Pertunjukan fesyen ‘KL High Street 2015’

Monday, January 26, 2015

Pertunjukan fesyen ‘KL High Street 2015’

Pertunjukan fesyen ‘KL High Street 2015’ akan diadakan pada 7 Februari ini di Black Box, Solaris, jam 2.30 petang.

Bagi mendapatkan tiket masuk, boleh menghubungi talian 03-92015196 dengan harga RM25.

Tidak lengkap pertunjukan fesyen tanpa suntikan muzik, persembahan  tarian serta pengacara yang mampu menarik perhatian penonton.

Gabungan tiga anak muda iaitu Nas Muammar Zar (DJ), Alam (penari) dan Muaz Mohamed (pengacara) dalam pertunjukan fesyen KL Hight Street 2015 anjuran J Ideas Management itu mampu menaikkan lagi aura suasana disamping memperlihatkan pertunjukan sebanyak 24 jenama tempatan.

Pertunjukan yang akan diadakan pada 7 Februari ini bakal beri kelainan kepada industri fesyen tanah air kerana mengangkat kreativiti anak tempatan ke persada seni fesyen bagi mengetengahkan lagi bakat mereka.

Nas Muammar atau lebih mesra disapa DJ Nas-T sememangnya berbangga dengan pencapaian anak muda tempatan yang mampu melahirkan barangan yang berkualiti tinggi setanding jenama luar negara.

“Masih ramai lagi orang di luar sana tidak tahu akan kehadiran mereka dalam industri fesyen. Tambahan pula acara ini bukan sekadar pertunjukan fesyen sahaja. Apa yang ingin kami tonjolkan adalah gabungan muzik dan tarian, visuals, lighting serta pengacara yang mampu menarik perhatian penonton.

“Saya janjikan ia adalah sebuah persembahan menarik yang tidak pernah diadakan di Malaysia dan ini adalah sesuatu yang fresh,” ujar Nas-T.


Sementara itu, Alam dari kumpulan tarian Wakaka merasakan keluaran jenama tempatan kini semakin kreatif dan kualiti barang yang tidak dapat disangkal lagi.

Dia yang bakal menjadi ikon penari bagi program tersebut akan memberikan yang terbaik bagi menjayakan pertunjukan yang dinantikannya selama ini.

“Apabila saya dan krew ditawarkan untuk mengadakan persembahan, saya amat teruja. Ini kerana ia melibatkan barangan yang diusahkan oleh anak muda tempatan.

“Sebenarnya kualiti barangan kita sangat bagus malah, lebih baik dari jenama luar negara yang hanya terkenal kerana namanya.

“Sejujurnya saya amat berbangga dengan kebolehan mereka kerana mampu menghasilkan barangan yang berkualiti tinggi,” ujar Alam yang kini membuat persediaan untuk pertunjukan fesyen tersebut.

Selain itu, Muaz Mohamed selaku pengacara program tersebut menerima cabaran untuk beri kelainan dalam pengacaraan bagi memastikan penonton tidak bosan sepanjang berlangsungnya pertunjukan fesyen ‘KL High Street’ itu nanti.

“Saya akui bukan senang untuk menarik perhatian penonton. Oleh itu, saya dalam persediaan untuk mengkaji golongan penonton yang hadir. Saya akan tampilkan sesuatu yang ringkas, padat dan diingati.

“Saya akan lebih menjadikan pengacaraan saya nanti santai dan ringan supaya ia tidak terlalu formal dan bosan,” kata Muaz yang menyokong penglibatan anak tempatan dalam dunia fesyen.

Sementara itu, turut menampilkan barisan jemana tempatan popular seperti Feed, Miker Sangat Power, Orang Lama, Dentoom, Rapla, The Marv, Legasi, Bangkit dan banyak lagi ~ Mangga

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI