Pakatan Rakyat cadang empat langkah hadapi penurunan harga minyak, junaman ringgit

Sunday, January 18, 2015

Pakatan Rakyat cadang empat langkah hadapi penurunan harga minyak, junaman ringgit

Kerajaan disifatkan perlu menghentikan budaya pembaziran serta cara hidup mewah dan boros pada situasi penurunan harga minyak dan junaman ringgit akhir-akhir ini.

Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk berhenti 'menyorokkan' mana-mana hutang lapuk yang masih tidak diketahui rakyat selama ini.

"Korupsi dan ketirisan perlu ditangani. Kami telah membentangkan dalam Belanjawan Bayangan Pakatan Rakyat 2015 bahawa penjimatan konservatif hanya pada kadar 15 peratus dalam ketirisan perbelanjaan kerajaan mampu menjimatkan hampir RM 20 bilion atau bersamaan 1.6 peratus daripada unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Dalam pada itu, Jawatankuasa Krisis Nasional yang bersifat rentas parti politik perlu ditubuhkan pada kadar segera melibatkan Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, para ekonomis, pakar-pakar pasaran serta pakar dalam bidang-bidang berkaitan.

"Kerajaan juga perlu bersedia untuk memperkenalkan langkah-langkah penjimatan sekiranya harga minyak menyusut ke tahap lebih rendah dan kekal statik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anwar mengulas kejatuhan harga minyak mentah Brent yang menyusut sebanyak 53 peratus daripada purata 108 Dollar Amerika Syarikat setong pada Januari 2014 kepada 51 Dollar Amerika Syarikat secara purata bagi bulan Januari 2015.

Jelasnya, kerajaan juga perlu mengambil mengambil contoh kesiapsiagaan negara-negara yang bergantung kepada hasil minyak yang mempunyai tatakelola pengurusan dan pentadbiran yang baik.

"Mereka berada dalam mod bersedia untuk berhadapan dengan kesan jangka panjang berikutan harga minyak yang rendah.

"Kita akui bahawa pergerakan harga komoditi antarabangsa merupakan sesuatu di luar kawalan kita namun kita berkemampuan mengawal seluruh cara perbelanjaan dan pengurusan kewangan negara," ujarnya.

Dalam pada itu kata Anwar, krisis banjir baru-baru ini turut membuktikan Kerajaan Persekutuan perlu memberi kerjasama dengan Kerajaan-kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dengan beberapa agansi bukan kerajaan (NGO).

"Kerajaan Pusat gagal dan terus gagal meskipun Pakatan Rakyat berulang kali menggesa agar berpijak pada bumi yang nyata dan mengambil langkah-langkah pencegahan.

"Apakah yang telah dilakukan sebelum ini? Apakah ini sikap yang memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk bertransformasi?," jelasnya.
~ Awani

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI