beliau mencatat sejarah peribadi apabila dilantik menjadi ketua pegawai eksekutif kelima dalam sejarah 44 tahun penubuhan PepsiCo.

Menurut majalah BusinessWeek, sejak beliau menjadi Ketua Pegawai Operasi PepsiCo, pulangan tahunan syarikat itu meningkat sehingga 72 peratus manakala keuntungan bersih syarikat meningkat dua kali ganda dengan catatan sehingga AS$5.6 bilion (RM17.52 bilion) pada 2006.

Indra disenaraikan oleh Wall Street Journal sebagai antara 50 wanita yang perlu diberi perhatian pada 2007 dan 2008 selain disenaraikan sebagai 100 Manusia Paling Berpengaruh di Dunia oleh majalah Time.

Majalah perniagaan Fortune turut tidak ketinggalan meletakkan Indra di tangga pertama dalam senarai wanita paling berkuasa dalam perniagaan bagi empat tahun berturut-turut dari 2006 hingga 2010.

Usia sering dikatakan penghalang kepada pencapaian seseorang khususnya wanita tapi di pentas Minggu Fesyen New York, September lalu, Carmen Dell'Orefice membuktikan bahawa usia sekadar angka dalam jangka hayat manusia.

Carmen, 81, menerima jeritan serta tepukan gemuruh kala tampil anggun menggayakan gaun rona karamel rekaan Norisol Ferrari untuk musim bunga dan panas 2013.

Turut menyertai pertunjukan yang diadakan di pentas Lincoln Center bagi pereka New York itu ialah Carol Alt, 51, dan Karen Bjornson, 60.

Model warga emas ini bukan setakat mempamerkan etika kerja serius, lebih profesional daripada model muda yang mana Carmen dan Carol sudah bersedia di belakang pentas sebelum jam 4 pagi meskipun Norisol menetapkan masa panggilan untuk semua kru pada jam 5 pagi.

Carmen dan Patty kini bernaung di bawah agensi Trump Models, yang melancarkan divisyen `legenda' sejak awal tahun ini khusus untuk model berusia 50 tahun ke atas.

"Rakyat Amerika makin berkembang dan saya rasa mereka sudah boleh menerima hakikat bahawa hidup masih boleh diraikan selepas berusia 50 tahun.

"Atas faktor demografi, penduduk kini juga melebihi usia 50 tahun," ujarnya.

Presiden Trump Model Management, Corinne Nicolas, berkata kemunculan Carmen membantu mengubah persepsi masyarakat mengenai maksud sebenar kecantikan seseorang wanita.

Kisah hidupnya kini diceritakan dalam bentuk filem dokumentari About Face: Supermodels Then and Now, oleh Timothy Greenfield-Sanders yang diterbitkan HBO.

Tidak ketinggalan untuk sama meraih kejayaan sebaris dengan wanita lain, Ketua Eksekutif Yahoo! yang kelima, Marissa Mayer yang terus menyinar sehinggakan Newsweek menyenaraikannya dalam senarai 10 tokoh teknologi untuk masa depan.

Sisi pesona wanita ini terus menyinar sejak dilantik Julai 2012 lalu untuk menjawat jawatan tertinggi dalam syarikat Internet secara mengejut.

Malah, kredibilitinya semakin meningkat apabila Marissa turut dinamakan dalam senarai 15 wanita untuk diperhatikan oleh majalah Red Herring manakala majalah Glamour meletakkan namanya sebagai wanita terbaik 2009.

Itu sudah cukup menunjukkan wanita ini berjaya menaikkan kembali imej dan meningkatkan pertumbuhan kewangan syarikat terkemuka itu.

Kemerosotan saham Yahoo! memaksa syarikat berkenaan mencari pemimpin yang berkarisma, berwawasan dan berkemahiran untuk kembali mengubah nasib mereka.

Wanita berusia 37 itu dipilih menjadi wanita kedua yang diberi peluang untuk menerajui Yahoo! Majalah Fortune sebelum ini menyenaraikan Marissa sebagai antara 50 wanita paling berkuasa di dunia selain mencipta sejarah tersendiri menjadi wanita termuda yang menyertai senarai berpengaruh itu.

Namun, cerita mengenai kehamilannya lebih banyak dilaporkan, malah ada forum diwujudkan khusus dengan tajuk `CEO Hamil' yang menjadi perdebatan sektor korporat dengan pejuang hak wanita.

Pelbagai organisasi wanita turut bangkit dan berusaha akan mempertahankan Marissa untuk terus berjaya walaupun melahirkan anak pada Oktober lalu.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI