Cair dengan ayat cinta lelaki 'Eropah'

Friday, March 29, 2013

Melaka: Akibat `cair' dengan pujukan dan ayat manis awang hitam yang menyamar sebagai lelaki Eropah berwajah kacak di Internet, seorang nenek sanggup menyerahkan wang berjumlah RM155,343 sebelum menyedari dirinya diperdaya suspek, bulan lalu.

Difahamkan, suri rumah berusia 52 tahun yang masih bersuami itu menjalinkan hubungan cinta secara maya dengan lelaki berkenaan selepas berkenalan di dalam laman sosial sejak Jun tahun lalu.

Bagi meyakinkan mangsa, suspek dikatakan menggunakan beberapa gambar palsu dan berpura-pura mahu menghantar bungkusan berisi hadiah mahal antaranya minyak wangi, jam tangan, aksesori perhiasan diri termasuk wang tunai USD.

Bagaimanapun, suspek memaklumkan bungkusan itu kononnya menghadapi masalah berkaitan cukai dan meminta rakan subahat yang menyamar sebagai pegawai Kastam menghubungi mangsa meminta memasukkan wang ke dalam bank bagi proses pelepasan.

Selepas semua wang diminta suspek dimasukkan mangsa ke dalam akaun bank tempatan, suspek kemudian terus lesap dan gagal dikesan.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri Superintendan Soh Hock Sing (gambar) berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat mangsa di sekitar negeri ini, 22 Februari lalu.

"Mangsa yang menetap di sekitar negeri ini mendakwa sudah memasukkan wang sebanyak lima kali ke dalam lima akaun berasingan yang nilai keseluruhannya berjumlah RM155,343.

"Wang itu dikatakan bertujuan sebagai proses pelepasan cukai kastam bagi barangan yang mahu dihantar sindiket penipuan terbabit," katanya pada sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Menurut beliau, hasil siasatan pihaknya membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan berusia 55 tahun.


0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI