Showing posts with label Kajian. Show all posts
Showing posts with label Kajian. Show all posts

Sindiket Jual Organ dan Pemerdagangan Manusia di dunia

Wednesday, September 25, 2013 0 Komen

Sindiket Jual Organ
Kisah Guo, 6, dari China yang hilang kedua-dua biji matanya, baru-baru ini ketika bermain sendirian di luar kawasan rumahnya di wilayah utara Shanxi, Beijing begitu menggemparkan.

Kanak-kanak malang itu ditemui di padang berhampiran rumahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri. Keadaannya berlumuran darah manakala kedua-dua kornea matanya ditemui tidak jauh dari tempat ditemui, dipercayai ada kaitan dengan sindiket penyeludupan organ.

Jurucakap polis Fenxi tidak menolak kemungkinan, Guo diberikan ubat pelali sebelum kornea matanya diambil dan dipercayai ada kaitan dengan sindiket penyeludupan organ kanak-kanak.

Laporan di laman web antarabangsa memaparkan, perdagangan organ secara haram semakin berleluasa apabila ia didorong oleh permintaan yang tinggi. Kira-kira 300,000 orang menunggu giliran untuk menjalani pembedahan pemindahan organ, sedangkan hanya 10,000 pembedahan dilakukan setiap tahun.

Pemindahan organ di negara miskin dan mundur dilakukan menerusi cara mengeksploitasi mangsa untuk mendapatkan keuntungan kerana permintaan tinggi daripada pesakit di seluruh dunia.

Kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati 10 peratus daripada 70,000 buah pinggang yang dipindahkan setahun mungkin berasal dari pasaran gelap.

Justeru, kegiatan penculikan kanak-kanak juga mempunyai kaitan untuk mendapatkan organ. Pertubuhan Buruh Antarabangsa pula menganggarkan 1.2 juta kanak-kanak diperdagangkan setiap tahun.

Menangani masalah itu, pelbagai kaedah penyelesaian dilaksanakan antaranya perlindungan yang luas, pencegahan, penguatkuasaan undang-undang dan bantuan kepada mangsa menerusi Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-Kanak 1989 serta Protokol Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) untuk Mencegah, Menyekat dan Menghukum Perdagangan Manusia terutama wanita dan kanak-kanak.

Kes seludup organ

Jika dilihat, berdasarkan laporan kegiatan jual organ sudah berlaku di pelbagai negara sejak lebih 10 tahun lalu, contohnya di Ukraine, pada 2002 pernah mendedahkan berlaku aktiviti menyeludup 25,000 kanak-kanak ke negara Israel dipercayai dilakukan bagi tujuan mendapatkan organ.

Pada masa sama, sebelum isu itu timbul, sebuah agensi media antarabangsa juga membangkitkan kes kehilangan kanak-kanak Palestin. Kes kehilangan kanak-kanak Palestin dipercayai meningkat sejak pelancaran kempen Intifada pada tahun 2000, iaitu lebih 6,200 kanak-kanak Palestin yang berusia 18 tahun ke bawah diculik tentera Israel.

Laporan itu dibuat oleh International Middle East Media Centre (IMEMC) mengenai penculikan kanak-kanak itu dikeluarkan oleh Palestinian Ministry of Prisoner Affair.

Manusia kejam

Di Jepun, demi wang bayi juga dicolek bagi tujuan memperdagangkan organ. Sindiket itu menjalankan perniagaan haram dengan menjual otak, jantung dan bahagian tubuh bayi yang dimuatkan di dalam botol kaca. Ia dijalankan lebih lima tahun dan meraih keuntungan bernilai jutaan Yen.

Tangkapan besar

Pada November 2011, laman berita Ynet News melaporkan seorang warga Amerika-Israel, Lewi Yizhak Rosenbaum, 60, seorang Yahudi Ortodoks (Haredi) yang tinggal di Brooklyn New York, mengaku bersalah atas kesalahan menyeludup organ manusia.

Istilah Haredi atau Charedi digunakan bagi menggambarkan kumpulan yang paling konservastif dalam agama Yahudi Ortodoks. Dia membuat pengakuan ketika perbicaraannya di New Jersey dengan mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan membabitkan penjualan haram buah pinggang kepada pelanggan di New Jersey.

Selain itu, Rosenbaum mengaku menerima sekurang-kurangnya USD120,000 (lebih kurang RM390, 000) setiap jualan dan turut mengaku salah terhadap tuduhan bersubahat dalam konspirasi jualan yang lain.

Apabila organ manusia sangat bernilai untuk tubuh maka harganya juga sangat mahal di pasaran gelap.

Laman web www.uniknya.com juga pernah melaporkan, harga untuk membiayai pemindahan ginjal di China menelan belanja minimum USD$10,000 (sekitar RM32,700). Apabila harganya mahal, maka muncul pelbagai taktik kegiatan berkaitan jual beli organ tubuh manusia.

Lagi kes hilang organ

Laman web worldnews.nbcnews.com pada Mei lalu, melaporkan seorang kanak-kanak perempuan kelahiran Birmingham, England, Gurkiren Kaur, 8, yang bercuti di India meninggal dunia selepas disuntik bagi tujuan rawatan penyahhidratan oleh seorang doktor.

Selepas dibawa pulang semula ke Britain, ibu bapanya mendapati hilang organ dalaman dan meluahkan rasa takut mungkin anaknya menjadi mangsa perdagangan haram organ manusia.

Perniagaan terbesar di India

Bagaimanapun, hospital di India yang merawat anak mereka menafikan dakwaan itu apabila ahli parlimen tempat kelahiran kanak-kanak itu mendesak supaya siasatan antarabangsa dijalankan terhadap kes berkenaan. Penggubal undangundang, Shabana Mahmood memberitahu ITV News, timbul rasa sangsi terhadap kes berkenaan.

Banyak persoalan tidak berjawab mengenai kematian Gurkiren. Mungkin dia sengaja dibunuh untuk mendapatkan organ dalamnya.

Lebih kuat dakwaan itu apabila sebuah akhbar melaporkan perniagaan komersial organ manusia dikategorikan sebagai perniagaan terbesar di India, walaupun ia sudah diharamkan sejak 1994.

Menurut ibu bapanya, Gurkiren melawat India sebagai percutian luar negeri pertamanya, tetapi jatuh sakit sekitar April lalu dan menjadi pesakit kes ringan. Kanak-kanak itu bagaimanapun diberi suntikan di sebuah klinik menyebabkan matanya berpusing-pusing ke belakang sebelum dia tidak sedarkan diri.

Ibu dan bapa kanak-kanak malang itu, Amrit dan Santokh bagaimanapun memberitahu doktor di klinik berkenaan enggan memberitahu tujuan suntikan itu diberikan sedangkan anaknya hanya memerlukan satu titis saline untuk selama setengah jam atau 45 minit.

Doktor itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang penerangan, sebaliknya memandang kosong dan terus menyuntik Gurkiren.

Selepas kejadian itu, mereka bersetuju membenarkan doktor hospital di India menjalankan satu rawatan biopsi bagi mendapatkan rawatan susulan bagi mengenal pasti punca kematian anaknya.

Bagaimanapun, tubuh kanak-kanak itu dibawa pulang ke negaranya dan apabila bedah siasat dilakukan (amalan biasa dilakukan di United Kingdom) dan mendapati organ dalaman anaknya hilang.

Selain itu, ada sindiket dadah yang menjalankan operasi menculik dan membuang organ kanak-kanak supaya tubuhnya dapat digunakan untuk menyeludup dadah.

Awal Julai lalu, seorang kanak-kanak berusia dua tahun hilang apabila dia hilang seketika ketika melawat Mexico bersama keluarganya. Menyedari kehilangannya selama 45 minit kemudian di sempadan, ibu kanak-kanak malang itu mendapati seorang lelaki membawa seorang kanak-kanak yang seiras anaknya.

Bagaimanapun selepas lelaki itu menyedari diperhatikan ibu kanakkanak ini, lelaki terbabit terus melarikan diri dan meninggalkan jasad kanak-kanak berkenaan. Pemeriksaan mendapati, kanak-kanak itu sudah mati dan hampir semua organ dalamannya dibuang dan digantikan dengan sejumlah kokain.

INFO

5 negara tertinggi kes curi organ di dunia

1. Moldova - Negara miskin yang paling banyak berlaku kekejaman hamba seks. Ia adalah negara tertinggi dalam kes pencurian organ tubuh manusia. Populasi penduduknya lebih tiga juta. Pemerintah Moldova tidak begitu mengambil berat soal jenayah pencurian organ tubuh manusia sehingga menimbulkan curiga bahawa pemerintah Moldova turut terbabit dalam perdagangan organ manusia.

Sindiket juga terdiri daripada kelompok mafia penjualan organ tubuh nasional dan antarabangsa. Pencurian itu dilakukan dengan cara membius mangsa lalu membedahnya. Organ tubuh menjadi tumpuan adalah ginjal, jantung, hati, usus dan paru-paru. Selepas pembedahan organ dilakukan, mereka meletakkannya di dalam kolam mandi yang dipenuhi air batu dalam keadaan telanjang atau dibuang di kawasan terpencil.

Ada laporan mengatakan 10 peratus buah pinggang penderma adalah berasal dari Moldova.

2. China

* Tidak seperti negara lain, China sebenarnya menerima rampasan organ. Jika pesakit yang nazak perlukan ginjal, hospital di China akan menerbangkan ginjal untuk diberikan.

Pada 1984, pemerintah negara China memperkenalkan sebuah undang-undang baru, sebuah peraturan yang tertumpu pada upaya memanfaatkan organ tubuh terhadap manusia mati, terutama tahanan penjara. Sejak peraturan ini diperkenalkan, semakin banyak orang di dunia menantikan organ tubuh manusia yang berasal dari China, bahkan doktor akan memberikan pelbagai keterangan mengenai organ itu.

Pada 2007, pemerintah China menghentikan kegiatan rumah sakit yang menjual organ manusia dan melarangnya diberikan kepada orang asing dengan mengutamakan rakyat sendiri. Apabila rakyat asing memerlukan organ, mereka perlu membayar sebanyak USD10,000 hingga USD65,000untuk satu ginjal.

3. Mesir

* Pemerintah Mesir tidak memiliki undang-undang yang mencegah penjualan organ manusia. Kira-kira 500 pemindahan ginjal secara tidak sah dilakukan setiap tahun menunjukkan angka itu begitu murah dan dipercayai ada broker organ. Di Mesir tidak ada undang-undang untuk menghukum sindiket pencurian organ.

4. Pakistan

* Pakistan negara miskin dan menjadikan aktiviti menjual organ ginjal sebagai sumber pendapatan. Pada 1994, Pakistan memperkenalkan peraturan Transplantation of Human Organs Act namun masih banyak halangan. Ia adalah bagi membolehkan pihak di luar mendermakan dan menerima beberapa organ tubuh manusia.

5. India

* Penyeludupan dan penjualan organ manusia di India dilakukan lebih 12 tahun. Salah satu skandal yang paling popular berlaku pada 2004. Akhbar melaporkan Transplant Authorization Committee bertanggungjawab dalam mencegah jualan organ, antaranya buah pinggang. Kebanyakan broker, hospital dan doktor ditangkap di India.

Bagaimanapun, jualan buah pinggang masih semakin meningkat walaupun kes sudah didedahkan. Masih ramai membuka kedai haram mencari buah pinggang.

(laman web http://news.upickreviews.com)

Oleh Hidayah Mohammad

Wanita lebih tertekan dan bimbang semakin tua

Wednesday, April 10, 2013 0 Komen

Penuaan menjadi satu kebimbangan kepada ramai rakyat Amerika Syarikat (AS) terutama kesannya terhadap kesihatan. Namun golongan lelaki pula seolah-olah lebih mudah menerima hakikat ketika menempuh fasa berkenaan berbanding wanita, menurut satu kajian terbaru.

Bancian peringkat kebangsaan membabitkan 2,000 individu dewasa di AS mendapati, hampir 90 peratus daripada mereka berpendapat wanita lebih rasa tertekan untuk terus kelihatan muda berbanding lelaki.

Kajian itu juga mendapati, biarpun lelaki dan wanita berkenaan sama usia, si lelaki hanya dianggap lima tahun lebih muda malah lelaki juga dikatakan mempunyai penampilan lebih menarik seiring usia yang meningkat.

Editor Eksekutif Allure (majalah yang ditauliahkan untuk membuat bancian itu) Kristin Perrotta berkata, walaupun uban di kepala dianggap mampu membuatkan seseorang lelaki kelihatan lebih bergaya, kehadiran uban pada wanita pula membuatkan golongan itu dikatakan kelihatan lebih tua.

Pada masa sama, kajian itu mendapati wanita dikatakan kelihatan paling menarik pada usia mencecah 30 tahun berbanding lelaki pada usia 34 tahun.

"Kaji selidik itu menunjukkan dengan jelas bahawa penuaan (membabitkan penampilan) memberi kesan sebenar pada emosi lelaki dan wanita, tidak kira sama ada mereka berumur 20, 40 atau 60 tahun.

"Ramai orang berkata, mereka bimbang mengenai kesan penuaan. Mereka bimbang ia akan menjejaskan daya tarikan mereka kepada jantina berlawanan. Wanita terutamanya bimbang penuaan akan menjejaskan kerjaya mereka," katanya.

Seramai 42 peratus daripada golongan wanita berusia antara 50 hingga 59 tahun berkata, mereka perlu kelihatan muda untuk berjaya dalam kerjaya dan jumlah itu hampir dua kali ganda berbanding lelaki.

Namun secara keseluruhan, lelaki dan wanita samasama berpendapat faktor jantina memainkan peranan besar dalam diskriminasi di tempat kerja berbanding usia.

Walaupun penuaan satu kebimbangan kepada kedua-dua jantina, kira-kira 60 peratus daripada lelaki dan wanita berpendapat mereka kelihatan lebih muda daripada orang lain dalam lingkungan usia yang sama umur.

Malah sebilangan lelaki dan wanita mendakwa hubungan intim mereka dengan pasangan bertambah baik seiring pertambahan usia.

Hampir 70 peratus wanita AS berbangsa Afrika berkata, mereka tidak bimbang langsung mengenai tanda penuaan yang dialami dan keadaan itu sangat berbeza berbanding kaum lain.

"Selain itu, ramai orang yang mempunyai pandangan positif mengenai penuaan dan mempunyai pendapat yang baik mengenai diri dan penampilan mereka sendiri seiring pertambahan usia," kata Perotta.

Apabila diminta menamakan selebriti yang kelihatan menarik pada usia tua, ramai lelaki dan wanita dalam kumpulan etnik berlainan sama-sama memilih pelakon terkenal, George Clooney sebagai pilihan pertama diikuti pelakon Sean Connery, mantan Presiden AS, Bill Clinton serta pelakon Brad Pitt dan Richard Gere.

Biarpun pemilihan bagi wanita menarik seiring usia dilihat kurang menyengat, pelakon Meryl Streep, Jamie Lee Curtis dan Julia Roberts masing-masing menduduki tiga tempat teratas.

Pelakon lelaki terkenal di Hollywood digambarkan sebagai simbol seks biarpun sudah memasuki usia 70-an dan Sean Connery adalah contoh yang sempurna.

"Malangnya, biarpun kita mempunyai bintang wanita yang ramai berjaya merebut peranan utama walaupun berusia emas, mereka kurang digambarkan sebagai simbol seks," katanya.

Lima peratus daripada individu yang ditanya dalam pengundian itu berkata, mereka menjalani pembedahan plastik atau suntikan kecantikan seperti botoks untuk melawan tanda penuaan manakala 42 peratus wanita dan 18 peratus lelaki mengakui mereka mungkin tidak menolak untuk melakukan prosedur sama pada masa hadapan.

"Satu daripada tiga orang yang melakukan suntikan atau pembedahan plastik merahsiakan perbuatan mereka. Walaupun pembedahan plastik sudah menjadi sebahagian budaya kita, secara peribadi ia masih dianggap rahsia," katanya.

Kebanyakan individu mengambil suntikan botoks atau pembedahan plastik berkata, mereka mungkin tidak akan memberitahu pasangan, kekasih atau kawan baik mereka.

Susunan Faizatul Farlin Farush Khan

Orang bermata coklat lebih dipercayai

Monday, February 25, 2013 0 Komen

Mereka yang mempunyai mata berwarna coklat boleh dipercayai berbanding lelaki bermata biru atau warna lain, lapor satu kajian.

Dalam satu kajian baru diterbitkan dalam PLOS ONE, penyelidik diketuai Karel
Kleisner dari Universiti Charles di Republik Czech, menyiasat faktor yang menentukan wajah boleh dipercayai. Pengaruh interaksi sosial

Penyelidikan sebelum ini menunjukkan penampilan wajah secara ketara mempengaruhi pelbagai interaksi sosial.

Persepsi wajah memberi maklumat berkaitan kepercayaan, berikutan itu ia memberi memberi kesan ke atas kejayaan ekonomi, sosial dan reproduktif seseorang individu.

Penyelidik bertanya sekumpulan peserta untuk menentukan kadar kebolehpercayaan wajah lelaki dan wanita berdasarkan dua kriteria. Pertama, warna mata dan kedua, bentuk wajah.
“Sejumlah besar subjek mendapati wajah bermata coklat lebih dipercayai berbanding biru, tidak kira sama ada mereka lelaki atau wanita,” kata salah seorang penyelidik berkenaan.

Wajah lelaki bulat bermulut besar dan dagu lebih lebar dilihat lebih dipercayai berbanding runcing, bagaimanapun bentuk wajah wanita tidak banyak memberi kesan sejauh mana mereka boleh dipercayai.

Penyelidik juga menjalankan ujian ketiga, memberi peserta gambar wajah lelaki yang sama kecuali satu variasi: warna mata. Ketika ujian ini mereka mendapati kedua-dua warna mata dianggap boleh dipercayai.

Mereka juga mendapati kunci untuk dianggap boleh dipercayai bukan datangnya dari warna mata, namun daripada kriteria wajah yang dikongsi individu bermata coklat.

Sebagai contoh, lelaki bermata coklat secara umum memiliki bibir lebar dengan sudut lebih menaik, dagu lebar, mata besar dan kening lebih rapat antara satu sama lain, kriteria dianggap maskulin dan lebih dipercayai.

AGENSI

Kopi Boleh Panjang Umur

Saturday, February 23, 2013 0 Komen

Khasiat kopi panjang umur
Sekumpulan saintis mendakwa menikmati tiga cawan kopi sehari berupaya memanjangkan setahun umur manusia.Kajian dilakukan ke atas 500,000 warga emas mendapati risiko kematian menurun disebabkan mereka lebih banyak meminum kopi dalam sehari. Saintis Institut Kanser Kebangsaan Amerika Syarikat, Dr Neal Freedman berkata, dari penyelidikan dilakukan mereka yang mengambil dua atau tiga cawan kopi sehari dapat mengurangkan risiko kematian awal sebanyak 10 hingga 15 peratus.

 “Tetapi sekiranya individu mengambil lebih daripada dua atau tiga cawan, ia tidak memberi manfaat malah dianggap tidak sihat kerana kandungan kafein boleh memberi risiko kepada masalah jantung, strok, kencing manis dan Parkinson," katanya. Menurutnya, hipotesis kajian dari individu berusia 50 dan 71 itu telah dilakukan sejak 12 tahun lalu dan menunjukkan bukti kukuh. “Tabiat minum kopi dikaitkan dengan tingkah laku yang mampu menghindari seseorang daripada mengambil minuman beralkohol, karbonat ataupun memakan daging berkalori tinggi," katanya.

 Beliau berkata, kopi boleh meningkatkan tekanan darah tinggi. “Sebatian berbeza dalam kopi adalah penting, iaitu pengambilan tanpa gula adalah yang terbaik,” katanya. Dr Freedman berkata, pengambilan kopi dalam kadar sederhana tidak memudaratkan kesihatan malahan memberi banyak faedah kepada tahap kesihatan meskipun pengambilannya boleh menyebabkan ketagihan. "Kajian menunjukkan kesan pengambilan kopi dapat mengurangkan risiko diabetes iaitu dua kali adalah lebih rendah berbanding dengan mereka yang tidak meminum kopi," katanya.

 Menurutnya lagi, kajian membuktikan selain meningkatkan fungsi kognitif, kopi boleh mengurangkan risiko batu karang, kanser kolon dan kerosakan hati. "Kopi juga terbukti mampu meningkatkan prestasi dan ketahanan manusia dalam aktiviti fizikal seperti mereka yang sering berjaga sehingga lewat malam akan lebih segar setelah meminum kopi," katanya. - Jurnal Penyelidikan Kafein.

Amalkan gaya hidup sihat jika mahu umur panjang

Saturday, January 05, 2013 0 Komen

Amalkan gaya hidup sihat
Dua pakar pemakanan Malaysia mengakui bahawa individu yang memiliki berat badan lebih sedikit daripada Indeks Jisim Badan (BMI) yang ideal tidak akan membawa kemudaratan.

Ketua Bahagian Pemakanan dan Dietetik Universiti Perubatan Antarabangsa, Prof. Dr. Fatimah Arshad berkata, ia bagaimanapun tertakluk kepada gaya hidup seseorang dan caranya mengurus berat badan.

Sebagai contoh, jelas beliau, mempunyai BMI antara 26 dan 27 tidak akan mendatangkan masalah selagi individu berkenaan mempunyai julat lemak dalam tubuh yang normal serta menjalani aktiviti fizikal seperti bersenam.

“Sekiranya seseorang itu mempunyai BMI yang ideal tetapi tidak bersenam sekurang-kurangnya 30 minit selama lima hari berturut-turut, maka dia akan mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung, kencing manis dan gout.

“Malah dia berkemungkinan mengalami sindrom mati mengejut disebabkan oleh kuantiti lemak yang terlalu tinggi dalam tubuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau diminta mengulas satu kajian yang dilaporkan dalam Journal of the American Medical Association menunjukkan golongan yang mempunyai berat balebih sedikit daripada BMI ideal, memiliki kurang enam peratus risiko untuk meninggal dunia berbanding orang normal.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr. Tee E. Siong berkata, kajian itu ada benarnya tetapi ia tidak bermakna kualiti hidup orang yang mempunyai berat badan berlebihan lebih baik berbanding golongan normal.

“Walaupun berkemungkinan dapat hidup lebih lama, mereka akan menderita pelbagai penyakit untuk satu tempoh yang panjang disebabkan penyakit-penyakit tersebut,” katanya. ~ Kosmo

Rahsia Kuruskan Badan, info lanjut, KLIK SINI

Facebook tidak menyebabkan kemurungan

Thursday, July 12, 2012 0 Komen

Kebimbangan mengenai kaitan antara kemurungan dengan jumlah masa yang diluangkan untuk melayari Facebook atau laman media sosial lain kemungkinan tidak berasas, menurut satu kajian di Amerika Syarikat (AS), minggu ini.

Kajian oleh Universiti Wisconsin itu mendapati, tidak ada asas yang menyokong teori Akademi Paediatric Amerika pada tahun lalu yang menyatakan pendedahan kepada Facebook boleh menyebabkan kemurungan di kalangan remaja.

"Kajian kami adalah yang pertama mendedahkan bukti saintifik mengenai kaitan antara penggunaan media sosial dan risiko kemurungan.

"Penemuan ini memberi kesan penting kepada pakar perubatan yang sebelum ini mungkin mengingatkan orang ramai tentang penggunaan media sosial dan risiko kemurungan," kata penyelidik di Fakulti Perubatan Universiti Wisconsin, Lauren Jelenchick.

Kajian Jelenchick dan Profesor Megan Moreno itu melibatkan 190 pelajar di universiti tersebut yang berumur antara 18 hingga 23 tahun.

Kumpulan pelajar itu diarah menggunakan separuh daripada masa mereka melayari Internet untuk bermain Facebook.

Hasilnya mereka mendapati tidak ada kaitan penting antara penggunaan media sosial dengan kemungkinan menghadapi kemurungan.

Keputusan itu disiarkan di Journal of Adolescent Health, semalam.

"Penemuan kami sama dengan hasil kajian yang dibuat ke atas aplikasi komunikasi lain seperti e-mel dan laman sembang yang turut mendapati tidak ada hubungan dengan risiko kemurungan," tulis penyelidik itu. - AFP

10 jenis kanser payudara dikesan

Saturday, April 21, 2012

Saintis telah berjaya mengenal pasti kanser payu dara atau barah buah dada yang terdiri daripada 10 jenis berbeza.

Penemuan tersebut dapat membantu para doktor mengenali jenis kanser payu dara yang dihidapi oleh setiap individu.

Ia juga akan membantu menghasilkan rawatan dan ubatan baru untuk setiap jenis kanser tersebut.

Wakil Breakthrough Breast Cancer Center, Dr. Julia Wilson berkata, penyelidikan iu berpotensi untuk mengubah cara membuat diagnosis dan merawat kanser payu dara.

Ia bagaimanapun, masih memerlukan kajian lanjut yang mungkin memakan masa antara tiga dan lima tahun sebelum rawatan dan ubatnya dapat dihasilkan.

Kira-kira 130 wanita di dunia dikesan menghidap kanser payu dara setiap hari, peningkatan lebih 50 peratus berbanding 25 tahun lalu.

Ini bermakna seorang wanita hari ini mempunyai kebarangkalian satu daripada lapan untuk menghidap penyakit itu. - AGENSI

Kajian: Telefon Paling Banyak Kuman Di Pejabat

Tuesday, February 28, 2012 0 Komen

Telefon adalah tempat paling kotor di tempat kerja dan anda boleh dijangkiti selesema atau batuk hanya dengan menggunakan telefon pejabat, menurut satu kajian mengenai kuman di pejabat yang dikendalikan oleh seorang profesor mikrobiologi, Charles Gerba dari Univesiti Arizona.

“Tiada sesiapa yang membersihkan atau membasmi kuman pada telefon pejabat,” kata Gerba yang dipetik CBS News.


Reynolds, Wakil projek North American Platform Leader for The Healthy Workplace
Pekerja juga diberi amaran supaya berhati-hati di tempat yang mudah dijangkiti bakteria dan virus yang bersembunyi di pejabat. Bagaimanapun penemuan paling mengejutkan ialah ia tidak membabitkan tempat duduk dalam tandas.

“Pekerja sentiasa membersihkan tandas hampir sepanjang masa.

“Malah anda juga boleh mendapat kuman dari laci meja dan juga papan kekunci komputer, kata Gerba di mana tempat berkenaan hanya akan dibersihkan apabila ia melekit.

“Kita sering menemui virus selsema pada komputer sewaktu musim sejuk,” kata Gerba.
Dalam satu siaran berita ABCNews.com, Gerba berkata beliau menemui bakteria usus yang biasanya wujud dalam najis manusia pada satu daripada mangkuk gula-gula seorang daripada pekerja.

“Cerek kopi, kepala paip sinki, peti sejuk serta pemegangnya dan ketuhar gelombang mikro adalah beberapa bahagian paling kotor yang biasa di tempat kerja,” kata Brad Reynolds, daripada projek North American Platform Leader for The Healthy Workplace yang dikendalikan firma Kimberly-Clark Professional.

“Secara keseluruhan, semua barangan ini adalah empat kali ganda mempunyai tahap bakteria yang sama pada tempat duduk tandas,” katanya.

“Walaupun ramai pekerja menggunakan bilik rehat pejabat secara harian, ia secara umumnya tidak dibersihkan kecuali sehari oleh pekerja pembersih dan jarang sekali dilakukan sendiri oleh pekerja menyebabkan pencemaran lebih mudah dipindahkan daripada seseorang kepada yang lain sepanjang hari,” kata Reynolds.

Beliau berkata, bilik persidangan juga antara tempat paling mudah untuk kuman tersebar, misalnya ketika seseorang berjabat tangan dengan yang lain.

“Setiap orang perlu membersihkan tangan mereka sebelum atau selepas mesyuarat untuk mengelak kuman dibawa balik ke meja mereka,” kata Reynolds.

Butang pada lif, mesin menyalin atau pembuat kopi juga adalah sama seperti berjabat tangan. – Agensi

Wanita beli kosmetik sbg terapi stress dan kepuasan diri

Tuesday, December 27, 2011 0 Komen

Mana ada wanita yang tak suka shopping produk kecantikan. Terdahulu, terdapat laporan mengenai wanita Malaysia yang dikatakan sanggup berhabis sehingga RM2,000 sebulan semata-mata untuk membeli produk kosmetik dan kecantikan.

Namun sebenarnya, perbelanjaan ini dilihat sebagai terapi baru menghilangkan stress dan utk kepuasan diri. Wanita mahu memberi ganjaran selepas penat bekerja di pejabat atau di rumah. Kecantikan juga membantu meningkatkan keyakinan diri disebabkan wanita skrg kebanyakannya mempunyai kerjaya dan sering berhadapan dengan orang ramai. Mereka mahu sentiasa kelihatan cantik dan berpenampilan menarik bagi menambah keyakinan diri.

Mekap dan alat solek wanita

Pengerusi Majlis Lembaga Akademi Keusahawanan Islam Alfafa, Datin Reny Rahayu Mohd. Ishak juga menolak andaian bahawa perbuatan menghias diri oleh golongan berkenaan bertujuan menarik perhatian orang. Ketua Konsultan Syarikat K&A Applied Psychology Consultancy, Khairol Anuar Masuan pula berkata, menurut kajian, majoriti golongan wanita beranggapan mereka hanya akan kelihatan cantik jika mereka menggunakan peralatan solekan yang mahal.

“Golongan yang obses terhadap kecantikan selalunya tidak akan berfikir panjang apabila berbelanja sehingga ada yang sanggup berhutang semata-mata mahu membeli keperluan kosmetik jenama antarabangsa.

“Mereka juga sanggup menggunakan kaedah yang bahaya dengan melakukan pembedahan dan suntikan bagi mengubah diri mereka walaupun mengetahui tindakan itu boleh memudaratkan kesihatan hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Apa pun, golongan wanita hendaklah bijak menterjemahkan erti kecantikan dengan lebih seimbang dan menyeluruh tanpa bertindak keterlaluan hingga memudaratkan diri. Sgt menyedihkan jika wanita sanggup membazir dan mengeluarkan belanja yang banyak hanya untuk kecantikan sedangkan peruntukan itu boleh digunakan untuk tujuan yang lebih baik. Contohnya, mereka boleh menyimpan wang itu untuk perancangan di masa hadapan memandangkan kos sara hidup di negara ini yang semakin meningkat.

Oleh itu, wanita janganlah terlalu taksub dengan produk kecantikan dan perlulah menjadikan kes mangsa-mangsa produk kecantikan yang teraniaya hingga menyebabkan kematian sebagai iktibar.

Golongan Muda Terdedah Risiko Serangan Jantung

Wednesday, December 07, 2011 0 Komen

Golongan muda juga tidak terkecuali daripada menghidapi penyakit kardiovaskular atau serangan jantung ekoran gaya hidup yang tidak sihat, kata pakar jantung Dr Annuar Rapaee.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai pakar jantung lebih 10 tahun di Hospital Serdang, Selangor dan Pusat Perubatan Tropicana, Damansara berkata walaupun penyakit ini sering menyerang seseorang yang berumur lebih 40 tahun, tetapi golongan muda juga merupakan antara yang berisiko diserang penyakit senyap ini.

Darah tinggi dan diabetes merupakan antara penyumbang kepada serangan jantung selain merokok, katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka (Sibu) ketika menyampaikan ceramah tentang penyakit tersebut di Wisma Bernama di sini, Selasa.

Beliau menjelaskan dari pengalamannya, seorang pesakit berusia 26 tahun pernah dikenal pasti mengidap penyakit jantung yang agak kritikal kerana dipercayai menghisap rokok lebih daripada 20 batang sehari.

"Sebatang rokok mempunyai 4,000 bahan toksid yang bukan sahaja menjadi penyebab sakit jantung tetapi juga risiko penyakit kanser, yang perbuatan merokok bukan sahaja memberi kesan kepada perokok tersebut malah kepada orang di sekelilingnya," katanya.

Sehubungan itu Dr Annuar menasihati perokok supaya menghentikan tabiat tersebut kerana nikotin di dalam rokok boleh menyebabkan bekalan oksigen ke jantung berkurangan, tekanan dan kepekatan darah meningkat di samping merosakkan sel yang melindungi saluran darah.

Beliau berkata, antara gejala serangan sakit jantung ialah pesakit mengalami sakit pada dada, sukar bernafas, kesakitan gigi dan sering merasa berdebar-debar.

"Ujian saringan sangat penting bagi mengenal pasti penyakit kardiovaskular kerana ia kadang kala tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala," katanya.-BERNAMA

Spesies ikan paling kecil di dunia, 'Paedocypris' djumpai di T'gganu

Wednesday, December 07, 2011 0 Komen

Spesies ikan paling kecil di dunia, 'Paedocypris' dari keluarga 'Cyprinidae' dengan saiz 7.8 milimeter ditemui di kawasan paya Bukit Bauk.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri Azmi Nordin berkata, ikan tersebut ditemui semasa ekspedisi Bukit Bauk yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia pada 2006.

Paedocypris

"Beberapa ekor ikan dari famili Cyprinidae itu, spesis ikan paling kecil di dunia, ditemui di kawasan ini," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Azmi berkata, berdasarkan kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), ikan tersebut tidak terdapat di tempat lain termasuk di luar negara setakat ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengambil langkah untuk membiak ikan itu supaya tidak pupus dan mungkin dijadikan daya tarikan pelancong pada masa akan datang.

Menurut Azmi, buat masa ini pihaknya belum dapat menunjukkan ikan itu kepada umum kerana dibimbangi ada pihak yang akan mencarinya dan dijual dengan harga yang tinggi.

Lagipun, katanya, kawasan ikan itu ditemui terdedah kepada pengunjung dan besar kemungkinan orang akan tertumpu ke situ sekiranya kawasan itu dihebahkan.

"Ini satu aset untuk negeri dan jika ia pupus, rugilah negara," katanya.

Beliau berkata selain itu, Bukit Bauk seluas 7,596 hektar juga mempunyai pelbagai khazanah berharga seperti pokok-pokok bunga yang masih belum dieksploitasi sepenuhnya.

Barometer rasuah di Malaysia bertambah baik -Kajian Transparency International (TI)

Friday, December 02, 2011 0 Komen

Kajian Transparency International (TI) mendapati barometer rasuah (CB) di Malaysia meningkat baik daripada 48 kepada 49 peratus tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai rasuah bagaimanapun berkata Indeks Persepsi Rasuah (CPI) TI menurun daripada 4.4 tahun lepas kepada 4.3 tahun ini.

"Keputusan yang bercampur-campur ini menunjukkan lebih banyak usaha terhadap rasuah perlu dilakukan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di Kuala Lumpur semalam.

Mohamed Nazri berkata CB membuat kajian bebas terhadap pandangan dan pengalaman orang ramai di Malaysia mengenai rasuah dan hasil kajian yang diperolehi adalah mengalakan di mana 49 peratus rakyat melihat usaha kerajaan memerangi rasuah sebagai berkesan.

Katanya, ini adalah pembaikan terhadap hasil yang diperolehi iaitu melepasi 48 peratus kedudukan tahun lepas.

"Ini membuktikan pembinaan usaha dibuat pada 2009 dan 2010 mula tertumpu pada isu rasuah kecilan yang memberi kesan terhadap orang awam dalam kehidupan seharian mereka. "Sesetengah daripada usaha tersebut adalah melalui Asas Data Nama dan Perasaan Malu yang bertindak sebagai pencegahan kepada pesalah rasuah, Akta Perlindungan Peniup Wisel, dan pembentukan unit-unit pematuhan di bawah lima agensi utama penguatkuasa,” kata Mohamed Nazri.

Beliau berkata bagi CPI di Malaysia yang menurun daripada 4.4 kepada 4.3 tahun ini, telah meletakkan negara pada kedudukan ke 60 berbanding 56 pada tahun sebelumnya.

"Ia menggunakan data daripada 12 kajian mengikut Panduan Khidmat Risiko Politik Negara, Indeks Peraturan Undang-Undang Projek Mahkamah Dunia dan Indeks Suapan-Pembayar Transparency International (TI-BPI) yang dimasukkan sebagai bahan baru di tahun 2011,” katanya.

Menurut beliau, BPI oleh TI itu dijalankan hanya di 28 buah negara dan ia pertama kali diperkenalkan dalam CPI.

Mohamed Nazri berkata BPI itu adalah satu kajian baru yang dibuat untuk mengukur kecenderungan rakyat Malaysia memberi suapan kepada pihak-pihak lain di luar negara.

"Sekiranya ini tidak diambil kira, kedudukan Malaysia akan melompat kepada 4.5 dan negara akan kekal di tempat ke 56, “ katanya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dalam kenyataan yang sama berkata usaha sudah pun dimulakan mencegah rasuah besar di mana SPRM sudah memulakan satu program transformasi.

Antara lain, katanya, program tersebut bertujuan mengukuhkan lagi keupayaan SPRM melalui siasatan forensik.

"SPRM sebenarnya telah memulakan program transformasi yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di seluruh institusi yang tujuannya antara lain memperbaiki usaha forensik dalam mengendalikan kes-kes yang rumit.

"SPRM perlu bekerjasama dengan semua agensi penguatkuasa dan badan-badan pendakwaan dalam mengendali isu rasuah dari sudut penguatkuasaan,” kata Abu Kassim.

— BERNAMA

Rakyat Malaysia suka dengar radio -tertinggi di Asia Pasifik

Wednesday, November 16, 2011 0 Komen

Rakyat Malaysia merupakan pendengar radio tertinggi di Asia Pasifik dengan purata 21 jam 342 minit seminggu, menurut kaji selidik Nielsen.

Purata waktu yang diluangkan oleh penduduk negara ini untuk mendengar radio adalah lebih tinggi berbanding Australia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Kaji selidik Penilaian Pendengar Radio Nielsen (RAM) mendapati sembilan daripada 10 pendengar radio di Semenanjung Malaysia berusia 10 tahun ke atas.

Pengarah Urusan Nielsen, Danyal Abdul Malik berkata, peningkatan pecahan media bermakna terdapat peningkatan platform media yang menarik perhatian pengguna.

''Kaji selidik terbaharu RAM mengesahkan radio merupakan tarikan utama pengguna Malaysia.

''Dalam melangkah ke hadapan, pengguna akan diberikan lebih banyak pilihan media berbanding sebelum ini dan ia akan menjadi kritikal untuk pemilik media dan penyedia kandungan untuk memahami kelakuan dan amalan media bagi berada di hadapan,'' kata beliau dalam kenyataannya di sini.

Tambah kaji selidik itu, pendengar radio bagi pengguna menunjukkan tiga waktu puncak iaitu antara 6 pagi hingga 10 pagi, 4 petang hingga 8 malam dan 8 malam hingga 12 tengah malam.

Pagi merupakan waktu paling popular untuk mendengar radio, manakala pecahan pendengar pula adalah daripada pelajar sekolah rendah kepada pelajar universiti yang mendengar radio pada lewat tengah hari dan malam.

Danyal berkata, media sosial telah mengubah tabiat dan kesan interaksi jenama dan menawarkan organisasi seperti stesen radio untuk lebih dekat pendengar.

''Rangkaian sosial telah menjadi penting mempengaruhi pengguna dalam membuat keputusan.

''Kaji selidik terbaharu ini menunjukkan pengguna digital Malaysia (69 peratus) kerap membaca komen orang ramai terhadap jenama, produk dan perkhidmatan.

''Sebanyak 45 peratus pengguna menunjukkan mereka akan menulis pandangan mereka terhadap produk atau jenama dalam tempoh seminggu atau lagi kerap, oleh itu penyertaan aktif pendengar melalui rangkaian sosial stesen menjadikannya platform alternatif kepada pendengar,'' jelasnya.

Kajian: Pekerja guna sejam layari internet di pejabat utk tujuan peribadi

Tuesday, November 15, 2011 0 Komen

Secara puratanya seseorang pekerja menggunakan di antara 30 sehingga 60 minit sehari dalam talian untuk tujuan-tujuan peribadi, menurut satu kajian oleh Universiti Teknologi Swinburne di Melbourne dan syarikat keselamatan sesawang Australia MailGuard. Namun yang menarik, Facebook dan Twitter bukanlah gangguan utama dalam kebanyakan kes. Kajian itu menganalisis data tanpa nama dengan kebenaran daripada syarikat-syarikat pelanggan Australia dan mengesan tabiat-tabiat perayauan pekerja, sesetengahnya berpangkalan di luar negara dari Januari sehingga Disember 2009.

Walaupun 40 peratus daripada pekerja yang dikaji dalam sampel seramai 50,000 orang telah menggunakan Facebook dalam jangka masa enam bulan kajian tersebut, purata masa yang dihabiskan untuk laman sosial itu hanyalah beberapa minit.

Kajian-kajian lain menganalisis data pengguna dan melakukan kajian kualitatif, tetapi kajian ini adalah yang pertama mengkaji tingkah laku individu dalam satu jangka masa tertentu. "Kegunaan-kegunaan ini adalah kegunaan-kegunaan biasa: mereka membaca berita, ramalan kaji cuaca dan jadual-jadual pengangkutan," kata Dr. Rajesh Vasa dari Fakulti Teknologi Komunikasi dan Maklumat universiti tersebut.

Kajian : Pengguna Internet Explorer miliki IQ yang rendah

Tuesday, November 15, 2011 0 Komen

Satu kajian baharu mendapati para pengguna perisian Internet Explorer (IE) adalah bodoh kerana mereka memiliki purata tahap kecerdasan intelektual (IQ) cuma 80, lapor sebuah akhbar semalam.

Internet Explorer (IE) yang mula digunakan pada awal 1990-an merupakan sistem operasi komputer popular ciptaan firma Microsoft yang diterajui bilionair, Bill Gates.

Kajian tersebut dilakukan oleh firma perunding Kanada, AptiQuant yang menguji 101,326 orang berusia 16 tahun dan ke atas dari pelbagai negara termasuk AS, Kanada, Britain, Australia serta New Zealand.

Mereka diminta mengambil ujian IQ manakala sistem operasi dan lokasi komputer mereka direkodkan menerusi alamat protokol Internet (IP).

Kajian mendapati mereka yang menggunakan IE rata-ratanya hanya memiliki IQ cuma sekadar 80.

Menurut skala IQ, kepintaran manusia normal ialah 100 manakala angka 80 dan ke bawah menunjukkan seseorang itu mengalami terencat akal.

Kajian sama mendapati pengguna sistem operasi Firefox atau Google Chrome memiliki IQ melepasi tahap normal iaitu sekitar 110.

Pengguna sistem operasi Opera atau Camino dikategorikan sebagai paling bijak dengan tahap IQ sekitar 120.

Kajian tersebut merumuskan bahawa IE masih popular dalam kalangan jutaan pengguna kerana ia mudah dan seseorang itu tidak memerlukan IQ yang tinggi untuk menggunankannya.

- Agensi

Tanda lahir dan parut susah dapat kerja (Kajian)

Monday, November 14, 2011 0 Komen

Satu kajian mendapati orang ramai yang mempunyai tanda lahir, parut dan kecacatan lain di bahagian muka akan menyukarkan mereka untuk mendapat pekerjaan.

Menurut kajian Rice University dan University of Houston, ini kerana tanda-tanda di muka itu boleh mengganggu tumpuan penemuduga sekali gus maklumat mengenai pemohon sukar diingati.



Profesor Psikologi Rice University, Mikki Hebl berkata, amat penting bagi penemuduga untuk mengingati maklumat yang diberikan semasa pemohon ditemuduga.

"Kajian kami menunjukkan jika penemuduga tidak mendapat cukup maklumat mengenai pemohon disebabkan kecacatan di bahagian muka maka ia akan menjejaskan tahap penilaian,'' katanya.

Dalam eksperimen pertama, seramai 170 pelajar terlibat dalam kajian itu dan mengendalikan temuduga 'olok-olok' menerusi komputer dan pergerakan mata mereka diperhatikan.

Hasilnya, perhatian penemuduga diganggu oleh kecacatan muka, maka lebih kurang maklumat calon yang mereka ingati dan sekali gus memberi markah yang rendah.

Dalam ujian kedua pula, 38 pengurus sepenuh masa mengendalikan temuduga secara bersemuka dengan pemohon yang mempunyai tanda lahir di bahagian muka. - AGENSI

Kajian: Separuh Pekerja Malaysia Bekerja Lebih Lapan Jam Sehari

Wednesday, November 09, 2011 0 Komen

Hampir separuh pekerja Malaysia bekerja lebih lapan jam sehari dan membawa pulang kerja secara tetap untuk diselesaikan pada sebelah malam, demikian menurut dapatan kajian global terbaharu dari Regus.

Regus, penyedia tempat kerja fleksibel terbesar di dunia telah mendapatkan maklum balas dari lebih 12,000 ahli perniagaan di 85 negara.

Alasan tekanan pada waktu bekerja yang boleh dipertikaikan telah meningkat sejak beberapa tahun ke belakangan disebabkan pemulihan ekonomi yang perlahan diekonomi matang dan sebaliknya sangat pantas di ekonomi baharu muncul, kata Regusdalam satu kenyataan di sini, Selasa. Kajian itu mendapati 32 peratus daripada pekerja Malaysia dan 38 peratus daripada pekerja global biasanya bekerja antara sembilan hingga 11 jam setiap hari manakala 15 peratus pekerja di Malaysia bekerja secara tetap lebih 11 jam sehari berbanding dengan 10 peratus di seluruh dunia.

Naib Presiden Regus Australia, New Zealand dan Asia Tenggara William Willems berkata kajian itu mendapati terdapat kekaburan mengenai garisan kerja dan rumah. Kesan jangka panjang terlebih kerja ini boleh merosakkan kesihatan pekerja dan produktiviti keseluruhan apabila para pekerja memaksa diri mereka bekerja teruk dan menjadi melawan, murung dan malah tidak sihat di segi fizikal, katanya. “Sambil kajian kami mendapati pekerja yang bekerja di tempat yang jauh dan mudah bergerak bekerja dalam tempoh yang lama, wujud bukti yang menunjukkan bahawa para pekerja yang bekerja di tempat yang jauh lebih produktif, mempunyai kepuasan bekerja dan paras tekanan yang rendah," katanya,sambil menyatakan para pekerja sedemikian biasanya kurang melakukan perjalanan,sekaligus membolehkan mereka menggunakan lebih banyak masa bagi pekerjaan masing-masing.

Perniagaan yang membolehkan warga kerja masing-masing bekerja dari lokasi yang berdekatan rumah dan menguruskan masa secara bebas akan menyeimbangkan tekanan keseimbangan kerja dan kehidupan dan menjadi lebih produktif, komited dan lebih sihat, katanya. - BERNAMA

Kes buli: Remaja Asia paling banyak dibuli di AS

Sunday, October 30, 2011 0 Komen

Remaja Amerika Syarikat (AS) berketurunan Asia paling banyak dibuli di sekolah-sekolah di AS berbanding kumpulan etnik lain.

Kajian kerajaan menunjukkan komuniti tersebut tiga kali ganda sering berdepan cemuhan dalam Internet.

Setiausaha Pendidikan AS, Arne Duncan berkata, antara faktor gangguan itu ialah masalah bahasa yang dihadapi sesetengah pelajar Amerika-Asia dan sentimen perkauman yang semakin meningkat sejak insiden 11 September 2011 terhadap kanak-kanak Islam.

"Perkara ini memang tidak dapat diterima dan perlu diubah. Kanak-kanak sepatutnya pergi ke sekolah tanpa perasaan takut," katanya.

Kajian itu dikeluarkan Sabtu lalu, mendapati 54 peratus remaja Amerika-Asia dibuli di kelas dan 31.3 peratus golongan kulit putih turut dilaporkan mengalami masalah sama.

Menurut seorang pegawai yang terlibat dalam kajian tersebut, data juga menunjukkan 38.4 peratus golongan Amerika-Afrika dan 34.3 peratus bagi Hispanik turut dibuli.

Bagi kes buli di Internet, kira-kira 62 peratus etnik Amerika-Asia dilaporkan diganggu sekali atau dua kali sebulan, berbanding dengan 18.1 peratus golongan kulit putih.

Kajian tersebut dilakukan berdasarkan satu tinjauan pada 2009 yang disokong oleh Jabatan Pendidikan dan Keadilan AS.

Dalam kajian itu, kira-kira 6,500 pelajar berumur antara 12 hingga 18 tahun diwawancara dan golongan Amerika-Asia secara umumnya ditakrifkan sebagai keturunan Asia Timur, benua kecil India atau Pasifik Selatan.

Pegawai-pegawai kajian merancang mengumumkan data itu pada satu majlis mengenai isu buli di New York sebagai sebahagian daripada Inisiatif White House Presiden Barack Obama terhadap golongan Amerika-Asia dan Kepulauan Pasifik. - AFP

10 billion manusia pada 2010

Thursday, October 27, 2011 0 Komen

Jumlah penduduk dunia dijangka bertambah dari tujuh bilion hari ini kepada 10 bilion orang menjelang tahun 2100, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun, laporan berkenaan menyebut, jumlah itu mungkin mencecah sehingga 15 bilion orang jika berlakunya peningkatan kadar kelahiran.

Menurut laporan itu, Tabung Aktiviti Kependudukan Bangsa Bersatu (UNFPA) menyatakan kebimbangan terhadap tekanan demografi yang mampu memberi cabaran kepada mengurangkan kadar kemiskinan serta pemuliharaan alam sekitar ekoran pertambahan penduduk.

''Jangkaan terkini memperlihatkan bilangan penduduk akan mencecah 9.3 bilion orang pada 2050 dan lebih 10 bilion orang menjelang 2100.

''Namun, dengan hanya variasi kecil dalam kadar kesuburan terutamanya di negara yang memiliki kepadatan penduduk, jumlah itu dijangka lebih tinggi iaitu 10.6 bilion orang pada 2050 dan lebih 15 bilion (2100),'' kata UNFPA menerusi laporan The State of the World Population 2011 setebal 126 muka surat.

Laporan itu antara lain memfokuskan beberapa cabaran berkaitan cabaran golongan belia, masalah alam sekitar, keseimbangan antara penduduk bandar dan luar bandar serta soal perancangan keluarga.

Kata UNFPA, ketika ini, penduduk di Tokyo mencatatkan bilangan tertinggi dengan 36.7 juta orang diikuti New Delhi (22 juta orang) dan Sao Paulo serta Mumbai, masing-masing mencatatkan jumlah 20 juta penduduk.

UNFPA turut mencadangkan agar diwujudkan pelan pembangunan yang seimbang bagi menghadapi jumlah pertambahan penduduk termasuk pembinaan perumahan yang mencukupi, sistem sanitasi yang baik serta 'kawasan hijau'. - AFP

Wanita ambil hormon perancang hamil berisiko kena virus HIV

Wednesday, October 05, 2011 0 Komen

Wanita yang mengambil hormon perancang kehamilan mempunyai risiko dua kali ganda untuk dijangkiti virus HIV atau menjangkiti pasangan masing-masing, dedah satu kajian.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet Infectious Diseases, hari ini dijalankan terhadap 3,790 pasangan heteroseksual di Afrika di mana setiap seorang daripada pasangan tersebut dijangkiti HIV.

Kajian tersebut dilihat boleh memberi sumbangan terbesar ke atas dasar-dasar penggunaan hormon perancang kehamilan dan pencegahan HIV sekiranya ia disahkan.

Selain itu, kajian tersebut bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bagaimana melakukan hubungan seks yang selamat seperti menggunakan kondom.

Dalam kajian tersebut, wanita yang mengambil hormon perancang kehamilan akan menjangkiti pasangannya dengan virus HIV dengan purata tujuh bagi setiap 100 orang dalam setahun berbanding seramai empat orang bagi yang tidak mengambilnya.

Kadar jangkitan daripada wanita yang mengambil hormon perancang kepada lelaki pula mencatatkan purata seramai tiga bagi setiap 100 orang setahun, manakala hanya melibatkan dua orang jika tidak mengambilnya.

Kebanyakan wanita mengambil hormon perancang kehamilan menerusi suntikan dan hanya sebilangan kecil mengambilnya menerusi pil.

Selain itu, kumpulan pengkaji mendapati wanita yang mengambil hormon perancang kehamilan menerusi suntikan lebih berisiko untuk meningkatkan virus HIV di dalam rahim berbanding pengambilan pil.

Kajian tersebut dijalankan antara 2004 dan 2010 di Botswana, Kenya, Rwanda, Afrika Selatan, Tanzania, Uganda dan Zambia. - AFP

 

ZONFINITI