Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) jadikan ASEAN kuasa besar ekonomi

Wednesday, January 28, 2015

Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) jadikan ASEAN kuasa besar ekonomi

ASEAN kini benar-benar meraih tarikan sebagai satu entiti ekonomi berpotensi dengan prospek mega dalam perdagangan dan pelaburan.

Hakikat ini akan lebih terserlah apabila Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) direalisasikan hujung tahun ini.

Tidak dapat dinafikan AEC mewujudkan persekitaran kondusif untuk syarikat tempatan meningkatkan jualan, melebarkan sayap operasi di luar pasaran domestik dan membolehkan penyumberan dari seluruh rantau.

Kedudukannya sebagai ekonomi ketujuh terbesar di dunia dengan nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK) tergabung US$2.5 trilion, menarik lebih banyak negara di luar ASEAN untuk menjadi rakan dialognya termasuk Bangladesh dan Timor Leste.

Menyedari potensinya sejak dahulu lagi, Australia negara pertama menjadi rakan dialog dan disusul pantas oleh China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, India, Amerika Syarikat, Rusia, Kanada dan Kesatuan Eropah (EU).

Bagi melangkah lebih jauh, ASEAN kini berbincang dengan rakan dialog yang mempunyai ikatan perjanjian perdagangan bebas dengannya untuk menubuhkan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi mewujudkan kawasan ekonomi berdaya saing tinggi.

Potensi perkumpulan serantau ini juga bakal meraih momentum lebih hebat dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, berusaha gigih memacu transformasi serantau dan memperkasa pertumbuhan menerusi platform yang holistik.

Ini termasuk bukan sahaja mempertingkat interaksi kerajaan dengan kerajaan atau perniagaan dengan perniagaan, tetapi lebih penting lagi rakyat dengan rakyat agar masyarakat biasa juga menerima laba daripada perancangan yang disusun.

Bagi Malaysia, seruan lantang menggesa syarikat tempatan mengintai peluang di peringkat rantau terutama dengan pelaksanaan AEC yang akan memperluas sempadan untuk tenaga kerja dan rakyatnya.

Sementelah dengan populasi serantau sekitar 625 juta berbanding penduduk negara berjumlah 30 juta, berserta KDNK tergabung US$2.5 trilion, sudah pasti banyak peluang terhidang di bawah AEC.

Sebagai satu pasukan, AEC mempunyai kuasa ekonomi untuk muncul sebagai pangkalan pengeluaran dinamik dan perniagaan bagi syarikat-syarikat global termasuk menghasilkan peluang pekerjaan yang amat diperlukan di rantau ini.

Berikutan itu, kira-kira 1,000 syarikat Malaysia yang bertapak di ASEAN boleh mengembangkan operasi mereka lebih jauh memandangkan AEC menyasarkan untuk muncul sebagai rantau ekonomi bersepadu dengan merangkumi ekonomi-ekonomi serantau.

Antara syarikat Malaysia yang sudah beroperasi sebagai syarikat serantau atau bertaraf global termasuk Petronas, Sime Darby, Ingress, Axiata, AirAsia, Maybank, CIMB, firma perundangan ZICOlaw,
SapuraCreest Petroleum dan Pathlab.

Selain syarikat gah terbabit, tidak ketinggalan pengeluar produk makanan seperti Hup Seng, Julie's, Ramly, dan Mamee serta syarikat berasaskan perkhidmatan Safeguards, firma pemasaran berbilang tingkat Hai-O, Mastech, Success Transfer Corporation dan syarikat berasaskan pengguna NTPM Holdings.

Bagi rakyat Malaysia, AEC juga bermakna peluang pekerjaan terutama untuk jurutera, juruteknik, penganalisis kewangan, akauntan dan lain-lain yang berkemahiran khusus, apabila syarikat-syarikat di ASEAN mengembangkan perniagaan di Malaysia serta sebaliknya.

Kira-kira 27 peratus daripada nilai perdagangan global Malaysia yang bernilai RM374.7 bilion pada 2013 ialah dengan ASEAN manakala aliran masuk pelaburan langsung asing dari ASEAN ke Malaysia pula bernilai US$6.2 bilion.

Statistik ini tidak boleh diketepikan kerana ia bukti kekayaan ekonomi Malaysia dan ASEAN saling berkait rapat dan ini turut bermakna rakyat Malaysia harus memperhebat usaha untuk meraih laba yang maksimum.

Sehubungan itu, tanggapan bahawa syarikat serantau akan masuk dan 'merompak' peluang perniagaan, pelaburan, pekerjaan rakyat Malaysia serta merampas hak-hak keistimewaan kita adalah tidak benar kerana ekonomi yang mengembang membawa masuk lebih banyak kebaikan.

Isu serupa turut dibahaskan di negara-negara ASEAN namun "ini merupakan sifat perdagangan global" seperti yang dihujahkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kebimbangan bahawa akan berlaku pergerakan bebas tenaga kerja juga merupakan tanggapan salah kerana di bawah AEC, perjanjian yang termeterai hanya menuntut kebebasan pergerakan tenaga kerja mahir.

Berdasarkan agenda luas ASEAN, amat penting bagi para pemimpin dalam sidang kemuncak di Kuala Lumpur pada April ini membuat keputusan agar sekretariat diperkasa dengan staf yang mencukupi daripada 300 orang sekarang, berbanding 300,000 di EU.

Penganjuran mesyuarat peringkat menteri dan sidang kemuncak ASEAN oleh Malaysia bukan sahaja tepat pada masa tetapi juga penting kerana ia akan menyediakan pentas untuk kemunculan satu pasaran tunggal dan kuasa besar ekonomi serantau menerusi AEC.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI