Johor lubuk artis popular
Kalau mahu disenaraikan, ia memang cukup ramai apabila mengaitkan Johor yang boleh dianggap `kilang terbesar' mengeluarkan bakat seni dalam industri hiburan di negara kita. Hakikatnya, memang ramai anak seni kelahiran Johor yang mewarnai persada seni muzik, nyanyian, lakonan dan perfileman.
Datuk Sharifah Aini, Amy Search, Mawi, Datuk AC Mizal, Alyah, Zainal Abidin, Fasha Sandha, Fahrin Ahmad, Linda Onn, Betty Banafe, Datin Seri Normala Samsudin, Along Raja Lawak, Jaafar Onn, Akim Ahmad, Yana Samsudin, Haiza, Ajai, Ramlah Ram, Noraniza Idris dan Achey antara artis kelahiran negeri berkenaan yang terus mekar jenama mereka.
Tak ketinggalan Mas Idayu, Que Haidar, Lufya, Wan Sharmila, Rosma, Khai, Zarina Zainoordin, Memey Suhaiza, Norman Hakim dan AG Hot FM. Malah, pertandingan Raja Lawak yang bersiaran di Astro juga menyaksikan ramai bakat yang digilap dari Johor seperti Jepp Sepahtu, Shuib Sepahtu, Mamat Sepah, kumpulan Shiro, Taukeh dan Angah Raja Lawak.
Bintang veteran terutama mereka yang terbabit dalam bidang seni hiburan sejak era 1950an dan 1960an juga ramai berasal dari Johor, antaranya yang masih hidup seperti Datuk Jamil Sulong, Mat Sentul, Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk A Rahman Hassan dan A Halim.
Legenda Sharifah Aini
Sharifah Aini antara legenda yang masih mekar hingga kini. Cuma sekarang keadaan kesihatannya mula terjejas dan kerap mendapatkan rawatan di hospital. Dalam usia awal 60-an, beliau antara penyanyi yang masih aktif mengadakan persembahan amal termasuk melakukan majlis kesyukuran membabitkan anak yatim. Penyanyi Seri Dewi Malam dan Bunga Tanjung ini sudah 45 tahun menghiburkan peminat.
Keunggulan Amy
Search Amy Search juga bukan asing lagi dalam dunia hiburan sejak 1980. Malah anaknya, Nabila Huda juga mengikuti jejaknya bergelar anak seni. Vokalis kumpulan Search itu bukan sekadar mencipta fenomena di negara sendiri, malah jenama Search itu turut meledak di Indonesia. Lagu Isabella antara penanda aras kecemerlangan Search.
Bukan saja Amy, kebangkitan irama rock pada era 1980an juga menyaksikan ramai kumpulan muzik rock berasal dari negeri di selatan Semenanjung itu. Menghasilkan puluhan album bersama Search, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 55, juga pernah hadir dengan beberapa album solo. Kini, Amy masih aktif menyanyi dan diuruskan isterinya, Nourish.
Mawi pernah mencetuskan fenomena luar biasa selepas menjuarai Akademi Fantasia musim ketiga. Beliau antara juara pertandingan realiti terbitan Astro yang mencipta magis tersendiri dalam penganjuran pertandingan nyanyian berkenaan. Mawi dianggap sebagai pengganti Datuk Siti Nurhaliza ketika zaman kebangkitannya. Namun, selepas beberapa tahun termasuk memilih untuk berkahwin dengan Ekin Rahman, populariti Mawi terus merudum.
Mawi kini masih meneruskan kembara seninya apabila tampil duet bersama Datuk AC Mizal dalam lagu berjudul Al Haq Yang Satu. Datuk AC Mizal juga popular di liganya tersendiri. Pernah menganggotai kumpulan rap 4U2C pada zaman 1990an, AC bersama Azam, Joe, Adik, Lan, Yanz dan Rin meledak dengan lagu Fiona. Difahamkan selepas 17 tahun berpecah, AC bakal menghidupkan semula kumpulan berkenaan menerusi projek khas.
Bakat AC Mizal
Drama serta filem Gerak Khas terbitan Skop Production juga pernah mempopularkan AC menerusi watak Inspektor Mazlan. Ketika itu AC cukup serasi dengan Inspektor Aleza lakonan Abby Abadi. AC turut membuktikan bakatnya sebagai pengacara yang begitu menyerlah.
Yana Samsudin mengambil masa lama untuk disedari bakatnya. Pernah menjadi artis residen MIG, Yana juga memilih untuk bergerak sendiri. Bersama MIG, Yana diberi watak heroin dan penting sehingga namanya melonjak dan meraih kejayaan di Anugerah Bintang Popular BH.
Sebelum menyerlah sebagai pelakon, Yana sebenarnya pernah bekerja di MIG sebagai penyanyi lagu runut bunyi filem terbitan syarikat milik David Teo itu. Yana juga pernah diberi peluang mengarahkan filem menerusi Selamat Pagi Cinta. Di ABPBH 2012, Yana pernah dinobatkan Pelakon Filem Wanita Popular, selain merangkul Anugerah Heroin Terhebat di Anugerah Blokbuster.
Fasha Sandha sebenarnya dilahirkan di Hospital Besar Sultanah Aminah. Tetapi ramai yang sering tersalah sangka yang pelakon jelita ini sebenarnya dilahirkan di Utara tanah air dek kemampuannya bercakap loghat sana. Sebenarnya, Fasha yang sedang mengandung anak kedua dibesarkan di Perlis.
Fasha antara pelakon TV yang popular dan pernah memenangi trofi ABPBH untuk kategori pelakon drama. Fasha baru saja selesai menjalani penggambaran drama menghiasi slot Zehra TV3 berjudul Selamat Pengantin Madu terbitan Pesona Pictures.
Penyanyi dan pelakon Juliana Banos juga berasal dari Johor Bahru. Selepas berkahwin pada 2005, artis kacukan Melayu, Perancis dan Sepanyol ini sudah tidak lagi aktif dalam dunia seni. Dalam dunia nyanyian, Juliana pernah popular dengan lagu Mana Satu dan Cinta Gila. Penyanyi kelahiran Gelang Petah, Alyah juga terus dikenali ramai menerusi dendangan lagu balada yang cukup sinonim dengan dirinya. Tak Mungkin Kerana Sayang ciptaan Ajai yang juga dari Johor meledakkan namanya selepas hampir sedekad berusaha membuktikan bakatnya tidak wajar dipandang sebelah mata.
Bidang pengacaraan
Pesona Normala dunia pengacaraan juga antara mercu tanda dan ingatan buat wanita jelita kelahiran Johor ini. Menginjak usia 50 pada 4 Jun lalu, pesona bekas personaliti TV3 itu masih menjadi igauan biarpun beliau sudah lama meninggalkan pentas pengacaraan. Isteri kepada bekas menteri, Datuk Seri Azmi Khalid itu masih kekal jelita di usianya kini.
Datuk Mahadzir Lokman yang popular sebagai pembaca berita di TV3 dan juga pengacara terkenal juga berasal dari Johor.
Achey juga dilihat antara pelawak generasi baru yang boleh menyerlahkan lagi dunia komedi tanah air. Selepas menjuarai pertandingan Bintang Mencari Bintang di TV3, kejayaan baru mengekorinya ialah Artis Baharu Lelaki Popular ABPBH 2013.
Populariti Datuk Shake
Pelakon yang juga penerbit iaitu Darling Ngasri juga dilahirkan di Johor, selain penyanyi popular, Datuk Shake. Pada usianya 62 tahun, beliau masih giat menyanyi.
Penyanyi bernama penuh Datuk Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh ini mula menyanyi di Perancis pada 1976 dan masih dianggap legenda sama ada di Eropah mahupun di rantau nusantara. Penyanyi lagu Umi itu juga bahagia dengan perkahwinannya bersama model kelahiran Yugoslavia yang juga pelakon teater bernama Datin Milena, selain dikurniakan dua anak iaitu Nicholas Shake (pelakon) dan Amaro Shake (pengarah). Sesekali beliau juga sering dilihat di Kuala Lumpur atas urusan nyanyian dan peribadi.
Antara artis lain yang juga berasal dari Johor termasuklah Mamat Exists, Fazli Zainal, Elveena, Maya, Syafinaz Selamat dan Alam Kadir.
Oleh Zaidi Mohamad (BH)