Mufti Kelantan sifatkan Eric Paulsen biadab

Thursday, January 15, 2015

Mufti Kelantan sifatkan Eric Paulsen biadab

Tuduhan Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebarkan fahaman ekstremis pada setiap Jumaat kepada umat Islam mencerminkan dirinya yang sebenar.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, tuduhan yang dibuat ke atas Jakim itu sebenarnya berbalik kepada diri peguam itu sendiri kerana mengganggu gugat perpaduan rakyat negara ini.

Malah, beliau turut menyifatkan tindak-tanduk Eric sebagai biadab serta mempunyai agenda pencerobohan terhadap Islam dengan menyemai unsur-unsur provokasi dan penghinaan terhadap agama suci ini.

Katanya, khutbah Jumaat yang disediakan Jakim dan pihak berkuasa lain selama ini bertujuan mendidik masyarakat agar bersifat sederhana serta hidup dalam keadaan penuh harmoni.

“Tindakan Eric umpama menu­ding satu jari kepada orang lain te­tapi empat jari menuding pada diri sendiri. Isi kandungan khutbah Jumaat telah diselia begitu rapi. Sekiranya khutbah Jumaat ini mempunyai fahaman ekstremisme sudah lama Malaysia menjadi sebuah negara yang ekstremis.

“Sebaliknya sehingga hari ini, Malaysia masih sebuah negara yang masyarakatnya hidup dalam keadaan aman dan damai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Eric menerusi laman sosial Twitter mengeluarkan kenyataan menuduh Jakim menyebarkan fahaman ekstremis pada se­tiap Jumaat yang dipercayai merujuk kepada khutbah solat Jumaat kepada umat Islam.

Ekoran kenyataan itu, Polis Di­raja Malaysia (PDRM) telah menahan Eric di pejabatnya, di Brickfield malam kelmarin dan disiasat mengikut Akta Hasutan 1948.

Sebelum ini Eric pernah mengkritik Pas berhubung hasrat parti itu melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Sementara itu, Mohamad Shukri turut mendesak pihak bertanggung­jawab agar segera mengenakan tindakan tegas terhadap Eric.

Katanya, ini penting bagi mem­be­ri peringatan kepada semua individu agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan tuduhan yang boleh mengundang provokasi terhadap agama.

“Sejak akhir-akhir ini terdapat begitu banyak kes penghinaan terhadap agama Islam dan perkara ini perlu dibendung segera,” katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI