Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Mati pucuk (ED) dan pembesaran kelenjar prostat

Friday, October 09, 2015 0 Komen

Mati pucuk (ED) dan pembesaran kelenjar prostat  

Mati pucuk (ED) adalah penyakit kelamin yang sinonim dengan lelaki dan paling ditakuti. Namun sikap ego, malu serta salah anggap mengenai penyakit berkenaan membuatkan ramai golongan lelaki semakin mengabaikan dan mengelak daripada menjalani rawatan.

Keadaan ini ditakrifkan sebagai masalah perubatan serius yang memerlukan perhatian dan rawatan segera. Walaupun punca asas ED mula muncul seiring peningkatan usia, ED sebenarnya bukan disebabkan masalah penuaan semata-mata.

Sejak kebelakangan ini, ED dan pembesaran kelenjar prostat (BPH) sering menjadi tajuk utama dalam penyelidikan kesihatan sakit tuan.

Hasil penyelidikan dan kajian ini membuktikan hubung kait antara kedua-dua penyakit ini di mana ED sering muncul bersama BPH. Gabungan fenomena ini dengan mereka yang meningkat usia menimbulkan keperluan untuk mendapatkan rawatan yang lebih berkesan bagi meningkatkan kualiti hidup bagi lelaki berusia yang mengalami penyakit ini.

Presiden Persatuan Urologi Malaysia, Dr Teh Guan Chou berkata, hasil kajian dalam bidang sakit tuan dan ketidakupayaan seksual, mereka lebih memahami kesinambungan yang timbul antara ED dengan BPH.

“Apabila usia lelaki semakin meningkat, mereka akan lebih cenderung untuk mengalami simptom Saluran Kencing Bawah (LUTS). Dalam sesetengah pesakit, simptom LUTS ini disebabkan oleh BPH.

“Disebabkan itu, adalah amat penting untuk kita menitikberatkan simptom LUTS yang diakibatkan oleh BPH dalam kalangan pesakit yang muncul dengan penyakit ED serta BPH.

“Kini dengan adanya ubat baru sedia ada di pasaran Malaysia, penyakit ED dan BPH menjadi lebih mudah dan sesuai digunakan sebagai rawatan peringkat awal,” katanya ketika melancarkan ubat baru CIALIS (tadalafil) lima miligram (5mg) Tablet Bersalut Filem di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Penyakit ED menyerang 22.2 peratus lelaki di Malaysia yang berumur 50 tahun ke atas. Risiko untuk mendapat penyakit berkenaan akan naik sekali ganda bagi lelaki dalam lingkungan umur 60 tahun hingga 69 tahun.

Angka ini dijangka meningkat 79.5 peratus bagi lelaki berusia 70 tahun ke atas. Manakala seramai 50 peratus lelaki di negara ini yang berusia lebih 60 tahun akan menghidap BPH.

Peratusan ini dijangka meningkat seiring dengan usia pesakit. Kedua-dua penyakit ini juga mempengaruhi semua lelaki tanpa mengira kaum.

Perunding Urologi Hopital Gleneagles, Dr George Lee Eng Geap pula berkata, meskipun ED dan BPH adalah penyakit lazim, golongan lelaki masih ragu untuk mendapatkan rawatan awal.

“Ini mungkin disebabkan pelbagai faktor termasuk pengaruh budaya serta salah faham umum terhadap penyakit ini. Selain itu, ada juga golongan lelaki berpendapat bahawa keadaan ED serta BPH bukanlah satu penyakit.

“Oleh itu, kami sentiasa membantu pesakit serta menasihati mereka supaya mendapatkan rawatan lebih awal,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Lilly Malaysia, Dr Faiz Ansari, berkata kelulusan yang diperoleh pihaknya untuk memasarkan ubat berkenaan di negara ini membuktikan kesungguhan dalam menawarkan rawatan dan penyelesaian baharu bagi rawatan sakit tuan.

“CIALIS (tadalafil) 5mg ini adalah inovasi baharu bagi dunia rawatan sakit tuan terutama sekali bagi penghidap ED dan BPH. Kami gembira kerana berjaya membawa inovasi ini ke pasaran

Malaysia, di samping mengukuhkan usaha menyokong doktor dalam memberikan rawatan terbaik bagi pesakit mereka,” katanya pada sidang media pelancaran ubat berkenaan baru-baru ini.

Hasil ujian klinikal keberkesanan dan keselamatan CIALIS (tadalafil) 5mg membuktikan pengambilan ubat ini sekali sehari membawa kepada hasil yang positif bagi pesakit ED dan BPH.

CIALIS (tadalafil) 5mg berfungsi sebagai perencat enzim phosphodiesterase jenis-5 (PDE-5) bertindak mengembalikan daya tenang vaskular dan melancarkan peredaran darah di sekitar organ serta otot berkenaan.

Selain itu, ia juga membawa perubahan ketara dalam pembaikan markah Indeks Antarabangsa bagi Fungsi-Ereksi-Fungsi-Utama (IIEF-EF). Perubahan itu juga boleh dilihat pada catatan Markah Simptom Prostat Antarabangsa (IPSS) yang menilai fungsi seksual dan gejala BPH.

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
HMetro

Pengalaman membesarkan anak autisme

Friday, March 06, 2015 0 Komen

Pengalaman membesarkan anak autisme

Anak ialah anugerah terindah kurniaan Tuhan. Tidak semua orang berpeluang untuk mendapat nikmat itu seperti yang diinginkan.

Mungkin ada yang bernasib baik mendapat anak sejurus selepas berkahwin namun, ada juga yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk memperoleh seorang zuriat.

Bagi Christine Chay, 39, dia bersyukur kerana tidak perlu menunggu terlalu lama untuk dikurniakan anak, Chiew Jia Yit kira-kita 12 tahun lalu.

Anaknya yang dilahirkan secara normal itu dianggap sebagai penyeri dalam rumah tangga yang dibina bersama suami, Chiew Sang Dick, 39.

“Tiada cacat celanya pada fizikal Jia Yit. Dia seorang bayi yang comel. Kelahirannya memberikan sinar dan harapan buat saya dan suami.Dia akan jadi pewaris kami,” ujar Christine bagi memulakan bicara.

Dia yang ditemui di Pusat Pendidikan LetzHop (LetzHop) di Selayang, Batu Caves, Selangor baru-baru ini berkata, Jia Yit membesar seperti bayi-bayi yang lain dan tidak menimbulkan sebarang kemusykilan dalam hatinya.

Namun, jelas penjual produk kecantikan itu, ketika berusia setahun, Jia Yit kelihatan tidak suka berada dalam kelompok yang ramai dan sentiasa mahu menyendiri.

“Jika dihantar ke taska atau berada bersama bayi-bayi lain, Jia Yit pasti akan merangkak dan bergerak ke sudut yang tidak ada orang.

“Jia Yit tidak suka bergaul dengan orang lain. Dia mahu menyendiri,” cerita wanita itu.

Jika dilihat secara logiknya Christine berkata, mungkin Jia Yit dianggap sebagai bayi yang pemalu atau mengalami masalah komunikasi.

Ternyata telahan itu salah apabila Jia Yit didiagnosis sebagai kanak-kanak autisme ketika berusia tiga tahun setelah dibawa berjumpa dengan doktor.

Pada ketika itu, Christine sangat terkejut dan sukar untuk menerima kenyataan tentang nasib anak tunggalnya itu.

“Saya mengambil masa beberapa tahun untuk menerima kenyataan itu. Saya sentiasa tertanya-tanya mengapa anak saya yang dipilih untuk ujian ini.

“Jia Yit diadiagnos sebagai penghidap autism kritikal. Dia sangat aktif, tidak boleh duduk diam dan mengalami masalah komunikasi,” katanya lagi.

Bagai jatuh ditimpa tangga, dugaan yang menimpa Christine semakin besar apabila dia disahkan menghidap kanser hidung pada tahun 2011.

Dalam menghadapi kerenah Jia Yit yang terlalu aktif dan langsung tidak boleh berkomunikasi, ibu itu juga terpaksa mendapatkan rawatan untuk kanser yang dihadapinya.

“Saya pernah menjalani kaunseling dan berjumpa ahli psikiatri untuk mendapatkan perkhidmatan bagi menangani stres.

“Saya sangat tertekan. Namun, selepas menjalani sesi tersebut, saya mula tenang dan memberi sepenuh perhatian kepada Jia Yit untuk memastikan dia dapat membesar dengan baik,” terangnya.

Lebih penting, sokongan daripada keluarga dan kenalan terutama suaminya membuatkan Christine menjadi lebih kuat dan tabah untuk membesarkan Jia Yit.

Tegasnya, sokongan moral yang diberikan oleh insan tersayang membuatkan dia begitu tersentuh. Dia tidak berseorangan dalam menghadapi kesukaran itu.

Bercerita tentang anaknya, Christine memberitahu, Jia Yit merupakan seorang kanak-kanak yang hiperaktif dan mengalami masalah komunikasi.

Jia Yit langsung tidak boleh bercakap tetapi memahami arahan yang diberikan. Di sebalik semua itu, Jia Yit seorang yang sangat bijak dan penyayang.

“Jika di meja makan, dia akan menghulurkan pinggan atau nasi kepada saya atau suami jika kami belum makan. Dia mahu kami makan bersama,” ujarnya.

Tambahnya, Jia Yit juga akan mengamuk dan memberontak sekiranya ada sesuatu yang tidak kena atau menimbulkan kemarahan padanya.

Jadi, tatkala amukan tersebut berlaku, Christine akan menenangkan anaknya dengan melakukan usapan atau urutan pada badan Jia Yit.

“Penghidap autisme tidak mempunyai deria sentuhan yang normal berbanding orang lain. Deria mereka tidak begitu sensitif.

“Jadi, dengan melakukan urutan, deria rasa mereka lebih terangsang selain dapat menenangkan amukan,” jelasnya yang mempelajari teknik-teknik urutan untuk kanak-kanak autisme bagi menjaga Jia Yit.

Selain itu, Christine memberitahu, dia turut menyediakan jadual buat Jia Yit dalam menjalani rutin hariannya. Anak lelakinya itu akan menjalani aktiviti seharian berdasarkan jadual yang telah dibuat seperti waktu makan, waktu ke kelas dan waktu tidur.

Kemahiran vokasional

Wanita itu turut memastikan anaknya diberi makanan yang sesuai kerana Jia Yit mengalami masalah kulit iaitu ekzema di samping memastikan anaknya mempunyai fokus dalam melakukan sesuatu aktiviti.

“Untuk memberikan pendidikan normal seperti orang lain buat masa ini agak susah. Jadi, saya lebih memfokuskan kepada kemahiran vokasional kepada Jia Yit seperti menguruskan diri.

“Saya juga menghantarnya ke pusat didikan bagi memastikan dia mempelajari sesuatu dan meningkatkan kemahiran. Kanak-kanak autisme perlu diberikan pendidikan secara berterusan untuk memastikan keberkesanannya. Ia juga dapat mengelak kemahiran kendirinya merudum,” ujar Christine yang menghantar Jia Yit ke LetzHop pada pertengahan tahun lalu.

Katanya, Jia Yit sudah boleh duduk diam dengan lebih lama berbanding dulu yang hanya mampu bertahan selama dua minit.

“Kini, dia boleh duduk dengan diam sehingga 10 minit. Dia juga sudah tahu beberapa perkara terutama yang boleh buat dan tidak boleh dilakukan.

“Suaranya juga sudah mula kedengaran walaupun tidak boleh menyebut perkataan. Saya teringin untuk mendengar dia memanggil nama mama dan papa,” luah Christine penuh mengharap.

Dalam pada itu, Nik Nadia Nik Mohd. Yusoff, 34, turut dikurniakan anak-anak istimewa yang didiagnos sebagai autisme.

Ibu kepada dua anak itu memberitahu, kedua-dua anaknya, Helena Aufiya Saiful, 5 tahun dan Emilia Firzana Saiful, 4, disahkan menghidap autisme seawal usia tiga tahun.

Cerita ibu itu, anak sulungnya, Helena Aufiya pada peringkat awal kelahiran merupakan bayi yang sangat baik.

“Dia kurang menangis dan tidak banyak ragam. Helena Aufiya sangat senang dijaga.

“Namun, siapa sangka itu adalah tanda-tanda awal bahawa dia sebenarnya menghidap autisme,” jelasnya memberitahu Emilia Firzana juga seperti kakaknya yang tidak banyak meragam.

Mempunyai anak autisme menyebabkan ibu itu gigih untuk mempelajari teknik keibubapaan yang terbaik buat anak-anaknya.

Persekitaran rumahnya juga kelihatan seperti di pusat pendidikan yang dipenuhi peralatan dan permainan khusus untuk kedua-dua puterinya.

“Anak sulung saya seorang kanak-kanak yang pintar. Dia boleh membaca seawal umur tiga tahun. Namun, dia tidak pandai untuk memanggil nama saya atau suami malah tidak tahu untuk meminta susu.

“Dia senang dijaga namun, apabila menangis, boleh sampai satu jam atau lebih sebelum berjaya ditenangkan,” kongsi isteri kepada Saiful Zaid Abdul Halim, 34, itu.

Nasihatnya, ibu bapa perlu peka dengan perubahan atau simptom-simptom awal yang ditunjukkan oleh anak-anak untuk memastikan penyakit atau ketidaknormalan pada mereka boleh dikesan lebih awal.
~ Kosmo

Awasi penyakit bawaan air

Wednesday, December 31, 2014 0 Komen

Awasi penyakit bawaan air

Hujan lebat yang turun awal bulan ini menyebabkan beberapa daerah di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor ditenggelami banjir. Selain masalah bencana alam itu sendiri yang menyebabkan kerosakan harta benda yang teruk, masalah lain yang mungkin lebih membinasakan tetapi dipandang ringan adalah isu kesihatan.

Banjir adalah punca utama pelbagai penyakit bawaan air seperti demam kepialu, taun, Hepatitis A dan leptospirosis kerana mangsa terdedah dengan air yang tercemar.

Jangan pandang ringan dengan penyakit-penyakit tersebut yang mempunyai simptom biasa seperti cirit-birit dan demam kerana jika lambat dirawat, ia boleh membawa maut.

Walaupun cuaca dikatakan semakin elok dan banjir semakin surut, mangsa masih perlu berhati-hati kerana sumber air yang tercemar dan keadaan persekitaran yang kotor.

Pakar Gastroenterologi dan Perubatan Dalaman Pusat Perubatan Tropicana (TMC), Dr. Gan Ing Earn berkata, ramai yang mengambil lewa simptom-simptom seperti cirit-birit sedangkan ia petanda keadaan yang boleh menyebabkan maut.

"Apabila mengalami cirit-birit yang teruk, badan pesakit akan kehilangan air yang banyak.

"Ia lalu menyebabkan darah semakin berkurangan ke buah pinggang kerana air diperlukan untuk semua sistem berfungsi lalu keadaan ini menyebabkan buah pinggang rosak.

"Keadaan ini boleh berlaku dengan pantas. Ada pesakit yang baru sahaja cirit-birit selama dua hari dan terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU)," ujarnya.

Terang Ing Earn, apa yang penting adalah elakkan makanan dan minuman yang tercemar serta mengutamakan penjagaan kebersihan yang betul. ~ Utusan

Kanser serviks barah ketiga banyak menyerang wanita

Thursday, April 17, 2014 0 Komen

Kanser serviks barah ketiga banyak menyerang wanita

Ramai wanita sanggup berhabis ribuan ringgit dan masa untuk membeli-belah serta kecantikan diri, namun tidak ramai sanggup membuat pemeriksaan kesihatan, terutama ujian pap smear atau ujian human papillomavirus (HPV) yang hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk menjaga kesihatan paling penting itu.

Tahukah anda, barah pangkal rahim atau kanser serviks boleh menyerang seorang wanita seawal usia sembilan tahun? Ya, kanser serviks bukan hanya menyerang golongan berusia, malah golongan muda turut menghidapinya.

Kanser serviks adalah barah ketiga paling banyak menyerang wanita di negara ini.

Antara faktor risiko penyakit barah pangkal rahim disebabkan kehadiran antibodi kepada HPV, kumpulan virus sama yang menyebabkan ketuat kelamin (genital wart).

Meskipun tahap kesedaran terhadap kanser serviks meningkat, masih ramai enggan ambil peduli.

Justeru itu, bagi menimbulkan kesedaran mengenai bahaya penyakit ini, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dengan sokongan GlaxoSmithKline (GSK) Pharmaceutikal Sdn Bhd, mengambil inisiatif melalui Power Over Cervical Cancer (POCC) bagi menggalakkan semua wanita melindungi diri daripada kanser berbahaya ini.

Kempen diberi nama Mula Meluangkan Masa dan Berhenti Memberi Alasan (Start Making Time and Stop Making Excuses) itu memasuki tahun keenam sejak dilancarkan pada 2009.

Presiden dan Pengarah Perubatan NCSM, Dr Saunthari Somasundaram berkata, sehingga 80 peratus wanita akan dijangkiti sekurang- kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka oleh HPV yang menyebabkan kanser serviks.

"Dengan angka yang membimbangkan, adalah penting bagi wanita untuk mengambil tindakan segera terhadap penyakit yang boleh dicegah ini. Perlu diingat, selepas menopaus juga ia masih boleh menyerang.

"Kanser serviks tidak pernah memilih siapa yang bakal menjadi mangsanya kerana setiap wanita berisiko.

Adakala bukan disebabka genetik tetapi perubahan gaya hidup yang terlalu sosial juga boleh menyumbang ke arah ini seperti memulakan aktiviti seks sebelum berusia 18 tahun," katanya ketika ditemui di sebuah pusat beli- belah di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kempen Mula Meluangkan Masa dan Berhenti Memberi Alasan menumpu kepada sikap umum wanita yang sentiasa mengutamakan perkara lain melebihi kesihatan mereka dan ia disokong oleh penemuan diperoleh daripada kajian kanser serviks global.

Kajian bertajuk Apa Wanita Fikirkan (What Women Think) dijalankan di 19 negara, termasuk Malaysia. Ia menunjukkan kebanyakan wanita di negara ini lebih rela menjimatkan wang atau membelanjakannya untuk percutian daripada perkara berkaitan kesihatan seperti vaksinasi dan lebih mengutamakan temujanji kerja daripada temujanji perubatan.

Kempen ini juga mendapat sokongan rakan kerjasama seperti Artisan Coffee, Bangsar Shopping Centre, Fitness First Malaysia dan The Bee selain pusat beli-belah One Utama yang menaja tempat kempen ini berlangsung.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Pusat Pengesanan Kanser Malaysia NCSM, Dr Dalilah Kamaruddin berkata, kempen kesedaran dan pendidikan boleh melengkapkan orang ramai dengan maklumat dan pengetahuan mengenai kanser serviks.

"Golongan wanita harus peka dengan keadaan diri. Jika berasa sesuatu yang tidak kena, segera berjumpa doktor bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku. Mereka yang berisiko antara usia 45 hingga 60 tahun.

"Selain itu, mereka yang gemar bertukar-tukar pasangan juga berisiko tinggi mendapat kanser ini, selain melakukan hubungan seks pada usia terlalu muda," katanya pada majlis itu di ibu negara, baru-baru ini.

Jelasnya, sebaik-baiknya seawal usia 10 tahun mereka diberi suntikan HPV bagi mengelak kanser serviks, manakala wanita dinasihatkan sekurang-kurangnya membuat pemeriksaan Pap smear setahun sekali atau dua tahun sekali.

Punca kanser serviks

Ia disebabkan virus HPA yang berjangkit melalui hubungan seks. Apabila wanita terdedah kepada HPV, sistem imun badan selalunya dapat menangkis serangan virus ini daripada menjangkiti wanita tetapi bagi sebilangan kecil wanita, virus berpeluang hidup bertahun-tahun sehingga ia menukar sel pada permukaan serviks kepada sel kanser. Separuh daripada kanser ini terjadi kepada mereka yang berusia 35 hingga 55 tahun.

Ujian Pap smear

Doktor akan mengambil sedikit tisu pada permukaan serviks dan menghantarnya ke makmal. Ujian bertujuan mengesan sebarang keganjilan pada serviks seperti sel prabarah. Ujian ini digalakkan dilakukan setiap tahun bagi mengesan kanser peringkat awal yang mungkin boleh menyelamatkan nyawa.

Ujian HPV

Ujian ini boleh mengesan kuman HPV yang spesifik terhadap kanser serviks seperti strain 16 dan 18, iaitu penyebab utama kanser pangkal rahim.

Colposcopy

Doktor akan menggunakan mikroskop khas untuk memeriksa pangkal rahim.

Jika ada, sedikit biopsi akan diambil dan dihantar ke makmal. Kadangkala, biopsi kon akan dibuat jika didapati sel barah merebak lebih jauh ke dalam.

Tanda dan Gejala

- Pendarahan ketika hubungan seks

- Pendarahan pada pertengahan bulan

- Pendarahan selepas menopaus

- Keluar lendir berdarah yang busuk daripada faraj

- Terasa pedih ketika hubungan seks

 Wanita berisiko

- Mempunyai lebih daripada seorang pasangan

- Aktif hubungan seks sebelum berusia 18 tahun

- Mengalami jangkitan seperti sifilis, gonorea, chlamydia atau HIV

- Kurang daya imuniti

- Merokok

Penyakit tak berjangkit (NCD) ancaman baru

Wednesday, January 01, 2014 0 Komen

Penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti, darah tinggi dan diabetes kini menjadi ancaman kesihatan baru di negara ini dengan jumlah pesakitnya meningkat setiap tahun.

Penyakit tidak berjangkit ini berpunca daripada empat cara hidup masyarakat iaitu akibat amalan kehidupan tidak sihat, pengambilan diet tidak seimbang, pengambilan tembakau dan alkohol berlebihan.

NCD juga dilaporkan menjadi punca kematian bayi pramatang di Malaysia dan lebih menyedihkan, dianggarkan sebanyak 17 peratus peningkatan kes bakal dicatatkan dalam tempoh 10 tahun lagi.

Sehubungan itu, Pertubuhan Penyakit Tidak Berjangkit Malaysia atau NCD Alliance Malaysia yang baru ditubuhkan, mengambil langkah inisiatif sebagai penggerak kesedaran, sekali gus menyampaikan maklumat kepada umum mengenai risiko peningkatan penyakit berbahaya itu.

Penaungnya, Puan Sri Akmal Abdul Salam, berkata empat faktor penting bagi membimbing kesedaran risiko penyakit NCD, termasuk perubahan obesiti, tekanan darah tinggi, peningkatan kandungan glukosa dan peningkatan kolesterol dalam darah.

"Seramai 4.4 juta rakyat Malaysia dikategorikan sebagai obesiti dan satu pertiga daripada mereka sengsara akibat kegemukan. Ia menunjukkan senario kritikal menjadi amalan masyarakat setempat. Jadi, penting untuk kita ubah corak kehidupan untuk mencapai komuniti sihat," katanya pada majlis perasmian pertubuhan itu, di ibu negara, baru-baru ini.

Gaya hidup tidak sihat

Katanya, perubahan rutin harian moden seperti kurang aktif juga menjadi punca utama peningkatan kes penyakit, berbanding masyarakat dulu yang lebih aktif menjalani rutin harian seperti bercucuk tanam dan sebagainya.

"Kita harus menerima hakikat bahawa gaya hidup kita yang semakin tidak sihat ekoran tuntutan kerja dan cabaran hidup yang semakin kompleks akan menjerumuskan kepada risiko penyakit berbahaya itu. NCD bukan saja memberi kemerosotan kualiti hidup kerana penghidap akan bergantung sepenuhnya terhadap rawatan perubatan, tetapi menjejaskan kualiti kehidupan dan boleh memberi bebanan kepada ekonomi negara.

"Hari ini, penghidap NCD juga dicatatkan semakin muda usianya dan perkara ini amat membimbangkan jika generasi muda hilang kualiti kehidupan," katanya.

Pendedahan awal

Akmal berkata, pendedahan awal terhadap penjagaan kesihatan dapat mengelakkan peningkatan kes dalam kalangan masyarakat.

Tegasnya, ibu bapa perlu berperanan penting dalam usaha mendidik generasi sihat selain perkhidmatan kesihatan ditawarkan kementerian.

"Bukan mudah untuk mengubah persepsi dan tabiat manusia terutama jika dikaitkan dengan corak rutin penjagaan kesihatan. Oleh itu, kami perlu bermula daripada asas, termasuk pengetahuan mengenai diet sihat. Kehadiran pertubuhan ini juga diharapkan dapat menjana kerjasama antara semua pihak bagi meningkatkan mutu kehidupan dan pemulihan kualiti hidup jangka masa panjang," katanya.

Pelan tingkat kesedaran

Sementara itu, kata Timbalan Setiausaha Agung (Strategik), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Harjeet Singh, lebih membimbangkan, masih ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar bahawa mereka sedang menghidap NCD. Bahkan, ramai lagi tidak sedar mengenai risiko penyakit ini dan menganggap ia perkara remeh.

"Kementerian bakal mengambil langkah proaktif dengan menjalankan Pelan Tindakan Global bagi pencegahan dan kawalan NCD menerusi rangka kerja pemantauan global lebih komprehensif untuk mencegah penyakit ini.

"Antara sembilan sasaran dirangka, ialah penurunan risiko kematian bayi pramatang, kekurangan penggunaan alkohol dan peningkatan aktiviti fizikal dan penurunan populasi pengambilan sodium.

"Objektif pelan dijalankan itu bertujuan mengukuhkan keupayaan negara, kepimpinan, tadbir urus, tindakan pelbagai sektor dan perkongsian mempercepatkan tindak balas negara bagi mengawal pencegahan dan NCD," katanya.

Penyakit tidak berjangkit

- Peragut nyawa nombor satu di Malaysia menyebabkan kelumpuhan fizikal, emosi dan sosial serta pendapatan ekonomi.

- Sasaran penurunan NCD 2014-2020 di peringkat global.

- 25 peratus penurunan kes kematian bayi pramatang akibat NCD.

- 10 peratus pengurangan pengambilan alkohol.

- 30 peratus pengurangan dalam pengambilan sodium.

- 30 peratus pengurangan pengambilan tembakau.

- 25 peratus atau tiada peningkatan dalam hipertensi.

Rahsia dan kelebihan buah delima (manfaat delima)

Monday, October 07, 2013 0 Komen

Rahsia dan kelebihan buah delima

Pesan orang tua, makanlah walaupun sebiji delima jika mahu mata anak bersinar indah dan inginkan bayi yang lahir sihat dan comel.

Hakikatnya, makan delima bukan saja sekadar petua lama kerana kini sudah banyak kajian kesihatan yang membuktikan buah ini sememangnya berkhasiat.

Walaupun kajian saintifik menghubungkan pemakanan delima akan memberi seri pada mata bayi tiada setakat ini, beberapa kajian kesihatan lain menunjukkan buah manis ranum ini memang terbukti menyihatkan.

Kajian diterbitkan dalam Proceedings of The National Academy Of Sciences, menemui jus delima dapat memerangi pengerasan arteri dan penyakit terkait seperti serangan jantung dan strok. Buah delima mencegah penumpuan plak di arteri dan dikatakan dapat meluruhkannya.

Kajian lain, Journal of Cardiology pula menemui, pesakit jantung koroner yang minum sari buah delima setiap hari selama tiga bulan menunjukkan peningkatan aliran darah ke jantung sekitar 17 peratus.

Buah yang dijual dengan harga sebiji RM6 sehingga RM10 di pasar malam atau pasar raya mengikut kualiti ini turut banyak terdapat di negeri Pantai Timur dengan harga lebih murah.

Lebih menarik, ada wanita mengandung yang sudah mengetahui, buah delima berkhasiat mengambilnya sepanjang kandungan berusia sembilan bulan.

Penyelidik berpendapat, ibu mengandung yang berisiko melahirkan anak dengan kelahiran pramatang elok mengambil buah berkenaan.

Melawan radikal bebas

Kekerapan mengamalkan pengambilan jus buah delima dapat membantu mengurangkan risiko bayi dalam kandungan mengalami kecederaan otak yang disebabkan oleh kadar pengaliran oksigen yang rendah di dalam darah.

Jus delima juga menjadi satu sumber bagi asid folik diperlukan bagi pembangunan yang bayi sihat. Ini kerana asid folik, komponen yang diperlukan dalam pembentukan sel darah merah dan DNA. Wanita yang mempunyai paras asid folik lebih tinggi ketika awal kehamilan berkemungkinan mempunyai bayi yang sihat.

Kajian menunjukkan, kandungan antioksidan dalam buah delima adalah dua atau tiga kali lebih tinggi berbanding anggur merah.

Malah, kualiti antioksidan juga dikatakan lebih baik daripada buah beri biru, kranberi serta oren kerana polifenol dalam buah delima juga lebih tinggi. Fungsi antioksidan dapat melawan radikal bebas yang dapat merosakkan sel dalam badan kita. Kerosakan sel akan menyebabkan pelbagai penyakit termasuklah barah, penyakit jantung dan alzheimer.

Lantas, apa kata dapatkan buah ini demi kesihatan bayi dan ibu mengandung kerana ada petua yang menyarankan ibu mengandung makan sebiji delima tanpa berkongsi dengan orang lain.

Ini berikutan, dalam sebiji delima, salah satu ulas delima mempunyai kualiti yang cukup tinggi khasiatnya. Apatah lagi rasanya sungguh manis dan rupanya juga cantik.

Manfaat delima

* Dapat menurunkan kadar kolesterol dalam darah. Penelitian dijalankan di American Journal of Clinical Nutrition, mendapati antioksidan dalam delima dapat mengurangkan oksidasi LDL (kolesterol jahat) pada tikus. Hal ini menurunkan kadar LDL dan meningkatkan HDL (kolesterol baik).

* Dapat mencegah dan mengubati barah. Buah delima memiliki khasiat mencegah dan mengubati pelbagai jenis barah. Jus delima dapat menghancurkan sel barah payudara dan mengaktifkan sel sihat. Ini kerana ekstrak biji delima kaya dengan polifenol yang berupaya memulihkan leukemia. Ia merencatkan barah paru-paru dan prostat.

* Ia merencatkan barah paru-paru dan prostat. Dalam penelitian terhadap 50 lelaki yang minum 205 gram jus delima setiap hari didapati melambatkan ukuran perkembangan barah prostat.

* Buah delima dikatakan mencegah dan melambatkan penyakit Alzheimer. Kajian ke atas tikus yang diberi minum jus delima dijalankan menunjukkan sel aktif meningkat.

* Kandungan gula dalam delima bertindak sebagai skrub untuk menyingkirkan sel kulit mati. Hasilnya kulit segar dan muda.

* Kulit buah delima boleh digunakan untuk menghilangkan jerawat. Kulitnya yang dijemur dikisar dan digunakan bersama sedikit air perahan limau nipis.

* Dapat menghilangkan kejang kaki yang biasa dihadapi wanita hamil.

* Bagi ibu mengandung, delima baik diambil kerana kandungan asid folik tinggi mencegah kecacatan tiub saraf yang menyebabkan kerosakan pada sumsum tulang belakang dan langit bibir sumbing pada bayi.

* Ketika membeli delima, pilih buah yang berat dan kulitnya bersih tanpa cela serta tidak merekah.

* Boleh dibeli banyak kerana ia tahan enam bulan dalam peti sejuk.

Oleh Nor Hatina Shuib

Bahaya kanser buah zakar

Friday, October 04, 2013 0 Komen

Bahaya kanser buah zakar

Saya berusia 35 tahun dan sudah berkahwin dua tahun. Isteri pula berusia 26 tahun dan kami masih belum dikurniakan anak. Baru-baru ini doktor mengesyaki saya mengalami kanser buah zakar yang berkemungkinan sudah masuk peringkat kedua. Selain perlu menjalani pembedahan membuang satu bahagian buah zakar yang terjejas (inguinal orchidectomy), saya juga mungkin perlu menjalani beberapa siri terapi radiasi.

Biarpun dunia seolah-olah gelap, saya dan isteri masih mahu mencuba mendapatkan zuriat sebelum terlambat. Pakar ada menjelaskan bahawa membuang satu buah zakar tidak akan menjejaskan keupayaan lelaki mengalami ereksi, mencapai orgasm atau mempunyai anak begitu juga pembedahan pada nodus limfa, masalahnya ini boleh mengganggu kesuburan. Apakah tindakan menyimpan sperma di bank sperma kerana bimbang kualitinya akan terjejas selepas melalui pelbagai prosedur perubatan suatu idea yang baik atau masih ada cara lain untuk saya dan isteri mendapatkan anak. Bantulah kami doktor.

Wahid, Petaling Jaya

---------------------

Kebanyakan lelaki yang mengalami kanser testikular mempunyai jumlah sperma yang kurang atau tidak mempunyai sperma langsung ketika kanser testikular ini diketahui. Oleh kerana itu pada asasnya anda perlu membuat pemeriksaan sperma untuk mengetahui kedudukan sebenar sperma anda.

Semua rawatan kanser testikular akan menyebabkan masalah kesuburan secara terus atau sebaliknya. Menyimpan sperma anda di bank sperma yang terdapat di pusat-pusat infertiliti adalah satu pilihan yang amat baik sekali untuk masa hadapan bila anda sudah habis rawatan dan bersedia untuk menambah bilangan keluarga.

Tetap berpeluang dapat zuriat

Walaupun jumlah sperma ini rendah, tetapi dengan kaedah Persenyawaan In-Vitro dan Inokulasi Sperma Intra-Sitoplasma dapat menambah peluang untuk anda mendapatkan zuriat.

Anda perlu berbincang dengan doktor anda bila rawatan perlu dimulakan supaya anda dapat berjumpa pakar kesuburan untuk simpanan sperma anda. Sekiranya anda tidak mempunyai sperma atau azospermia doktor bedah anda boleh mengambil sperma dari testis anda.

Jika rawatan kanser testikular ini setakat pembedahan okidektomi, lebih dari 70 peratus mereka dapat menghamilkan isteri masing-masing selepas dua hingga tiga tahun pembedahan. Pada peringkat awal pembedahan jumlah sperma akan menurun dan pulih semula selepas setahun pembedahan.

Alami ejakulasi retro-grade

Sebahagian kecil akan kekal mandul kerana masalah azospermia. Jika rawatan pembedahan membabitkan diseksi kelenjar limfa di belakang peritoneum, ini akan menggugat kesuburan anda kerana diseksi ini menyebabkan anda mengalami ejakulasi retro-grade. Keadaan ini adalah di mana sperma tidak lagi dikeluar melalui zakar ketika ejakulasi tetapi ini mengimbal ke belakang masuk ke dalam pundi kencing. Tetapi pembedahan pembuangan kelenjar limfa zaman sekarang adalah lebih selektif dan doktor bedah akan cuba menyelamatkan saraf-saraf dari tercedera.

Dengan cara sebegini masalah ejakulasi retro-grade adalah amat rendah. Sekiranya ejakulasi ini mengimbalbalik ke dalam pundi kencing, sperma ini masih boleh digunakan untuk IVF. Memang benar pembedahan kelenjar limfa tidak mengganggu kebolehan saudara untuk mencapai orgasma dan ereksi.

Siri terapi

Jika rawatan lanjutan kanser testikular saudara memerlukan tambahan beberapa siri terapi radiasi, ini menyebabkan jumlah sperma berkurangan untuk sementara waktu atau terus menyebabkan anda azospermia. Kebiasaannya radiasi tambahan adalah pada dos yang rendah saja. Jika dos radiasi adalah tinggi maka saudara akan menjadi steril.

Penggunaan kemoterapi boleh menyebabkan kesuburan saudara terganggu sementara waktu tetapi ada juga yang menjadi kekal. Ini bergantung kepada dos, durasi rawatan dan jenis-jenis ubat kemoterapi yang di gunakan. Kemoterapi bukan saja berkesan membunuh sel-sel kanser tetapi juga sel-sel germa di dalam testis saudara.

Jadi jika saudara terpaksa melalui pembedahan okidektomi dan diseksi kelenjar limfa dan diikuti pula oleh rawatan terapi radiasi, sudah tentu jawapannya saudara perlu menyimpan sperma di bank sperma sebelum rawatan. Saya doakan saudara semoga selamat dan mendapat zuriat di masa hadapan.

Oleh Dr Suhaimi Isa

Testimoni Minyak Kasturi Anugerah

Wednesday, October 02, 2013 0 Komen

Testimoni Minyak Kasturi Anugerah

Kes 1: Anieyruzainiey, Kepala batas, Pulau Pinang

Saya berniaga makanan di persimpangan jalan di sekitar kawasan perumahan. Di antara rakan berniaga, rupa-rupanya ada yang dengki dan menyimpan dendam kerana melihat gerai kami dikunjungi ramai pembeli.

Saya tidak menyangka bahawa ada orang menghantar sihir kepada saya supaya tiada sesiapa membeli makanan dari gerai saya.

Keadaan ini berlarutan hampir lima bulan. Makin lama makin teruk hasil perniagaan dan keadaan gerai juga suram. Orang ramai yang lalu lalang di hadapan gerai seakan-akan tidak nampak gerai kami.

Sebulan lalu, rakan saya mencadangkan mencuba Minyak Kasturi Anugerah untuk menghindari sihir. Saya amalkan minyak ini dengan mencampurkannya dengan air mandian setiap hari dan sapukan sedikit pada bumbung gerai.

Syukur, sejak menggunakan minyak anugerah ini, sedikit sebanyak ada perubahan sedikit demi sedikit. Selain itu, saya berdoa kepada Allah agar perniagaan saya kembali ceria seperti dulu.

Kini, kami mempunyai ramai pelanggan dan rakan sesama berniaga juga kelihatan pelik, mungkin dia tahu sihir yang dihantarnya tidak menjadi.

Saya dan suami tahu, ada rakan yang cuba khianati kami sekeluarga, tetapi kami tidak menyimpan perasaan dendam. Allah maha adil, biar Allah menghukum mereka.



Sihir adalah perbuatan keji yang didalangi jin dan syaitan untuk menjahanamkan kehidupan orang lain. Fenomena ini sentiasa berlaku, hatta pada zaman serba canggih ini.

Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW banyak menyebut mengenai sihir dan bahayanya. Hakikatnya, jin memang wujud dan hidup seperti manusia, namun ia di alam lain.

Jin yang jahat boleh memasuki dan mengganggu manusia jika ada manusia yang menggunakan khidmat jin dan syaitan ini untuk melakukan sihir.

Ramai mangsa sihir berusaha berubat sama ada menggunakan perubatan moden, tradisional atau Islam. Namun, dalam kes tertentu sihir masih tidak hilang, malah menjadi semakin buruk.

Terdapat banyak kes pesakit yang menanggung perit sihir. Iman mereka diuji Allah SWT, namun, sebagai manusia, kita masih berpeluang memohon pertolongan Ilahi melalui panduan al-Quran.

Menurut Ustaz Khairul Azhar, al-Quran diturunkan Allah sebagai panduan dan penyuluh hidup manusia.

Sebarang penyakit dapat diubati dengan izin Allah. Terdapat beberapa surah di dalam al-Quran yang boleh dijadikan amalan harian atau ruqyah untuk rawatan penyakit yang berpunca daripada jin dan syaitan.

Di antara surahnya ialah Al-Mu'awwizat iaitu Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas.

Rasulullah SAW mengamalkan surah ini sebelum tidur. Sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan Saidatina Aisyah maksudnya: Adalah Nabi SAW apabila masuk ke tempat tidur pada setiap malam, maka dirapatkan kedua tapak tangannya, kemudian menghembuskan pada kedua-dua tapak tangan itu selepas membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas. Kemudian disapu keseluruhan badan dengan kedua tapak tangannya, dimulai dari kepala dan wajahnya serta keseluruhan badan (yang mampu disapu). Baginda berbuat demikian sebanyak tiga kali - Hadis riwayat Bukhari

Menggunakan produk yang mengaplikasikan ayat-ayat suci al-Quran membantu mereka yang mengalami gangguan sihir dan ilmu hitam.

Minyak Kasturi Anugerah untuk menghindari sihir dibacakan ayat suci al-Quran dan doa pendinding, khusus untuk membantu anda daripada sihir, santau dan sebagainya dengan izin Allah.

Di antara surah yang dibacakan adalah Surah al-Nisa': 840, Surah Yusuf: 64, Ayat Penunduk Sihir iaitu Surah al-A'raf: 118-122, Surah Taa Haa: 69, Surah Yunus: 81-82, Al-Mu'awwizat, Ayatul Qursi, ayat ke 255 dan surah al- Baqarah.

Cara mengamalkannya adalah dengan membaca sebanyak tujuh kali. Setiap kali selepas membacanya, tiupkan ke depan dari kiri ke kanan seperti garis lurus di hadapan. Seterusnya diikuti bacaan kali kedua di sebelah kanan, kemudian belakang, kiri, sebelah atas dan bawah.

Selepas bacaan terakhir iaitu kali ketujuh, hendaklah menarik nafas perlahan-lahan. Tahan nafas dan kemudian lepaskan perlahan-lahan untuk tujuan perlindungan dalaman.

Menurut Ustaz Khairul Azhar, tertib penggunaan Minyak Kasturi Anugerah untuk menghindari sihir adalah berdiri menghadap kiblat, bacakan al-Fatihah, bacakan 3 Qul dan selawat sebanyak tiga kali.

Kemudian, sapukan sedikit Minyak Anugerah pada bahagian tengkuk, kedua-dua kening, telinga dan pelipat tangan sambil lafazkan niat anda kepada Allah agar dijauhkan dari gangguan jin, iblis dan syaitan.

Kesimpulannya, al-Quran boleh dijadikan menjadi penawar kepada permasalahan dalam kehidupan, kesihatan dan perhubungan sesama manusia. Keberkesanannya bergantung sejauh mana keyakinan seseorang itu kepada Allah.

Namun, usah taksub kepada Minyak Kasturi Anugerah ini kerana pergantungan sepatutnya kepada Allah semata-mata, insya-Allah dengan izin-Nya, kita dapat menjauhkan diri gangguan makhluk halus terbabit.

Hubungi Emi-Q, Tingkat 15, Bangunan Cahaya Suria, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur atau talian 03-2072 5555, 019-369 9998.

Layari laman web, www.anugerahquran.com dan facebook Anugerah https:// www.facebook.com/anugerahquran untuk maklumat lanjut.

Masalah Gigi Reput

Friday, March 01, 2013 1 Komen

Pereputan Gigi
  Masalah kerosakan gigi yang paling kerap di kalangan kanak-kanak adalah gigi reput atau karies gigi, yang berpunca daripada gula atau bakteria yang melekat di permukaan gigi.

  Bakteria memang wujud dalam mulut manakala gula pula terkandung dalam makanan, sayur dan buah-buahan. Bagaimanapun, perlu ditegaskan, kerosakan gigi berkait langsung dengan kekerapan pengambilan makanan atau minuman yang manis serta tempoh bagi membersihkan gigi berkenaan.

  Jika dilihat, pengambilan makanan dan minuman manis di antara waktu makan serta tabiat membersihkan gigi yang tidak betul menyebabkan pereputan gigi berlaku dan menimbulkan kesakitan pada kanak-kanak.
 
Sekiranya kanak-kanak terbabit dibawa ke klinik gigi pada peringkat awal, lubang yang kecil itu boleh ditampal dengan prosedur pergigian yang minimum. Sebaliknya, jika ia dibiarkan tanpa sebarang rawatan, ini boleh menjejaskan proses `kehilangan' gigi susu.

  Ini seterusnya boleh mengancam pertumbuhan gigi kekal di bawahnya membabitkan rupa bentuk, kekuatan dan warna gigi berkenaan.

  Paling serius, masalah itu juga boleh merebak kepada gigi lain serta menyebabkan muka bengkak manakala jangkitan pada gigi yang lebih dalam lagi menjejaskan saluran udara.

Karies botol susu
  Masalah lain yang sering berlaku pada kanak-kanak di negara ini adalah Karies Botol Susu.

  Kajian yang dijalankan di kawasan bandar pada 1985, mendapati masalah karies ini membabitkan kira-kira 19 peratus daripada jumlah penduduk dan masalah itu dipercayai lebih serius di luar bandar. Karies Botol Susu itu adalah keadaan apabila hampir semua gigi susu yang sedang tumbuh mengalami masalah reput. Ia biasanya bermula dengan gigi susu di bahagian atas diikuti gigi di bahagian bawah dan bahagian belakang.

  Gigi yang terbabit itu akan berubah warna daripada putih kekuningan kepada warna lebih gelap (brownish) dan mudah patah. Di dalam kes tertentu, gigi yang baru tumbuh itu kelihatan seperti sudah reput.

  Kebiasaannya, ibu bapa lewat membawa anak-anak berjumpa doktor, iaitu ketika abses sudah terbentuk membabitkan gusi gigi atas atau di bahagian belakang.

  Masalah itu biasanya berlaku kepada bayi atau kanak-kanak yang tidur sambil menghisap botol susu yang berisi minuman manis seperti sirap, Ribena atau jus buah-buahan.

  Bayi dan kanak-kanak yang menyusu badan juga tidak terkecuali, iaitu mereka yang sudah melebihi tempoh penyusuan yang dibenarkan.

  Bagaimanapun, punca sebenar adalah kandungan gula dalam minuman itu,susu ibu atau susu botol serta tabiat membersihkan gigi yang tidak sempurna.

  Bagi ibu bapa yang membawa anak-anak berjumpa doktor gigi pada tahap awal, biasanya dinasihatkan supaya menghentikan pemberian minuman melalui botol, jika ia masih diamalkan.

  Seperti yang kita maklum, itu bukanlah mudah dilakukan secara serta merta, sebaliknya perlu dibuat secara pelahan-lahan iaitu dengan mengurangkan jumlah air atau jumlah gula tambahan selama dua hingga tiga
minggu dan akhirnya menukar botol susu kepada cawan atau gelas khas.

  Datuk, nenek atau ahli keluarga lain juga perlu menghentikan tabiat pemberian gula-gula, coklat atau makanan bergula lain di antara waktu makan. Gigi pula mesti sentiasa dijaga dan dibersihkan sekerap mungkin iaitu waktu pagi dan sebelum tidur.

  Bagi kes yang lebih serius membabitkan pembentukan abses pada permukaan gigi, gigi berkenaan perlu dicabut. Jika anak dan ibu bapa memberi kerjasama, doktor gigi berupaya membantu dengan melakukan pembersihan dan tampalan gigi.

  Apa yang sering terjadi ialah kanak-kanak yang mengalami kesakitan itu biasanya tidak akan membuka mulut dan ini memerlukan doktor memberi suntikan ubat pelali yang biasa di hospital dan beberapa pusat perubatan.
 

Rawatan rangsangan saraf otak

Saturday, February 23, 2013 1 Komen

Rawatan rangsangan saraf otak

Otak adalah organ istimewa, anggota badan manusia di kedudukan paling atas dan dilindungi lapisan tengkorak keras bagi mengelakkan kecederaan. Ia 10,000 kali lebih rumit daripada sebarang komputer dan peralatan elektronik canggih serta mampu bekerja dalam air.

Beratnya cuma dua peratus daripada keseluruhan tubuh dan ia menggunakan 20 peratus aliran darah dan tenaga badan dan menjana 25 watt pada waktu rehat.

Sebagai pusat kawalan utama bagi tubuh dan pemproses maklumat pusat badan, otak mengandungi lebih 100,000 sel saraf (neuron) yang setiap satu bersambung dengan lebih 10,000 neuron yang lain serta terbentuk lebih daripada 100,000 trilion sinaps (sambungan).

Otak mempunyai kaitan erat dengan pemikiran dan menyelaraskan semua aktiviti tubuh, termasuk emosi, penglihatan, fikiran dan pergerakan otot selepas menerima maklumat menerusi deria dari dalam dan luar tubuh.

Otak mempunyai tiga bahagian iaitu depan, belakang dan tengah. Otak depan atau otak besar mengandungi serebrum, talamus dan hipotalamus. Bahagian ini mengawal sistem anggota badan.

Otak tengah mengandungi tektum dan tegmentum dan berfungsi membantu koordinasi gerak mata, ukuran anak mata dan tindakan tertentu pada pendengaran.

Otak belakang yang mengandungi pons, medula dan serebelum, berfungsi sebagai pusat pengatur refleks fisiologi seperti degupan jantung, tekanan udara, suhu tubuh, pelebaran atau penyempitan pembuluh darah, gerak alat pencernaan dan kelenjar pencernaan. Fungsi lain ialah mengatur gerak refleks seperti batuk dan bersin.

Pengerusi Pusat Neurosains dan Ortopedik ANOC Sdn Bhd, Dr Chee Chee Pin, berkata neurosurgeri di Malaysia berkembang maju dalam tempoh 25 tahun lalu, lebih-lebih lagi dengan pembangunan banyak pusat neurosurgeri di seluruh negara, terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Menurutnya, kebanyakan kes penyakit berkaitan neurosurgeri boleh dikawal tetapi ada kes epilepsi (sawan) tidak dikawal dengan baik yang membawa kepada pembedahan otak dan mendedahkan pesakit kepada risiko akibat prosedur itu. Daripada pembedahan itu, hanya 30 hingga 50 peratus masalah sawan pesakit dapat dikawal.

Rangsangan saraf vagus (VNS) merujuk kepada rangsangan saraf vagus servikal kiri menggunakan peranti khas yang dililit di sekeliling saraf di leher dan disambungkan kepada penjana prostesis neurosibernetik yang diimplan dalam poket tisu subkutaneus di dada.

VNS menghantar kuasa elektrik pada kadar denyutan biasa atau sederhana ke otak melalui saraf vagus mengakibatkan pengubahan aktiviti elektrik otak.

Terapi VNS terbukti berkesan merawat epilepsi dan depresi (kemurungan) pada percubaan tahap tinggi ujian klinikal secara rawak.

Kajian terbaru juga menunjukkan potensi terapi itu sebagai anti radang, mempertingkatkan tahap ingatan dan memberi kesan dalam mengurangkan stres serta mengurangkan selera makan, sekali gus mengatasi masalah obesiti.

Pada 1985, hasil uji kaji terhadap haiwan mendapati, VNS terbukti dapat merawat sawan dan membawa kepada implantasi manusia kali pertama pada 1990.

Ia kemudian diikuti kelulusan Komuniti Eropah pada 1994 dan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) pada 1997 sebagai terapi tambahan untuk epilepsi separa awal.

Pada 2005, FDA meluluskan penggunaan VNS sebagai rawatan anti kemurungan. Sehingga kini, lebih 60,000 implantasi sistem VNS berjaya dilakukan di seluruh dunia.

Timbalan Ketua dan Pakar Perunding Kanan Bedah Otak dan Saraf (Neurosurgeri) Hospital Kuala Lumpur, Dr Azmi Alias, berkata pendekatan baru itu sebagai alternatif dan teknik kurang invasif, terutama bagi pesakit yang tidak sanggup menjalani prosedur pembedahan lain dan menderita kesan sampingan dos tinggi ubat berganda dalam rawatan melawan epilepsi dan kemurungan.

"Saraf vagus juga dikenali sebagai saraf kranial 10 di dalam otak dan ia sebahagian daripada sistem saraf autonomik yang mengawal fungsi badan. Saraf itu melalui leher kerana ia bergerak melalui dada dan abdomen dan bahagian bawah otak.

"Ia disambungkan kepada fungsi motor di kotak suara, diafragma, perut, dan jantung serta fungsi deria dalam telinga dan lidah. Ia juga disambungkan kepada motor dan fungsi deria dalam sinus dan esofagus," katanya ketika sesi dialog rawatan alternatif bagi penyakit epilepsi, depresi dan obesiti.

Menurutnya, walaupun mekanisme tepat mengenai VNS masih sukar difahami, bukti awal daripada neuroradiologi, neurokimia, neuroanatomi dan neurofisiologi menyediakan beberapa maklumat mengenai kesan klinikal diselesaikan.

"Terapi VNS selamat dan menawarkan teknik alternatif kurang invasif berbanding pembedahan secara langsung yang boleh menjejaskan fungsi otak pusat. Ia penyelesaian berkesan untuk merawat epilepsi dan kemurungan.

"Ia pilihan bagi pesakit yang tidak sanggup menjalani prosedur lain intrakranial (bahagian dalam tengkorak) dan menderita kesan sampingan akibat pengambilan pelbagai ubat dos tinggi yang tidak boleh diterima badan," katanya.

Dr Azmi berkata, walaupun VNS yang dipasang dalam tubuh dikawal oleh magnet, ia tidak mengganggu gelombang. VNS menyebabkan rasa kenyang, sekali gus mengurangkan selera makan serta mengatasi masalah depresi.

Beliau berkata, biarpun VNS diperkenalkan di Malaysia sejak 10 tahun lalu, kurang daripada 20 orang menggunakannya.

"Tidak ramai menyedari fasiliti ini, ditambah dengan kos tinggi untuk implan. Setakat ini, VNS disediakan di hospital kerajaan tertentu.

"Kriteria untuk pemasangan VNS sangat ketat dan pesakit yang menjalani kaedah ini perlu mendapatkan pandangan pakar neurologi dan psikiatri terlebih dulu. Antara kriteria pesakit yang sesuai menjalani prosedur ini ialah mereka yang menjalani rawatan penyakit sawan tetapi tidak berkesan," katanya.

Kesan sampingan yang mungkin berlaku selepas terapi VNS ialah serak, batuk bertambah, perubahan suara atau pertuturan, sakit tekak atau leher, sakit kepala, insomnia, senak, pergerakan otot, mual, muntah, deria sentuh terjejas dan kebas atau rasa semut-semut.

Oleh Norainon Othman

Apabila antibiotik tidak berkesan

Sunday, November 18, 2012 0 Komen

Apabila antibiotik tidak berkesan

Sudah lapan dekad, antibiotik dan antimikrob digunakan dengan meluas untuk merawat mereka yang menghidap penyakit berjangkit.

Sejak 1940-an, ubat-ubatan ini terbukti berkesan dalam merawat dan mengurangkan dengan ketara kadar kematian akibat penyakit seperti itu.

Bagaimanapun, pengamal perubatan berkata antibiotik hanya berkesan sekiranya diberi preskripsi dan digunakan secara betul.

Namun, oleh kerana digunakan secara meluas sejak sekian lama, mikroorganisme membentuk strain baharu yang mampu merintang kesan antibiotik dan ini menjadikan antibiotik kurang berkesan.

Ketua Penolong Pengarah (Kawalan Jangkitan) Kementerian Kesihatan, Dr. Suraya Amir Husin berkata, penggunaan antibiotik secara tidak betul dan tidak rasional boleh menyebabkan munculnya mikroorganisme yang kebal.

"Keadaan ini dikenali dalam dunia perubatan sebagai Rintangan Antimikrob (AMR)," katanya.

AMR merujuk kepada kekebalan sesuatu mikroorganisme terhadap sesuatu agen antimikrob yang sebelumnya begitu sensitif terhadap antimikrob berkenaan.

Organisme perintang (bakteria, virus dan sesetengah parasit) mampu bertahan terhadap tindakan antimikrob seperti antibiotik dan antivirus yang menjadikan rawatan standard tidak berkesan.

Natijahnya, jangkitan terus wujud dan boleh merebak kepada orang lain.

Dr. Suraya berkata, AMR wujud akibat penyalahgunaan antimikrob dan keadaan ini berlaku apabila sesuatu mikroorganisme memutat atau menjadi kebal.

Kesedaran

Dr. Mohamed Azmi Hassali dari Universiti Sains Malaysia berkata, mengubah sikap dan meningkatkan pengetahuan orang ramai tentang penggunaan antibiotik merupakan langkah yang boleh memulihara keberkesanan antibiotik.

"Perlu difahami bahawa isu berkaitan AMR tidak hanya terhad kepada penggunaan antibiotik secara tidak rasional untuk rawatan, tetapi lebih jauh daripada itu.

"Sebagai contoh, penggunaan antibiotik secara tidak rasional dalam makanan haiwan turut menyumbang kepada kemunculan patogen dalam ekosistem kita," katanya.

Ketahanan antibiotik perlu dikaji melampaui tempat yang diinstitusikan seperti hospital kerana kebanyakan amalan paling tidak rasional dalam pemberian preskripsi dan antibiotik turut berlaku dalam masyarakat, katanya.

Kesan Jangkitan berpunca daripada mikroorganisme perintang selalunya tidak memberi respons kepada rawatan standard dan ini mengakibatkan kesakitan berpanjangan serta meningkatnya risiko kematian.

AMR mengurangkan keberkesanan rawatan kerana pesakit akan terdedah kepada jangkitan lebih lama dan berpotensi menyebarkan mikroorganisme perintang kepada orang lain. Sekali gus, ia boleh mewujudkan kembali keadaan pra-antibiotik.

Kewujudan AMR menyebabkan kebanyakan risiko jangkitan menjadi tidak boleh dikawal dan boleh memusnahkan kemajuan ke arah mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa Bersatu berkaitan kesihatan menjelang 2015.

Apabila jangkitan menjadi kebal terhadap ubat-ubatan barisan awal, terapi lebih mahal perlu digunakan. Peningkatan tempoh sakit dan rawatan akan meningkatkan kos penjagaan kesihatan dan memberi beban kewangan kepada keluarga terbabit serta masyarakat.

Sesungguhnya, kemunculan AMR mencabar kemajuan dalam bidang perubatan moden.

Tanpa wujudnya antimikrob berkesan dalam pemberian penjagaan kesihatan dan pencegahan jangkitan, kejayaan kaedah rawatan seperti pemindahan organ, kemoterapi kanser dan pembedahan, sudah pasti akan terjejas.

Justeru, satu kaji selidik untuk menilai pengetahuan asas masyarakat tentang antibiotik dijalankan di Jelutong, Pulau Pinang dari 18 hingga 20 Jun tahun ini.

Ia merupakan kerjasama antara Yayasan Bina Ilmu Pulau Pinang (sebuah NGO di daerah Jelutong) dan para penyelidik dari USM yang melibatkan 64 responden.

Hasil kaji selidik ini mendedahkan tahap kesedaran orang ramai tentang antibiotik yang sungguh membimbangkan.

Kekurangan pengetahuan dalam kalangan majoriti responden menunjukkan langkah perlu diambil agar mereka lebih berpengetahuan tentang penggunaan antibiotik.

Kaji selidik itu juga menunjukkan wujudnya kaitan antara tahap pendidikan dan pengetahuan tentang rintangan antibiotik.

Responden yang berpendidikan hingga sekolah menengah nampaknya lebih sedar tentang ketahanan antibiotik dan ini membayangkan bahawa mereka yang mendapat pendidikan tinggi, lebih faham tentang penggunaan antibiotik.

Respons tentang bahaya yang ada kaitan dengan penggunaan antibiotik (rintangan antibiotik, kesan sampingan) didapati mempunyai perbezaan besar antara tahap pendidikan, status pekerjaan dan jumlah lawatan ke klinik atau farmasi.

Data yang dikumpul juga menunjukkan majoriti responden dalam kaji selidik ini memiliki pengetahuan berkadar sederhana tentang antibiotik dan mempunyai sikap yang betul tentang penggunaan antibiotik.

Ini menunjukkan bahawa pendidikan secara terancang tentang penyalahgunaan antibiotik perlu diberi untuk meningkatkan pengetahuan anggota masyarakat mengenai penggunaan antibiotik secara betul.

Demam campak/ cacar air senang berjangkit

Sunday, November 18, 2012 0 Komen

Demam campak dan cacar air mudah berjangkit

Pernahkah kamu dijangkiti demam campak yang juga dikenali sebagai cacar air?

Jika belum, lebih baik kamu mengambil langkah penjagaan awal terutama pada musim hujan ini kerana kebarangkalian mendapat jangkitan itu adalah sekali dalam seumur hidup.

Jom, kenali jangkitan itu...



Apa itu cacar air?
Demam campak atau cacar air adalah jangkitan biasa yang berlaku di kalangan kanak-kanak disebabkan oleh virus yang dikenali sebagai virus varicella.

Cacar air mudah berjangkit daripada seorang individu ke individu lain. Seseorang yang dijangkiti virus ini akan mengalami demam dan timbul ruam lepuh (blisters).

Bagaimana cacar air merebak?

Cacar air boleh merebak melalui udara apabila seseorang yang menghidap cacar air itu mengalami batuk atau bersin.

Selain itu, jangkitan itu boleh merebak melalui sentuhan atau pernafasan apabila partikel virus yang terdapat pada cecair yang keluar daripada lepuh (blister) terkena orang lain .

Apakah tanda dan gejala cacar air?

Bagi kanak-kanak, mereka akan mendapat cacar air dalam masa 10-21 hari selepas terdedah kepada individu yang menghidap cacar air.

Cacar air boleh merebak 1-2 hari sebelum ruam kelihatan pada orang yang di jangkiti sehingga semua ruam kering. Kebanyakan kanak-kanak mengalami jangkitan yang tidak serius.

Jangkitan cacar air bagi orang dewasa, remaja serta anak kecil kurang dari setahun boleh menjadi lebih serius. - AMIRUL/AGENSI

Program suntikan vaksin HPV (Human Papilloma Virus) percuma

Monday, July 16, 2012 0 Komen

Untuk wanita berumur 18 tahun, dapatkan suntikan vaksin HPC percuma bagi mencegah kanser serviks!

Program suntikan vaksin HPV (Human Papilloma Virus) percuma kepada wanita berumur 18 tahun bermula hari ini dengan fasa pertama membabitkan penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala fasa kedua di negeri-negeri lain bermula bulan depan.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman berkata, program itu adalah usaha mempromosi suntikan vaksin bagi mencegah kanser serviks (pangkal rahim). ”Suntikan untuk kumpulan wanita berumur 18 tahun ini sahaja dibuat selepas suntikan bagi kumpulan wanita berumur 13 tahun dimulakan tahun lalu selepas Belanjawan 2012 menyaksikan kerajaan menyediakan peruntukan RM50 juta bagi tujuan itu,” katanya.

HPV adalah penyebab utama kanser serviks yang disebar menerusi hubungan seks dan Daftar Kanser Kebangsaan menganggarkan dua hingga tiga kes baharu kanser serviks dilaporkan setiap hari pada 2007.

Aminah berkata, semua wanita berumur 18 tahun digalakkan untuk mendapatkan suntikan percuma ini yang ditawarkan di 58 Klinik Nursejahtera serta Klinik-klinik kesihatan di semua institusi pengajian tinggi awam.

Beliau berkata demikian dalam persidangan media selepas majlis perasmian Program Vaksinasi HPV Untuk Wanita di Dewan Perdana Nur Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini, yang disempurnakan Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan dalam ucapannya pada majlis itu berkata peruntukan RM50 juta bagi program tersebut membuktikan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan wanita dari segenap lapisan masyarakat di Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. — BERNAMA

Lelaki mudah hidap penyakit barah hati

Sunday, May 20, 2012 0 Komen

Lelaki mudah hidap penyakit barah hati

Seramai 2.5 juta rakyat Malaysia dikesan menghidap penyakit barah hati dan majoriti adalah lelaki, menurut statistik yang dikeluarkan Yayasan Hepar Malaysia.

Presidennya, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, Sabah dan Sarawak mencatatkan kadar tertinggi di seluruh negara bagi penyakit hepatitis B, manakala Kelantan pula mencatatkan kadar tertinggi bagi hepatitis A.

"Hepatitis B ini berjangkit dari ibu kepada anak, perkongsian jarum suntikan dadah dan darah.

"Lambakan pendatang asing dari pelbagai negara di Sabah dan Sarawak mungkin faktor penyebab berlakunya peningkatan hepatitis B ini di kedua-dua negeri berkenaan," katanya.

Ismail berkata, pihaknya sedang mengesan pesakit-pesakit hepatitis seluruh negara untuk membantu memberi sokongan rawatan dan kaunseling.


Nomophobia, fobia tanpa telefon suatu penyakit baru

Thursday, May 10, 2012 0 Komen

Nomophobia,penyakit fobia tanpa telefon

Masyarakat zaman moden kini berdepan dengan sejenis penyakit baru yang dikenali sebagai nomophobia atau fobia tanpa telefon.

Dianggarkan lebih 66 peratus daripada penduduk Britain kini memilih untuk 'bersama' dengan telefon sepanjang masa dan tidak boleh berpisah dengan alat telekomuniskasi itu walaupun sekejap.


Antara tanda-tanda seseorang itu berdepan dengan masalah nomophobia adalah tidak boleh mematikan telefon, sentiasa memeriksa panggilan tidak dijawab, mesej pesanan ringkas (SMS) dan e-mel.

Mereka yang menghadapi masalah itu juga dikatakan kerap mengecas bateri dan tidak boleh meninggalkan telefon mereka walaupun untuk ke tandas.

Dalam tinjauan terbaru yang dijalankan oleh SecurEnvoy ke atas 1,000 responden di United Kingdom, sebanyak 66 peratus daripada penduduk negara ini menghadapai masalah tersebut.

Golongan muda berumur antara 18 hingga 24 tahun adalah kelompok yang paling ramai mengalami masalah itu apabila 77 peratus daripada mereka tidak boleh berpisah dengan telefon walaupun untuk beberapa minit.

Mereka yang berumur antara 25 hingga 34 tahun pula adalah golongan kedua tertinggi yang menghadapai masalah fobia tanpa telefon dengan jumlah 68 peratus.

Kajian itu turut mendedahkan purata orang Britain akan memeriksa telefon mereka 34 kali sehari dan 75 peratus pula menggunakan telefon di dalam tandas.

Pengasas bersama SecurEnvoy, Andy Kemshall berkata, kajian pertama mengenai nomophobia dilakukan empat tahun lalu dan didapati sebanyak 53 peratus daripada penduduk Britain menghadapi masalah itu. - AGENSI

10 jenis kanser payudara dikesan

Saturday, April 21, 2012

Saintis telah berjaya mengenal pasti kanser payu dara atau barah buah dada yang terdiri daripada 10 jenis berbeza.

Penemuan tersebut dapat membantu para doktor mengenali jenis kanser payu dara yang dihidapi oleh setiap individu.

Ia juga akan membantu menghasilkan rawatan dan ubatan baru untuk setiap jenis kanser tersebut.

Wakil Breakthrough Breast Cancer Center, Dr. Julia Wilson berkata, penyelidikan iu berpotensi untuk mengubah cara membuat diagnosis dan merawat kanser payu dara.

Ia bagaimanapun, masih memerlukan kajian lanjut yang mungkin memakan masa antara tiga dan lima tahun sebelum rawatan dan ubatnya dapat dihasilkan.

Kira-kira 130 wanita di dunia dikesan menghidap kanser payu dara setiap hari, peningkatan lebih 50 peratus berbanding 25 tahun lalu.

Ini bermakna seorang wanita hari ini mempunyai kebarangkalian satu daripada lapan untuk menghidap penyakit itu. - AGENSI

dR-H produk dR Rozmey atasi masalah kesihatan dalaman

Monday, February 27, 2012 0 Komen

"Masalah kesihatan dalaman menyebabkan saya tidak selesa dan kurang bertenaga manakala muka nampak pucat akibat masalah itu.

"Ia mungkin disebabkan pelbagai jenis produk kesihatan untuk hamil yang saya gunakan sebelum ini selepas sekian lama berusaha namun gagal, tetapi tak sangka masalah lain pula berlaku," kata Norzaini Abd Rahim, 36, dari Kelantan.

Menurutnya, kakaknya, Norizan, 38, berjumpa dengan rakannya yang juga pengedar aktif dR Rozmey Group (dRG), Rozie Md Zain, untuk bertanyakan lebih lanjut mengenai produk sesuai untuk digunakannya.

Rozie mencadangkan beliau mencuba dR-H untuk membantu menangani masalah dihidapinya dan dia membeli tiga kotak dR-H untuk dicuba.

"Selepas mengikut apa yang disyorkan Rozie, saya dapati badan terasa ringan dan lebih bertenaga manakala masalah kesihatan dalaman yang dihidapi berkurangan.

"Apabila hamil, saya berhenti mengambil produk dR-H ini kerana ia tidak sesuai untuk ibu mengandung," katanya.

Sehubungan itu, pengguna yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai dR-H, boleh menghubunginya di talian 019-9699224 atau Rozie di talian 019-6038194.

Sementara itu, Presiden dRG, Datuk Dr Che Rozmey Che Din berkata, jus minuman dR-H boleh mengatasi masalah hati yang tercedera akibat radikal bebas dalam badan.

Beliau berkata, gabungan beta-Carotene, susu Thistle, selenium dan N-acetyl-cysteine (NAC) membantu memulihkan kecederaan awal hati akibat keradangan.

"Formulasi ini mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan dan boleh digunakan dengan selamat," katanya.

Mulai 1 Mac ini, harga semua produk keluaran syarikatnya akan dinaikkan RM10 sekotak berikutan peningkatan kos bahan herba dan bahan terpilih dari Eropah dan Amerika yang tak dapat dielakkan selain peningkatan kos pembungkusan dan penghantaran.

"Berikutan itu, harga sekotak produk Jus Mate 5 (JM5), dR-II, Gain 5, Doc-K, dRH, dR8, dR101, dRQ10, Espresso xy dan dR-Silky yang sebelum ini RM150 sekotak untuk ahli, menjadi RM160 manakala bukan ahli dulunya dijual pada harga RM200 sekotak, akan menjadi RM210," katanya.

Pengguna baru yang berminat menjadi ahli bermula 1 Mac ini akan dikenakan bayaran RM480 untuk pembelian tiga kotak, RM510 di Sabah dan Sarawak manakala Singapura RM540.

Pengguna boleh melayari laman web rasmi dRG di www.herbaprima.com.my atau facebook www.facebook.com/datukdrrozmeyhpm atau enjin carian dRG www.drplaces.com atau e-mel ke dRG di sales@herbaprima.com.my / drrozmey @gmail.com.

Pengguna boleh menghubungi talian 012-5241097 / 017-4490686 / 017-4280741 atau 04-9164262 / 04-9175466 / 04-04-9175846 atau faksmile di talian 04-9173645 atau 04-9175867


Berjudi di Internet - Gejala Ketagihan Sukar Dikawal

Monday, February 27, 2012 0 Komen

Penagih judi Internet hadapi masalah psikososial

Ketagihan berjudi Internet bukan sekadar masalah penggunaan Internet yang berlebihan seperti laman sosial Facebook, Twitter atau bermain permainan komputer.

Ia melibatkan kerosakan psikososial yang lebih dahsyat sehingga boleh menjejaskan kehidupan dan masa depan seseorang.

Ia tidak seperti berjudi di kasino yang melibatkan pertaruhan wang ringgit terhadap keputusan sesuatu permainan tetapi menggunakan komputer peribadi yang telah dijaringkan ke Internet.

Pertaruhan boleh dibuat di rumah atau kafe siber.

Jenis permainannya terbahagi kepada;

1. Permainan pertaruhan elektronik berkonsepkan kebarangkalian rawak dengan sesuatu pertaruhan dilihat boleh memberi pulangan berganda atau tidak mengikut susunan algoritma yang disimpan di dalam papan litar sirkit, cip elektronik atau CD-ROM. Pertaruhan biasanya mengikut jumlah payline seperti permainan mesin slot.

2. Permainan pertaruhan elektronik secara langsung seperti permainan roulette atau baccarat.

Pertaruhan biasanya di buat melalui pengusaha kafe siber atau menggunakan kad kredit di laman web perjudian tersebut.

Di Malaysia, ketagihan judi Internet biasanya menjadi masalah dalam kalangan orang dewasa.

Pelbagai undang-undang seperti penguatkuasaan had umur dan sebagainya telah dibuat untuk mengelakkan masalah menular kepada remaja dan pelajar sekolah.

Bagaimanapun, kewujudan pusat pertaruhan Internet di kafe siber menunjukkan konsep perjudian berkenaan sudah mula diperkenalkan kepada anak-anak muda di sini.

Senario berkenaan memang membimbangkan kerana kajian Yayasan Annenberg di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan lebih kurang 600,000 remaja berumur 14 hingga 22 tahun mengaku berjudi di Internet setiap minggu.

Dari segi perubatan psikiatri, ketagihan berjudi di Internet tidak jauh bezanya dengan ketagihan dadah atau alkohol.

Menurut klasifikasi DSM-IV oleh American Psychiatric Association (1994) masalah ketagihan berjudi tergolong dalam jenis penyakit mental yang dinamakan impulse control disorder dan pesakit sekurang-kurangnya mempunyai lima daripada ciri berikut:

1. Mempunyai ingatan sangat kuat untuk berjudi.

2. Sentiasa meningkatkan jumlah pertaruhan untuk memenangi wang lebih besar atau menebus kekalahan berjudi.

3. Kerap gagal untuk berhenti atau mengurangkan aktiviti perjudian.

4. Menjadi resah dan mudah marah apabila cuba untuk berhenti.

5. Berjudi untuk menyelesaikan masalah kewangan atau berharap untuk menghiburkan hati hasil wang kemenangan.

Apabila kalah dalam pertaruhan, mereka akan cuba menebusnya dengan berbohong kepada ibu-bapa, pasangan atau doktor untuk menutup segala kemudaratan disebabkan berjudi. Mereka juga sanggup melakukan aktiviti haram untuk mengganti wang pertaruhan seperti menipu, menerima rasuah dan mencuri.

Akibatnya berlaku keruntuhan rumah tangga, rosaknya hubungan keluarga, kerjaya dan pelajaran.

Penagih judi Internet terpaksa bergantung dengan orang lain untuk menampung kekurangan wang yang disebabkan oleh kemudaratan aktiviti perjudian.

Ketagihan judi di Internet sebenarnya berkongsi laluan yang sama seperti ketagihan dadah dalam merangsang pusat otak melalui neurotransmitter yang dipanggil dopamine dan adrenaline.

Setiap kali menang dalam sesuatu pertaruhan, mereka akan merasakan kenikmatan tidak terhingga (fenomena adrenaline rush) yang menyebabkan kerap teringat-ingat dan terus mencari kenikmatan tersebut di dalam pertaruhan seterusnya.

Kenikmatan ini bagi mereka melebihi kenikmatan seks semasa ejakulasi.

Pengulangan aktiviti berkenaan secara berterusan akan menyebabkan ciri penagihan tegar dan kehancuran kehidupan.

Pesakit yang mengalami ketagihan judi di Internet juga didapati mempunyai masalah mental yang lain seperti kemurungan, kerisauan melampau dan obsessive compulsive disorder (OCD).

Kira-kira 20 peratus daripada mereka pernah cuba membunuh diri atau mempunyai keinginan untuk membunuh diri pada satu-satu masa sepanjang perjudian mereka.

Jauhilah dari sebarang bentuk perjudian samada di internet atau di luar.

Kemurungan punca orang mengamuk

Saturday, February 25, 2012 0 Komen

Kejadian amuk di kalangan penghidap sakit mental yang telah meragut banyak nyawa di Malaysia sejak kebelakangan ini sememangnya satu fenomena yang cukup membimbangkan.

Satu demi satu kes-kes amuk yang membabitkan penghidap penyakit mental terus dilaporkan berlaku. Tragedi yang bertali arus ini seakan hanya menunggu masa mencari siapakah mangsa seterusnya.

Apakah yang menyebabkan berlakunya kejadian amuk?

Adakah kejadian amuk atau tindakan ganas dan agresif seumpama ini hanya membabitkan mereka yang menghidap penyakit mental sahaja?

Pakar Perunding Psikiatri, Jabatan Psikiatri, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh berkata, istilah amuk haruslah difahami dengan tepat dan sebelum dilabelkan pada sesuatu tindakan si pelaku.

"Jika individu terbabit seorang yang normal, penggunaan istilah 'amuk' ini mungkin tepat, tetapi jika si pelaku seorang penghidap mental kita perlu melihatnya pada perspektif yang berbeza," katanya.

Menurut beliau, sebelum kejadian amuk berlaku individu terbabit biasanya mengalami satu tempoh yang dikenali sebagai period of brooding. Dalam tempoh yang memakan masa beberapa minggu atau bulan ini individu tersebut merasai dirinya seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

"Pesakit mungkin berasa sedih, murung dan akhirnya diikuti dengan cetusan seperti amuk," ujarnya.

Dr. Nor Hamidah menjelaskan, semasa cetusan 'amuk' berlaku, individu terbabit dalam keadaan separuh sedar.

"Walaupun sedar dengan tindakan yang dilakukan tetapi mereka tidak boleh mengawal diri," katanya.

Dalam keadaan ini individu terbabit boleh mencederakan atau membunuh, kemudian apabila sedar mereka rasa menyesal dan sedih dengan tindakan yang dilakukan.

Menurut beliau, terdapat kemungkinan individu yang mengamuk ini dalam keadaan yang begitu murung, menghidap penyakit sawan atau menghidap penyakit mental.

Antara faktor-faktor yang boleh mendorong seseorang mengamuk ialah:

* Mereka yang banyak tekanan terutama dalam jangka masa yang lama.

* Mereka yang suka memendam masalah.

* Mereka yang tidak mendapat sokongan.

Sebaliknya, jika si pelaku ini terdiri daripada pesakit mental, mereka biasanya mengalami gangguan fikiran dan persepsi yang menyuruh mereka bertindak agresif dan berbahaya.

"Golongan ini tidak dapat berfikir dengan waras yang menyebabkan mereka gagal membuat pertimbangan dengan baik.

"Sebarang gerak-geri orang di sekeliling juga akan di salahtafsirkan oleh pesakit sebagai mengejek yang akhirnya menyebabkan pesakit bertindak ganas seperti membunuh," katanya.

Pemahaman dan sokongan keluarga si pesakit penting dalam membantu menangani masalah ini.

Lebih penting lagi katanya, keluarga harus tahu bila pesakit menunjukkan tanda-tanda awal seperti tidak tidur, tidak mahu makan, tidak bekerjasama dan sebagainya.

Mengulas pendapat sesetengah pihak yang mengatakan, fenomena amuk hanya berlaku di kalangan orang Melayu, beliau menjelaskan kemungkinan golongan ini lebih banyak memendam perasaan berbanding meluahkannya menyebabkan insiden ini berlaku.

Bagaimanapun, amuk ini tidak hanya berlaku pada orang Melayu, sebaliknya ia boleh berlaku pada mana-mana bangsa sekalipun.

Katanya, fenomena ini bukanlah sesuatu yang baru, sebaliknya ia berlaku sejak dahulu lagi.

Sementara itu, Pakar Perunding Psikiatri dan Psikoterapi, Klinik Psikoterapi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof. Madya Dr. Azhar Mohd. Zain berkata, amuk diertikan sebagai satu sindrom yang menggambarkan orang yang mempunyai murderous frenzy iaitu kecenderungan untuk membunuh
secara tiba-tiba tanpa diganggu.

Menurut beliau, si pelaku biasanya menjadi marah dan ganas secara tiba-tiba dan terus membunuh sesiapa saja yang berada berhampiran. Bagaimanapun, Dr. Azhar berkata, biasanya sebelum kejadian amuk ini
meletus, pesakit akan bersendirian, kelihatan tension dan mengalami kemurungan.

Di Malaysia sebahagian besar mereka yang terbabit dengan kes amuk terdiri daripada pesakit skizofrenia yang mencatatkan satu peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

"Namun, bukan semua mereka yang menghidap penyakit ini akan mengamuk, hanya sejumlah yang kecil saja," ujarnya.

Epilepsi

Menurut beliau, tekanan adalah punca utama yang mencetuskan amuk kepada mereka yang menghidap penyakit mental seperti skizofrenia, kemurungan dan sebagainya.

Pada masa yang sama, penyakit epilepsi juga boleh mencetuskan kejadian amuk.

Dr. Azhar memberitahu, mereka yang menghidap penyakit skizofrenia mengalami gangguan fikiran apabila mendengar suara-suara halus yang menyuruh mereka bertindak agresif.

"Pesakit akan bertindak agresif untuk melindungi diri kerana berasa orang-orang di sekeliling mengancam diri mereka," katanya.

Dalam keadaan ini, pesakit akan cuba mendapatkan apa juga senjata seperti parang, pisau, pistol atau sebagainya untuk melindungi diri mereka.

Seperti diabetes, penyakit mental adalah penyakit genetik seumur hidup yang boleh dikawal dengan ubat-ubatan.

Bagi kes-kes tertentu, pesakit memerlukan penjagaan rapi dan rawatan susulan yang lebih kerap atau mungkin terpaksa dimasukkan ke hospital.

"Hanya 10 hingga 20 peratus saja pesakit mental yang tidak dapat menjalani kehidupan normal di mana golongan ini perlu dimasukkan ke wad," jelasnya.

Mengulas sejauh mana tindakan mengamuk ini diklasifikasikan sebagai kes jenayah, Dr. Azhar menjelaskan, jika pesakit sedar dan tahu tindakannya semasa kejadian tersebut berlaku, dia boleh dihukum.

"Sebaliknya, jika hasil siasatan mendapati semasa kejadian tersebut pesakit dalam keadaan yang tidak terkawal, pesakit perlu dirawat," katanya.

Mengenali Penyakit Resdung Yang Memudaratkan

Saturday, February 18, 2012 0 Komen

Resdung adalah penyakit yang dianggap biasa oleh sesetengah orang. Bagi penghidap penyakit ini, mereka berasa resah dan gatal di sekitar kawasan hidung, mata, pipi serta sekitar muka.

Namun, ramai masih tidak sedar resdung boleh memudaratkan dan menjadi punca pelbagai penyakit barah, jika tidak diubati.

Ada sesetengah pendapat menyatakan resdung sebenarnya berpunca daripada faktor keturunan, manakala ada pula berpendapat ia berpunca daripada faktor gangguan alam sekitar dan alahan.

Resdung berlaku berikutan ketidakseimbangan bendalir dalam hidung yang boleh merebakkan hamanya ke tahap penyakit serius dan mengancam bahagian lain di tubuh pengidap penyakit ini.

Kebiasaannya, serangan resdung yang menyerang penghidap penyakit itu ialah frontal syenerse atau resdung depan.

Resdung depan adalah serangan di bahagian tubuh depan yang boleh dikesan apabila seseorang mengalami gatal kepala, berjerawat di muka, migrain (pening kepala), hidung berair dan sentiasa bersin, selesema dan demam yang kerap.

Dalam keadaan lain, pesakit boleh menjadi semakin teruk jika terdedah kepada asap rokok, asap kenderaan, mengambil minuman keras, gangguan emosi, ubat antidarah tinggi dan perubahan cuaca.

Pada peringkat awal, penghidap mengalami tanda seperti selalu bersin,berhingus, gatal muka dan hidung serta mendapat jerawat.

Sehubungan itu, mereka yang mempunyai tanda sedemikian perlu mendapatkan rawatan segera supaya resdung tidak melarat dan boleh membawa maut.Pesakit resdung boleh membuat pilihan untuk merawat penyakit itu melalui dua kaedah iaitu konvensional (perubatan hospital) dan rawatan tradisional
Menerusi kaedah konvensional, pesakit perlu melalui pembedahan untuk membuang ketumbuhan dalam hidung.

Kaedah perubatan tradisional pula adalah dengan cara `mengasap muka' atau secara menghisap sejenis rokok daun atau gulungan berisi ubat herba.

Perlukah pesakit resdung mendapatkan rawatan segera?
Ya. Resdung perlu diubati dari peringkat awal bagi mengelakkan menjadi teruk dan merebak ke bahagian lain. Ini kerana resdung biasanya dikaitkan dengan serangan hidung tetapi boleh merebak ke bahagian tubuh lain.

Jika resdung masih tidak dirawat pada tahap ini, ia akan menyebabkan gangguan ketumbuhan seperti pembengkakan pada tekak atau timbulnya penyakit tirod.

Pesakit yang mendapat rawatan perlu berhati-hati kerana penyakit resdung juga sensitif. Rawatan yang salah atau kaedah yang tidak berkesan boleh menyebabkan resdung menjadi teruk dan merebak menjadi tumor.

Lebih teruk jika serangan penyakit resdung terkena sistem payu dara kerana ia boleh menyebabkan sel mati dan berlaku bengkak sehingga menyebabkan barah payu dara.

Jika resdung menyerang perut, ia boleh merebak menjadi ketulan tumbuhan dalam rahim. Penyakit ini juga boleh merebak ke dalam tubuh pesakit, merosakkan sistem buah pinggang dengan mengecilkannya dan berlaku pergerakan kepada buah pinggang.

Justeru, pengidap penyakit ini perlu dirawat pada peringkat awal dengan mendapatkan nasihat doktor. Jika boleh dielak, pesakit dinasihat tidak terdedah kepada persekitaran berhabuk. Pesakit juga perlu banyak berehat dan tidak mengamalkan diet yang menyebabkan alahan.

 

ZONFINITI