Kes buli: Remaja Asia paling banyak dibuli di AS

Sunday, October 30, 2011

Remaja Amerika Syarikat (AS) berketurunan Asia paling banyak dibuli di sekolah-sekolah di AS berbanding kumpulan etnik lain.

Kajian kerajaan menunjukkan komuniti tersebut tiga kali ganda sering berdepan cemuhan dalam Internet.

Setiausaha Pendidikan AS, Arne Duncan berkata, antara faktor gangguan itu ialah masalah bahasa yang dihadapi sesetengah pelajar Amerika-Asia dan sentimen perkauman yang semakin meningkat sejak insiden 11 September 2011 terhadap kanak-kanak Islam.

"Perkara ini memang tidak dapat diterima dan perlu diubah. Kanak-kanak sepatutnya pergi ke sekolah tanpa perasaan takut," katanya.

Kajian itu dikeluarkan Sabtu lalu, mendapati 54 peratus remaja Amerika-Asia dibuli di kelas dan 31.3 peratus golongan kulit putih turut dilaporkan mengalami masalah sama.

Menurut seorang pegawai yang terlibat dalam kajian tersebut, data juga menunjukkan 38.4 peratus golongan Amerika-Afrika dan 34.3 peratus bagi Hispanik turut dibuli.

Bagi kes buli di Internet, kira-kira 62 peratus etnik Amerika-Asia dilaporkan diganggu sekali atau dua kali sebulan, berbanding dengan 18.1 peratus golongan kulit putih.

Kajian tersebut dilakukan berdasarkan satu tinjauan pada 2009 yang disokong oleh Jabatan Pendidikan dan Keadilan AS.

Dalam kajian itu, kira-kira 6,500 pelajar berumur antara 12 hingga 18 tahun diwawancara dan golongan Amerika-Asia secara umumnya ditakrifkan sebagai keturunan Asia Timur, benua kecil India atau Pasifik Selatan.

Pegawai-pegawai kajian merancang mengumumkan data itu pada satu majlis mengenai isu buli di New York sebagai sebahagian daripada Inisiatif White House Presiden Barack Obama terhadap golongan Amerika-Asia dan Kepulauan Pasifik. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI